Thursday, March 14, 2013

Bersanding Ke?

Berdasarkan hukum agama, memenuhi undangan walimatul urus adalah wajib. Malah lebih diutamakan daripada undangan selain daripadanya. Begitulah bagai yang disyarahkan oleh para asatizah. Justeru itu apabila mendapat undangan seumpamanya, Insya Allah kami akan berusaha menghadirinya kecuali ada keuzuran yang tidak dapat dielakkan.

Setiap kali menatap kad undangan membuatkan hati kami teruja untuk turut sama memeriahkannya. Secara spontan mata akan melirik kepada agenda yang tertulis.

"Ada bersanding tak?". Itulah antara pertanyaan awal yang sering dilontarkan.

"Emm, macam biasalah".

Jawaban ringkas merujuk kepada adanya agenda bersanding, seolah-olah agenda wajib dalam majlis kenduri perkahwinan. Adakalanya hanya dinyatakan Ketibaan Pengantin sahaja. Walaupun tidak dinyatakan agendanya secara jelas,  kelazimannya disertakan sama pelamin untuk pengantin.

Inilah yang membuatkan kami sering merasa tidak selesa untuk bertandang ke majlis-majlis berkenaan. Terguris rasa di hati, apatah lagi melibatkan saudara mara dan rakan taulan sendiri. Berlebihan lagi jika mereka ini di kalangan yang faham agama tetapi kecundang kepada muslihat syaitan. Bunyinya agak kasar tetapi itulah hakikatnya.

Apabila diungkitkan, bermacam helah diutarakan. "Tak mengapalah, sekali sahaja seumur hidup" atau pun "Anak-anak yang beria-ia sangat, kesian kat dia orang".
Persoalannya di sini, apakah hukumnya bersanding dalam Islam? Dari pemahaman kami setelah dirujuk kepada yang arif agama, bersepakat mereka mengatakan hukum bersanding adalah haram. Jika dibolehkan pun hanya di kalangan ahli keluarga terdekat yang diadakan secara tertutup. Itupun perlu mengikut ketetapan hukum-hakam dan adab-adab dalam Islam.

Walaupun ada pandangan yang membolehkan, kononnya bagi mewar-warkan pasangan pengantin tetapi kaedah yang dilakukan kini amat tidak bertepatan dengan Islam. Lihat sahaja dengan cara berpakaian, dandanan dan pergaulannya. Ditambah pula dengan pelbagai adat khurafat yang diamalkan dan pembaziran yang berlaku. Lebih malang lagi ada yang langsung tidak mengendahkan waktu solat yang berlalu pergi tanpa melaksanakan kewajiban yang ditetapkan.

Sebagai pencerahan, bolehlah dirujuk kepada laman web Ibnu Fuad. Moga ada manafaatnya.
 
Walaupun terasa amat terkilan dengan agenda seumpamanya tetapi demi satu undangan kami tetap hadiri juga. Cuma, lazimnya kami akan berusaha mengelak dari terserempak dengan agenda bersanding atau waktu ketibaan pengantin. Maka kami akan datang lebih awal dan pulang awal ataupun datang sahaja di penghujung majlis - tidak dapat makan pun tidak mengapa, asalkan dapat bersua muka dengan insan yang mengundang.

Sebenarnya tiada masalah untuk mengadakan majlis kenduri perkahwinan, malah itulah yang dianjurkan oleh RasuluLlah SAW. Cuma dari segi perlaksanaannya mestilah betul dan sentiasa meletakkan keredhaan ILLAHI dan dambaan keberkatan daripadaNYA di tempat teratas.

Kami pernah beberapa kali ketemu majlis kenduri perkahwinan yang boleh menjadi model walimatul urus contoh di mana sepanjang majlis diiiringi bacaan al-Quran, zikir, nasyid dan doa. Tiada pelamin, cukup sekadar makan beradab, pergaulan terkawal dan pakaian pengantin pula sopan menutup aurat. Kedua pengantin pula sendiri yang merai setiap tamu sambil beramah mesra. Segalanya tampak simple tetapi meriah.

Justeru itu kami amat-amat berharap kepada para pembaca semua, usahlah kita mengambil mudah dalam soal hukum hakam dalam Islam. Jika kita melakukannya dalam keadaan jahil, maka ampunan ALLAH SWT kita harapkan. Namun jika dilakukan dalam keadaan sedar dan faham akan laranganNYA, maka dibimbangi kita mengundang ancaman dan bala dari ALLAH SWT kerana kita bersikap bongkak dan ego denganNYA. Siapalah kita di sisi ALLAH SWT.... NauzubILLAHi min zaalik.

Moga kita semua sentiasa dirahmati oleh ALLAH SWT dan diredhai dan diberkati sebagai hambaNYA di dunia dan di akhirat. Ameen.

No comments: