Wednesday, January 12, 2011

Selamat Tiba di Malaysia

AlhamduliLlah, Penerbangan MAS; MH148 selamat mendarat di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) jam 8:30 malam tadi. Penerbangan selama hampir 8 jam lancar di bawah lindungan dan peliharaan Allah SWT.

Ketibaan kami disambut penuh gembira dan kesyukuran oleh emak-abah serta Bakhtiar-Suraya berserta si-comel, Zahra. Anak-anak kami; Izzuddin, Hanisah, Solehah dan Imran kelihatan amat seronok sekali.

Dalam seminggu-dua ini kami agak sibuk dengan aturan hidup baru. Terkejar ke sana ke sini - antaranya urusan pendaftaran sekolah, urusan pejabat dan pulang menziarahi keluarga di Terengganu dan Sepang. Mungkin kurang masa yang terluang untuk mengemaskini blog ini. Mohon maaf.

Dalam kesibukan seharian, sering kali terkenang akan liku-liku kehidupan yang dilalui bersama-sama dengan rakan-rakan di Melbourne, khususnya warga Kg Dandy dan SEFC.

Keakraban ukhwah yang terjalin hampir 3 1/2 tahun banyak mengajar diri akan erti sebuah persahabatan dan persaudaraan. Hubungan kami ibarat adik beradik, susah senang ditanggung bersama. Alangkah indahnya silaturrahim di perantauan. Moga berkekalan selamanya. Ameen.

Selepas pulang dari New Zealand di awal tahun, kami tinggal sementara di rumah Dr. Asmadi @ Keysborough. Saban hari ada sahaja jemputan makan dari rakan-rakan, dari pagi hinggalah ke malam. Terima kasih, moga kalian dimurahkan rezeki. Ameen.

Sebelum bertolak ke Melbourne Airport, kami berkumpul di rumah lama kami di Heatherton Rd, kini didiami oleh keluarga Zain-Saliza. Sekaligus menjadi pusat pertemuan terakhir untuk kami. Suasana sedih dan sayu menyelubungi semua. Tidak sanggup rasanya untuk berpisah. Lambaian perpisahan bagaikan satu mimpi pula. Namun apakan daya, demikianlah adat merantau, sampai ketikanya perlu kembali ke tempat asal.

Tidak dilupakan juga, terima kasih kepada rakan-rakan yang menghantar kami dan juga kepada yang menunggu kami di lapangan terbang.

Insya Allah ketemu kita di tanah air nanti.

3 comments:

rezeki said...

salam

alhamdulillah

keluarga tuan selamat sampai ke tanah air setelah berkelana beberapa tahun di negeri orang

rasanya mcm baru lagi mengikuti blog "salam monash" menunjukkan masa berlalu begitu pantas sekali

semoga pengalaman tuan sekeluarga di sana memberikan banyak pengalaman yg berguna buat anak2 dan keluarga

yg baik boleh dijadikan teladan
yg buruk boleh jadikan sempadan

selamat kembali ke tanah air

ropidi 'n laili said...

Salam dan terima kasih.

Moga segalanya dipermudahkan olehNya. Ameen.

Nor Fadzlina Nawi said...

Salam,

Maaf tak kesempatan kami nak berjumpa sebelum Abg Ropidi & Kak Laili sekeluarga pulang. Insya Allah nanti boleh bertemu di Malaysia pula. Selamat kembali dan meneruskan jasa khidmat di Malaysia pula :-)