Telah hampir 2 minggu Iddin berada di asrama MRSM Serting. Semalam kami bertandang ke sana. Menghantar sedikit sebanyak keperluan tambahan, sekaligus melepaskan rasa rindu ahli keluarga.
Perjalanan sekitar 2 jam, kira-kira 140 km dari Hulu Kelang lancar. Cuacanya pula baik sekali. AlhamduliLlah, setinggi-tinggi kesyukuran padaNya.
Melewati jam 10:00 pagi, kami tiba di perkarangan asramanya, Al-Ghazali. Para pelajar baru sahaja selesai melakukan rutin pagi Ahad, bergotong royong membersihkan persekitaran asrama. Kelihatan ibu bapa/penjaga mula sampai untuk bertemu anak-anak, terutama di kalangan pelajar Tingkatan 1.
Biasalah bagi anak-anak yang baru berjauhan daripada keluarga. Kunjungan awal ibu bapa amat bermakna bagi memberi sokongan moral. Insya Allah, lama-kelamaan mereka akan dapat menerima hakikat perpisahan sementara dan belajar menguruskan diri sendiri. Satu proses pembelajaran yang amat penting untuk masa hadapan mereka. Teringat zaman kami bergelar pelajar dahulu. Ibunya di MRSM Kota Bharu, manakala saya pula di SM Sains Dungun.
Bagi Iddin, ianya tiada masalah. Rindunya pada keluarga tidak dapat dielakkan tetapi banyak masa terpenuh dengan aktiviti persekolahan dan rutin hidup di asrama. Adakalanya amat memenatkan, sehinggakan ada saatnya terlelap di dalam kelas. Waktu tidur malam adalah masa yang amat-amat ditunggu-tunggu. Itulah waktu rehat yang melegakan.
Bergerak keluar dari pagar MRSM, kami terus menuju ke Bandar Bahau, kira-kira 20 minit perjalanan. Menurut Iddin, di Pekan Serting tiada banyak pilihan terutama melibatkan keperluan persekolahannya. Ok juga, bolehlah kami berjalan-jalan di Bahau.
Melilau juga kami mencari kedai buku di Bahau. Akhirnya ketemu Pusat Buku Arena yang terletak bersebelahan Pasaraya Billion. Ternyata sambutannya hebat sekali. Ramai anak-anak sekolah yang dibawa oleh ibu bapa untuk berbelanja di sini. Mungkin juga inilah satu-satunya kedai buku dan alatulis yang lengkap di Bandar Bahau.
Bukan sahaja Iddin yang membeli buku-buku keperluannya tetapi Hanisah, Solehah dan Imran juga tidak ketinggalan. Seterusnya kami makan tengahari di Restoran Hijas dan sedikit sebanyak berbelanja keperluan harian di Pasaraya Sakan milik Haji Umar, bersebelahan Pusat Buku Aneka.
Melewati waktu Zohor, kami singgah menunaikan solat jamak taqdim di Masjid Tuanku Mukhriz yang tersergam indah di persimpangan jalan masuk ke Bandar Seri Jempol. Kagum kami dengan senibinanya.
Namun kami amat sedih melihatkan kedaifan dan kebersihan tandasnya yang kurang terurus - lelaki dan perempuan. Ramai jemaah yang merungut dan meluahkan rasa terkilan mereka. Dahlah bilik tandasnya hanya 4 unit sahaja, kesemuanya bermasalah; antaranya pintu tandas tercabut, najis membuak naik apabila dipam, tiada salur paip, air tadahan berwarna coklat dan bermacam lagi. Terbantut terus qadha hajat yang dihajati.
Di dalam Islam, kebersihan amat diberatkan, malah dikatakan sebahagian daripada iman. Kiranya ada AJK masjid yang terbaca entri ini, harap dapat diambil perhatian.
Hampir jam 3:30 petang, kami bergerak meninggalkan MRSM Serting. Pilu juga hati untuk berpisah. Selamat tinggal Iddin. Insya Allah ketemu lagi pada cuti Penggal nanti. Moga dirinya sentiasa di bawah lindungan dan peliharaan Allah SWT. Ameen.
No comments:
Post a Comment