Thursday, January 28, 2016

UPKK & PT3 > TAHNIAH Imran & Solehah..!

Ujian Penilaian Kelas KAFA

Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) adalah peperiksaan aliran agama kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), khusus untuk para pelajar Tahun 5 di sekolah rendah agama. Untuk tahun 2015, anak bongsu kami, Muhammad Imran mendudukinya di KAFA (I) al-Ridhuan, Ulu Kelang.

Setelah sesi persekolahan 2016 dibuka, kami masih tertanya-tanya bilakah keputusannya akan dikeluarkan. Akhirnya pada petang Jumaat, 15 Januari 2016, ianya diumumkan di peringkat pusat oleh Ketua Pengarah JAKIM. Selangor mengungguli pencapaian di peringkat negara dengan 5,152 pelajar mendapat 8A, diikuti Kelantan (4,559) dan Terengganu (4,148).

Setelah hampir 2 minggu berlalu, barulah semalam keputusan UPKK diterima oleh sekolah. Aduhai... jauh betul perjalanan dari Putrajaya ke Shah Alam dan Gombak. Tak bolehkah... selepas pengumuman di peringkat pusat terus diedarkan kepada para pelajar di sekolah.

AlhamduliLLAH... dipulangkan kesyukuran kepada ALLAH SWT,  Imran berjaya cemerlang bersama 5,000 pelajar cemerlang Selangor.

TAHNIAH Imran..!

Pentaksiran Tingkatan 3

Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) pula adalah khusus untuk pelajar Tingkatan 3. Tahun lepas adalah kali kedua ianya dilaksanakan bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Anak ketiga kami, Nur Solehah adalah salah seorang calon yang mendudukinya.

Keputusan PT3 telah pun diumumkan pada 14 Disember 2015. Ketika itu kami sekeluarga berada di perantauan Melbourne. Solehah tidak senang duduk dibuatnya. Dengan bantuan applikasi Messenger, SMS dan WhatsApp, satu persatu berita tentang keputusan rakan-rakannya diketahui. Berlebihan lagilah risaunya. Akhirnya dengan dibantu oleh ibu saudaranya, keesokan harinya barulah diketahui keputusannya. 

AlhamduliLLAH, setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat ILLAHI. Tercapai sudah apa yang dicita-citakannya bagi menempatkan diri di kalangan 49 pelajar terbaik MRSM Kota Putera.

TAHNIAH Solehah..!

---------------------------
Cabaran Sebenar

Santai Aussie bersama Imran dan Solehah
Untuk 2016 ini, cabaran yang perlu ditempuhi Imran lebih besar. Dua peperiksaan utama perlu dihadapi. Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di sekolah rendah kebangsaan dan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) seliaan JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) di sekolah rendah agama.  

Bagi Solehah pula, cabarannya lebih hebat lagi. Pada tahun ini Solehah perlu menduduki peperiksaan Cambridge IGCSE (International General Certificate of Secondary Education), manakala pada tahun hadapan pula SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).

Didoakan moga mereka berdua berupaya menghadapi segala cabaran dan dugaan dengan jayanya dan beroleh kecemerlangan bagai yang diimpikan. Berjaya dunia dan akhirat. Aameen.

Paling utama adalah usaha yang berterusan dengan pergantungan setulusnya kepada ILLAHI. Selebihnya bertawakal kepada ALLAH SWT kerana segala-galanya adalah milikNYA.

2 comments:

Anonymous said...

As salam Puan,

Saya seronok membaca perkongsian puan di blog ini...masih belum terlambat nak ucapkan tahniah utk Imran dan Solehah dengan kejayaan yang diperolehi.....
Anak saya baru sahaja mendapat tawaran ke MRSM Kota Putra...pendaftaran pada 15 Februari akan datang...anak saya sekarang sedang belajar di Kolej Tahiz Sains Nurul Aman di bawah kelolaan YIK...

Pohon perkongsian pengalaman puan dengan pembelajaran Solehah di MRSM Kota Putra sepertii hafazan dan akhlak....adakah di sana, anak2 juga diminta membuat tulisan ayat di atas hafazan yang mereka tasmikkan dengan ustaz atau ustazah...penguasaan bahasa arab macam mana.....pohon perkongian mengenai perkara ini sebagai panduan saya..

ropidi 'n laili said...

Waalaikum salam Pn.

Terima kasih atas singgahan di blog kami. Jua atas lafaz Tahniah untuk anak-anak kami. Syukur AlhamduliLLAH.

TAHNIAH kerana anak puan dapat tawaran ke MRSM Kopu. Berdasarkan pengalaman Solehah, aktiviti hafazan sememangnya rutin harian pelajar, diikuti tasmik bersama ustaz/ ustazah. Secara berkala diadakan pula murajaah (ulangkaji hafazan). Pelajar juga diminta menulis kembali setiap ayat dibaca ke buku yang disediakan. Akhirnya ia akan menjadi cenderahati yang paling istimewa setelah khatam 30 juz. Bagi bahasa Arab pula terutama komunikasi perlu kepada usaha berterusan pelajar sendiri.

Moga ada manafaatnya.