Tuesday, April 21, 2015

Kemuliaan Rejab Dicemari Kepalsuan

ALHAMDULILLAH... setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat ILLAHI, kini telah tiba bulan Rejab, diikuti pula bulan Syaaban, seterusnya bulan Ramadhan yang dilingkungi barakah yang tidak bertepi.

Sebagai permulaan, marilah sama-sama kita sentiasa membacakan doa di sebelah (atau apa-apa doa seumpamanya) - memohon rahmatNYA agar dipanjangkan usia kita berserta kesihatan yang baik agar dapat kita melalui Ramadhan dengan sebaik-baiknya.

Ramadhan adalah bulan ujian, maka persiapan perlu dilakukan lebih awal. Maka bulan Rejab dan Syaaban adalah ketika yang terbaik untuk tujuan tersebut. Moga dengannya kita telah terbiasa untuk melakukan setiap amalan di bulan Ramadhan dengan mudah dan ikhlas. Namun sebaiknya persediaan ini dilakukan sepanjang tahun, cuma diperhebatkan lagi ketika tibanya Rejab dan Syaaban.

Dalam beramal, kita perlu berhati-hati. Jangan kerana terlalu ghairah, kita tersilap langkah hingga menganggap setiap apa yang dilakukan adalah bersumberkan daripada RasuluLLAH SAW. Sebagai panduan, disertakan kutipan dari e-fatwa JAKIM yang menjelaskan pelbagai kekeliruan yang timbul berkaitan kaedah beramal di bulan Rejab. Moga ada manafaatnya. Ameen.


Oleh:
Dr.Arieff Salleh bin Rosman,
Felo Fatwa
Bulan Rejab merupakan salah satu daripada 'al-Ashur al-Hurum' (bulan-bulan haram) selain bulan Muharram, Zulkaedah dan Zulhijjah. Bulan-bulan haram merupakan bulan mulia sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 36, yang bermaksud, 
"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi. Antaranya empat bulan haram (yang dihormati). Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya)...." 
Abu Bakrah melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda, 
"Sesungguhnya masa itu beredar sebagaimana hari Allah mencipta langit dan bumi iaitu setahun itu ada dua belas bulan. Antaranya ada empat bulan haram (yang dihormati) iaitu tiga bulan berturut-turut: Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram. Seterusnya Rejab iaitu antara bulan Jamadilakhir dan Sya'ban."
                                                 (Hadis sahih direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim).
Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menjelaskan, maksud Rejab ialah agung (Lata'if al-ma'arif, hlm. 117). Oleh sebab itu, bulan Rejab adalah bulan yang agung dan mulia. Antara keistimewaan bulan Rejab ialah berlakunya peristiwa Isra' dan Mikraj yang menurut majoriti ulama' ia berlaku pada 27 Rejab.
 
Namun isu yang timbul ialah kemuliaan bulan Rejab sebagai salah satu bulan haram telah dicemari dengan pengagungan yang bersumberkan kepada laporan/hadis palsu yang direka-reka yang diistilahkan dalam ilmu hadis sebagai hadis maudhuk.
 
Mengagungkan bulan Rejab bukanlah satu persoalan yang baru. Ia telah pun wujud pada zaman Jahiliyyah; sebelum kedatangan Islam. Masyarakat Arab Jahiliyah begitu mengagungkan bulan Rejab sehingga mereka menjadikannya sebagai perayaan. Antara amalan popular yang dilakukan oleh sebahagian orang Islam di Malaysia apabila datangnya bulan Rejab ialah mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan puasa sunat Rejab dan menghidupkan malam dengan sembahyang sunat Rejab.

Umat Islam di Malaysia khususnya dan dunia umumnya; kini dan dahulu, telah disajikan dengan pelbagai janji manis jika melakukan sesuatu amalan khusus di bulan Rejab. Satu kebenaran yang perlu dijelaskan kepada umat Islam ialah tiada amalan khusus dalam bulan Rejab yang dilaporkan daripada Rasulullah SAW dari hadis sahih. Amalan tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah di bulan Rejab adalah sebahagian kecilnya bersandarkan kepada hadis lemah (daif) dan kebanyakkannya adalah hadis palsu (maudhuk).
 
Isu mencemarkan bulan Rejab dengan janji-janji daripada sumber yang palsu ini sudahpun wujud sekian lama. Antara ulama terdahulu yang membongkar usaha golongan pemalsu hadis yang membuat pembohongan terhadap Nabi Muhammad saw berkaitan kelebihan bulan Rejab dan amalan khusus padanya, antaranya ialah Imam ahli hadis Abu al-Khattab 'Umar bin Hasan ibn Dihyah (w. 633H) yang mengarang buku yang bertajuk 'Ada' ma wajab min bayan wad' al-wadda'in fi Rajab (Melaksanakan apa yang wajib dengan menerangkan pemalsuan yang dilakukan oleh pembohong berkaitan Rejab)' dan Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani (w. 852H) yang mengarang risalah yang bertajuk 'Tabyin al-'ajab bi ma warada fi fadhl Rajab (Menjelaskan perkara yang pelik berkaitan dengan apa yang disampaikan tentang kelebihan Rejab)'.
 
'Ata; seorang ulama tabi'in menjelaskan, Nabi Muhammad saw melarang daripada berpuasa penuh sebulan bulan Rejab agar ia tidak dijadikan sebagai perayaan sebagaimana yang dilakukan oleh orang Arab Jahiliyyah (Ibnu Rajab, Lata'if al-ma'arif, hlm. 11). Ibnu Hajar al-'Asqalani menjelaskan, "Larangan daripada berpuasa sebulan penuh pada bulan Rejab adalah berkaitan dengan individu yang melakukannya kerana terpengaruh dengan amalan orang Arab jahiliyyah yang begitu mengagungkan bulan Rejab.
 
Tetapi jika seseorang itu berpuasa sunat sama seperti bulan lain tanpa menganggap puasa bulan Rejab adalah lebih utama daripada bulan lain, tidak mengkhususkan puasa hari tertentu bulan Rejab bagi mendapat ganjaran tertentu, maka amalan itu tidak menjadi kesalahan. Begitu juga dengan individu yang menghidupkan malam bulan Rejab dengan beribadah sebagaimana dia beribadah pada malam bulan lain. Tetapi jika seseorang beribadah sunat hanya pada bulan Rejab sahaja dengan anggapan ia khusus untuk bulan Rejab, maka ia adalah amalan yang dilarang." (Tabyin al-'ajab, hlm. 49).
 
Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani menjelaskan tujuan beliau mengarang risalah yang bertajuk 'Tabyin al-'ajab bi ma warada fi fadhl Rajab' : "Telah berulang-ulang soalan yang dikemukakan tentang kelebihan bulan Rejab, tentang berpuasa dan solat sunat padanya. Serta untuk menjelaskan yang mana hadis yang sahih dan yang palsu." Kesimpulan daripada analisa yang dilakukan oleh Imam Ibnu Hajar ialah, "Langsung tidak terdapat hadis sahih yang boleh dijadikan hujah tentang kelebihan bulan Rejab, puasa sunat khusus Rejab, juga solat sunat qiyamullail khusus Rejab...namun begitu terdapat sebahagian ulama yang membenarkan menerima hadis yang menjelaskan tentang kelebihan bulan Rejab walaupun hadis itu daif, tetapi tidak boleh diterima jika ia hadis mauduk."
 
Antara kelebihan bulan Rejab dan amalan khusus padanya yang bersumberkan laporan/hadis palsu ialah:

i. Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari Qiamat Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.
 
ii. Bulan Rejab Bulan Allah, Bulan Syaaban bulanku, dan bulan Ramadhan bulan umatku. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu Bakar Muhammad bin Hasan al-Naqqash. Dalam rantaian pelapor hadis ini juga terdapat individu yang tidak dikenali seperti al-Kassa'i.
 
iii. Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Quran atas segala zikir. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.
 
iv. Sesiapa berpuasa tiga hari pada bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya pahala berpuasa sebulan. Sesiapa yang berpuasa tujuh hari ditutup baginya tujuh pintu neraka. Sesiapa berpuasa lapan hari, Allah membuka baginya lapan pintu syurga. Sesiapa berpuasa setengah bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya memperoleh keredaanNya, sesiapa yang ditulis baginya keredaanNya, orang itu tidak akan diazab. Sesiapa yang berpuasa sebulan Rejab, Allah akan menghisab orang itu di padang Mahsyar dengan hisab yang mudah. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Aban bin Abi 'Iyash. Laporan-laporan lain yang menjelaskan kelebihan berpuasa mengikut bilangan hari di bulan Rejab juga laporan palsu, antaranya direka oleh Uthman bin Matar, Harun bin 'Antarah, dan Farrat bin al-Sa'ib.
 
v. Sesiapa sembahyang maghrib pada hari pertama bulan Rejab, kemudian selepas itu dia bersembahyang sunat 20 rakaat dengan sepuluh kali salam, setiap rakaat dibaca surah al-Fatihah dan selepas itu membaca surah al-Ikhlas sekali, adakah kamu tahu pahalanya? Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu al-Husayn bin Ibrahim. Terdapat laporan palsu lain yang direka menjelaskan kelebihan tertentu jika bersembahyang sunat dengan bilangan rakaat tertentu dengan bacaan tertentu pada bulan Rejab. Antara individu lain yang bertanggungjawab membuat laporan palsu tersebut ialah Ali bin Abdullah bin Jahdam, Aban bin Abi 'Iyash. Sembahyang tersebut juga diistilahkan sebagai sembahyang sunat Ragha'ib.
 
vii. Bersedekah pada bulun Rejab dijauhkan Allah daripada api neraka. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pereka hadis iaitu Aban bin Abi 'Iyash.
 
HARAM MENYEBAR HADIS PALSU
 
Al-Mughirah bin Syu'bah melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda, "Sesungguhnya pembohongan yang dilakukan ke atasku adalah tidak sama dengan pembohongan yang dilakukan ke atas orang lain. Sesiapa yang membuat pembohongan terhadapku dengan sengaja, maka bersedialah dia dengan tempat duduknya di dalam api neraka." (Hadis sahih direkod oleh Imam al-Bukhari).
 
Syeikh Abu Asma' Ibrahim bin Ismail Ali 'Asr menjelaskan dalam pendahuluannya kepada suntingan karya Imam Ibn Hajar al-'Asqalani yang bertajuk 'Tabyin al-'ajab bi ma warada fi fadhl Rajab', ramai dalam kalangan pendakwah, penceramah, guru agama, khatib yang tidak sensitif terhadap hadis maudhuk, sehingga mereka menyampaikannya kepada masyarakat tanpa berusaha mengenalpasti status sesuatu hadis. Perkara merbahaya ini boleh menceburkan mereka dan anggota masyarakat yang menyebarkan hadis palsu dalam ancaman Nabi, 
"Sesiapa yang berdusta terhadapku, maka bersedialah tempatnya di dalam api neraka". 
Walaupun mereka tidak berniat untuk melakukan pendustaan terhadap Rasulullah, tetapi dengan tindakan mereka menyebarkan hadis palsu sedangkan mereka sudah dijelaskan kepalsuan hadis itu, mereka telah terjebak dalam melakukan pendustaan terhadap Rasulullah saw.
 
Abu Hurairah melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda, 
"Cukuplah seseorang itu sudah dianggap berdosa dengan dia menyebarkan segala berita yang didengar tanpa disiasat terlebih dahulu.
                                                                                      (Hadis sahih direkod oleh Imam Muslim)
 
Umat Islam tidak perlu disajikan dengan pahala dan fadhilat untuk melakukan amalan khusus hanya di bulan Rejab sahaja, sedangkan ia bersumberkan laporan/hadis palsu yang merupakan pembohongan terhadap Nabi Muhammad saw. Adalah amat baik kita dapat melazimi diri dengan melaksanakan amal ibadah secara berterusan yang bersumberkan dalil yang benar daripada al-Quran dan hadis sahih; tentang kelebihan menghidupkan malam dengan solat sunat seperti tahajud dan witir, puasa sunat isnin khamis, puasa sunat hari ke 13, 14, dan 15 setiap bulan, puasa sunat selang sehari seperti cara puasa Nabi Daud.
 
Marilah sama-sama kita memelihara kemuliaan bulan haram seperti bulan Rejab ini daripada dicemari dengan hadis palsu.
Rujukan :  http://www.e-fatwa.gov.my/artikel/bulan-rejab-kemuliaan-dicemari-kepalsuan

Friday, April 17, 2015

Menunggang Kuda di Rubinga Heritage

Pada petang hujung minggu baru-baru ini (Sabtu, 11/04/2015), Imran bersama sepupu-sepupunya; Hawa, Wafi, Zahra, Abid, Kaisah dan Zahin (berserta ibu-ibu mereka) telah berkunjung ke pusat latihan berkuda; Rubinga Heritage yang terletak di Jalan Dato Kaharuddin, Kg. Changkat, Gombak, SELANGOR.

Imran - awalnya takut, akhirmya tunggang sendirian
Ianya adalah kunjungan susulan setelah pertama kali Imran dan Hawa menginjakkan kaki ke pusat berkenaan hampir 3 minggu lalu. Ketika itu mereka mengikuti Program Pendedahan Awal Sunnah Berkuda (PASUB) yang dianjurkan oleh IKRAM Junior Cawangan Setiawangsa di mana Laili adalah salah seorang tenaga penggeraknya. 

Sedikit imbasan program PASUB yang dilalui oleh Imran dan Hawa dahulu.

Sesi penerangan PASUB berkenaan telah dikendalikan sendiri oleh pemilik RH, Tn. Hj. Rusnan Ngadio yang telah pun 30 tahun berkecimpung dalam industri kuda. Antara yang dikongsikan adalah hikmah berkuda, panduan keselamatan, mengenali susuk tubuh kuda, kaedah berkomunikasi dengan kuda dan bermacam perkara lagi berkaitan dengan kuda. 

Hawa
Para peserta PASUB yang berusia antara 4 - 12 tahun juga dibawa melawat lebih 12 ekor kuda di kandang, diikuti dengan demo menunggang kuda. 

Seterusnya saat yang dinanti-nanti iaitu menunggang kuda. Sebahagian anak-anak begitu teruja sekali dan segelintirnya ketakutan walaupun kuda-kuda berkenaan begitu jinak dan mesra sekali. Menurut Tn. Hj. Rusnan, ianya adalah lumrah, jangan dipaksa. Cuba biasakan mereka dengan kuda, Inshaa ALLAH akan ada perubahannya. Terbukti...

Abid
AlhamduliLlah... dapat juga saya turut serta menunggangnya. Begitu juga dengan Hanisah yang amat meminati kuda sejak kecil lagi. Teringat akan pengalaman menunggang kuda ketika berkelana di Melbourne dahulu di mana kami dibawa merentasi kawasan ladang yang luas.

Untuk program PASUB, ianya bermula dari jam 7:30 pagi hingga jam 1:00 petang. Bayaran penyertaannya adalah RM40/ orang. Sarapan pagi disediakan.  

Kaisah
Manakala program yang disertai oleh Imran dan sepupu-sepupunya baru-baru ini pula dikenali sebagai Joyride di mana mereka dibawa menunggang kuda mengelilingi gelanggang sebanyak 3 pusingan. Bayarannya hanya RM 2.00.

Bagi anak-anak itulah antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Berada di atas kuda yang tinggi dan dibawa berjalan berlenggang-lenggok, sedikit sebanyak menimbulkan rasa gementar di hati. Namun akhirnya timbul rasa seronok. Sekali cuba rasa tak puas, ingin sekali naik untuk pusingan seterusnya. Bolehlah datang lagi...

Bagi anak-anak yang masih ada rasa takut-takut tetapi gerak hatinya mahu... tidak mengapa, boleh cuba di lain kesempatan. Inshaa ALLAH.... alah bisa tegal biasa. Pendedahan yang baik untuk anak-anak.

Sunday, April 5, 2015

Menjengah Sejarah Tentera Darat

Sekembalinya dari Sahom Farm Retreat di Perak, kami bergegas pula ke Port Dickson. Nur Solehah ada Bengkel IGCSE selama 2 hari 1 malam (17/03 - 18/03/2015) di Hotel Seri Malaysia. Sesi bengkel ini diusahakan oleh Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) MRSM Kota Putera, Besut, Terengganu khusus untuk para pelajar Tingkatan 3 dan 4 yang mengikuti pengajian IGCSE di MRSM sebagai sumber perkongsian ilmu dan motivasi diri. Bukan sahaja untuk para pelajar tetapi juga ibu bapa. Sambutan yang amat menggalakkan. Matlamatnya hanya sekitar 30 orang pelajar sahaja tetapi dihadiri kira-kira 115 orang pelajar. TAHNIAH KSIB...!

Era Tentera Darat Hari Ini
Seusai pendaftaran di Seri Malaysia pada petang 17/03/2015 (Selasa), berdua dengan Imran, kami bersolat jamak Zohor-Asar di Masjid Muhammad Al-Fateh, Depot RAMD, PUSASDA, Kem Si Rusa.

Seterusnya kami masuk ke Muzium Tentera Darat yang terletak berhampiran dengannya. Sebenarnya setiap kali turun ke Port Dickson, kami sentiasa menyimpan hajat untuk ke muzium ini. AlhamduliLLAH akhirnya tertunai juga.

Apabila disebut tentera, pasti akan terimbas dalam diri betapa besarnya jasa dan pengorbanan para anggota tentera terutama tentera darat hingga sanggup mempertaruhkan nyawa demi keselamatan dan keamanan bagi negara tercinta. Al Fatihah kepada mereka yang telahpun pergi mendahului kita. Moga perjuangan kalian diberkati dan dianugerahi pahala syahid di sisi ALLAH SWT. Ameen.

Sememangnya tika melewati persekitaran Kem Si Rusa, kita telahpun dapat merasai aura tentera darat. Sesuai jolokan Port Dickson sebagai Bandar Tentera Darat. Apatah lagi memasuki kawasan muzium. Kapal terbang pejuang, kereta perisai, lokomotif, meriam dan seumpamanya menyambut kehadiran pengunjung seawal pintu masuk lagi.

Bergaya dengan senapang Era Penjajahan Jepun
Untuk masuk ke Muzium Tentera Darat, tiada sebarang bayaran dikenakan tetapi sumbangan ikhlas amatlah dialu-alukan dengan memasukkannya ke dalam beberapa tabung yang disediakan di kebanyakan lokasi di dalam muzium.

Muzium Tentera Darat terdiri daripada beberapa bahagian, bermula dengan Era Kesultanan Melaka, diikuti Era Penjajahan Portugis, Belanda, British dan Jepun, Era Penubuhan Askar Melayu, Era Pra Kemerdekaan, Era Kemerdekaan hinggalah kepada Era Tentera Darat Hari Ini.

