Friday, April 17, 2015

Menunggang Kuda di Rubinga Heritage

Pada petang hujung minggu baru-baru ini (Sabtu, 11/04/2015), Imran bersama sepupu-sepupunya; Hawa, Wafi, Zahra, Abid, Kaisah dan Zahin (berserta ibu-ibu mereka) telah berkunjung ke pusat latihan berkuda; Rubinga Heritage yang terletak di Jalan Dato Kaharuddin, Kg. Changkat, Gombak, SELANGOR.

Imran - awalnya takut, akhirmya tunggang sendirian
Ianya adalah kunjungan susulan setelah pertama kali Imran dan Hawa menginjakkan kaki ke pusat berkenaan hampir 3 minggu lalu. Ketika itu mereka mengikuti Program Pendedahan Awal Sunnah Berkuda (PASUB) yang dianjurkan oleh IKRAM Junior Cawangan Setiawangsa di mana Laili adalah salah seorang tenaga penggeraknya. 

Sedikit imbasan program PASUB yang dilalui oleh Imran dan Hawa dahulu.

Sesi penerangan PASUB berkenaan telah dikendalikan sendiri oleh pemilik RH, Tn. Hj. Rusnan Ngadio yang telah pun 30 tahun berkecimpung dalam industri kuda. Antara yang dikongsikan adalah hikmah berkuda, panduan keselamatan, mengenali susuk tubuh kuda, kaedah berkomunikasi dengan kuda dan bermacam perkara lagi berkaitan dengan kuda. 

Hawa
Para peserta PASUB yang berusia antara 4 - 12 tahun juga dibawa melawat lebih 12 ekor kuda di kandang, diikuti dengan demo menunggang kuda. 

Seterusnya saat yang dinanti-nanti iaitu menunggang kuda. Sebahagian anak-anak begitu teruja sekali dan segelintirnya ketakutan walaupun kuda-kuda berkenaan begitu jinak dan mesra sekali. Menurut Tn. Hj. Rusnan, ianya adalah lumrah, jangan dipaksa. Cuba biasakan mereka dengan kuda, Inshaa ALLAH akan ada perubahannya. Terbukti...

Abid
AlhamduliLlah... dapat juga saya turut serta menunggangnya. Begitu juga dengan Hanisah yang amat meminati kuda sejak kecil lagi. Teringat akan pengalaman menunggang kuda ketika berkelana di Melbourne dahulu di mana kami dibawa merentasi kawasan ladang yang luas.

Untuk program PASUB, ianya bermula dari jam 7:30 pagi hingga jam 1:00 petang. Bayaran penyertaannya adalah RM40/ orang. Sarapan pagi disediakan.  

Kaisah
Manakala program yang disertai oleh Imran dan sepupu-sepupunya baru-baru ini pula dikenali sebagai Joyride di mana mereka dibawa menunggang kuda mengelilingi gelanggang sebanyak 3 pusingan. Bayarannya hanya RM 2.00.

Bagi anak-anak itulah antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Berada di atas kuda yang tinggi dan dibawa berjalan berlenggang-lenggok, sedikit sebanyak menimbulkan rasa gementar di hati. Namun akhirnya timbul rasa seronok. Sekali cuba rasa tak puas, ingin sekali naik untuk pusingan seterusnya. Bolehlah datang lagi...

Bagi anak-anak yang masih ada rasa takut-takut tetapi gerak hatinya mahu... tidak mengapa, boleh cuba di lain kesempatan. Inshaa ALLAH.... alah bisa tegal biasa. Pendedahan yang baik untuk anak-anak.

No comments: