Friday, August 3, 2012

Bagaimanakah Puasa Kita?

[Muhasabah diri khusus untuk diri ini yang sering lupa dan tewas akan kewajiban kepada al-khaliq. Moga ada manafaat bersama]

Sedar atau tidak, Ramadhan telah pun menghampiri separuh bulan. Begitu cepat masa berlalu. Walaupun masih berbaki hampir 15 hari lagi tetapi percayalah ianya akan tetap pantas meninggalkan kita. Apatah lagi apabila semakin dekat dengan 1 Syawal.

Persoalannya bagaimanakah dengan puasa kita sehingga kini dan seterusnya? Apakah ianya mengikut acuan agama atau sebaliknya? Seronokkah kita dengannya? Di manakah tahap puasa kita untuk kita bawa sebagai bekalan menghadap Allah azza wajalla nanti?

Puasa adalah suruhan Allah SWT. Kita sebagai hambaNya wajib patuh dan taat kecuali tergolong di kalangan yang dibenarkan secara bersyarat yang ketat.

Sedih hati tatkala terlihat dan terbaca kisah mereka yang segar bugar dengan 'muka tak malu' tidak berpuasa. Dengan kata lain mereka telah menderhakai Allah SWT. Untuk mereka ini Allah memberi satu pilihan sahaja iaitu carilah bumi lain jika merasa diri terlalu hebat. NauzubiLlahi minzalik.

Bagi yang mengimani akan ibadah puasa, marilah kita perhatikan apa yang telah dinukilkan oleh Imam al-Ghazali di dalam kitab Ihya' Ulumuddin. Puasa dibahagikan kepada 3 darjat iaitu puasa umum, puasa khusus dan puasa khususul khusus (lebih khusus).

Puasa umum adalah puasa orang lalai iaitu sekadar menahan lapar dan dahaga serta anggota sulit daripada syahwat.

Lazimnya, mereka tidak kisah dengan pelbagai suruhan dan larangan Allah SWT seperti culas bersolat, mendedahkan aurat (termasuk dikatakan berpakaian tetapi telanjang), melakukan rasuah, berdusta dan sebagainya. Apa yang diperolehi mereka hanyalah lapar dan dahaga... amat rugi sekali.

RasuluLlah SAW bersabda,"Ramai orang berpuasa tetapi tiada memperolehi dari puasanya melainkan lapar dan dahaga" (HR Ibn Majah, Ahmad dan Baihaqi)

Puasa khusus pula adalah puasa orang soleh yakni mengekang telinga, mata, lidah, hidung dan anggota badan lain daripada perkara-perkara haram dan berdosa. Ingin disentuh di sini termasuklah dalam cara berpakaian yang memenuhi syariat dan menjaga perut daripada tuntutan nafsu makan.

Di samping menjaga amalan puasa, amalan harian lain juga terpelihara seperti solat wajib dan sunat, banyak bersedekah, membaca dan memahami kandungan al-Quran, beriktikaf di masjid, menghadiri majlis-majlis ilmu, beribadah di sepertiga malam, memperbanyakkan zikir, doa dan istighfar serta lain-lain amal kebajikan.

Inilah tahap yang sewajarnya bagi kita. Sentiasa terdetik di hati rasa khauf (takut) akan puasa ditolak oleh Allah SWT dan rasa roja' (harap) agar amalan kita itu diterima olehNya. Marilah kita berusaha sedaya mungkin untuk melaksanakannya sebaik mungkin dengan keimanan yang jitu agar kita menjadi insan terbaik di sisiNya.

Sabda RasuluLlah SAW,"Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharap ganjaran pahala, maka diampunkan dosa-dosa yang lepas dan akan datang" (HR Bukhari)

Manakala puasa khususul-khusus adalah puasa orang yang amat-amat dekat dengan Allah SWT. Puasanya bukan sekadar puasa khusus tetapi hatinya juga berpuasa dari segala cita-cita yang kotor dan pemikiran keduniaan di mana perhatiannya hanya tertumpu pada Allah semata-mata.

Bagi kita berstatus orang awam ianya mungkin 'jauh panggang dari api' tetapi tidak salah untuk kita mengidamkannya dengan menjadikan amalan golongan ini sebagai teladan dalam beribadah.

Moga pada Ramadhan tahun ini kita dirahmati dan diredhai Allah SWT. Kita tidak mahu apabila tamatnya Ramadhan barulah kita tersedar betapa kita telah pun terlepas akan tawaran maha lumayan dari Allah SWT terutamanya anugerah paling diimpikan iaitu pengampunan dosa dan keberkatan Lailatul Qadar.

Ya Allah, terimalah setiap amal kebaikan yang kami lakukan, rahmatilah kami dan jadikanlah kami hambaMu yang terbaik di sisiMu. Ameen Ya Rabbal 'alameen.

No comments: