Friday, September 3, 2010

Tetamu Malaysia : Emak Abah

Sekarang ini ada tetamu di rumah kami. Insan-insan yang istimewa dan amat dekat dengan kehidupan kami terutama bagi Laili. Mereka adalah ibu bapa/ emak abah Laili dan adik-adiknya iaitu Nita Hanani bersama suami, Redzuan dan anak-anak; Abid dan Kaisah. Juga adik bongsu Laili, Nasrul Hakim.

Mereka selamat tiba di Melbourne pada pagi Rabu lalu. Insya Allah mereka akan berada di Melbourne selama seminggu sebelum berangkat ke rumah Eusni Rahayu di Sydney, New South Wales pada hari Rabu hadapan. Bermakna mereka akan berhari raya di sana.

Insya Allah Nita sekeluarga dan Hakim akan berada selama seminggu di Sydney sebelum berangkat pulang ke Melbourne, seterusnya terbang balik ke Malaysia.

Manakala emak dan abah pula akan tinggal di Sydney selama beberapa minggu sebelum kembali ke Melbourne. Mereka berdua dijadualkan pulang ke tanah air di akhir November nanti.

Menjelang hari ketibaan mereka, anak bongsu kami, Imran amat teruja sekali terutama untuk bertemu datuk dan nenek. Kerap kali diluahkan rasa hatinya.

“Ayah-ibu, Yan excited-lah nak jumpa atuk dan nenek”. Rindu yang teramat sangat. Malah dipesannya agar atuk menjemputnya di sekolah pada hari mereka tiba di Melbourne. Anak-anak lain pun tampak turut seronok menyambut kedatangan insan-insan yang disayangi.

Setelah beberapa hari di Dandenong, mereka telah dibawa berjalan-jalan ke Dandenong Market dan Dandenong Plaza serta bertarawikh di Masjid Emir Sultan.

Pada hari Khamis pula mereka dibawa berkunjung ke Phillip Island; antaranya menyuap makanan kepada kangaroo di Wildlife Park, menyaksikan petugas memberi makan burung pelican di San Remo Jetty dan juga menyinggah di Woolamai Beach.

Insya Allah, jika berkesempatan mereka akan dibawa mengunjungi beberapa tempat menarik lagi di sekitar Melbourne sebelum mereka berangkat ke Sydney. Dengan adanya mereka di rumah, dapatlah kami mengubah selera juadah berbuka dan bersahur terutama hasil tangan Chef Redzuan.

Kehadiran setiap ahli keluarga terdekat menziarahi kami di negara orang amat-amat kami hargai. Dalam kesibukan mereka dengan tugasan seharian, masih sempat mereka luangkan masa.

Begitulah ketentuan Allah SWT. Kurniaan ni’matnya tidak terjangka. Bagi kami ianya satu anugerah. Demikian juga bagi mereka. Sudah selayaknya dipanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepadaNya. SubhanaLlah. AlhamduliLlah. Allahuakbar.

2 comments:

bart said...

zahra lak rindu atuk nenek dia...kitorg solat kat ruang tamu tu..zahra siap bentangkan sejadah extra utk nenek & pegi ketuk bilik nenek ajak solat..isk isk

ropidi 'n laili said...

salam,

syahdu betul, itu yang nenek dan atuk pun rasa pilu, lebih-lebih lagi dah nak raya.

sabar ajelah zahra...8)