
Lihatlah beberapa foto (terima kasih al-ikhwan photography) ketika majlis ceramah beliau yang diadakan di Masjid Al-Ridhuan, Hulu Kelang pada hujung minggu baru-baru ini. Penuh sesak samada di dalam masjid mahupun di perkarangannya. Enam skrin besar yang disediakan membuatkan semua orang merasakan seolah-olah turut berada berhadapan dengan ustaz.
Walaupun kebanyakan aktiviti dakwah Ustaz Azhar banyak tertumpu di Pantai Timur tetapi setiap kali kehadiran beliau di Lembah Kelang amat dinanti-nantikan. Mengikut jadualnya, setiap 2 bulan sekali (bulan ganjil, di penghujung bulan) beliau akan turun ke ibu kota bagi memenuhi undangan berceramah.

Ketika berada di Australia dahulu, saya langsung tidak mengetahui tentang Ustaz Azhar ini. Walaupun kuliah hariannya banyak terdapat di Youtube tetapi saya kurang mengendahkannya.
Sekembalinya ke tanah air pada bulan Januari lalu, saya berpeluang mengikuti ceramah bulanannya di Masjid Al-Ridhuan. Terkejut saya melihatkan sambutan yang diberikan. Dianggarkan seramai 5,000 orang hadir. Pada bulan Mac, 2011, bilangan pendengar meningkat sehingga 7,000 orang. Khemah tambahan di perkarangan masjid juga penuh. Begitu juga hari Sabtu malam Ahad baru-baru ini. Jangkaan saya khalayak pendengarnya menghampiri 10,000 orang. Seronok sekali melihat masjid dimakmurkan seumpamanya.
Demikianlah betapa tersohornya Ustaz Azhar. Entah dari mana datangnya khalayak yang begitu ramai. AlhamduliLlah, dalam lingkungan dugaan keduniaan yang amat menggoda, masih ramai lagi yang sanggup mengorbankan sedikit masa semata-mata mencari penawar jiwa demi menagih kasih sayangNya.

Namun ada ketikanya tutur bicaranya agak kasar dan kesat apabila menyentuh isu-isu tertentu. Itu yang saya kurang gemari. Menurut beliau, ianya perlu demi memberi kesedaran dan peringatan yang lebih mengesankan. Tidak mengapalah, itu cara masing-masing. Lembut dan keras ada hikmahnya tersendiri. Ianya tidak mengubah keinginan saya mendapatkan mutiara ilmu di celah-celah butir bicaranya.
Moga usaha murni Ustaz dalam berdakwah dirahmati dan diberkati oleh Allah SWT. Terima kasih Ustaz. Tidak sabar menunggu sesi ceramah berikutnya pada akhir bulan Julai nanti.