Showing posts with label dunia buku. Show all posts
Showing posts with label dunia buku. Show all posts

Friday, December 21, 2018

Aku, Kau dan ... (Buku)

Cuti sekolah akhir tahun... berkunjung ke kedai buku dan pesta buku adalah antara aktiviti yang menjadi keutamaan kami sekeluarga terutama bagi si bongsu, Imran.

Negara Buku MEGA @ Karangkraf, Shah Alam

Diuar-uarkan sebagai Pesta Buku Bahasa Melayu Terbesar di Malaysia. Berlangsung selama 60 jam tanpa henti, bermula jam 9:00 pagi Jumaat, 23-Nov hingga jam 9:00 malam Isnin (Ahad malam) 25-Nov. Harga yang ditawarkan juga amat menarik... hanya RM10 sahaja... Wow...! kalau dapat buku asalnya mahal pasti berbaloi...!

Berdua dengan Imran, kami berkunjung pada hari akhir. Melewati waktu syuruk, kami telah pun sampai di Karangkraf. Kami menjangkakan banyak ruang pameran yang perlu disinggahi. Rupa-rupanya hanya 2 buah dewan kecil sahaja. Bukunya juga tidaklah banyak... semuanya buku-buku lama. Tidak mengapalah...

Imran amat meminati buku travelog, maka itulah pencariannya. AlhamduliLLAH,  dapatlah 6 buah travelog. Tidak sampai seminggu, semuanya dah khatam.

PTS Book Cafe @ Dolomite Business Park, Batu Caves

Komik-M Pilihan Imran
Kedai buku yang tidak pernah ketinggalan untuk dikunjungi. Pencarian kami lazimnya buku-buku komik bagi melengkapi koleksi Komik-M sedia ada, terutama yang dikeluarkan secara bersiri.

Berpandukan carian di portal PTS, kami selusuri pula di Book Cafe... lebih menjimatkan masa.

Boleh sahaja ditempah secara online tetapi kami lebih suka untuk mengambilnya terus dari rak. Imran akan membelek dahulu setiap komik bagi memastikan bukannya kompilasi karya terdahulu atau pun sekadar berubah tajuk dan lakaran muka hadapan sebab hampir semuanya telah pun ada dalam koleksi kami.

AlhamdulILLAH... dapatlah 6 buah Komik-M yang baru. Itupun sekejap sahaja dah habis dibaca dari kulit ke kulit (hadapan - belakang).

Berlima... Tenggelam Dalam Kesamaran...
The Big Bad Wolf @ MIECC

Pesta Jualan Buku Terbesar di Malaysia yang menawarkan potongan harga buku dari 75% hingga 95%. Bolehlah dianggap sebagai penutup pesta buku tahunan di Malaysia. Ianya dibuka 24 jam sehari semalam. Datanglah mana-mana masa yang terluang.

Untuk tahun ini, ianya diadakan daripada 07-Disember hingga 17-Disember-2018.

Saban tahun kami tidak pernah tidak datang. Disebabkan kesuntukan masa, kami pernah menerjah pada jam 3:00 pagi. Namun pilihan kami biasanya bertolak dari rumah seusai solat Subuh pada hujung minggu. Begitu juga pada tahun ini.


Imran Ralit Mencari Apa Yang Dicari
Dewan pamerannya melaut luas dengan lebih 4 juta buku dilonggokan. Tambahan pula harganya amat murah sekali. Bagi penggemar buku, pasti kelabu mata dibuatnya.

Dahulu kami pun begitu tetapi sekarang tidak lagi. Masing-masing ada genre bacaan tertentu yang dicari. Namun begitu, kali ini mencecah juga RM 200 dibuatnya.

Umumnya, buku-bukunya adalah buku lama dan kebanyakannya dalam bahasa Inggeris. Untuk tahun ini, buku-buku bahasa Melayu makin bertambah banyak dengan penyertaan lebih banyak penerbit.

Baguslah... sekaligus dapat menarik lebih ramai penggemar buku-buku bahasa Melayu. Sama-sama beruntung... penganjur-penerbit-pembaca.

Tuesday, December 19, 2017

The Big Bad Wolf 2017

The Big Bad Wolf Book Fair yang diadakan setiap akhir tahun mulai tahun 2009 adalah antara pesta buku tahunan terbesar dan paling tersohor di Malaysia di samping Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Untuk tahun 2017, The Big Bad Wolf Book Fair ini telah berlangsung selama 11 hari iaitu dari 8 Disember sehingga 18 Disember yang lalu. Sebanyak 4.5 juta buku disediakan dengan majoritinya dalam Bahasa Inggeris dari para penerbit luar negara. Terdapat juga pertambahan buku dalam Bahasa Melayu dan juga Bahasa Mandarin.

Teruja di celah timbunan buku
Sejak kembali dari kelana di Australia pada awal tahun 2011, sehingga kini kami tidak pernah ketinggalan untuk mengunjunginya. Dengan longgokan jutaan buku dari pelbagai genre, ditambah pula dengan tawaran harga yang mengiurkan... pasti sekali meruntun nafsu para peminat buku untuk memiliki setiap buku yang menarik hati. Tidak sedar telah pun penuh troli yang disorong.

Saban tahun lokasi pesta buku ini masih tetap di lokasi yang sama iaitu di MIECC, The Mines, Seri Kembangan, Selangor. Menariknya ianya dibuka 24 jam sehari semalam, bermula pada pagi hari pertama sehinggalah ke tengah malam hari terakhir. Terserah kepada para pengunjung untuk memilih masa kunjungan yang sesuai.

Pengalaman kami sekeluarga, kami pernah menerjah pesta buku ini seawal jam 2:00 pagi dan tiba di rumah sebelum masuk waktu Subuh. Adakalanya kami pergi selepas solat Subuh. Untuk tahun ini, kami pergi ke MIECC pada petang Ahad, 10/12/2017. Itulah sahaja yang kesempatan masa yang ada tetapi cuma bertiga sahaja iaitu bersama Solehah dan Imran. Ibunya berserta Hanisah ada urusan yang perlu diutamakan.

Buku Pilihan kami kali ini
Petang tersebut  hujannya agak lebat dan sekitar MIECC sesak dengan kenderaan, namun segalanya dipermudahkan ALLAH SWT. AlhamdulILLAH.

Untuk memilih buku yang diingini, cukuplah membelek helaian muka surat sekadarnya sahaja. Tidak perlu membuang masa kerana terlalu banyak meja yang perlu disinggahi. Terasa berkenan di hati, masukkan sahaja ke troli.

Di akhir jelajah, duduklah di Sorting Corner untuk membuat pemilihan buku yang sebenar-benarnya diperlukan. Jangan lupa pula dengan bajet yang disediakan. Usah terlalu mengikut nafsu. Selebihnya letakkan sahaja di dalam kotak yang disediakan.

Di peringkat awal, kami memang kemaruk dengan kepelbagaian buku yang ditawarkan sehingga hampir mencecah ribuan ringgit. Selepas itu masing-masing pandai mengukur keperluan diri. Apakan tidaknya, sehingga kini masih kedapatan buku yang belum pun dibaca lagi.

Untuk kali ini, kami hanya berbelanja hanya sekitar RM 100 sahaja. AlhamdulILLAH... Tambahan pula rak buku di rumah pun dah melimpah ruah... Nak bagi buku kat orang terasa sayang... Tunggulah apa tindakan seterusnya.

Monday, January 23, 2017

Big Bad Wolf 2016

Inilah Pesta Jualan Buku terbesar di penghujung tahun. Saban tahun ianya berlangsung di MIECC @ The Mines Seri Kembangan. Dibuka 24 jam setiap hari dengan potongan harga yang meruntun jiwa. Bagi peminat buku keluaran luar negara, acara ini lazimnya akan tercatat kemas di dalam diari tahunan. Peluang yang tidak sewajarnya dilepaskan.

Untuk tahun lepas (2016), ianya berlangsung dari 09-Disember sehingga 19-Disember. Sebanyak 4 juta buku dilambakkan dengan potongan mencecah 95%.

Inilah tambahan koleksinya...
Pada tahun sebelumnya, dek kesuntukan masa, kami telah terjah ke Pesta Jualan Buku pada jam 3:00 pagi dan tiba di rumah ketika azan Subuh berkumandang.

