Thursday, August 16, 2012

Nostalgia Ramadhan di Australia

Ramadhan telah pun sampai ke penghujungnya.

Melalui detik-detik Ramadhan, seringkali terbayang di mata suasana Ramadhan ketika di luar negara, khususnya di Dandenong, Melbourne, Australia di mana kami bermukim selama hampir 4 tahun. Berada di bumi asing dari budaya kemelayuan dan dengan persekitaran majoriti non-Muslim, suasana Ramadhannya ternyata amat berbeza. Namun aura Islamnya masih dirasai tatkala berada di kalangan umat Islam setempat dengan majoritinya berketurunan Turki bermazhab Hanafi.

Bulan Ramadhan yang kami lalui biasanya di akhir musim sejuk membawa ke awal musim bunga. Suhunya di sekitar 15C-20C. Hawa sejuknya masih terasa. Justeru itu maksiat mata masih terkawal kerana rata-rata wanita di sekeliling masih memakai pakaian musim sejuk, membungkus diri dari hujung kaki hingga ke leher. Lazimnya hanya rambut yang kelihatan ketika berurusan di premis perniagaan. Kecualilah pada hari bercuaca panas, pandangan mata sedikit tergugah.

Waktu siang di musim sejuk/bunga biasanya lebih pendek, kira-kira 11 jam sahaja. Namun tiada masalah kerana lapar dan dahaga tidak terasa dek suasana persekitaran yang sejuk. Dari pemerhatian kami, anak-anak Turki di peringkat sekolah rendah (5-11 tahun) kurang diberi penekanan kewajiban puasa berbanding anak-anak warga Malaysia. Cuma dugaannya lebih sedikit kerana para pelajar non-Muslim bebas makan di hadapan anak-anak. Namun tiada masalahnya bagi mereka... alah bisa tegal biasa.

Pada malam hari suhunya lebih sejuk, biasanya di bawah 15C. Di Masjid Emir Sultan berdekatan rumah kami selalunya memasang alat pemanas untuk memberi keselesaan kepada para jemaah. Solat tarawih bagi masyarakat Turki sedikit berbeza yakni setiap 4 rakaat 1 salam, manakala 3 rakaat 1 salam pula untuk solat witir. Selawat Nabi antara rakaat juga berbeza tetapi mudah untuk diikuti.

Di Dandenong, terdapat hampir 20 komuniti Muslim warga Malaysia. Hubungan kami amat rapat sekali. Merekalah teman, merekalah saudara dan ahli keluarga. Tradisi berbalas-balas juadah berbuka adalah satu kelaziman yang masih terpelihara. Seronok sekali. Adakalanya pelbagai juadah memenuhi meja berbuka.

Pada setiap petang hujung minggu selalunya kami berkumpul di rumah-rumah tertentu secara bergilir-gilir. Kami berbuka puasa bersama sambil menikmati pelbagai juadah tradisional Melayu hasil air tangan rakan-rakan. Terubat rasa rindu pada tanah air. Seterusnya kami solat Maghrib berjemaah, diikuti solat Isyak-Tarawih dan Witir.

Bazaar Ramadhan pula hanya terdapat pada hujung minggu sahaja di rumah-rumah tertentu mengikut lokasi ramai dihuni oleh warga Malaysia dan juga di perkarangan Malaysia Hall. Ianya dikendalikan sendiri oleh mereka yang rata-ratanya para pelajar universiti. Kami pun turut sama berjual dengan juadah istimewa kami, dendeng.

Demikianlah sepintas lalu suasana Ramadhan yang kami lalui ketika di perantauan Australia dahulu. Kini hanya tinggal kenangan yang pasti tidak dilupakan sepanjang hayat di kandung badan.

No comments: