Showing posts with label percutiaan. Show all posts
Showing posts with label percutiaan. Show all posts

Saturday, January 28, 2017

Cuti2 Malaysia > Lumut, Perak

Percutian kami di Swiss-Court Holiday Apartment Damai Laut adalah selama 3 hari 2 malam, dari 24 Disember hingga 26 Disember 2016. 

Sebelum ini, kami pernah beberapa kali menginap di sini, juga di Swiss Garden Hotel... tidak jauh daripadanya. Dah jadi ahli, kenalah gunakan peluang dan kemudahan yang diberikan. Cuma perlu dibuat tempahan awal untuk mengelakkan kekecewaan dan melancarkan perancangan.

Sebelum ini, di samping bersantaian di Swiss Garden, kami akan jelajah kawasan persekitaran Lumut, di mana sahaja tempat-tempat menarik untuk dilawati. Kali ini sedikit mengecewakan kerana terdapat beberapa tempat ditutup.

Sebagai peminat bahan sejarah, kami teruja sekali singgah di Muzium Siput, Teluk Batik tapi kelihatan terbiar sahaja. Rupa-rupanya telah tidak beroperasi sejak 5 tahun lalu. Sementara Muzium TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) yang terletak di atas kapal KD Rahmat di Lumut Waterfront juga ditutup - mungkin kerana cuti Hari Krismas. Aduhai... tiada rezeki kali ini. Namun... terhibur juga hati berjalan-jalan di sekitar waterfront dengan pelbagai ukiran yang menggambarkan Lumut sebagai Bandar Tentera Laut.

Panorama Hutan Paya Bakau
AlhamduliLLAH... Taman Paya Bakau di Jalan Ipoh-Lumut tidak ditutup. Banyak sekali kelibat monyet-monyet yang bergayutan mahupun bersantaian di dahan pokok dan di palang laluan pejalan kaki yang dibina merentasi hutan berpaya ini. Kepada para pengunjung, diperingatkan jangan sesekali menyuakan makanan kepada monyet dan setiap barangan seperti beg tangan perlu diawasi  daripada dicapai sang monyet.

Difahamkan Taman Paya Bakau yang dibuka sejak tahun 1995 ini mempunyai laluan sepanjang kira-kira 360 meter. Malangnya tidak sampai pun 100 meter dibuka. Mungkin atas sebab-sebab keselamatan atau sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Itu pun sudah memadai untuk menghayati suasana hutan paya bakau seperti jenis pokok, keadaan akar dan pelbagai hidupan lain yang turut menyumbang kepada pengekalan ekosistemnya.

Suasana Jeti Awam Damar Laut
Pada kali ini kami sempat juga menyinggah di Jeti Awam Damar Laut - penemuan yang tidak disangka-sangka kerana lokasinya jauh dari jalan besar.

Terdapat perkhidmatan bot untuk ke Pekan Lumut. Dari jeti jelas kelihatan pelabuhan dan pangkalan Tentera Laut. Pemandangan sekitarnya juga amat tenang dengan olengan sampan di dada air yang tenang beralun.

Kami juga berpeluang menghirup kedamaian Pantai Teluk Senangin di saat matahari mula terbenam di penghujung laut. Cahaya kemerah-merahan yang beransur-ansur hilang berganti malapnya benar-benar memukau pandangan. SubhanaLLAH... betapa agung dan indahnya ciptaanMU.

Ketika di apartment, Imran tidak lepaskan peluang ke kolam renang. Ayah yang temankan Imran pun turut sama. Seronok sekali berendam, berenang dan menyelam. Namun cepat sekali terasa letihnya dek dah lama tidak ke kolam.

Mengorek Remis di Pantai Swiss Garden
Menurut Imran, saat paling seronok ketika percutian ini adalah bersantaian di Pantai Swiss Garden bersebelahan hotel. Bukannya seronok bermain air laut tetapi seronok mengumpul remis di gigi air. Banyak sekali. Tidak payah beralih tempat, korek sahaja pasir pasti ada. Tidak sampai pun sejam telah pun penuh 4 botol air mineral - 1 botol 1.5L dan 3 botol 500ml = 3L. Semuanya dimasak di dapur apartment, AlhamduliLLAH... murah rezeki.

Beredar pulang menuju ke Kuala Lumpur, kami cuba bertanyakan 'Uncle Waze'... mengejutkan.. dari Swiss Garden, Lumut diarahkan ke Taiping melalui Jln Terong sebelum melencong ke Lebuhraya PLUS di Changkat Jering. Ikut sahajalah...mungkin ada hikmahnya.

AlhamduliLLAH... kami ditemukan dengan Musolla Darul Solehah di Batu 8, Changkat Jering. Difahamkan di sekitarnya dibangunkan pondok-pondok moden untuk anak-anak tahfiz dan juga orang dewasa yang ingin mendalami agama. Di seberang jalannya terdapat Restoran Hassanida, antara menunya adalah Nasi Arab. Di situlah kami singgah untuk makan tengahari sebelum solat jamak qasar di musolla.

AlhamduliLLAH... kami selamat tiba di rumah sekitar jam 10 malam. Perjalanan yang agak perlahan dek kesesakan teruk di Lebuhraya PLUS.

