Dalam jarak masa 2 minggu, telahpun 2 kali kami ke Negeri Sembilan. Kedua-duanya atas urusan keluarga - pendaftaran Iddin di MRSM Serting dan melawatnya di hujung minggu.
Belum kesampaian lagi hajat kami untuk melancong di Negeri Minangkabau~Adat Perpatih ini. Kami pergi pun tergesa-gesa, pergi-balik sahaja pun memakan masa hampir 5 jam. Apatah lagi untuk menyinggah di sana sini.
Malah Teratak Za'ba (sebelah) di Batu Kikir, Jempol pun belum kami santuni. Hanya mercu tanda berlambang buku yang sempat ditenung sepintas lalu sementara menunggu lampu merah bertukar hijau di persimpangan jalan Muadzam-Bahau-Bandar Seri Jempol.
Pendeta Za'ba adalah seorang pejuang bahasa Melayu yang gigih memartabatkan bahasa ibunda ke persada negara dan antarabangsa. Sewajarnya jasa dan sumbangannya diingati sepanjang zaman.
Ketika dalam perjalanan pergi balik ke Jempol melalui Kuala Pilah-Bahau, banyak sekali kelihatan papan-papan tanda coklat membariskan lokasi-lokasi pelancongan di sekitarnya; antaranya Hutan Lipur Ulu Bendul, Muzium Diraja Seri Menanti, rumah Tuan Tulis dan tapak megalitik (batu besar prasejarah).
Menyusuri laluan Kuala Pilah terutamanya di Pelangai dan Tanjung Ipoh, kami tertarik dengan bangsal-bangsal jualan bermacam jenis daging dan ikan salai. Khabarnya sodap sekali jika dimasak lemak cili api. Di samping itu telur itik, gula enau, madu lebah dan buahan tempatan juga ada dijual. Telahan kami, inilah salah satu keunikan dan keistimewaan Kuala Pilah.
Sedar ataupun tidak, didapati Kuala Pilah (orang kampung panggil Pilah sahaja) bagaikan kawasan lama yang kurang membangun berbanding dengan Bahau. Adakah kerana Pilah majoriti penduduknya Melayu, manakala Bahau pula penduduknya dari kalangan orang-orang Cina? Maaf, saya tidak bermaksud perkauman... sekadar untuk direnungi bersama.
Insya Allah di lain ketika, bersama-sama dengan Iddin kami akan bermalam di mana-mana tempat di sekitarnya. Papan tanda homestay pun banyak kelihatan di sepanjang jalan. Barulah ada masa untuk berkunjung ke tempat-tempat tumpuan ramai di Negeri Sembilan.
Sesungguhnya keindahan alam dan kepelbagaian budaya adalah anugerah Allah SWT untuk direnungi dan diambil iktibar daripadanya. Ianya tidak sia-sia. Terlalu banyak pengajaran dan pengetahuan yang tersurat dan tersirat untuk difikirkan. Apa yang baik sewajarnya diteladani, manakala yang tidak baik disempadani berlandaskan kepada ketetapan agama nan suci, Islam.
No comments:
Post a Comment