Bagi setiap era ini dipamerkan setiap artifak asal dan replika berserta penerangan bagi setiap peristiwa dan tinggalan sejarah. Bagi kami terutama Imran yang amat berminat dengan elemen sejarah, segalanya amat menarik hati. Banyak ilmu pengetahuan yang dapat dihadamkan bagi mengenang sejarah negara sehingga terbentuk negara merdeka seperti hari ini.

Sebahagian foto di muzium terdapat di Album Foto Kami (Jalan2 @ Muzium Tentera Darat) atau klik di sini untuk capaian terus ke album berkenaan.

Di hadapan poster Pasukan 25 Melayu Pertama
Bagi kami, Era Penubuhan Askar Melayu adalah paling menarik sekali. Pasukan Sukarela Melayu yang ditubuhkan pada 1902 merupakan pasukan Askar Melayu pertama yang ditubuhkan.

Atas gesaan sebilangan pembesar Melayu ke atas pemerintah British, Skuad Percubaan yang dianggotai 25 pemuda Melayu telah ditubuhkan pada 1 Mac 1933 di Depot Port Dickson. Inilah permulaan kepada pembentukan Regimen Askar Melayu.

Bergerak dari satu era ke satu era berikutnya dengan naik turun 2 bangunan 2 tingkat bagaikan tidak terasa penatnya. Penghujung penjelajahan sejarah kami adalah memasuki replika terowong bawah tanah Parti Komunis Malaya (PKM) sejauh 142 meter di mana pintu masuknya di Blok B dan pintu keluarnya samada di Kampung Hutan atau berhampiran Pesawat Caribou.

Segmen Barangan Rampasan PKM
Di sepanjang terowong, dipamerkan pelbagai artifak tinggalan PKM berserta penerangan melalui panel sejarah perjuangan anggota tentera darat menentang komunis. Para pengunjung juga dapat melihat sendiri beberapa segmen dalaman, antaranya Segmen Barangan Rampasan, Bilik Bedah, Tempat Tidur dan Bilik Mesyuarat.

Tidak disangka-sangka, kami adalah pengunjung terakhir. Melangkah keluar dari terowong, pintu pagarnya terus dikunci. Melihat jam, masa telah pun melewati pukul 5:10 petang. Rupa-rupanya Muzium Tentera Darat dibuka dari jam 10:00 pagi - 5:00 petang. Khabarnya ditutup pada hari Isnin dan Selasa. Peliknya kami datang pada hari Selasa tetapi buka pula. Mungkin cuti sekolah kot.

Apa-apa pun, terlepas sudah hajat kami yang telah lama terpendam untuk menjengah masuk ke Muzium Tentera Darat. Selepas ini jika berkunjung ke Port Dickson, bolehlah kami singgah pula di Muzium RAMD (tidak jauh daripadanya) atau ke Muzium Lukut.

Thursday, March 26, 2015

Foto Hari Keluarga @ Sahom Farm

AlhamduliLLAH, sebahagian kecil foto ahli keluarga Hj. Tauhid-Hjh Azizah di Sahom Farm Retreat kini terdapat di Album Foto Kami di sebelah kiri laman ini dengan tajuk Santai @ Sahom Farm. Anda juga boleh klik di sini untuk terus ke album berkenaan. 

MAAF... tidak banyak foto keluarga yang dapat dipaparkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan terutama  melibatkan kaum hawa di kolam mandi. Harap maklum. 

Wednesday, March 25, 2015

Hari Keluarga @ Sahom Farm Retreat

Anak-anak abah (Hj Tauhid) dan emak (Hjh Azizah) bilangannya 7 orang dan kesemuanya telahpun berumahtangga. Dihitung kira anak, menantu dan cucu terjumlah 30 orang.

Oleh kerana hampir semuanya tinggal berdekatan, maka kekerapan bersua-muka adalah perkara biasa. Adakalanya berkenduri di rumah abah-emak di Ulu Kelang, makan malam di luar atau pun berkumpul di kampung asal abah-emak di Kg Bukit Bangkong, Sepang.