Thursday, November 22, 2012

Santai @ Trata' Leka

Hujung minggu baru-baru ini (17 - 18/11/2012), kami menghadiri undangan walimatul urus adik biras/ipar (Suraya) di Sri Menanti, Muar, Johor. Hampir seluruh anak cucu Hj Tauhid-Hjh Azizah turun ke sana. Dikira hitung hampir 30 orang kesemuanya. Alang-alang dah bertemu  muka, kami berpakat untuk menyewa resort/ homestay di Muar. Carian kami beberapa minggu sebelumnya menemukan kami dengan Trata' Leka yang terletak berdekatan Pantai Leka, Parit Jawa. 

Persekitaran hadapan Trata' Leka
Trata' Leka yang berkeluasan 4 ekar diusahakan oleh keluarga Dr. Rosli Nekmat, seorang consultant dari Kuala Lumpur. Kini ianya terdiri daripada 5 buah rumah tradisional iaitu Trata' Ibu (Limas Johor), Along (Umbai, Melaka), Angah (Limas Johor), Achik (Alor Gajah, Melaka dan Anjang (tree house). Juga dilengkapi kolam renang, kolam lotus, wakaf surau dan wakaf santai.

Persekitarannya nyaman sekali dengan kehijauan pepohonan renek dan bunga-bungaan pelbagai jenis yang melatari hampir keseluruhan kawasan, ibarat berada di dalam taman yang terbentang luas. Sejuk mata memandang, terasa damai di hati. 

Sebahagian daripada koleksi foto dapat diakses di Album Foto Kami (kiri laman) atau klik di sini.

Trata' Ibu menjadi rumah rehat keluarga, manakala selebihnya untuk disewa. Menurut Dr. Rosli, kesemua rumah tersebut adalah rumah asal yang dibeli dan dipasang kembali. Insya Allah usaha sedang dilakukan untuk mendapatkan beberapa buah rumah lagi, antaranya rumah Minang, Kedah dan Perak termasuk sebuah rumah besar untuk dewan dan bilik seminar.

Kami menyewa kesemua 3 buah rumah termasuk tree house yang menghadap ke kolam renang. Pada malamnya, 2 anak bujang; Izzuddin dan Arif Farhan menjadi 'penunggu' tree house. Manakala lain-lain rumah dikongsi mengikut 'mahram jantina'. Menariknya, beberapa buah basikal pelbagai saiz disediakan untuk kegunaan penyewa. Hampir kesemua daripada kami menggunakannya termasuk atuk dan nenek.

Mandi-manda di kolam renang
Tiada aktiviti khusus untuk keluarga kerana hajat kami sekadar untuk bersantaian sesama ahli keluarga. Kolam renang menjadi tumpuan utama anak-anak (dan ibu bapa). Luasnya sederhana sahaja dan airnya tidak dalam, sesuai untuk anak-anak kecil. Apabila kesemua anak-anak turun, sesak kolam dibuatnya.

Pagi petang mereka berendam sambil melakukan pelbagai aktiviti bersama/ bersendirian. Jelas terpancar keseronokan pada wajah mereka. Demikianlah anak-anak apabila dapat bersama-sama dengan sepupu-sepapat mereka. Tidak kurang juga ibu-ibu dan bapa-bapa.

Di sela waktu antara Maghrib-Isyak dan selepas solat Subuh hingga waktu Syuruk, menjadi wadah pengisian ilmu yang disampaikan oleh Atuk Tauhid. Seronok-seronok juga (bersantaian cuti) tetapi jiwa dan hati juga perlu disuburkan dengan iman dan amal.

Di kesempatan yang ada, kami berbasikal menyusuri jalan menuju ke jeti nelayan di Pantai Leka. Bot-bot nelayan teroleng-oleng tertambat di tepian jeti. Kami singgah di penghujung jeti sambil menghayati persekitarannya. Deretan pepohon bakau dengan burung-burung putih bertenggek jelas kelihatan. 

Kembara ke jeti nelayan
Di tepian benteng pula banyak sekali kelihatan ikan belacak (mud skipper) bersantaian di atas batang-batang nibung. Adakalanya laju sekali 'mengepak' di atas air.

Tidak jauh daripadanya, kerja-kerja menurunkan ikatan-ikatan batang nibung ke dalam air sedang giat dilakukan. Menurut pekerja yang ditanya, ianya untuk mengelak kawasan tersebut daripada dicerobohi. Tidak pasti pula apa projek yang dirancangkan.

Bertolak pulang ke Kuala Lumpur, kami menyinggah makan di Restoran Abu Bakar Hanifah yang terletak tidak jauh dari Jalan Maharani. Menu utamanya pasti sahaja Mee Bandung Muar. Secara peribadi, juadahnya memang sedap tetapi rasa kurang selesa kerana ianya menumpang Restoran Wah San. Pelanggannya memang ramai, mungkin suatu hari nanti ia boleh hidup sendiri.

Selamat tinggal Trata' Leka dan Muar. Insya Allah teringin juga untuk kembali lagi. Jutaan terima kasih kepada Dr. Rosli dan isteri serta Sdr Najib yang melayan kami dengan baik sepanjang percutian kami. Moga kalian sentiasa dimurahkan rezeki olehNya. Ameen.