Tuesday, July 26, 2011

Hari Keluarga Hj Zubir

Buat kesekian kalinya, kira-kira separuh daripada lebih 200 orang anak-cucu-cicit-piut kepada Almarhum Tuan Haji Zubir @ Lebar @ Leber @ Maanoh @ Mat Noh dan Almarhumah Hajjah Tayyam berkumpul lagi. Kali ini bertempat di Al-Sakinah Eco Resort @ Janda Baik, Pahang pada tarikh 22-24 Julai baru-baru ini. Satu lokasi yang damai, tenang dan segar dilingkungi pepohonan menghijau dan sebatang kali yang mengalir sejuk airnya.
Simbolik bermulanya Majlis Sambutan Hari Keluarga kali ini adalah aktiviti meredah hutan dari Kemensah, Hulu Kelang sehinggalah ke Janda Baik yang disertai oleh beberapa anak-cucu-cicit Hj. Zubir. Mereka memulakan perjalanan pada petang Jumaat, bermalam di hutan dan tiba di destinasi yang ditujui menjelang tengahari keesokan harinya.
Demikianlah imbasan perjalanan yang terpaksa ditempuhi oleh Hj. Zubir dan Hajjah Tayyam selama berminggu-minggu ketika zaman kanak-kanak mereka. Merantau dari Pulau Jawa meninggalkan sebahagian keluarga di sana, seterusnya berjalan kaki menyusuri laluan keretapi sehingga tiba di Kg. Bukit Bangkong, Selangor semata-mata merintis kehidupan yang lebih terjamin untuk zuriat keturunan mereka di kemudian hari.
Secara umumnya, Hj Zubir-Hjh Tayyam mempunyai 10 orang anak; 5 lelaki dan 5 perempuan. Abah Hj. Tauhid adalah anak lelaki pertama dan juga anak kedua dalam keluarga selepas arwah Wak Long Samiah. Hampir kesemua anak-anak Hj. Zubir telahpun mempunyai cucu/bakal menimang cucu. Malah anak Wak Long ada yang telah bergelar datuk/nenek, bermakna keturunan Hj. Zubir kini telah pun berkembang sehingga generasi ke-4.
Sebahagian daripada keluarga Abah Hj. Tauhid ketika sesi Takruf Keluarga
Walaupun hanya sebahagian sahaja ahli keluarga yang dapat menghadirkan diri pada sambutan Hari Keluarga pada kali ini, namun kemeriahannya tiada kurangnya. Inilah masa dan saatnya kami semua dapat berkumpul dan saling kenal mengenali secara lebih dekat setiap ahli keluarga. Sesi Takruf setiap keluarga induk amat banyak membantu. Begitu juga dengan program Explorace, memancing, mewarna dan pelbagai lagi dapat mengeratkan silaturrahim dan rasa hormat di kalangan ahli keluarga. Tidak dilupakan juga slot Tazkirah Maghrib dan Subuh sebagai santapan rohani; bekalan dan peringatan selama di dunia.
Bagi kami sekeluarga yang hampir 4 tahun di perantauan Australia, terlalu banyak pertambahan dan perubahan ahli keluarga Hj. Zubir. Dari pemerhatian kami, sebahagian daripadanya adalah orang baru samada yang baru berkahwin, mendapat zuriat, yang kecil telahpun meningkat remaja dan bermacam-macam lagi.
Juara Explorace meraikan kemenangan
Slot pengkisahan sejarah hidup Hj. Zubir dan Hjh. Tayyam yang disampaikan oleh Hj. Shuib dan Hj. Tauhid amat menyentuh perasaan. Ramai yang mengalirkan air mata terharu mengingatkan setiap pengorbanan mereka yang tiada taranya. Dengan izin Allah SWT, hasilnya kini dikecapi penuh ni'mat oleh zuriat-keturunan mereka berdua. AlhamduliLlah, setinggi-tinggi pujian kehadrat Illahi.
Ya Allah, ampunilah dosa dan salah-silap Hj. Zubir dan Hjh. Tayyam, dirahmatilah kedua-duanya dan tempatkan mereka di syurgaMu tanpa hisab.
Ya Allah, suburkanlah hati-hati kami dengan nilai iman dan Islam serta ukhuwah yang baik sesama kami.
Ameen, ameen, ameen Ya Rabbal 'alameen".

No comments: