Hujung minggu baru-baru ini (17 - 18/11/2012), kami menghadiri undangan walimatul urus adik biras/ipar (Suraya) di Sri Menanti, Muar, Johor. Hampir seluruh anak cucu Hj Tauhid-Hjh Azizah turun ke sana. Dikira hitung hampir 30 orang kesemuanya. Alang-alang dah bertemu muka, kami berpakat untuk menyewa resort/ homestay di Muar. Carian kami beberapa minggu sebelumnya menemukan kami dengan Trata' Leka yang terletak berdekatan Pantai Leka, Parit Jawa.
Persekitaran hadapan Trata' Leka |
Persekitarannya nyaman sekali dengan kehijauan pepohonan renek dan bunga-bungaan pelbagai jenis yang melatari hampir keseluruhan kawasan, ibarat berada di dalam taman yang terbentang luas. Sejuk mata memandang, terasa damai di hati.
Sebahagian daripada koleksi foto dapat diakses di Album Foto Kami (kiri laman) atau klik di sini.
Trata' Ibu menjadi rumah rehat keluarga, manakala selebihnya untuk disewa. Menurut Dr. Rosli, kesemua rumah tersebut adalah rumah asal yang dibeli dan dipasang kembali. Insya Allah usaha
sedang dilakukan untuk mendapatkan beberapa buah rumah lagi, antaranya
rumah Minang, Kedah dan Perak termasuk sebuah rumah besar untuk dewan dan bilik
seminar.
Kami menyewa kesemua 3 buah rumah termasuk tree house yang menghadap ke kolam renang. Pada malamnya, 2 anak bujang; Izzuddin dan Arif Farhan menjadi 'penunggu' tree house. Manakala lain-lain rumah dikongsi mengikut 'mahram jantina'. Menariknya, beberapa buah basikal pelbagai saiz disediakan untuk kegunaan penyewa. Hampir kesemua daripada kami menggunakannya termasuk atuk dan nenek.
Mandi-manda di kolam renang |
Pagi petang mereka berendam sambil melakukan pelbagai aktiviti bersama/ bersendirian. Jelas terpancar keseronokan pada wajah mereka. Demikianlah anak-anak apabila dapat bersama-sama dengan sepupu-sepapat mereka. Tidak kurang juga ibu-ibu dan bapa-bapa.
Di sela waktu antara Maghrib-Isyak dan selepas solat Subuh hingga waktu Syuruk, menjadi wadah pengisian ilmu yang disampaikan oleh Atuk Tauhid. Seronok-seronok juga (bersantaian cuti) tetapi jiwa dan hati juga perlu disuburkan dengan iman dan amal.
Di kesempatan yang ada, kami berbasikal menyusuri jalan menuju ke jeti nelayan di Pantai Leka. Bot-bot nelayan teroleng-oleng tertambat di tepian jeti. Kami singgah di penghujung jeti sambil menghayati persekitarannya. Deretan pepohon bakau dengan burung-burung putih bertenggek jelas kelihatan.
Kembara ke jeti nelayan |
Tidak jauh daripadanya, kerja-kerja menurunkan ikatan-ikatan batang nibung ke dalam air sedang giat dilakukan. Menurut pekerja yang ditanya, ianya untuk mengelak kawasan tersebut daripada dicerobohi. Tidak pasti pula apa projek yang dirancangkan.
Bertolak pulang ke Kuala Lumpur, kami menyinggah makan di Restoran Abu Bakar Hanifah yang terletak tidak jauh dari Jalan Maharani. Menu utamanya pasti sahaja Mee Bandung Muar. Secara peribadi, juadahnya memang sedap tetapi rasa kurang selesa kerana ianya menumpang Restoran Wah San. Pelanggannya memang ramai, mungkin suatu hari nanti ia boleh hidup sendiri.
Selamat tinggal Trata' Leka dan Muar. Insya Allah teringin juga untuk kembali lagi. Jutaan terima kasih kepada Dr. Rosli dan isteri serta Sdr Najib yang melayan kami dengan baik sepanjang percutian kami. Moga kalian sentiasa dimurahkan rezeki olehNya. Ameen.
2 comments:
Asslmkum. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana memilih untuk bersama kita buat seketika di trataleka. Saya amat suka mendengar yang tuan dan sekeluarga begitu ceria dan mendapat menerima trata kami seadanya. Gelak ketawa senyuman anak-anak sepupu sepapat semasa disini sudah memyerikan hati kami. Terima kasih, agar bertemu kembali. Salaam sejahtera
Salam sya bg pihak dktor dn puan mgucapkan ribuan trma kasih atas kdtangan tuan, puan sekeluarga dn sdare mara di trata leka. Sekian terima kasih.
Post a Comment