Pada tahun lepas pula kami pergi seusai solat Subuh, dua hari sebelum tirainya dilabuhkan. AlhamduliLLAH... suasananya masih lenggang, maka dapatlah kami bersantaian bergerak dari booth ke booth sambil memilih mana-mana buku yang diminati.

Kami berlima beranak (tanpa Izzuddin) berpecah membawa diri masing-masing. Lebih mudah begitu kerana minatnya tidak sama. Biarkanlah... ambil sahaja mana-mana buku yang menarik hati, selepas itu berkumpul di suatu sudut untuk membuat pilihan terakhir sambil diawasi ayah dan ibu.

Untuk kali ini, buku yang dibeli tidaklah sebanyak tahun-tahun sebelumnya. Masing-masing tahu dan sedar apa yang diperlukan. Pengalaman terdahulu banyak mengajar. AlhamduliLLAH.

Tuesday, May 10, 2016

Berlabuhnya PBAKL 2016

Mohon Maaf... dah lama laman ini menyepi daripada apa-apa berita dan cerita. Sedar-sedar dah lebih 3 bulan tidak bersentuh. Keinginan ada tapi semangat menulisnya luntur... Kali ini digagahi juga. AlhamduliLLAH dipermudahkan olehNYA.

Semalam, berakhir sudah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 yang berlangsung selama 11 hari sejak 29 April lalu bertempat di Taman Pameran Pertanian Serdang (Maeps). Buat pertama kali ianya keluar dari lokasi tradisinya di PWTC.

Apabila berubah lokasi, maka banyaklah luahan hati pro dan kontranya. Bagi yang tinggal berdekatan, ianya satu rahmat. Tambahan pula tempat pamerannya lebih luas dan lebih selesa kepada para pengunjung, lebih-lebih lagilah kepada para penerbit/ penjual buku. Teringat suasana di PWTC yang sempit dan kedudukan booth pula amat rapat. Paling merimaskan adalah amat sesak dengan pengunjung terutama pada hari cuti. Tapi bagi penjual, itulah yang diharapkan...

Namun ramai juga yang mengeluh kerana lokasi Maeps yang jauh daripada kemudahan tren. Walaupun disediakan bas dari Stesen Komuter Serdang, LRT Bukit Jalil dan Putrajaya Sentral serta tempat kenderaan yang luas di Maeps, luahan rasa tidak puas hati masih kedengaran. Semuanya satu kelaziman. Sama juga jika diadakan di PWTC. Itulah orang kita... 

Cuma tertanya-tanya... bagaimana dengan target 2.5 juta pengunjung oleh penganjur... apakah mampu dicapai? Apa pula pandangan para penjual buku... ada untung ke? Semuanya ini bakal dilakukan post mortem. Tidak menghairankan jika lokasi PBAKL bakal kembali ke PWTC jika hasil kaji selidiknya tampak kurang umph...!

Sebahagian buku pilihan kami
Untuk kali ini, walaupun berjarak lebih 40 km dari Ulu Kelang, kesempatan yang ada tidak dilepaskan. Kunjungan kami pada hari bekerja menyaksikan limpahan pengunjung kurang ketara. 

Ramai di antaranya adalah
para pelajar sekolah dan pusat pengajian tinggi yang datang menaiki bas tempahan khas. Berderetan bas menunggu di luar bangunan. Dengan ruang pameran yang luas dipisahkan pula Dewan A, B dan C, maka suasana kelam kelibut juga kurang dirasai. Itulah antara hikmahnya.

Jika diperhatikan, tidak banyak booth yang menawarkan potongan 'durian runtuh'. Jika adapun, kebanyakan melibatkan buku/ majalah keluaran lama. Mungkin disebabkan kos pengeluaran yang makin meningkat serta kuasa membeli yang semakin menurun menyebabkan kalangan penerbit/ pengedar/ penjual terpaksa mengendurkan jualan durian runtuh.

Cuma menariknya pada petang hari terakhir, terdapat sebilangan booth menawarkan harga 'pelupusan stok' sehingga ada yang menjunamkan kepada RM2 sebuah bagi buku-buku kategori diskaun 50% - 70%. Sekejap sahaja timbunan buku menyusut. Mungkin juga ada penjual yang 'jual longgok' sahaja bagi buku-buku yang telah pun 'luput tarikh'. 

Sepanjang berkunjung ke pesta buku kali ini. kami tidak banyak berjalan melilau dari booth ke booth. Bermula dengan target terus ke booth di mana terdapat buku-buku yang diingini, selepas itu barulah merayap ke booth lain sambil meninjau sepintas lalu pelbagai terbitan yang dipamerkan. Tambahan pula masih banyak buku-buku yang dibeli sebelum ini masih belum dibaca. Belajar dari pengalaman nan lalu.

[Gambar] Alangkah seronoknya Imran dapat bersua muka dengan  Sdr Nazry dan adiknya, Sdr Afiq;  perkarya Skuad Misi yang terkenal dengan komik motivasi Siri Misi. Malah mendapat galakan secara personal daripada keduanya sambil menandatangani sebahagian buku koleksi miliknya.

Berlabuh sudah PBAKL 2016. Tumpuan kami seterusnya adalah pada akhir tahun pula; The Big Badwolf Book Sale di MINES, Seri Kembangan.

Thursday, December 10, 2015

The Big Bad Wolf Datang Lagi

Inilah pesta jualan buku terbesar di bawah satu bumbung yang pernah kami kunjungi khususnya dengan majoriti buku berbahasa Inggeris. Ianya adalah acara tahunan pada setiap akhir tahun bertempat di MIECC @ The Mines, Seri Kembangan, Kuala Lumpur.

Sejak pertama kali menjejakkan kaki ke BBW Book Sale kira-kira 4 tahun lalu, setiap tahun kami tidak pernah terlepas peluang ke BBW.

Pertama kali ke BBW, kami berbelanja hampir RM800. Semuanya begitu teruja terutama anak-anak yang amat menggemari buku-buku bahasa Inggeris.  Sayang untuk meminggirkan setiap buku yang dipilih. Semuanya amat menarik. Kali kedua dan seterusnya semakin kurang berbelanja. Semuanya berhati-hati, hanya yang benar-benar terpilih yang menjadi pilihan hati.

Untuk tahun ini, BBW Book Sale bermula pada 04/12/2015 dan akan berakhir pada 14/12/2015. Ruangan jualan ini dibuka 24 jam setiap hari sehinggalah ditutup menjelang tengah malam pada 14/12 nanti.

Harga setiap buku amat-amatlah murah, apatah lagi bagi buku-buku keluaran luar negara. Bayangkan harga asalnya sekitar RM40 - RM60 dijual dengan harga RM10 sahaja. Malah mudah sahaja ditemui buku-buku dengan harga RM3 - RM8 sebuah. Terdapat juga buku yang ditawar potongan harga sehingga 95%.

Cuma satu... hampir semua buku adalah buku lama, bermaksud telah lama berada di pasaran. Tidak dinafikan, sebahagiannya adalah buku 'tak laku' yang memenuhi gudang penerbit. Namun, yang penting adalah ilmu pengetahuan dan 'hiburan' yang terdapat di dalamnya. Pandai-pandailah membuat pilihan terbaik.

Koleksi Terbaru Kami
Dilaporkan lebih 3.5 juta buku 'dilonggokkan' pada tahun ini. Dari pemerhatian kami, jumlah buku berbahasa Melayu semakin banyak dipamerkan dengan pertambahan penyertaan daripada para penerbit tempatan, antaranya PTS, Karangkraf dan Galeri Ilmu. Bagi peminat buku pixi/ indie, banyak juga pilihan untuk mereka.

Ratusan meja pameran disediakan. Lebih menarik lagi, pada tahun ini disediakan troli bakul untuk memudahkan para pengunjung membawa buku-buku pilihan. Sebenarnya ini satu perubahan positif yang baik, sekaligus diyakini dapat meningkatkan jualan.

Pada tahun lepas, dek kekangan masa yang terbatas, kami berkunjung ke BBW pada jam 3:00 pagi. Pada tahun ini pula kami melangkah masuk ke ruang jualan sekitar jam 7:15 pagi hari Ahad baru-baru ini. Pengunjungnya belum ramai lagi tetapi tidak lama. Ketika kami beredar keluar sekitar jam 10:00 pagi, ruangan dalaman semakin dipenuhi para pencinta buku.

Kali ini kami tidak banyak berbelanja, hanya sekitar RM200 sahaja. Bukannya tiada buku menarik... teramat banyak... tetapi semuanya berpada-pada. Buku yang dibeli sebelum ini pun masih ada yang belum dibaca. Lebih parah lagi, tiada lagi ruang penyimpanan di rak-rak buku yang semakin sendat, padat dan ketat. Segalanya perlu disusun atur kembali dan diisihkan mana yang tidak/ kurang diperlukan.

Matlamat kami, sedaya mungkin habiskan dahulu apa yang ada. Inshaa ALLAH akhir tahun hadapan pergi lagi. Malah banyak pesta jualan buku di merata-rata tempat yang boleh dikunjungi, cuma bezanya buku bahasa Inggerisnya tidaklah semewah dan semurah di The Big Bad Wolf Book Sale.

Tuesday, May 5, 2015

Berakhirnya Pesta Buku KL 2015

Kelmarin, 03/05/2015, berakhir sudah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-34 yang berlangsung sejak 24 April lalu di Putra World Trade Centre (PWTC).

Di peringkat kebangsaan, inilah antara pesta buku tahunan yang terbesar, diadakan setiap tahun di akhir bulan April sehingga awal Mei.

Kebanyakan buku adalah dalam bahasa Melayu dengan penyertaan besar-besaran oleh para penerbit dan penjual buku tersohor tanahair, antaranya Karangkraf, PTS, Galeri Ilmu, Telaga Biru, Ana Muslim, MOY, Creative Enterprise, Mapim, ITBM, DBP, Utusan, Mustread, Sasbadi, Pelangi, Popular, MPH dan banyak lagi. Malah turut disertai oleh para penerbit antarabangsa dari Arab Saudi dan United Kingdom.

Bagi peminat bahan bacaan, pesta buku ini pasti dinanti-nantikan - tersemat erat di hati walaupun tanpa catatan diari. Tidak cukup sekali, malah sanggup turun berulang kali. Walaupun terpaksa bersesak-sesak, namun hati tidak gelisah. Jika sudah suka, segalanya indah belaka. Tambahan pula dengan Kempen Turunkan Harga dan hadiah menarik mampu mengaburi mata.

Bagai tahun-tahun sebelum ini, syukur AlhamdulILLAH kali ini kami berkesempatan turun ke PWTC pada hari Sabtu, 02/05/2015. Seawal jam 9:30 pagi, kami telahpun tiba. Sayangnya dewan pameran belum lagi dibuka. Di muka pintu para pengunjung setia menunggu untuk menyerbu. Kebanyakannya adalah kanak-kanak sekolah yang datang berombongan atau bersama ahli keluarga. Malah ada yang datang jauh dari utara dan selatan tanah air, juga dari timur Semenanjung.

Melangkah ke PWTC, kami telahpun mempunyai perancangan buku yang ingin dibeli. Maka lebih mudah untuk terjah tanpa merayau-rayau mencari. Untuk kali ini tidak banyak buku dan majalah yang dibeli. Kebanyakannya demi memenuhi keperluan anak-anak. Tidak mengapalah, yang sedia ada di rak buku di rumah pun masih banyak belum bersentuh. Usahlah terlalu mengikut nafsu.

Sebahagian dapatan di PBAKL 2015 @ PWTC
Bagi Imran, buku komik-M terbaru keluaran PTS dan X-Venture keluaran Gempak Starz menjadi pilihannya, serta beberapa buah majalah dan novel kanak-kanak. Hanisah pula hanya mengejar buku rujukan SPM. Buku-buku lain kurang diminati - menunggu The Big Bad Wolf Book Fair pada akhir tahun, barulah diborongnya sekehendak hati.

Untuk Solehah pula yang kini berada di Besut, dibelikan untuknya beberapa buah buku rujukan dan latihan PT3 mengikut pesanan yang diberi. Manakala untuk kami serta keluarga, buku iringan kisah Ammar; Setelah Ammar Tinggalkan Kita dan belasungkawa Tuan Guru Nik Abdul Aziz; Bicara Ini Untuk Murabbi serta buku masakan Popular menjadi pilihan hati.

Dari pengamatan rambang saya yang telah pun ke PWTC beberapa kali sebelumnya, didapati sambutan pengunjung pada tahun ini agak menurun, tidak seperti selalu. Majoritinya adalah para pelajar sekolah yang datang dengan rombongan sekolah. Walaupun buku Z% GST tetapi adakah ianya turun terkesan? Kemungkinannya ada... kerana kita perlu lebih berjimat dalam berbelanja.
Pelancaran buku terbaru Karangkraf, Setelah Ammar Tinggalkan Kita
Satu lagi, diperhatikan terdapat beberapa buku terbaru yang diterbitkan kini harganya meningkat dari kadar harga buku seumpamanya sebelumnya. Secara logiknya, para penerbit buku juga terkesan kerana harga bahan mentah dan perkhidmatan telah pun dikenakan GST 6%. Jadi sudah pasti tidak secara langsung cajnya telah termasuk dalam harga buku berkenaan.

Nampaknya tahun ini para penerbit buku 'indie' mula melebarkan sayap di PBAKL dan sambutannya tidak kurang hebatnya. Bila dibelek-belek, tiada pula tanda harga. Sepatutnya letaklah berapa harganya, mudahlah pembeli membuat pilihan.

Apa-apa pun, PBAKL telah pun berakhir. Tunggulah tahun hadapan atau jenguk-jenguklah ke pesta buku lain pula yang kerap diadakan di merata tempat di seluruh negara terutama di sekitar Lembah Kelang. Atau pun berkunjung sahaja ke kedai buku penerbit sendiri untuk mendapatkan potongan harga menarik.

Perlu diingat, bukan banyak mana buku yang diborong tetapi banyak mana ilmu pengetahuan yang dapat diambil iktibar dan diamali. Lebih-lebih lagi kearah membina modal insan yang menepati nilai moral terpuji dan akhlak mulia yang diredhai ILLAHI. Moga kita dirahmatiNYA. Ameen.

Selamat Membaca. Dah dibeli bacalah ya... (ingatan untuk diri sendiri).

Tuesday, December 9, 2014

Menerjah Big Bad Wolf Di Pagi Buta

The Big Bad Wolf Book Sale datang lagi. Masih lagi di lokasi yang sama seperti tahun-tahun sebelumnya iaitu di Malaysia International Exhibition and Convention Centre (MIECC) di The Mines, Seri Kembangan.

Jualan mega jutaan buku dengan potongan harga yang maha hebat ini telahpun beberapa hari berlalu dan akan berakhir pada 16/12/2014. 

Paling menarik, ianya dibuka 24 jam sehari semalam, non stop. Datanglah pukul berapa pun ianya masih dibuka. Tambahan pula kini adalah musim cuti persekolahan, amat sesuai membawa anak-anak memilih buku-buku kegemaran bagi mengisi senggang masa lapang mereka yang panjang.

Imran ralit memilih buku
Bagi kami sekeluarga, The Big Bad Wolf Book Sale adalah acara jualan buku tahunan yang menjadi tumpuan kami di samping Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang diadakan pada awal tahun. Lebih-lebih lagi bagi anak-anak yang amat menggemari bahan bacaan dalam Bahasa Inggeris di mana hampir semuanya terbitan luar negara. Paling utama adalah banyak pilihan dan harganya pula amat murah, sekitar RM 5 - RM 15 sebuah. Berbaloi... amat berbaloi.

Untuk tahun ini pun kami tidak lepaskan peluang keemasan ini. Cuma kali ini kami terpaksa ambil tindakan sedikit gila. Dek kesuntukan masa dengan bermacam urusan di siang hari, kami terjah MIECC pada awal pagi, sekitar jam 2:30 pagi Ahad baru-baru ini. Kesemua anak-anak tidak kisah malah amat teruja menunggu masa dikejutkan dari tidur.

Setibanya di ruang pemeran, suasananya masih lagi meriah. Pengunjungnya masih lagi ramai, akhirnya beransur-ansur berkurangan. Dengan keadaan lenggang, lebih memudahkan bagi kami bergerak dan membuat pilihan. Anak-anak pula bebas mencari bahan yang mereka sukai.

Solehah dengan pilihan sendiri
Pelbagai ragam dan pemandangan dapat dilihat. Ramai para ibu-bapa yang turut membawa anak-anak kecil bersama samada dikendong di dada atau ditolak di dalam stroller. Malah masih kedapatan anak-anak yang masih segar dan ceria.

Sebahagian pengunjung telah pun bersedia dengan troli pasar mahu pun bagasi beroda bagi mengisi buku-buku yang menarik hati. Selebihnya ramai yang mengelek kotak-kotak yang disediakan, bergerak penuh minat dari booth ke booth. Kami sendiri terpaksa membawa kotak, beg sandang, shopping bag kerana terlupa menyediakan troli seperti tahun sebelumnya.

Ruang pameran MIECC luas terbentang, saujana mata memandang dengan deretan booth buku mengikut genre dan kategori tertentu seperti General Fiction, Non Fiction, Young Adult, Children, Travel Cookery, Readest Digest, Magazines dan bermacam lagi.

Sebahagian koleksi terbaru
Kesemuanya dalam Bahasa Inggeris kecuali buku-buku di ruangan Malay Books yang amat terhad - kebanyakannya novel dan buku umum sahaja. Mungkin pihak penganjur (BookXcess) dengan kerjasama dengan penerbit-penerbit buku tempatan dapat menambah koleksi Buku-buku Melayu di masa hadapan.

Hampir 3 jam berlegar ke hulu ke hilir, akhirnya kami bergerak ke suatu sudut di tepi ruang pameran untuk berehat sambil mebelek dan menyisih buku-buku mengikut keperluan. Selebihnya diserahkan kepada petugas untuk disusun kembali di tempatnya.

AlhamduliLlah, perjalanan yang lancar di awal pagi, kami tiba di rumah sejurus sebelum azan Subuh berkumandang. Semuanya tampak ceria dengan hasil yang diperolehi di pagi buta.

Thursday, August 14, 2014

Cerita Cinta Ahmad Ammar - RM20 sahaja

Buku Cerita Cinta Ahmad Ammar keluaran Karya Bistari ini telah mendapat sambutan hebat ketika kami membuat jualan di Ulu Kelang. Istimewanya buku ini adalah ianya ditulis oleh mereka yang dekat dengan arwah Ahmad Ammar; antaranya ibu, ayah, kakak, ipar serta rakan kenalan yang amat rapat dalam hidupnya.

Stok terkini di dalam simpanan kami hanya tinggal kira-kira 10 buah sahaja lagi. Jadi sebagai jualan Penghabisan Stok, kami tawarkan potongan RM 3.00 daripada harga asal. Jangan lepaskan peluang keemasan ini. Siapa cepat dia dapat.
 
Harga Asal : RM 23.00

Harga Tawaran : RM 20.00 
                                             (caj pos RM 5.00 = RM25.00)
  
Kaedah Pembayaran:
  
1. - Maybank acc. #: 1644 1800 2912 (masukkan nama pembeli)
    - Caj pos adalah RM5.00, jumlah harga RM 25.00
    - Maklumkan pembayaran melalui emel: ropidi567@gmail.com
      atau SMS 019-655 0567 dgn nama, alamat pos & no telefon.
    - Penghantaran dilakukan setelah maklumat bayaran diterima.

2. - Tunai - bayar ketika serahan tangan (RM 20.00)
    - Hubungi saya (Ropidi) 019-655 0567
  
Sinopsis

Ahmad Ammar, sebaris nama yang tidak dikenali semasa hayat, namun menjadi kebanggaan selepas pemergiannya. Tiada yang diinginkan melainkan sebuah syahid. Tiada yang diperlukan selain redha ALLAH dan tiada yang lebih mengujakan selain bertemu bidadari-MU di syurga abadi. Alangkah bertuah ayahanda dan bonda dapat melihat perjalanan akhir anakanda tercinta dengan sebuah pengakhiran yang baik.

Subhanallah... indahnya rencana-MU ALLAH. Benar, ia bukan kebetulan. Engkau pergi ketika membawa misi ALLAH dan Rasul. Moga Jannah jua sebagai ganti. Tenanglah adinda Ammar di sana. Tabahlah duhai ibu bapa dan keluarga. Wahai sahabat seperjuangan yang masih dalam kelana ilmu di Turki, jangan patah hati. Perjuangan kita perlu diteruskan. Impian Ammar adalah realiti kita.

Jasad Ahmad Ammar telah disemadikan di Perkuburan Eyub Sultan menghadap Laut Golden Horn yang menempatkan lebih 60 jasad para sahabat nabi (termasuk Saidina Abu Ayub al-Ansari), auliya', panglima Uthmaniyyah dan orang-orang kenamaan di Turki. Dan jasad Ahmad Ammar menjadi rakyat Malaysia pertama yang dikebumikan di situ.

Moga roh Ahmad Ammar sentiasa dirahmati ALLAH SWT dan ditempatkan di Jannah bersama para syuhada'. Ameen.

Monday, May 5, 2014

Berlabuhnya Tirai Pesta Buku 2014

Semalam berakhir sudah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-33 di PWTC yang berlangsung selama 11 hari bermula 24 April lalu.

CERIA... Hentian R & B (Rehat dan Baca) di Aras 4
Sambutannya amat memberangsangkan. Setiap hari ada pertambahan pengunjung. Lonjakan berganda dapat dilihat pada hari cuti - Hari Pekerja dan hujung minggu. Pada pagi hari ke-9 ianya telah mencecah 2 juta pengunjung. Peningkatan drastik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Secara umum dapat disimpulkan bahawa generasi baru rakyat Malaysia kini telah pun berubah. Minat mereka kepada buku amat terserlah. Tidak hairanlah bilangan penerbit buku juga semakin bertambah.

Dahulu kita merasa amat malu bila dikatakan rakyat Malaysia hanya membaca 2 halaman buku setahun. Itu kajian UPM pada tahun 1983. Manakala kajian PNM 13 tahun selepasnya (1996) lebih menggembirakan iaitu 2 buah buku setahun. Melihatkan kepada situasi terkini, pasti statistiknya menunjukkan angka yang lebih membanggakan.

Dalam keghairahan para peminat buku berkampung di PWTC, kami juga tidak terkecuali. Cuma kali ini saya seorang sahaja yang pergi 'memborong'. Izzuddin pula sekadar berjalan-jalan bersama teman-temannya mencari sebuah dua buku pengajian.

Sebahagian buku pilihan PBAKL 2014
Berjalan singgah di hampir setiap booth sambil menyelit di celah-celah khalayak pengunjung tidak sedar masa begitu cepat berlalu. Sehari suntuk di PWTC pun belum terasa puasnya.  Tambahan pula dikelilingi longgokan buku yang meruntun jiwa, rasa ingin borong semuanya. Demikianlah jika diri terlalu obses dengan buku.

Sabar... tenangkan fikiran, waraskan pertimbangan, wajarkan pilihan. Dalam berjaga-jaga pun hampir RM500 'terbang'. Itu pun Laili dan anak-anak tidak ikut serta. Tak mengapalah, untuk buku dan ilmu pengetahuan tiada ruginya. Walaupun duit 'lebur', yang penting hati terhibur.

Secara umumnya, diskaun yang diberikan amat menarik sekali. Purata potongan sekitar 20%. Lebih-lebih lagi oleh para penerbit buku. Malah ada penerbit yang menawarkan sehingga 40% - 50% untuk semua genre buku terbitan mereka. Namun, sebaliknya ada juga penerbit besar yang 'sedikit kedekut', diskaunnya hanya 10% sahaja, mengalahkan pengedar dan penjual buku biasa yang mampu memberi diskaun 15% - 20%. Apa-apa pun terserah kepada pembeli sendiri. Jika inginkan yang terbaik, kenalah penatkan diri dahulu untuk membuat perbandingan harga sebelum mampu tersenyum puas.

Bersama Prof Kamil dan Pn Roza - Terima kasih
Dalam terkejar-kejar mencari 'habuan', sempat saya beramah mesra dengan 2 penulis suami-isteri yang begitu komited dengan dakwah santai lewat buku-buku mereka iaitu Prof. Dr. Hj. Muhd Kamil Ibrahim (MKI) dan Pn. Hjh. Raudzah Roslan (Roza). Kedua-dua buku terbaru mereka baru diterbitkan iaitu Bersamamu Di Firdaus dan Rumah Kecil Di Jabal Uhud.

Di samping itu tercapai juga hajat di hati untuk memiliki siri Kitab Fikah Mazhab Syafie dan beberapa buku keluaran Galeri Ilmu, Karangkraf, Telaga Biru, PSN, PTS, AsSohwah dan al-Ameen.

Ikutkan hati masih banyak buku yang ingin dibawa pulang tetapi bersabar sahajalah. Usah diikutkan nafsu. Habiskan dahulu buku-buku yang telah dibeli. Apatah lagi masih banyak buku-buku yang dibeli pada beberapa pesta buku sebelum ini yang masih belum dibaca lagi.

Apa nak buat... dah gila buku... pantang tengok nak selalu... 8)

Monday, April 21, 2014

Pesta Buku KL @ PWTC

Saban tahun inilah yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang ada kaitan dengan buku. Saat untuk berpesta dengan pelbagai genre bahan bacaan. Jutaan buku-kitab-majalah-makalah dan pelbagai jenis bahan penerbitan bertebaran di merata ceruk, menanti untuk dihabiskan.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ini dijadualkan berlangsung selama 11 hari, daripada 24 April - 04 Mei, 2014 yang dibuka secara PERCUMA dari jam 10:00 pagi - 09:00 malam. Difahamkan terdapat 918 gerai/booth dengan 214 pempamer dalam dan luar negara.

Bagi peminat buku, setiap kali pesta buku, potongan harga yang ditawarkan benar-benar meruntun jiwa. Semua buku nampak best, kalau boleh semuanya nak dibawa pulang. Gelap mata dibuatnya. Tak sedar bahu dah sengget sebelah. Jalan pun makin membongkok. Walaupun penat tetapi masih bersemangat.

Menariknya kali ini diadakan ruangan khusus berkonsepkan "Dunia Novel dan Komik" bertempat di Dewan Merdeka. Apa istimewanya? Entah... nak tahu kena pergi jenguk! Lebih-lebih lagi kepada kaki novel dan komik.

Sebahagian hasil tuaian PBAKL 2013
Manakala bagi para penerbit, pengedar dan penjual, tidak terkecuali para penulis; inilah saatnya untuk melariskan jualan. Dengan pengunjung yang dijangka mencecah 2 juta orang, segalanya tidak mustahil. Justeru itu tidak hairanlah ketika pesta buku inilah, banyak buku-buku baru yang diterbitkan terutama hasil karya para penulis yang sedia ada nama dan peminat tersendiri. Jangan lupa sesi bersama penulis-penulis kesayangan terutama di booth penerbit buku berkaitan.

Bagi kami sekeluarga, setiap tahun kami tidak pernah melepaskan peluang keemasan ini. Walaupun banyak diadakan pesta buku berkala di merata tempat tetapi aura PBAKL tidak dapat menandinginya. Rasa terujanya amat berbeza sekali.

Apakan tidak, inilah masanya kesemua para penerbit tempatan dan penerbit tersohor antarabangsa berada di bawah satu bumbung mempromosikan bahan penerbitan masing-masing. Maka bagi para pembaca pula lebih memudahkan mereka untuk membuat perbandingan dan pembelian. Cuma bajet kena kembung sedikit bagi memuaskan nafsu memiliki bahan bacaan yang dihajati.

Jika sebelum ini, setiap kali PBAKL berlangsung, sayalah  antara pengunjung terawal, nampaknya pada tahun ini saya terpaksa lewatkan sedikit kunjungan kerana ada urusan keluarga di Terengganu. Tidak mengapalah, Inshaa ALLAH saya akan sampai juga. Biar lambat asalkan dapat.

Jom kita gi Pesta Buku!

Tuesday, December 10, 2013

Tuaian BBW Book Fair 2013

Kini sedang berlangsung The Big Bad Wolf Book Sale di MIECC @ The Mines, Seri Kembangan. Pesta jualan buku yang menawarkan harga yang amat murah. Bagi peminat buku, amat rugi kiranya tidak menyinggah. Datanglah bila-bila masa yang terluang kerana ianya dibuka 24 jam tanpa tutup sehinggalah jam 9:00 malam 15/12/2013 nanti. Semua kategori buku ada dijual tanpa mengira peringkat umur.

Aduhai beratnya...
Pagi semalam, akhirnya hajat kami sekeluarga tertunai juga. Sekitar 4 jam kami tenggelam di celah-celah jutaan buah buku. Kami anak beranak berpecah mengikut haluan masing-masing. Setiap orang ada minat akan genre bacaannya tersendiri. Jadi lebih mudah dan selesa kiranya mereka bergerak sendirian.

Masing-masing berjalan perlahan dari sebuah meja pameran ke meja berikutnya sambil membelek-belek helaian buku yang menarik hati dan pandangan. Mana-mana buku yang disukai dimasukkan terus ke dalam shopping bag yang disandang. Setelah penuh beg atau terasa berat untuk dibawa, maka buku-buku tersebut dipindah masuk ke 2 buah troli yang ditarik oleh ibu dan ayah.

Kepada para pengunjung yang tidak membawa beg mahupun troli, mereka boleh mengambil kotak-kotak buku yang disediakan oleh penganjur. Cuma seksa sedikit untuk mengusung/ menyorongnya ke sana-sini. Itulah pengalaman kami pada tahun lepas, jadi tahun ini kami beringat.

Pening nak pilih, akhirnya 70 buah terpilih
Menjelang tengahari, kaki pun terasa senggal dan kebas kerana banyak berjalan dan berdiri. Perut pun mula berkeroncong. Walaupun belum puas memilih buku, kami perlu berehat dan makan. 

AlhamduliLlah pihak penganjur ada menyediakan Storage Station secara percuma, bersebelahan escalator ke tempat makan dan kiosk makanan di tingkat atas dewan.

4 jam berlalu terasa begitu pantas sekali. Itupun tidak semua meja pameran yang disinggahi. Masing-masing hanya tertumpu pada lokasi yang digemari. Jika semuanya ingin dilawati, sehari suntuk barulah berbaloi. 

Dari pemerhatian kami, majoriti buku-buku adalah dalam bahasa Inggeris dari penerbit luar negara. Buku-buku dalam bahasa Melayu pula lebih tertumpu kepada terbitan PTS, itupun hanya melibatkan buku-buku lama yang bolehlah dikatakan sebagai jualan murah penghabisan stok. Lain kali diharapkan lain-lain penerbit tempatan akan turut serta memeriahkan pesta buku ini.

Koleksi buku @ BBW 2013
Untuk menyisih buku-buku mengikut keperluan, para pengunjung disediakan Books Sorting Area, berdekatan dengan Storage Station. Pilihlah buku-buku dengan aman sambil berbincang dengan ibu bapa/ adik beradik samada perlu atau tidak membeli setiap buku yang diambil.

Seterusnya susun setiap buku mengikut kategori harga yang tertera pada buku. Ianya ternyata mempercepatkan proses pembayaran di kaunter, apatah lagi jika kuantitinya agak banyak.

Anak-anak pulang penuh kegembiraan. Kira-kira 70 buah buku dibawa pulang. Cukuplah sebagai bahan bacaan tambahan sepanjang cuti persekolahan ini, juga sebagai koleksi kesayangan untuk tatapan di masa terluang.

Friday, December 6, 2013

Pesta Buku Serigala...

Bagi pencinta buku @ peminat buku, pesta buku adalah tempat untuk berpesta. Susah payah mereka sanggup pergi. Walaupun jauh mereka akan usahakan juga untuk sampai. Apatah lagi jika pesta buku berkenaan sesuatu yang besar dengan longgokan buku yang menimbun berserta potongan harga yang menyilaukan pandangan. Dari mata turun ke hati. Tanpa disedari bukunya telah melimpahi troli.


