Tuesday, July 19, 2011

Perginya Seorang Mujahidah

Sejambak mewangi Al-Fatihah seikhlas hati kami titipkan untuk Almarhumah Dr. Hajjah Lo' Lo' Datuk Hj. Mohd Ghazali yang telah kembali ke rahmatulLlah pada malam Isnin (17/07/2011) baru-baru ini. Sekitar jam 10:15 malam, beliau menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Selayang setelah sekian lama menderita kanser paru-paru.
Jenazah beliau telah ditempatkan di Masjid Al-Akram, Kg. Datuk Keramat, KL sehinggalah disolatkan oleh ribuan penziarah dan dikebumikan penuh tawadduk di Tanah Perkuburan Islam berdekatan pada keesokan harinya.
Ya Allah, ampunilah akan segala salah-silapnya, rahmatilah akan rohnya, himpunkanlah ia di kalangan hamba-hambaMu yang diredhai. Ameen.
Pasti ramai yang merasa hairan, apakah hubungan kami dengan Almarhumah. Terus terang tiada apa yang istimewanya. Saya mengenalinya sebagai seorang doktor perubatan yang menceburkan diri dalam politik berlandaskan Islam. Tambahan pula beliau seorang Ahli Parlimen. Namun bagi Laili mungkin sebagai rakan yang sama-sama menceburi bidang profesional yang sama.
Walaupun Almarhumah mewakili blok pembangkang tetapi kami mengkagumi keberanian dan istiqamah beliau di dalam melaksanakan misi dakwah, mengajak umat manusia ke arah jalan yang diredhaiNya. Usaha-usaha dakwahnya telah bermula sejak zaman pengajian lagi, berterusan tanpa mengira penat-lelah dan perit-getir sehinggalah ke akhir hayatnya. Selayaknya beliau dinobatkan sebagai srikandi mahupun mujahidah Islam.
Berita kematiannya kami terima di sebelah paginya. Laili bersama rakan sekerja, Prof Madya Dr. Harlina meluangkan masa menziarahi jenazah beliau di Masjid Al-Akram. Dikhabarkan khalayak pengunjung begitu ramai sekali hinggakan bekalan air paip dari tangki masjid kekeringan. Begitu tinggi sanjungan dan kasih sayang ramai untuk beliau.
Al-Fatihah.

No comments: