Thursday, March 14, 2013

Bersanding Ke?

Berdasarkan hukum agama, memenuhi undangan walimatul urus adalah wajib. Malah lebih diutamakan daripada undangan selain daripadanya. Begitulah bagai yang disyarahkan oleh para asatizah. Justeru itu apabila mendapat undangan seumpamanya, Insya Allah kami akan berusaha menghadirinya kecuali ada keuzuran yang tidak dapat dielakkan.

Setiap kali menatap kad undangan membuatkan hati kami teruja untuk turut sama memeriahkannya. Secara spontan mata akan melirik kepada agenda yang tertulis.

"Ada bersanding tak?". Itulah antara pertanyaan awal yang sering dilontarkan.

"Emm, macam biasalah".

Jawaban ringkas merujuk kepada adanya agenda bersanding, seolah-olah agenda wajib dalam majlis kenduri perkahwinan. Adakalanya hanya dinyatakan Ketibaan Pengantin sahaja. Walaupun tidak dinyatakan agendanya secara jelas,  kelazimannya disertakan sama pelamin untuk pengantin.

Inilah yang membuatkan kami sering merasa tidak selesa untuk bertandang ke majlis-majlis berkenaan. Terguris rasa di hati, apatah lagi melibatkan saudara mara dan rakan taulan sendiri. Berlebihan lagi jika mereka ini di kalangan yang faham agama tetapi kecundang kepada muslihat syaitan. Bunyinya agak kasar tetapi itulah hakikatnya.

Apabila diungkitkan, bermacam helah diutarakan. "Tak mengapalah, sekali sahaja seumur hidup" atau pun "Anak-anak yang beria-ia sangat, kesian kat dia orang".
Persoalannya di sini, apakah hukumnya bersanding dalam Islam? Dari pemahaman kami setelah dirujuk kepada yang arif agama, bersepakat mereka mengatakan hukum bersanding adalah haram. Jika dibolehkan pun hanya di kalangan ahli keluarga terdekat yang diadakan secara tertutup. Itupun perlu mengikut ketetapan hukum-hakam dan adab-adab dalam Islam.

Walaupun ada pandangan yang membolehkan, kononnya bagi mewar-warkan pasangan pengantin tetapi kaedah yang dilakukan kini amat tidak bertepatan dengan Islam. Lihat sahaja dengan cara berpakaian, dandanan dan pergaulannya. Ditambah pula dengan pelbagai adat khurafat yang diamalkan dan pembaziran yang berlaku. Lebih malang lagi ada yang langsung tidak mengendahkan waktu solat yang berlalu pergi tanpa melaksanakan kewajiban yang ditetapkan.

Sebagai pencerahan, bolehlah dirujuk kepada laman web Ibnu Fuad. Moga ada manafaatnya.
 
Walaupun terasa amat terkilan dengan agenda seumpamanya tetapi demi satu undangan kami tetap hadiri juga. Cuma, lazimnya kami akan berusaha mengelak dari terserempak dengan agenda bersanding atau waktu ketibaan pengantin. Maka kami akan datang lebih awal dan pulang awal ataupun datang sahaja di penghujung majlis - tidak dapat makan pun tidak mengapa, asalkan dapat bersua muka dengan insan yang mengundang.

Sebenarnya tiada masalah untuk mengadakan majlis kenduri perkahwinan, malah itulah yang dianjurkan oleh RasuluLlah SAW. Cuma dari segi perlaksanaannya mestilah betul dan sentiasa meletakkan keredhaan ILLAHI dan dambaan keberkatan daripadaNYA di tempat teratas.

Kami pernah beberapa kali ketemu majlis kenduri perkahwinan yang boleh menjadi model walimatul urus contoh di mana sepanjang majlis diiiringi bacaan al-Quran, zikir, nasyid dan doa. Tiada pelamin, cukup sekadar makan beradab, pergaulan terkawal dan pakaian pengantin pula sopan menutup aurat. Kedua pengantin pula sendiri yang merai setiap tamu sambil beramah mesra. Segalanya tampak simple tetapi meriah.

Justeru itu kami amat-amat berharap kepada para pembaca semua, usahlah kita mengambil mudah dalam soal hukum hakam dalam Islam. Jika kita melakukannya dalam keadaan jahil, maka ampunan ALLAH SWT kita harapkan. Namun jika dilakukan dalam keadaan sedar dan faham akan laranganNYA, maka dibimbangi kita mengundang ancaman dan bala dari ALLAH SWT kerana kita bersikap bongkak dan ego denganNYA. Siapalah kita di sisi ALLAH SWT.... NauzubILLAHi min zaalik.

Moga kita semua sentiasa dirahmati oleh ALLAH SWT dan diredhai dan diberkati sebagai hambaNYA di dunia dan di akhirat. Ameen.

Wednesday, March 6, 2013

Dari Sini Ke Sana

Sudah lebih sebulan blog ini kaku tanpa entri baru. Bermakna selama itu juga mungkin ada yang tertunggu-tunggu khabar beritanya. Itu pun jika ada yang berminat untuk mengikutinya. Dan mungkin ramai juga yang tidak kisah pun.... Apa-apa pun maaf dipinta....

Dalam jarak waktu berkenaan kami agak sibuk dengan kehidupan yang terkejar-kejar ke sana sini hinggakan masa senggang yang ada dirasakan amat singkat sekali.

Dari Kota Putra ke Serting

Di tangga Surau Al Faezin, MRSM Kota Putra
Dimaklumi, Nur Solehah baru sebulan setengah mendaftar masuk ke Tingkatan 1 di MRSM Kota Putra, Besut, Terengganu. Perhatian yang lebih perlu diberikan bagi meredakan kerinduannya terhadap keluarga (homesick) serta tekanan pengajian terutama hafazan yang amat baru baginya.

Ketika cuti panjang sempena Maulidur Rasul dan Tahun Baru Cina, kami sekeluarga pulang ke kampung halaman di Kuala Terengganu. Solehah menunggu di sana setelah dijemput oleh Ummi Na dari asrama sehari dua sebelumnya.

Selepas menghantar Solehah pulang ke asrama, kami bergegas pula pulang untuk menghantar abangnya, Izzuddin ke MRSM Serting, Negeri Sembilan pula. 

Penatnya amat terasa tetapi itulah pergorbanan dan sebagai tanda sokongan kami kepada anak-anak. Berbanyak terima kasih kepada Ummi Na dan Bakhtiar-Suraya yang banyak membantu.

Dari Ulu Kelang ke Puchong

Akhir Januari baru-baru ini kami berpindah lagi dari rumah sewa di AU5, Lembah Keramat, Kuala Lumpur ke rumah emak-abah di Ulu Kelang. Baru setahun kami mendiami rumah tersebut, tiba-tiba sahaja ianya dijual dan tuan rumah baru ingin menetap di situ.

Pandangan sisi Rumahku Syurgaku di Saujana Puchong
ketika di peringkat akhir pengubahsuaian
Ada hikmahnya.

Insya Allah selepas ini kami akan berpindah pula ke rumah kami di Saujana Puchong, Selangor. Rumah teres 2 tingkat yang dibeli lebih 10 tahun lalu kini didiami oleh adik. 

Sejak awal tahun lagi kerja-kerja pengubahsuaian giat dijalankan dan kini telah pun siap. Tidak banyak yang dilakukan, sekadar memberi keselesaan untuk didiami.

Itulah antara hikmahnya. Setelah lebih 10 tahun ditinggalkan usang, sekarang tampak lebih ceria dan berseri.

Bila akan berpindah? Bergantung kepada keadaan. Tambahan pula Hanisah bakal menduduki PMR di suku ketiga tahun ini. Mungkin ditangguhkan dahulu buat sementara waktu.

Kini ianya menjadi rumah singgahan/ rumah rehat kami di hujung minggu.

Wednesday, January 23, 2013

Salam Maulidur Rasul

Bulan Rabi'ul Awal tiba lagi. Inilah bulan kelahiran junjungan tercinta, Nabi Muhammad SAW. Berdasarkan sirah Nabawiyyah, RasuluLlah SAW telah dilahirkan pada 12 Rabi'ul Awal tahun gajah - tahun di mana tentera bergajah Abrahah telah datang menyerang Makkah demi merobohkan Kaabah. Namun kekuasaan Allah SWT mengatasi segala perancangan jahat musuh-musuhNya. Insafilah, begitu juga dengan kehidupan seharian kita, segalanya di bawah ketentuan dan kekuasaan Allah SWT. Maka selayaknya kita beriman kepadaNya.

Pada tahun 2013 Masihi ini, ulang tahun kelahiran baginda SAW jatuh pada hari Khamis, 24 Januari, 2013. Lazimnya budaya sambutan di Malaysia dilakukan dalam 3 situasi yakni perarakan, persembahan dan ceramah. Tidak kiralah samada di peringkat kebangsaan mahu pun di sekitar taman perumahan dan sekolah. Demikianlah caranya sesetengah daripada kita dalam mengingati saat-saat kelahiran RasuluLlah SAW. Moga tercapai apa yang dihajati.

Cuma apa yang ingin ditekan di sini adalah dari sudut penghayatan. 

Apakah cukup sekadar berarak ke sana sini dengan laungan selawat bergema hebat atau terhibur dengan alunan nasyid, marhaban dan berzanji? Demikian juga dengan butiran bicara yang enak mengisi halwa telinga? Bagaimana kesannya selepas itu....? Apakah rasa cinta dan sayang kepada RasuluLlah SAW bertambah mekar di jiwa dan kita sentiasa berusaha melaksanakan setiap sunnah tinggalan baginda SAW? Ataupun kehidupan seharian kita tiada bezanya... terus lalai dengan pancaroba dunia yang menggoda?

Marilah kita bermuhasabah akan diri sendiri.

Bicara seorang ahli agama amat menarik untuk direnungi. Katanya,"Jika cintakan RasuluLlah SAW, maka tunjukkanlah kecintaan itu dengan melakukan apa yang baginda SAW suka dan jauhi daripada apa yang dibencinya. Dengan kata lain melaksanakan suruhan Allah SWT dan meninggalkan laranganNya".

Sesuatu yang amat mudah untuk disebut tetapi amat sukar untuk dilaksanakan. Pesan seorang Ustaz dalam soal mengamalkan sunnah, "Buat sedikit tetapi istiqamah daripada langsung tak buat tetapi banyak berhelah".

Di samping itu, marilah kita sentiasa basahkan bibir kita dengan berselawat ke atas baginda SAW. Insya Allah, barangsiapa yang sentiasa mengingati baginda SAW, maka ia amat-amat disayangi oleh Allah SWT. Maka barangsiapa yang disayangi Allah SWT, maka akan dipertemukanNya dengan insan yang  dicintai yakni RasuluLlah SAW. Di mana lagi, jika tidak di syurga.
Moga ada manafaatnya. Ameen. 

Friday, January 18, 2013

Solehah ke MRSM Kota Putra

Tanggal 15-Jan-2013 (Selasa), dengan rasminya anak ketiga kami, Nur Solehah menjadi ahli warga MRSM Kota Putra, Besut, Terengganu. Proses pendaftaran sebagai pelajar Tingkatan 1 berjalan lancar AlhamduliLlah.

Solehah ditempatkan di Tingkat 4, Asrama Puteri Blok E. Satu-satunya asrama 4 tingkat khusus untuk semua pelajar perempuan dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5. Begitulah lazimnya, pelajar Tingkat 1 di tingkat atas, diikuti pelajar-pelajar Tingkatan 2 dan 3 di tingkat pertengahan. Manakala pelajar Tingatan 4 dan 5 di tingkat bawah. Tidak mengapalah...