Sebahagian ahli keluarga Hj. Tauhid-Hjh. Azizah

Sesekali apabila berkesempatan, kami mengadakan Hari Keluarga Eksklusif di sesuatu lokasi tertentu di mana setiap ahli keluarga dapat berkumpul dalam 2 atau 3 hari. Tiga tahun yang lepas, kami telahpun berkumpul di Trata' Leka, Muar. Untuk kali ini, pada tanggal 14/3 - 16/3/2015, kami telah memilih Sahom Farm Retreat di Kg. Sahom, Sungai Siput Selatan, Perak.

Cuma terasa sedikit kekurangan kerana 3 orang ahli keluarga tidak dapat turut serta dek terikat dengan kerja iaitu Redzuan dan Hakim. Manakala anak kami, Izzuddin pula kini di perantauan.

Perjalanan dari Ulu Kelang merentasi DUKE dan PLUS adakalanya tersangkut dek kesesakan jalan. Sesuatu yang telah dijangka, natijah berjalan di awal cuti persekolahan Semester 1/2015.

[Inshaa ALLAH, sebahagian koleksi foto akan dimuat turun jika berkesempatan dan situasi capaian internet mengizinkan]


Sahom Farm Retreat

Sekadar makluman - Sahom Farm dengan keluasan 50 ekar adalah milik persendirian (keluarga). Asalnya sebuah ladang kelapa sawit, kini turut diusahakan chalet penginapan, dusun durian, kolam memancing, penternakan lembu, kambing, rusa dan haiwan eksotik.

Pandangan sisi Kg. Tepian Sungai dari kolam mandi
Terdapat 2 tempat penginapan di Sahom Farm; dikenali sebagai Kg. Warisan dan Kg. Tepian Sungai. Kg. Warisan terletak di tapak seluas 2 ekar dengan sebuah chalet utama serta 4 bilik chalet berkembar, kolam mandi, dewan serbaguna, ruang memasak dan makan serta padang.

Manakala Kg. Tepian Sungai pula terletak bersebelahan sungai cetek berbatu meliputi keluasan tapak 4 ekar berserta kemudahan sebuah chalet utama, 4 bilik berkembar, ruang memasak dan makan, kolam mandi dan padang.

Untuk kedua-dua penginapan ini, kadar sewaannya sama sahaja iaitu RM 800/malam. Umumnya kedua-duanya amat sesuai untuk percutian/ aktiviti keluarga atau organisasi.

Untuk Hari Keluarga ini, kami memilih Kg. Tepian Sungai kerana mempunyai kelebihan sungai di sebelahnya. Persekitarannya juga amat menarik dan tenang sekali dengan pepohonan renek, kolam ikan, air terjun buatan, ruangan memasak dan ruang makan menghadap sungai dan berlatar belakang kehijauan hutan dan gunung.

Syukur AlhamduliLLAH. Terima kasih kepada Adinda Eusni Rahayu dan Mohd Fahimey yang mengusahakan percutian keluarga di Sahom Farm Retreat ini. Walaupun sedikit menjauh daripada Lembah Kelang tetapi amat menyeronokkan.

Ceria Bersama

Sama-sama berseronok di kolam mandi
Selama berada di Sahom Farm, anak-anaklah yang paling teruja. Tempat mandian terutama kolam mandi sentiasa ada yang masuk berendam. Si kecil Zahin berusia 2 tahun, Airis dan Wafi (4 tahun) bertemankan kakak-kakak dan abang-abang tidak lekang dari pakaian mandi di badan.

Ada ketikanya ibu ayah serta atuk nenek pun turut serta. Malah waktu melewati tengah malam pun masih ada yang terjun ke kolam. Itulah anak-anak remaja perempuan yang belum berkesempatan berendam di siang hari.

Bagi memeriahkan percutian keluarga, maka diadakan juga acara sukaneka ringkas untuk anak-anak serta 'explore race' bagi mendedahkan anak-anak dengan persekitaran ladang dan suasana perkampungan. Secara tidak langsung banyak perkara yang boleh diamati dan dipelajari lebih-lebih lagi bagi mereka yang membesar di persekitaran bandar.

Bersama hadiah dimenangi (semua dapat...;)
Di samping berseronok, tidak dilupakan sesi pengisian rohani dengan tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Atuk Tauhid setiap kali selepas solat jamak Maghrib-Isyak dan sementara menanti Syuruk di waktu pagi.

Soal makan minum tiada masalah. Masing-masing pakar dalam masak memasak. Apatah lagi yang simple. Hinggakan atuk pun turut sama mempamerkan kemahirannya tersendiri. Yang pasti bakar membakar (BBQ) tidak dilupakan. Kambing, ayam dan sosej antara yang menu utamanya.

Menjelang tengahari pada hari ketiga (Isnin), masing-masing bertolak pulang menuju destinasi pilihan sendiri. AlhamduliLLAH perjalanan lancar tanpa sebarang kesulitan. Tiba di rumah barulah terasa betapa penatnya penangan bercuti.

Tuesday, March 17, 2015

Pengantin Baru


Rasanya tidak terlambat untuk dilafazkan rasa syukur ke hadrat ILLAHI serta diucapkan TAHNIAH dan SELAMAT PENGANTIN BARU kepada 2 pasangan adinda kami : Nasrul Hakim- Nur Syuhada dan Mohd Lutfi-Rosbaizura yang selamat disatukan dalam jarak sebulan lalu. 

Di saat masyarakat Cina sibuk dengan sambutan Tahun Baru, kami berserta ahli keluarga Ulu Kelang mengharungi kesesakan melampau menuju ke Pasir Mas, Kelantan. Perjalanan lebih 12 jam benar-benar menguji kesabaran kami walaupun berkesempatan melalui LPT2 yang baru dibuka, jajaran dari Jabor terus ke Gemuruh/ Kuala Terengganu.

Hakim dan Syuhada
AlhamduliLlah, pasangan Akim dan Ada selamat diijabkabul menjelang tengahari tanggal 21/02/2015 dan majlis kenduri diadakan selepasnya. Seterusnya majlis sambut menantu dilakukan pada 07/03/2015 lalu di Ulu Kelang. 

Manakala bagi pasangan Lutfi-Baizura, majlis akad nikah telah dilangsungkan pada pagi 27/02/2015 lalu di Sanglang, Perlis, diikuti majlis kenduri pada hari yang sama. Majlis kesyukuran di Kuala Terengganu pula telah diadakan secara sederhana pada 08/03.2015 lalu, sehari selepas majlis kenduri di Ulu Kelang. 

Sekali lagi, sekalung TAHNIAH dan SYUKUR atas anugerah yang dikurniakan ALLAH SWT. Moga bahagia selamanya sehinggalah bersama di Jannah. Ameen.

Monday, February 23, 2015

Maafkan Saya

Telah lebih sepurnama laman ini tiada sebarang khabar berita. Entri terakhir bertarikh 9 Januari. Hari ini dah pun 23 Februari. Sememangnya banyak perkara yang ingin dikongsikan atau diluahkan tetapi keadaan tidak mengizinkan. 

Sebenarnya... sambungan talian internet di rumah kami agak tidak menentu. Jika dapat sambungan pun hanya sekali sekala sahaja termasuk pada kali ini. Tak pasti apa puncanya. Yang pasti, di rumah kami yang ramai penguninya ini terdapat pelbagai gajet yang bersambungan terus dengan internet. Mungkin kerana itu notebook kami yang 'baik hati' ini sering 'mengalah' dalam perebutan tersebut.

Setulus hati, mohon dimaafkan. Inshaa ALLAH... laman ini akan terus kekal dan akan dikemaskini apabila ada kesempatan. 

Terima kasih atas sokongan dan kunjungan semua.