Tuesday, December 21, 2010

NZ 01 : Melbourne - Queenstown

Menaiki JetStar, kami berlepas dari Melbourne Airport pada pagi Khamis, 16/12/2010 sekitar jam 9:45 pagi, tertangguh hampir sejam dari jadual asal. AlhamduliLlah, penerbangan selama 3 jam bergerak lancar dan mendarat dengan selamatnya di Queenstown Airport, South Island. Tidak disangka-sangka, ketibaan JetStar disambut dengan pancutan air, simbolik menggantikan bunga manggar. Rupa-rupanya ia adalah pendaratan pertama JetStar di Queenstown Airport.

Pemandangan dari Abba Garden Motel

Untuk makluman, perbezaan waktu di New Zealand di ketika Daylight Saving Time ini adalah 2 jam di hadapan Melbourne (5 jam di hadapan Malaysia). Waktu siang di Queenstown kini lebih panjang dari malam. Matahari terbit kira-kira jam 5:30 pagi dan terbenam sekitar jam 9:30 malam. Ini menjadikan waktu Isyaknya agak lewat, menghampiri jam 12:00 tengah malam. Syukurlah kami ini bermusafir, dapatlah kami solat jamak taqdim Maghrib dan Isyak sebelum masuk tidur untuk bangun awal di keesokan harinya. Setinggi-tinggi pujian untuk Allah SWT.

Dari Queenstown Airport, menaiki kereta sewa, Toyota Previa (seumpama Tarago/Estima) kami menyusuri Lake Wakatipu yang amat cantik pemandangannya. Tasik sepanjang 80 km ini adalah tasik terpanjang di dunia. Airnya tenang sekali, jelas kelihatan bayangan gugusan gunung batu yang melatarinya. Fakta menarik, pasang surut air di tasik ini sebanyak 12 cm (5") berlaku setiap 5 minit sekali.

Mengikut lagenda Maori, etnik asli bumi kiwi; tasik berbentuk huruf 'S' terbentuk setelah gergasi jahat, Matau dibakar ketika tidur mengiring. Kesannya, salji di pergunungan telah mencair menghasilkan tasik ini.

Lake Wakatipu

Dari pemerhatian kami, bahasa Maori masih lagi dikekalkan terutama pada nama tempat, samada berdiri sendiri atau pun disekalikan dengan nama baru. Adakala sebutannya agak melucukan, apatah lagi jika mengikut sebutan Melayu. Lake Wakatipu adalah salah satu daripadanya.

Melewati tengah Bandar Queenstown, kami terus menuju ke Abba Garden Motel yang diinapi selama 3 hari 2 malam. Motel 2 bilik yang simple tetapi selesa yang turut dilengkapi dapur untuk memasak.

Fresh Choice Supermarket pula terletak berdekatan dengan motel. Di sinilah kami berbelanja barangan dapur dan di sini jugalah kami tersua dengan Linda, pekerja supermarket rakyat Malaysia yang beria-ia menolong kami memilih ayam halal cap Brinks.

Hari pertama di Queenstown, kami tidak ke mana-mana. Hanya berada di motel, melepaskan kepenatan selama berhari-hari mengemas dan membersihkan rumah sewa di Dandenong sebelum menamatkan sewaannya, sehari sebelum berlepas ke New Zealand.

Salam New Zealand

New Zealand terletak di selatan Australia, terdiri daripada 2 pulau utama iaitu South Island dan North Island.

Menurut rakan-rakan yang pernah berkunjung ke sana dan pemerhatian kami melalui media massa, dikhabarkan New Zealand adalah antara negara yang tercantik di dunia. Impian kami, sebelum menamatkan perantauan kami di bumi kangaroo, Australia; moga kami berpeluang mengunjungi bumi kiwi ini.

AlhamduliLlah, ianya menjadi kenyataan. Kini kami sedang berada di New Zealand. Hari ini adalah hari ke-6 dan sekarang kami di Dunedin, salah sebuah bandar di timur Southland, South Island.

Mengikut perancangan, penerokaan kami di bumi New Zealand telah pun bermula di Queenstown yang terletak di selatan South Island dan Insya Allah akan berakhir di Auckland, North Island. Perjalanan selama 16 hari, dari 16/12/2010 hingga 01/01/2011 di mana kami akan kembali ke Melbourne.

Dikesempatan yang ada, Insya Allah alkisah perjalanan kami ini akan dikemaskini secara beransur-ansur, bergantung kepada kemudahan internet yang disediakan.

Moga segalanya dipermudahkan oleh Allah SWT. Ameen.

Monday, December 13, 2010

Penghantaran Barangan

Minggu lalu amat memenatkan. Badan terasa sakit-sakit dan adakala amat lesu sekali. Tidur pun tidak menentu.

Suasana di dalam rumah ibarat tongkang pecah. Barang-barang bersepahan di merata tempat. Di bilik tidur, di laluan tengah rumah, di dapur apatah lagi di ruang tamu. Kotak-kotak menimbun di merata penjuru. Ada yang siap terisi dan ada yang terlompong menunggu diisi. Bunyi kotak diselotep tanpa henti seolah-olah satu irama tersendiri.

Demikianlah keadaannya dalam usaha menyiapkan pengkotakan (ada ke istilah ni) barangan yang ingin dibawa pulang ke tanah air.

Untuk tujuan penghantaran barangan ini, kami menempah sebuah kontena dengan dikongsi bersama 5 orang lagi rakan. Perkhidmatan dari pintu ke pintu (door to door) menjadi pilihan bersama bagi memudahkan urusan dan menjimatkan masa.

Rumah kami menjadi lokasi pengumpulan dan kutipan. Bayangkanlah barangan untuk sebuah kontena berukuran 20 kaki dilonggokkan di ruang tamu rumah kami. Kata Imran, "ini bukan lagi living room tetapi box room".

Pada pagi Jumaat, lori pengangkut memulakan operasi. Dengan dibantu oleh beberapa orang rakan sekampung, Kg Dandy; tidak sampai pun 1 ½ jam, semuanya selesai. AlhamduliLlah, setiap barangan dapat dimasukkan. Bimbang juga kot-kot terpaksa dibuat kutipan susulan. Berbanyak terima kasih pada semua.

Melihat semua barang telah pun dinaikkan ke lori, terasa lega di hati. Hilang rasa penat selama berhari-hari mengerjakannya. Namun kebah penat hanya seketika, kini kami berhempas pulas pula mengemas dan membersihkan rumah sebelum menyerahkannya kepada empunya rumah, Tas & Kristy pada hari Rabu ini, 15/12/2010.

Difahamkan perjalanan kapal ke Port Klang mengambil masa antara 3-4 minggu untuk tiba di destinasinya. Itupun bergantung kepada jadual perjalanannya. Insya Allah kami akan bertolak pulang ke tanah air pada 11/01/2011 nanti. Harapan kami, moga kami sampai lebih dahulu. Rumah di Hulu Klang perlu disiapkan kerana ianya bakal menjadi pusat punggahan kesemua barangan tersebut.

Moga segalanya berjalan lancar dan dipermudahkan olehNya. Ameen.

Saturday, December 11, 2010

1st Dan Tae Kwon Do

Izzuddin telah menyertai Tae Kwon Do sejak bersekolah di Malaysia lagi. Setibanya di Melbourne hampir 3 ½ tahun lalu, Iddin menyertai kelab OTC (Olympic Tae Kwon Do Club) cabang Dandenong di bawah kendalian Master Mohameddi. Di bawah asuhan dan disiplin yang diterapkan, Iddin akhirnya berjaya memperolehi tali pinggang hitam kira-kira 6 bulan lalu, mengakhiri koleksi tali pinggang berwarna (putih, kuning, biru, merah & hitam).

Di dalam TKD, tali pinggang hitam bukannya tahap tertinggi dan penamat, sebaliknya sebagai tanda berjaya mengharungi rintangan dan tekanan asas dalam menuntut ilmu bela diri. Dengan kata lain, ianya permulaan kepada perjuangan yang lebih besar. Kekuatan dalaman dan disiplin diri memainkan peranan yang penting.

Pada petang Khamis yang lalu (9/12/2010), bertempat di Menzies Community Hall, Iddin telah menjalani ujian kenaikan tali pinggang hitam, 1st Dan – tahap pertama dalam kategori Black Belt. Bersamanya adalah Izzati Wafir yang turut menjalani ujian yang sama. Hanya mereka berdua sahaja walaupun terdapat beberapa rakan seperguruan berada di tahap yang sama.

Tekanan ketika ujian amat berbeza sekali berbanding dengan siri-siri ujian sebelum ini. Beberapa peringkat ujian berlainan perlu dilalui dengan teknik dan kepakaran yang mantap berserta kawalan emosi yang bijak. AlhamduliLlah, segalanya dapat dilaluinya dengan baik dan memuaskan.

TAHNIAH Izzuddin. TAHNIAH Izzati. Nama mereka tertera pada tali pinggang hitam yang diperolehi dengan satu calit, tanda 1st Dan. Bagi Izzuddin, kejayaan ini juga sebagai hadiah ulang tahun kelahirannya yang ke-14 pada keesokan harinya (10/12/2010).

Kini kami sedang menunggu sijil perakuan yang bakal dikeluarkan oleh WTF (World Tae Kwon Do Federation) Australia. Dan yang paling ditunggu-tunggu adalah kad perakuan / keahlian yang akan dikeluarkan oleh WTF Korea. Dengan kad ini memudahkan Izzuddin menyambung sesi latihannya ketika pulang ke tanah air nanti.

Happy Belated Birthday Iddin

Tanggal 10-Disember-2010 adalah ulangtahun kelahiran anak sulung kami, Muhammad Izzuddin yang ke- 14. Happy Belated Birthday Iddin.

Usia 14 tahun adalah usia remaja yang penuh ranjau dan pancaroba. Persekitaran moden yang dilatari pelbagai warna kehidupan menuntut penghakiman akal yang bijaksana dan saksama. Kiranya tersilap pertimbangan, natijahnya amat mengesankan.

Justeru itu nilai iman amat penting sebagai landasan pemutus dalam membuat keputusan. Insya Allah selamat di dunia dan di akhirat. Itulah harapan kami sebagai ibu dan ayah serta pedoman bagi adik-adik yang juga sedang menginjak usia mereka.

Sememangnya tidak menjadi amalan kami untuk mengadakan majlis sambutan. Jika ada pun hanya secara kecil-kecilan bersama ahli keluarga mahupun rakan-rakan sebaya. Itupun bergantung kepada keadaan. Bagi anak-anak, mereka amat memahaminya.

Cukuplah dengan sekeping kad ucapan dengan coretan yang disaluti harapan, impian dan doa dari setiap ahli keluarga. Moga-moga kita berbahagia selamanya.

Untuk anak-anak, biasanya ada hadiah untuk mereka. Mahal atau murah adalah subjektif. Bergantung kepada sejauh mana keperluan dan faedahnya. Bagi Iddin yang amat meminati sukan bolasepak, hadiahnya kali ini amat bermakna sekali untuknya. Impiannya yang sekian lama terpendam terkabul sudah. Kasut bola kini menjadi miliknya. Terbayang keseronokan pada wajahnya.

Kami sentiasa mengingatkan anak-anak, "Setiap kegembiraan dan keseronokan sebenarnya satu anugerah dan rahmat dari Allah SWT. Sewajarnyalah kita mengsyukurinya dengan lebih mendekatkan diri kepadaNya. Jadilah anak-anak yang soleh dan solehah".

Moga harapan menjadi kenyataan. Ameen.

Monday, December 6, 2010

Majlis Perpisahan

Semalam, bertempat di Telford Picnic Area, Braeside Park yang terletak bersebelahan Lower Dandenong Rd telah diadakan Majlis Suai Kenal dan Perpisahan, khusus untuk warga South Eastern Families Community (SEFC).

Di setiap majlis sebelum ini, kami selalunya menjadi antara penggeraknya, namun kali ini kami sekeluarga antara yang diraikan. Dengan kata lain sebagai tetamu jemputan di kalangan keluarga yang akan berangkat pulang ke tanah air dalam masa terdekat ini. Insya Allah, kami dijadualkan meninggalkan bumi Melbourne/ Australia pada awal tahun hadapan.

Persekitaran Telford Picnic Area dirasakan damai sekali, terlindung dari kesibukan jalan dan bandar di sekelilingnya. Para pengunjung mulai memenuhi setiap penjuru kawasan seawal pagi lagi. Berkelompok di sana-sini, di mana –mana tempat yang teduh. Pepohonannya menghijau melatari hampir keseluruhan kawasan. Tiupan angin yang lembut terasa begitu nyaman.

Keadaan cuaca sedikit panas, suhunya melebihi 30 darjah Celcius. Mungkin kerana itulah masing-masing keluar mencari tempat yang redup dan berangin.

Lokasi pilihan penganjur amat strategik. Bangku kayu dipenuhi pelbagai juadah. BBQ bersebelahannya pula berkepulan asap dengan lamb chop dan ayam mencetuskan aroma yang membangkitkan selera. Itulah antara hidangan istimewa untuk semua.

Majlis bermula dengan tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Ustaz Zamri dari Kg VicNorth. Intipatinya berkisar peri pentingnya memupuk dan meneguhkan ukhwah Islamiah yang sedia terjalin di perantauan, berterusan selamanya. Banyak manafaatnya sebagai bekalan ke dunia nan kekal abadi nanti.

Seterusnya dijemput setiap keluarga yang bakal pulang ke tanah air menyampaikan sepatah dua kata salam perpisahan. Bila disebut dan dihitung, rupa-rupanya ramai yang akan pulang, lebih 10 keluarga; antaranya keluarga kami, Lajiman, Hilmi, Azrin, Dr. Norhana, Dr. Salmah, Dr. Radziah dan Dr. Harlina. Itupun tidak semua yang dapat hadir kerana mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan.

Bagi yang baru datang belajar ke Melbourne, khususnya tinggal di dalam lingkungan SEFC pula hanya dua tiga keluarga sahaja. Sememangnya itulah realitinya kini. Difahamkan, penghantaran pelajar ke Australia telah dikurangkan dan tumpuannya kini ke negara-negara Asia dan juga Eropah.

Selepas solat Zohor berjemaah, para hadirin beransur-ansur meninggalkan Telford Picnic Area.

Kepada pihak penganjur dan warga SEFC, berbanyak-banyak terima kasih kerana mengadakan majlis untuk kami. Bagai yang dilafazkan dalam sesi ucapan, kami sekeluarga memohon ampun maaf kiranya ada salah dan silap, halalkan makan dan minum dan jika berhutang, sila tuntut untuk kami langsaikan sebelum dipersoalkan di akhirat kelak.

Juga, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala-galanya yang tidak terungkap oleh kami. Sesungguhnya perkenalan, persahabatan dan persaudaraan yang terjalin amat besar nilainya, moga segalanya diredhai oleh Allah SWT. Ameen.

Moga dipanjangkan usia dan dipermudahkan segala urusan kita, di dunia dan di akhirat. Jumpa lagi.

Friday, December 3, 2010

Musim Buah

Setiap buah-buahan mempunyai musimnya yang tersendiri. Ada yang berbuah sepanjang tahun dan ada yang berbuah hanya sekali-dua dalam setahun. Tidak kira di pelusuk bumi mana pokoknya tumbuh. Segalanya telah ditetapkan oleh Allah SWT sejak azali lagi dengan hikmah dan rahmat yang hanya Dia Yang Maha Mengetahui. Sebagai hambaNya, sewajarnya kita sentiasa bersyukur atas kurniaanNya.

Mengakhiri musim bunga, menjelma pula musim panas menyaksikan beberapa buahan tempatan Australia mula mendominasi pasaran. Buahan berbiji keras (dipanggil Stone Fruits) 4 serangkai; nectarine, peach, apricot dan plum adalah antara yang banyak dijual. Kami sekeluarga kurang menggemarinya kerana rasanya tidak kena dengan selera khatulistiwa.

Di samping itu, buah ceri, antara buah yang kami sukai telah pun bermula musimnya. Harga di pasaran kini antaranya AUD 6 – AUD 13 sekilogram, bergantung kepada jenis dan kualitinya.

Bagi yang ingin merasai sendiri pengalaman memetik ceri di pokok, beberapa ladang ceri di sekitar Melbourne telah pun dibuka. Cherry Haven di Wandin, Blue Hill di Olinda dan Red Hill di Mornington Peninsula adalah antara ladang ceri yang mulai dikunjungi ramai.

Musim memetik ceri tidak lama, kira-kira sebulan sahaja dan akan berakhir di pertengahan Januari setiap tahun. Menariknya tentang memetik ceri ini adalah para pengunjung boleh memakan sebanyak mungkin tanpa bayaran tambahan, cuma yang dibawa keluar sahaja perlu dibayar.

Hampir setiap tahun kami mengunjunginya. Untuk tahun ini belum pasti lagi...

Buah mangga juga kini sedang rancak dijual. Ianya telah bermula sejak 2 bulan lalu, ketika navel orange telah pun tiba di penghujung musim. Di saat lambakan mangga melimpah di pasaran, harganya jatuh sehingga AUD 3/kotak. Di sepanjang musim mangga, sempatlah kami memakan sepuas-puasnya.

Pada ketika yang sama, buah loquat di belakang rumah sewa kami juga meranum masaknya. Walaupun buahnya tidaklah sebanyak tahun lepas tetapi cukup untuk kami berkongsi makan bersama-sama rakan-rakan yang berdekatan. Juga turut sama dirasai oleh emak-abah serta keluarga Eusni Rahayu dari Sydney yang berkunjung ke rumah kami pada akhir bulan lepas.

Dalam kemewahan pelbagai jenis buahan, rindu kami pada buahan tempatan di Malaysia tidak kunjung padam. Durian, rambutan, manggis dan nangka amat mudah ditemui di Australia tetapi harganya amat mahal. Tidak mengapalah... tidak lama kami akan pulang ke tanah air. Insya Allah di saat itu dapatlah kami memakan semahunya...8)