Kehadiran para pelajar baru disambut mesra oleh para pelajar senior. Bermula dari ketibaan di laluan masuk maktab sehinggalah tiba di bilik asrama. Satu budaya yang amat baik bagi memberi semangat dan menanam keyakinan diri ke jiwa pelajar baru. Harap-harap demikianlah selamanya. Dengan kata lain, tiada lagi budaya mendera atau buli orang baru.

MRSM Kota Putra adalah satu-satunya MRSM daripada 49 buah MRSM di seluruh negara yang mengendalikan program berkembar 3 dalam 1 merangkumi Ulul Albab (Tahfiz)-IGCSE (Cambridge Learner)-Sains Tulen (kurikulum umum MRSM).

Satu cabaran besar buat Solehah di mana rutin hariannya agak sibuk dengan aktiviti hafazan dan pembelajaran. Yakin boleh, Insya Allah boleh. Sesungguh Allah SWT sentiasa bersama-sama dengan mereka yang sentiasa mendampingkan diri kepadaNya.

Lebih menyeronokkan lagi, Laili berkesempatan bersua muka dengan Tuan Pengetua MRSM Kota Putra, (Cikgu) Haji Abdullah Abdul Rahman. Beliau adalah guru homeroom Laili ketika bersekolah di MRSM Kota Bharu hampir 30 tahun lalu. Kini Solehah pula menjadi pelajar di sekolahnya. Bermakna 2 generasi berada di bawah seliaan Cikgu Abdullah. Dengan bangganya beliau mengumumkannya ketika sesi taklimat kepada ibu bapa dan pelajar.

Turut serta menghantar Solehah mendaftar adalah atuk dan nenek. Manakala Hanisah dan Imran tidak bersama kerana bersekolah. Izzuddin di MRSM Serting pula sibuk menyambut kedatangan adik-adik Tingkatan 1 yang juga mendaftar pada hari yang sama.

Hari Ahad sebelumnya, kami bertolak balik ke rumah keluarga di Kuala Terengganu. Kesempatan yang baik untuk beramah mesra dengan ahli keluarga di kampung. Keesokan harinya kami bertolak pula ke Besut, menginap di Demong Beach Resort yang terletak tidak jauh daripada MRSM Kota Putra. Inilah juga resort yang kami singgahi kira-kira sebulan lalu ketika menghantar Solehah menghadiri sesi ujian dan temuduga kemasukan ke MRSM.

Kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur sekitar jam 3:00 petang setelah selesai menjamu selera di pekan Kuala Besut dan menghantar Solehah kembali ke asrama.

Terasa sayu di hati untuk meninggalkan Solehah di perantauan, jauh dari pandangan mata. Moga Solehah dikurniakan kekuatan untuk menghadapi setiap dugaan dan cabaran, lebih-lebih lagi menghadapi situasi homesick (rindu keluarga) yang sering dirasai oleh hampir setiap insan yang berpisah jauh dari ibu ayah dan adik beradik.

Jarak Kuala Lumpur-Kota Putra sekitar 500km. Satu jarak yang agak jauh, memakan masa perjalanan hampir 8 jam samada melalui Kuala Krai-Kuala Lipis ataupun LPT-Besut. Untuk kerap berkunjung menjenguk Solehah di Kota Putra adalah sesuatu yang mustahil. Namun sekali setiap bulan setiap pelajar diwajibkan balik bergantung kepada jadual yang telah ditetapkan oleh pihak maktab. 

AlhamduliLlah, kami mempunyai keluarga di Kuala Terengganu dan adik di Kota Bharu. Kepada mereka kami titipkan harapan untuk tolong tengok-tengok kiranya bantuan diperlukan. Itulah juga dipesankan kepada Solehah agar berhubung terus dengan emak dan bapa saudaranya di sana.

Moga segalanya dipermudahkan oleh Allah SWT. Ameen.

Thursday, January 10, 2013

Antara Imtiaz dan MRSM

Tahun ini Nur Solehah mula melangkahkan kaki ke sekolah menengah. Namun sejak sekolah dibuka seminggu yang lalu, Solehah masih di rumah. Bukan ada sebarang masalah tetapi menunggu hari pendaftaran sekolah berasrama penuh pada awal minggu hadapan. Tahniah Solehah, itulah yang diimpikannya.

Dua minggu yang lalu, Solehah telah mendapat tawaran bersekolah di Sekolah Imtiaz Kemaman - salah satu kelompok sekolah terpilih kendalian Yayasan Terengganu yang berkonsep Ulul Albab (Hafazan Quran). Sesi temuduga dan ujian kemasukan telah dihadirinya pada 12 Dis 2012 lalu bertempat di Imtiaz Kuala Terengganu.

Kami merasa amat bersyukur kepada Allah SWT atas apa yang diperolehi oleh Solehah. Satu peluang yang tidak sewajarnya dilepaskan. Namun pada masa yang sama kami tertanya-tanya akan tawaran daripada MRSM. Masih adakah peluang untuknya?

Sebenarnya, sehari sebelum ditemuduga di Imtiaz, Solehah telah menduduki sesi ujian kemasukan bertempat di MRSM Kota Putra, Besut. Di MRSM terdapat beberapa program pengajian yang berbeza mengikut MRSM seperti Ulul Albab + IGCSE (Bahasa Inggeris), Ulul Albab sahaja, IGCSE sahaja dan Umum. Pilihan Solehah adalah Ulul Albab + IGCSE yang hanya terdapat di MRSM Kota Putra. 

Penantian kami akhirnya sampai ke penghujung. Dua hari lepas kami menerima SMS memaklumkan bahawa Solehah berjaya mendapat tempat di MRSM Kota Putra. AlhamduliLlah. Kami memberi kebebasan kepada Solehah untuk memilih antara Imtiaz ataupun MRSM - kedua-duanya baik dan kedua-duanya di Terengganu. Cabarannya lebih kurang sama, apatah lagi pengalaman pertama baginya berjauhan daripada keluarga.

Fikiran Solehah buntu dan akhirnya diputuskan secara bersama, MRSM rasanya lebih sesuai untuknya. Mungkin juga kesan aura ibunya, bekas pelajar MRSM Kota Bharu dan juga abangnya, Izzuddin yang kini di Tingkatan 5 di MRSM Serting, Negeri Sembilan.

TAHNIAH Solehah. Moga terus maju jaya dan cemerlang hidup di dunia dan di akhirat. Moga dikurniakan kekuatan oleh Allah SWT untuk menghadapi setiap cabaran dalam kehidupan. Ameen.

Tuesday, January 8, 2013

Muhasabah Tahun Baru

Tahun baru Masihi 2013 telah pun seminggu berlalu. Aura tahun baru masih dirasai. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang terlibat secara langsung dengan kehadirannya. 

Pendek Umur

Setiap kali tibanya tahun baru, fenomena sambutannya tampak begitu meriah sekali. Hampir semuanya berseronok menyambut kehadiran tahun baru. Sebahagiannya bagaikan tidak ingat dunia lagaknya. 

Apabila direnungkan, terasa pelik pula. Apa ke tidaknya. Hadirnya tahun baru menandakan bertambah setahun lagi usia kita, hakikatnya usia kita semakin pendek. Bermakna saat kematian semakin hampir. 

Apakah mereka merasa amat seronok dan gembira kerana usia mereka semakin pendek? Ataupun seronok menyambut kedatangan malaikat maut yang semakin dekat saatnya?

SubhanaLlah, sedangkan para malaikat merasa amat gerun apabila malaikat maut mendatangi mereka.


Azam Bertangguh

Bagi yang berazam baru pula, pasti ramai yang masih bersemangat mengubah diri bagi menggapai apa yang diidamkan. 

Malah tidak sedikit yang telah pun kecundang dek semangat diri yang 'melayu' sebelum sempat berdikari. Itulah akibatnya jika berazam mengikut musim - maka jadilah azamnya hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam.

Pesan seorang ustaz ketika berkuliah Subuh, "Jika berazam atau bertekad ingin menjadi lebih baik daripada sebelumnya, usahlah bertangguh, segeralah laksanakan. Maksudnya, jangan ditetapkan masa, hari mahu pun tahun untuk berubah, dibimbangi hajatnya tidak kesampaian. Apatah lagi melibatkan pengabdian diri kepada Allah SWT. Ingatlah, setiap detik usia kita semakin pendek dan kita tidak tahu bila akan dipanggil pulang kehadrat Illahi".

Moga ada manafaat bersama.

Saturday, December 1, 2012

Petik Buah

Nostalgia Luar Negara

Cherry Haven @ Silvan - petik dan makan
Sekarang adalah musim panas di bahagian selatan benua Australia.

Salah satu aktiviti di musim panas yang popular adalah berkunjung ke ladang-ladang atau kebun-kebun buah-buahan untuk memetik buah. Bayaran masuknya sekitar AUD 5.00 dan makanlah sepuas-puasnya. Apa yang dibawa pulang itu yang dikenakan bayaran. Lazimnya buah ceri, strawberi dan epal menjadi tumpuan utama. 

Bagi kami sekeluarga, buah ceri adalah pilihan kami. Pepohonannya rendah sahaja tetapi rendang. Buah-buahnya berjuntaian di tangkai. Petik dan makan. Akan tetapi ada pantang larang ketika memetik - pastikan buahnya sahaja diambil tanpa merosakkan tampuk tangkai utamanya. Jika tidak anda boleh dihalau keluar dari ladang kerana dianggap sebagai 'anasir perosak'.

Realiti di Tanah Air

Sebahagian buah tangan yang dibawa pulang
Kini di tanah air kita pun musim buah-buahan.

Baru-baru ini, dalam perjalanan pulang ke Kg. Bukit Bangkong, kami menyinggah di rumah kakak ipar emak, Wak Tina (Suratina) di BB Salak. Di sebelah rumah Wak Tina adalah iparnya yang juga anak saudara abah, Abang Ari (Zahari). Di bahagian belakang rumah mereka adalah dusun buah-buahan. Buah-buahnya pula sedang masak mekar menunggu untuk dipetik.

Agaknya inilah dikatakan 'saudara buah' - musim buah baru nak bertandang. Dapatlah kami merasa makan pelbagai buah secara percuma.  Rambutan, manggis, durian, pisang, dokong, betik dan kelapa muda antara yang dihadiahkan mereka. Penuh bonet 2 buah kereta dibuatnya. Terima kasih Wak. Terima kasih Abang Ari. Moga kalian dimurahkan rezeki dan dirahmati Illahi. Ameen.

Menjolok manggis di hujung dahan
Di samping itu, ianya pengalaman menarik dan amat berharga kepada anak-anak kerana dapat merasa suasana dusun dan memetik sendiri buah-buahan. Ada yang boleh digetus terus dari tangkai, ada yang perlu dikait/jolok, ada yang dahannya perlu dicantas, ada masanya perlu dipanjat dan ada juga cukup sekadar menunggu gugurnya ke tanah. Walaupun 'berperang' dengan nyamuk yang dahagakan 'darah manis orang bandar', namun berbaloi dengan apa yang diperolehi - buah tangan dan pengalaman.

Di sebaliknya, umumnya didapati anak-anak zaman sekarang kurang menyukai makan buah-buahan, lebih-lebih lagi buahan tempatan. Jika tidak orang lain pun, anak-anak kami sendiri. Durian, manggis dan rambutan yang dibawa pulang hanya kami berdua sahaja yang makan dengan 'penuh perasaan', anak-anak hanya buat tak kisah sahaja.

Moga-moga ianya tidak berkekalan. Bukannya apa, silap-silap generasi mendatang tidak kenal lagi buahan eksotik negara seperti mana ada orang-orang sekarang yang tidak kenal lagi rupa pokoknya.

Sekali lagi -  Terima kasih Wak Tina. Terima kasih Abang Ari. Insya Allah lain kali kami datang lagi... (tak tahu malu punya saudara... :)