Wednesday, December 29, 2010

NZ 02 : @ Queenstown

Queenstown terletak di selatan Southland, South Island. Penduduknya dianggarkan kira-kira 12,000 orang. Ianya terkenal sebagai kawasan pelancongan dan dikunjungi sepanjang tahun dengan kepelbagaian tarikan seperti keindahan tasik, aktiviti musim sejuk dan kegiatan lasak.

Kiwi Birdlife Park

Kunjungan pertama kami di Queenstown adalah ke Kiwi Birdlife Park, Brecon St, tidak jauh dari motel. Taman burungnya tidak berapa luas, hanya 8 ekar diusahakan secara persendirian oleh keluarga Wilson. Berjalan-jalan di bawah payungan pepohonan menghijau dari satu hentian ke satu hentian seterusnya terasa begitu nyaman sekali. Penat pun kurang terasa.

Tumpuan pertama kami adalah Live Conservation Show (30 minit) sambil diberikan penerangan penuh maklumat oleh petugasnya. Bermula dengan burung lorikeet, diikuti haiwan natif New Zealand, antaranya kiwi, possum, ferret dan tuatara. Pertama kali kami melihat tuatara yang seakan-akan biawak/iguana tetapi mempunyai ekor dan belakang seumpama buaya.

Tidak sangka pula kiwi adalah sejenis burung yang hanya keluar di malam hari sahaja dan amat sensitif kepada cahaya. Ingatkan sama seperti burung-burung lain walaupun ia tidak dapat terbang seperti penguin. Bagi yang berminat melihat kiwi diberi makan, terdapat beberapa sesi yang disediakan di dalam Kiwi House yang gelap, hanya diterangi cahaya suram lampu merah.

Menyusuri laluan yang disediakan, para pengunjung berpeluang melihat pelbagai jenis burung natif lain di setiap sangkar. Juga persekitaran Early Maori Hunting Village dan Native Garden Trail. Menariknya setiap pengunjung diberikan alat audio yang mengandungi informasi setiap exhibit bernombor yang ada.

Skyline

Kunjungan kami seterusnya adalah ke Skyline yang terletak bersebelahan Kiwi Birdlife Park. Untuk naik ke puncak curam setinggi 450 meter, kami perlu menaiki kereta kabel, dikenali sebagai gondola. Seterusnya menaiki chairlift menuju ke Luge Centre untuk menguji kemahiran memandu kereta menuruni cerun berliku-liku sejauh 800 meter, kembali ke tempat permulaan chairlift. Pengalaman yang amat menyeronokkan bagi anak-anak.

Pemandangan Lake Wakatipu yang dilingkungi Bandar Queenstown dan gunung-ganang di sekitarnya amat mempesonakan. Begitu juga pemandangan banjaran gunung The Remarkables, Coronet Peak, Cecil Peak dan Walter Peak. Maha Suci Allah. Betapa besar dan agungnya kekuasaan Allah SWT.

Glenorchy

Di sebelah petangnya pula kami ke Glenorchy, hilir/kepala kepada Lake Wakatipu. Lagenda Maori mengatakan, kepala gergasi Matau terletak di Glenorchy.

Dari Queenstown, jaraknya kira-kira 45 km menyusuri pesisir Lake Wakatipu. Kami menyinggah di Wilson Bay dan juga beberapa look out untuk menghayati keindahannya sambil merakamkan foto kenang-kenangan. Air tasik yang sedikit beralun di permulaan perjalanan di Queenstown bertukar tenang, setenang-tenangnya apabila semakin menghampiri hilirnya. Imbasan gugusan gunung, pepohonan dan pulau jelas kelihatan di permukaan tasik.

Di setiap gunungnya pula kelihatan alur-alur, laluan glasier/salji yang mencair ketika musimnya. Di sebahagian gunung pula kelihatan salji memutih di puncaknya, diselubungi kabus di sekitarnya.

Pekan Glenorchy kecil sahaja. Dianggarkan penduduknya sekitar 200 orang sahaja. Kebanyakan rekabentuk rumah dan kedainya berkonsep lama. Umumnya Glenorchy terkenal sebagai tumpuan pelancung yang meminati kegiatan lasak seperti meredah hutan, mendaki gunung, mengenderai kuda, memandu bot laju, terjun udara, memancing dan juga kegiatan di musim sejuk.

2 comments:

rezeki said...

salam

alhamdulillah

tercapai hajat tuan sekeluarga utk menjelajah bumi NZ sebelum pulang ke tanah air

NZ suasana nya rasa lebih kurang Scotland dgn keindahan alam semulajadi

kami juga menyimpan hajat utk mengembara di bumi NZ suatu hari nanti , tapi nak habiskan dulu jelajah aussie dgn berkereta yg asyik tertangguh je krn kekangan masa

ropidi 'n laili said...

salam,

Terima kasih. insya Allah moga hajat dan impian menjadi kenyataan.

Dalam mengembara terlalu banyak iktibar dan ilmu yang dapat diambil iktibar sebagai pakaian untuk hari mendatang terutama sebagai khalifahNya di muka bumi. Malah Imam AsShafie amat menyarankan kita mengembara.