Kini, The Big Bad Wolf Book Sale datang lagi ke Lembah Kelang. Ianya berlangsung selama 10 hari, bermula hari ini, Jumaat (06/12/2013) hinggalah Ahad depan (15/12/2013). Tempatnya masih sama seperti tahun sebelumnya iaitu di The Mines, Seri Kembangan. 

Sebahagian ruangan pesta buku BBW 2012 @ MIECC
Menariknya, pesta buku yang dikatakan terbesar di dunia yang dianjurkan oleh BookXcess ini dibuka 24 jam setiap hari (tanpa tutup) sehinggalah jam 9:00 malam pada hari terakhir.

Lebih menarik lagi adalah lebih 3 juta buku ditawarkan dengan potongan harga antara 75% - 95% pasti membuatkan hati begitu teruja untuk berkunjung ke Mines.

Pelbagai genre buku ditawarkan, majoritinya dalam bahasa Inggeris terbitan luar negara. Buku-buku dalam bahasa Melayu juga ada tetapi pilihannya terhad kepada beberapa penerbit tertentu sahaja. Yang pasti harganya amat murah, sebilangannya sekitar RM3 sahaja. Itulah makluman yang diperolehi daripada laman web bigbadwolfbooks.com.

Inshaa ALLAH, seperti tahun lepas, kami sekeluarga akan usahakan untuk sampai ke sana. Anak-anaklah yang paling tidak sabar. Mereka adalah pengemar buku paling utama terutama buku-buku bahasa Inggeris yang sukar diperolehi, apatah lagi harganya amat murah.

Biarkanlah mereka seronok dengan buku daripada leka menghadap permainan berkomputer yang melalaikan. Itulah sebahagian daripada aktiviti mereka di musim cuti panjang ini.

Cuma kali ini, harap-harap tidak lupa untuk dibawa troli bersama - tak larat lagi nak mengendong beg dan kotak ke hulu ke hilir seperti tahun lepas. Walaupun penat tetapi hati puas. Itulah nikmatnya berada di dalam dunia buku.

Makluman tambahan:-

Parking: RM2 per entry (weekday), RM3 per entry (weekend/public holiday)
GPS Coordinates: 3.029612, 101.718289

Saturday, October 26, 2013

Ekspo Buku Islam @ AU2

Kepada para pencinta buku sekitar Lembah Keramat dan Ulu Kelang, inilah kesempatan terbaik untuk 'memborong' buku-buku Islam bagi menambah koleksi sedia ada.

Bermula 24/10 sehingga 02/11/2013, Ekspo Buku Islam Kali ke-9 (EBI-9) sedang berlangsung di Dewan Serbaguna AU2, Jalan AU2a, Taman Sri Keramat (bersebelahan Klinik Kesihatan AU2). 

Bagi yang tinggal di sekitarnya, tiada masalah untuk mencarinya. Cuma pengunjung luar yang tiada bantuan GPS, mungkin sukar sedikit. Ini kerana lokasinya agak tersorok di sebalik pepohonan kayu yang merendang di sekelilingnya. Jika anda tahu AEON AU2, tidak jauhlah tu, Inshaa ALLAH bolehlah ketemu Klinik Kesihatan AU2 di mana dewan tersebut terletak di sebelahnya.

Ekspo ini dianjurkan oleh Sinergi Ilmu Resources Sdn Bhd dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), bermula dari jam 10:00 pagi hingga 9:00 malam. Masuk adalah PERCUMA.

Dengan ruang dewan yang terhad, gerai bukunya juga terhad. Dengan kata lain, tidak semua pengusaha serta pengedar buku yang dapat menyertainya. Namun dengan penyertaan dari PTS, Galeri Ilmu dan Karangkraf serta Sinergi Ilmu dan POPULAR Bookstore dengan diiringi beberapa pengedar/ penjual buku, kemeriahan lambakan buku berserta tawaran potongan harga istimewa (purata 10%-20%) mampu membuatkan pengemar buku kelabu mata dibuatnya. 

Eloklah berbelanja untuk buku daripada entah kemana leburnya duit di tangan. Anggaplah ianya satu pelaburan demi masa hadapan yang lebih bermakna, bukan sahaja di dunia tetapi paling utama di akhirat nanti. Dengan ilmu di dada, itulah bekalan yang akan dibawa.

Jika diikutkan hati ini, banyak buku yang nak diangkut pulang tetapi kena berpada-padalah. Timbunan buku di rumah yang dibeli ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang lalu serta beberapa tahun lepas masih ada yang belum dibaca. Itulah jadinya bila pantang tengok buku depan mata. Tak mengapalah, nanti bacalah tu....

Di samping pameran buku (sebenarnya jualan buku - itu tujuannya), pihak penganjur juga turut menyediakan pelbagai aktiviti harian (seperti jadual di atas) bertempat di khemah utama di hadapan dewan; antaranya sesi Motivasi dan Bedah Buku oleh Selebriti dan Penulis Buku seperti Sdr Hilal Asyraf, Ustazah Fatimah Syarha, Ustaz Don Daniyal, Ustaz Rohidzir Rais, Sdr Web Sutera dan ramai lagi. Tidak ketinggalan Demo Memasak oleh Chef Hanieliza, peraduan mewarna untuk kanak-kanak, pertandingan nasyid dan baaa....nyak lagi. Nak tahu lebih lanjut bolehlah berkunjung ke Facebook Sinergi Ilmu.

Saya dah pergi, anda bila lagi?

Monday, May 7, 2012

Tuaian Pesta Buku

Hari Ahad - berakhirnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur kali ke-31 di PWTC.

Di sebelah pagi, bersendirian tanpa diiringi isteri dan anak-anak, saya berkejar lagi ke pesta buku. Tujuan utamanya hendak mendapatkan naskhah Al-Quran terjemahan, kamus untuk anak-anak dan beberapa buah buku yang dipesan oleh anak-anak.

Dengan susun atur booth dan lokasi buku yang telah dihafal kedudukannya, saya menjangkakan kunjungan ke pesta buku ini tidak mengambil masa yang lama. Selepas beli terus boleh balik. Rupa-rupanya tidak begitu bagi peminat buku tegar seperti saya. Malah ianya lebih lama berbanding beberapa kunjungan sebelum ini walaupun bersama anak-anak. Ada sahaja buku-buku yang ingin dibelek dan diteliti isi kandungannya. Akhirnya lebih banyak buku yang diborong.... Alahai....

Inilah sebahagian besar buku-buku yang dibeli sepanjang pesta buku ini. Jika sebelum ini sekitar RM300 sahaja, kini melebihi RM500. Apa nak buat... dah satu keluarga ulat buku...

Namun kami tidak pernah menyesal. Ianya sesuatu yang amat bermanafaat. Jika tidak dibaca sekarang, kemudian hari boleh dibaca. Lebih-lebih lagi dengan potongan harga yang menarik, sayang kiranya dilepaskan begitu sahaja.

Setiap ahli keluarga kami mempunyai kategori buku yang diminati. Novel remaja menjadi pilihan Hanisah dan Solehah, sesuai dengan usia awal remaja. Izzuddin dan Imran pula lebih menggemari bacaan santai seperti komik-M.

Untuk pesta buku ini tidak disangka-sangka pula saya lebih banyak mengumpul buku-buku travelog atau kembara, antaranya Kembara Sastera UK dan Dublin karya terbaru Nisah Haron, XPDC Haji (Hj Zainal Bujang), Travelog Beijing (Izan-Nurfa-Uthaya), Nik Nur Madihah - Permata Generasi Rabbani (Ummu Sakinah), Bersyukur Saat Diuji (Prof Muhd Kamil) dan juga Bukan Sekadar Resepi (Roza).

Manakala buku-buku keagamaan pula adalah satu kemestian bagi kami sekeluarga seperti Indahnya Hidup Bersyariat (Dato' Ismail Kamus), Soal Jawab Isu-isu Islam (Dato' Nik Abdul Aziz), Panduan Perbankan Islam (Dr. Zaharuddin) dan Wanita Istimewa (Dr. Karim El-Shazly). Termasuk juga 2 naskhah Al-Quran dan Terjemahan serta VCD Perlaksanaan Haji sebagai panduan untuk kami melaksanakan tuntutan Rukun Islam kelima nanti.

Dari pemerhatian saya, sehingga ke awal petang persekitaran pesta buku tidaklah sesesak ketika kunjungan kami pada hujung minggu lalu. Mungkin kerana keadaan cuaca yang kurang baik atau pun mungkin juga para pengunjung akan bertambah ramai di sebelah petang dan malam. Wallahu a'lam.

Di samping itu, ramai sekali kelihatan para penulis dan pelukis yang datang. Ada yang duduk-duduk di meja yang dikhaskan di hampir setiap booth penerbit sambil mempromosikan buku-buku tulisan mereka ataupun sekadar pengunjung biasa.

AlhamduliLlah, saya sempat bersua muka dan berbual-bual ringkas dengan beberapa orang penulis yang saya kagumi, antaranya Puan Nisah Haron, Ustaz Pahroul Mohd Joui, Ustaz Amaluddin Napiah, Sdr Lutfi dan Sdr Nazry Salam.

Berlegar-legar dari satu booth ke satu booth sambil menyelit di celah-celah khalayak pengunjung serta naik turun ke ruangan pameran tidak terasa penat, lapar dan dahaga. Sedar-sedar telah pun 4 jam berlalu. Ikutkan hati masih banyak lagi buku yang teringin untuk dimiliki. Ku pujuk hati sendiri, "Sabarlah... cukuplah dahulu".

Tuesday, May 1, 2012

Berpesta @ Pesta Buku

[Mohon maaf, kesinambungan catatan di dua Tanah Suci terpaksa ditangguhkan seketika, memberi ruang kepada Pesta Buku 2012 di PWTC. Insya Allah, lanjutan pengalaman menunaikan ibadah umrah dan ziarah di Mekah al-Mukarramah akan menyusul dalam masa terdekat]

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ~ saat yang ditunggu-tunggu oleh para pengusaha dan peminat buku kini tiba lagi. Pesta besar-besaran kali ke-31 dengan tema Buku: Dunia Tanpa Sempadan ini disertai oleh lebih 850 penerbit/pencetak/pengedar/penjual buku bertempat di lokasi biasa, PWTC bermula dari 27-April lalu hingga akhir minggu ini, 6-Mei.

Bagi kami, pesta buku ini termasuk dalam diari tahunan kami. Dengan kata lain, tidak pernah terlepas. Jika isteri dan anak-anak tidak berkesempatan, saya pasti tidak akan lepaskan begitu sahaja.

Sebenarnya Bandaraya Kuala Lumpur adalah antara lokasi kunjungan yang cuba kami elakkan terutama ketika hujung minggu. Kami tidak menggemari suasana sibuk, sesak dan bingit. Namun kerana pesta buku, semuanya itu tidak diendahkan. Keranamu buku, segala onak sanggup dirempuhi.

Dahulu, ketika berkerja dengan agensi kerajaan dan swasta; saya rela mengambil cuti semata-mata untuk berkampung di pesta buku. Kini, masanya lebih fleksibel, maka adalah masa tersendiri untuk ke PWTC.

Setakat ini telah 2 kali saya ke pesta buku tersebut. Pertama kali pada petang hari perasmiannya iaitu 27-April. Suasananya lenggang sahaja - mudah bergerak. Saya sendirian, datang untuk meninjau keadaan dan kedudukan booth tertentu, sambil mendapatkan beberapa buah buku sebagai tambahan koleksi peribadi dan keluarga.

Kali kedua saya datang bersama keluarga pada hari Ahad, 29-April. Difahamkan booth mulai dibuka jam 10:00 pagi. Jam 9:00 pagi kami telahpun terpacak di hadapan PWTC. Sengaja datang awal untuk mengelakkan kesesakan jalan dan tempat meletakkan kereta. AlhamduliLlah, tidak disangka-sangka pula kebanyakan booth telahpun dibuka. Dapatlah kami ruang yang lebih terbuka untuk bergerak.

Namun, kira-kira sejam selepasnya, kesesakan pengunjung mulai dirasakan. Melewati waktu tengahari, suasana menjadi lebih padat dan sendat. Ibu bapa berpimpinan tangan dengan anak-anak. Pelajar sekolah lengkap berpakaian bersama kelompok gurunya. Para remaja dengan rakan sebayanya. Yang dewasa pula dengan ragamnya. Semua usia ada.

Beberapa booth popular seperti PTS, Galeri Ilmu, Telaga Biru, Karangkraf, MPH, Sarjana Media, Pustaka DarusSalam dan Al-Hidayah (sekadar beberapa nama) menjadi tumpuan utama pengunjung. Pasti sahaja para pengusaha mampu tersenyum lebar hingga ke telinga melihat sambutan yang amat menggalakkan. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam...8)

Para petugas begitu sibuk sekali mempromosikan buku-buku terbaru. Sememangnya para penerbit akan memastikan akan ada beberapa buku terbaru dilancarkan ketika pesta buku ini terutama melibatkan penulis bestseller. Maka tidak hairanlah para penulis juga sibuk sepanjang pesta buku ini, sama-sama mempromosikan hasil karya masing-masing.

Ditambah pula dengan potongan harga yang mampu mencairkan hati. Dari pemerhatian saya, rata-rata buku baru ditawarkan potongan sekitar 15%-20%.

AlhamduliLlah, tanpa disangka-sangka, ketemu saya dengan rakan lama, Sdr Hizamnuddin Awang @ Web Sutera di booth Galeri Ilmu; sedang sibuk melayan peminat buku terbarunya, Macedonia: Alexander Agung - Hijab Raja Zulkarnaian. Tahniah Hizam.

Dua hari ke pesta buku, sekitar RM 300 telah 'lebur' untuk buku dan majalah. Satu pelaburan yang mengembirakan demi cinta kami kepada buku. Paling utama anak-anak seronok memperolehi buku yang diidam-idamkan dan kami juga dapat apa yang dihajatkan.

Jika diikutkan hati, masih banyak lagi buku dan majalah yang ingin dibeli. Foto di sebelah hanya sebahagian daripadanya.

Tengoklah... mungkin ada hari saya akan menyinggah lagi di pesta buku. Jika begitu, pasti ada lagi beliannya. Cuma kelemahan saya, adakalanya cepat kelabu mata, terbeli buku yang tidak diperlukan sangat, dek terpesona dengan persekitaran dan igauan.

Entahlah... tetapi diri ini tidak pernah serik untuk ke pesta buku. Ianya satu kepuasan yang tidak terucap. Masa yang dilalui dirasakan amat pantas berlalu - 3 jam ibarat 30 minit. Lapar dan dahaga langsung tidak berbekas.

Kepada rakan-rakan di sekitar Lembah Kelang, luangkan masa kalian untuk ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC ini. Banyak manafaatnya bercanda dengan buku.

Thursday, April 28, 2011

Ke Pesta Buku Lagi...

Kelmarin saya berkesempatan ke Pesta Buku lagi. Tujuannya sekadar menukar buku yang tersalah beli di booth PTS pada hujung minggu baru-baru ini. Iddin tidak perasan buku Quran Saintifik karya Dr. Danial Zainal Abidin telah pun sedia ada di rak khutub khanah keluarga. Emm, tukar sebuah buku, tidak sedar lebih 5 buah pula yang diborong di booth PTS. Lima enam buah lagi dibeli dari beberapa booth lain. Begitulah keadaannya apabila dah terlajak sampai ke tempat buku. Jika diikutkan hati semua buku nak diangkut pulang.
Tanpa dirancang, semalam saya terpaksa ke Pesta Buku lagi. Buku motivasi wanita terjemahan karangan Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni yang dibeli kelmarin pula kosong di beberapa muka suratnya. Ibarat pucuk dicita ulam mendatang. Kali ini hanya tambahan buku latih tubi untuk Iddin yang bakal menduduki PMR. Walaupun tiada bahan bacaan umum baru yang dibeli tetapi seronok rasanya apabila dikelilingi bermacam jenis buku. Bak kata seniman Tan Sri Ramli Puteh (P. Ramlee), "dunia ini ana yang punya"...8)
Setakat ini kebanyakan bahan bacaan yang dibeli adalah komik dan novel berbahasa Melayu. Khusus untuk anak-anak. Satu usaha untuk memperbaiki penguasaan Bahasa Melayu mereka yang telah lama ketinggalan setelah hampir 4 tahun bersekolah di Australia. Pada masa yang sama dapat menyemaikan nilai-nilai Islam nan murni yang digarapkan dalam setiap karya berkenaan. Untuk itu buku-buku keluaran PTS dan Ana Muslim menjadi pilihan untuk mereka. Sambil menyelam minum air. Moga ada manafaatnya.
Untuk diri sendiri, saya belikan kitab tasauf Minhaj Al-'Abidin (terjemahan), nukilan Imam Al-Ghazali, terbitan Perniagaan Jahabersa; Jutawan Senyap oleh Dr. Rusly Abdullah (Al-Ameen); Cari Duit Cara Mudah Sebagai Penulis Bebas tulisan Zamri Mohamad (PTS) dan Fotografi Mudah - Fokus & Klik (PTS). Untuk isteri tersayang pula, dihadiahkan untuknya Motivasi Menjadi Wanita Paling Bahagia karangan Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni (Jasmin Publications).
Untuk kali ini tidak banyak saya berbelanja untuk bahan bacaan umum kerana masih banyak buku-majalah di rak buku yang masih belum ditatap lagi. Baca dahulu apa yang ada, kemudian baru ditambahi dengan yang baru. Melainkan ianya diperlukan untuk tujuan tertentu.

Wednesday, April 27, 2011

Pesta Buku 2011

Sekarang sedang berlangsung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) Kali ke 30 yang akan berlangsung selama 10 hari, bermula Jumaat lepas (22/04/2011) sehingga 01/05/2011. Lokasinya tempat biasa, Putra World Trade Centre (PWTC).
Bagi peminat dan penggemar buku @ ulat buku, inilah saat yang ditunggu-tunggu. Pesta bahan bacaan besar-besaran yang diadakan secara tahunan ini sememangnya tidak dilepaskan. Berpinar mata melihat ratusan gerai dengan lambakan jutaan buku dan majalah memenuhi setiap inci ruang pameran yang disediakan.
Bagi saya, saban tahun tidak pernah tidak menyinggahinya. Bukannya sekali, biasanya lebih dari itu. Walaupun berkerja puluhan kilometer dari PWTC, saya pasti mengambil cuti separuh hari di sebelah petang semata-mata untuk memenuhi impian dikelilingi buku-buku. Tambahan pula dengan potongan harga yang amat menarik.
Sewaktu di Melbourne dari tahun 2007 - 2010, saya berpeluang mengunjunginya pada tahun 2009 di saat pulang bercuti. Kepulangan yang tepat pada ketikanya. Sekurang-kurangnya terubat rasa rindu.
Untuk Pesta Buku 2011 ini, telah 2 kali saya mengunjunginya. Kedua-duanya di hujung minggu (Sabtu-Ahad), salah satunya bersama anak-anak serta sepupu-sepupunya. Wow... sambutannya amat memberangsangkan.
Di sesetengah booth yang popular seperti PTS, Ana Muslim, Grup Karangkraf, Telaga Biru, Al-Hidayah, Jahabersa, Creative Enterprise, Pustaka Darus-Salam, Al-Ameen dan Galeri Ilmu; pengunjungnya ramai sekali terutama dari jam 11:00 pagi - 3:00 petang. Hendak bergerak pun susah, apatah lagi nak menyelit masuk, seterusnya berbaris panjang menunggu giliran membayarnya. Ini yang membuatkan rasa rimas, akhirnya menepi dan mengubah haluan ke booth lain.
Dari pemerhatian saya pada kedua-dua hari tersebut, booth PTS (foto atas dari laman web Pn Ainon PTS) yang terletak bersebelahan Ana Muslimlah yang paling sesak dan sendat. Malah bagi anak-anak dan sepupu-sepupunya, itulah juga booth tumpuan mereka. Komik M dan novel remaja menjadi pilihan utama mereka. Belilah... buku punya pasal tidak mengapa. Terima kasih pada Cik Eusni-Ayah Fahimey yang membawa mereka dan turut berbelanja untuk mereka.
Dalam limpahan dan kesesakan pengunjung, kasihan juga melihat beberapa booth yang lenggang. Hairan juga, kebanyakan pengunjung sekadar melewatinya sambil menjeling sahaja. Sesetengahnya ada menawarkan potongan menarik tetapi masih tidak dapat menarik perhatian ulat buku. Entahlah kenapa...
Menjelang penamatnya Pesta Buku ini, jika berkesempatan Insya Allah sekali dua lagi saya berhajat untuk menyinggahinya. Masih ada buku-buku idaman yang belum sempat dibeli. Moga dipermudahkanNya.

Thursday, March 3, 2011

Minat Buku

Dunia buku (terangkum bersamanya majalah, makalah, akhbar dan seumpamanya) sememangnya satu dunia yang kami sekeluarga amat minati dan sayangi. Kami tidak lokek mengeluarkan duit semata-mata kerana buku. Berbanding keperluan semasa yang lain seperti pakaian, alat dandanan dan bermacam benda lagi, buku sentiasa menjadi keutamaan.

Salah sebuah buku yang diminati karya Prof Dr. Hj. Muhd Kamil
Mengingati masa lalu, naluri meminati buku ini telah tumbuh di sanubari saya sejak kecil lagi. Saya sanggup mencuri duit ayah semata-mata ingin membeli akhbar harian dan majalah serta komik yang digemari. Setelah dibeli, ianya akan disembunyikan di mana-mana tempat yang tersorok. Adakalanya tidak sedar ianya rosak dimakan bubuk atau pun anai-anai. Pernah juga tertangkap dek ayah, apalagi kena marahlah.

Namun saya tidak pernah serik. Ketagihan pada buku atau bahan bacaan menjadikan saya anak yang tidak mendengar kata. Ayah marah bukan kerana sayangkan duitnya tetapi bimbang saya lupakan pelajaran sekolah. Saya tidak menyalahkan ayah kerana demikianlah pemikiran orang-orang tua di kampung di tahun 70an yang menganggap pelajaran hanya diperolehi dari buku-buku sekolah.

Ketika di sekolah menengah, seterusnya ke menara gading, naluri minatkan buku tidak pernah padam. Di saat rakan-rakan lain lebih senang membuat fotokopi buku-buku pengajian, saya lebih suka membeli buku baru ataupun terpakai. Ianya memberi lebih kepuasan dan menimbulkan semangat belajar yang lebih kepada saya. Bukannya saya mempunyai banyak duit tetapi saya sanggup berkorban makan-minum serta kehendak lain semata-mata kerana buku.

Setelah bekerja dan mempunyai duit saku sendiri, kedai-kedai buku dan pameran buku sentiasa menjadi destinasi yang wajib disinggahi. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang diadakan setiap awal tahun di PWTC sentiasa dinanti-nantikan. Sanggup saya mengambil cuti kerananya. Ketika berada beberapa tahun di luar negara, saya amat terasa kehilangannya. Sekarang saya serta keluarga telah pun kembali ke tanah air, Insya Allah kali ini tidak akan dilepaskan.

Naluri meminati buku ini turut sama dikongsi bersama isteri yang sememangnya mempunyai minat yang sama sejak sekian lama. Kini anak-anak kami yang sedang meningkat remaja pun sudah sebati dengan buku. Mereka telah dibiasakan dengan buku sejak dalam kandungan lagi. Kemana pergi, buku/majalah yang dicari, alat mainan langsung tidak diendahkan. AlhamduliLlah.

Koleksi buku-buku kami semakin hari semakin bertambah. Buku-buku sedia ada di rumah ditambah pula berkotak-kotak buku yang dibawa pulang dari Melbourne (foto di atas - masih di dalam kotak). Telah lama kami mengimpikan untuk mengadakan perpustakaan mini di rumah. Satu ruang khusus untuk menempatkan kesemua buku-buku tersebut berserta ruang belajar untuk anak-anak. Tempatnya telah pun ada tetapi belum dilengkapi kemudahan dan tiada kesempatan masa. Insya Allah akan diusahakan dalam masa terdekat.

Kami amat mengharapkan moga naluri minatkan buku di dalam keluarga kami ini terus segar mekar sepanjang zaman selagi hayat dikandung badan, berterusan selamanya. Ameen.