Sunday, August 12, 2018

California > Penerbangan SFO-HKG-KUL

Penerbangan Cathay Pacific dari San Francisco International Airport (SFO) ke Hong Kong International Airport (HKG) dijadualkan berlepas jam 1:00 pagi, 19-Jun-2018. 

Kami tiba di SFO sekitar jam 6:30 petang. Bagasi yang dibawa telah beranak-pinak - dari 2 beg 1 kotak menjadi 3 beg 5 kotak - sebahagiannya barangan Iddin dan kawannya. Tidak mengapa... masih tidak melangkaui berat keseluruhan yang dibenarkan (150 kg). Hanya 2 beg besar yang dibungkus plastik kerana cajnya sedikit mahal, USD 11/beg. Selebihnya tawakal sahaja, moga semuanya sampai dalam keadaan baik. Aamiin.

Menunggu dan menunggu,,,,
Jam 9:00 malam, kaunter check-in ke HKG dibuka. Kami telah pun check in lebih awal di kiosk dan boarding pass pun telah pun di tangan. Hanya bagasi yang ditolak masuk...

AlhamdulILLAH tiada lagi beban untuk dibawa. Solat jamak qasar juga telah ditunaikan. Tiada apa yang nak dilakukan, sekadar duduk-duduk bersama Iddin yang juga sedang menunggu masa untuk berlepas ke Chicago pada jam 12:30 pagi.

Jam 11:00 malam, kami mula berbaris panjang untuk melepasi pemeriksaan kastam yang agak cerewet. Kasut/ alas kaki serta sweater/ pakaian luar perlu ditanggalkan dan diletakkan bersama barangan yang perlu diimbas. Kaum hawa pula diperiksa oleh petugas wanita termasuk imbasan tudung. AlhamdulILLAH tiada halangan. Begitu juga dengan pemeriksaan imigresen.

Bye-bye Iddin... In shaa ALLAH 3 minggu lagi ketemu di tanah air.

San Francisco - Hong Kong

Hong Kong dari udara
Penerbangan Cathay Pacific A350-900 (seat 3+3+3) berlepas sekitar jam 1:00 pagi 19/06/2018 (waktu California). AlhamdulILLAH penerbangan hampir 14 jam selamat tiba di Hong Kong International Airport kira-kira jam 5:30 pagi 20/06/2018 (waktu Hong Kong/Malaysia). Rata-rata penumpangnya berwajah Cina.

Berselera... MMO
Menariknya penerbangan kami adalah menongkah masa. Sehingga tiba di Hong Kong kami hanya perlu tunaikan solat Subuh sahaja kerana masuknya waktu Subuh selepas 4 jam berlepas.  AlhamdulILLAH... itu rezeki namanya.

Tentang makanan pula, kami dihidangkan dengan 2 kali makan. Istimewanya diberikan layanan terawal kerana menempah Muslim Meals (MMO). AlhamdulILLAH...

Di sepanjang penerbangan, beberapa kali kapal terbang bergegar sehingga diarahkan berada di tempat duduk masing-masing. Hanya kepada ALLAH SWT kami berdoa dan berserah agar semuanya selamat.

Hong Kong - Kuala Lumpur

Ralit dengan gajet...
Di Hong Kong Airport, hampir 2 jam 'terconggok' di kawasan menunggu terasa amat membosankan. Syukurlah ada Wifi percuma sebagai penghibur diri.

Ramai betul penumpangnya sehinggakan barisan mengarah ke Gate 521 bagaikan ular dipalu. Majoritinya adalah warga emas keturunan Cina. Tidak hairanlah Malaysia menjadi tumpuan mereka kerana seringkali kami tersua pelancong Cina di merata lokasi pelancongan di sekitar Putrajaya.

Penerbangan Cathay Dragon A330 (seat 2+3+2) selama 3 jam 20 minit berlepas kira-kira jam 8:30 pagi, AlhamdulILLAH selamat mendarat di KLIA pada jam 11:50 pagi. Tiada layanan istimewa untuk hidangan makanan - perlu ikut giliran kerana semuanya halal.

Syukur... setinggi-tinggi kesyukuran tidak terhingga ke hadrat ILLAHI. Semuanya selamat.

Berbanyak terima kasih kepada ipar, Eusni dan anaknya, Arif yang datang menjemput kami. Penatnya amat terasa. Sampai di rumah @ Hulu Kelang, semuanya terlelap...zzZZzz... sedar-sedar dah pun pukul 8:00 malam. Bergegas bangun untuk solat Maghrib dan Isyak.

Tuesday, August 7, 2018

California > Golden Gate Bridge - Palace of Fine Arts

Hari terakhir (18/06/2018) di California. Selepas check out daripada rumah sewa di 4th Ave, Sacramento, kami singgah di Walmart Supercentre untuk misi borong coklat. Juga ke kedai cenderahati di UC Davis dan ke UC Davis Islamic Centre untuk solat jamak-qasar.

Malamnya kami perlu berada di San Francisco Intl Airport - check in Cathay Pacific untuk pulang ke tanah air untuk penerbangan jam 1:00 pagi esoknya. Manakala Iddin juga perlu check in penerbangan domestik ke Chicago - bercuti sakan sebelum berangkat pulang ke tanah air 3 minggu selepasnya.

Masa masih ada. Sebelum memulangkan kereta sewa ke Hertz @ SF Airport, kami ke Golden Gate Bridge dan juga Palace of Fine Arts.

Aksi Riang Ria 4 Beradik...
Golden Gate Bridge

Kami tiba di Golden Gate Bridge Vista Point sekitar jam 4:30 petang - kedudukannya di atas bukit menghadap ke jambatan tersohor tersebut menghasilkan pemandangan keseluruhan jambatan berkenaan. Suatu peluang bergambar yang tidak sewajarnya dilepaskan. Lebih-lebih lagi dengan cuaca yang amat baik sekali.

Angin yang bertiup, sesekali kuat terasa amat sejuk sekali. Hidung berair dan telinga pula sakit. Hairan dibuatnya melihat segelintir pengunjung yang hanya berpakaian singkat dan terdedah... agaknya alah bisa tegal biasa....

Ukuran panjang Golden Gate Bridge ini kira-kira 1.6km dengan ketinggian hampir 230 meter - menghubungkan San Fanscisco Peninsula dengan Marin County. Peliknya warna jambatan ini adalah merah terang, bukannya warna kuning keemasan seperti mana namanya. Rupa-rupanya di waktu malam warna keemasan tersebut amat menyerlah dek pantulan cahaya lampu-lampu yang menghiasinya... itulah asal namanya.

Beredar dari Vista Point, kami merentasi Golden Gate Bridge menuju ke Lyon St di mana singgahan seterusnya di Palace of Fine Arts.

Berlatarkan Rotunda dan Colonnade
Palace of Fine Arts

Dibina dengan inspirasi senibina Roman dan Ancient Greek. Jelas kelihatan rotunda dan colonnade yang dilingkungi oleh lagun/kolam buatan di hadapannya. Di bahagian belakangnya masih ada bangunan lain, antara dewan teater yang masih digunakan.

Bangunan asalnya telah dibina untuk 1915 Panama-Pacific Exposition. Seusai program berkenaan, ianya telah dirobohkan kerana binaannya tidak kukuh - rangkanya hanya kayu bersalutkan kapur.

Pada tahun 1965, ianya dibina kembali dengan dilakukan baik pulih secara berperingkat-peringkat sehingga menjadi antara mercu tanda tarikan pelancong ke San Francisco khususnya dan California dan USA amnya.

Di sebalik keunikannya, kami kurang berkenan dengan lagun/ kolamnya yang menjadi habitat angsa, itik, kura-kura dan ikan.... airnya kotor, berlumut hijau dan baunya kurang menyenangkan.

Menghampiri jam 6:00 petang, kami segera bergerak meninggalkan Palace of Fine Arts menuju San Francisco Internatioanl Airport - barangan yang dibawa perlu dipunggah turun dan kereta sewa perlu dipulangkan sebelum jam 7:00 petang di Hertz Airport.

Berakhir sudah kembara kami di bumi California...

Saturday, August 4, 2018

California > Yosemite National Park

Hari ketujuh di California... malamnya kami menginap di Days Inn @ Central Fresno. Kini kami berenam termasuk Iddin yang baru sahaja tamat peperiksaan akhirnya pada hari sebelumnya.

Pagi yang agak sejuk sehingga berair hidung dibuatnya. Seusai bersarapan di Days Inn Cafe, kami terus check out dan bertolak ke arah Wawona di bahagian selatan Yosemite National Park. Jaraknya sekitar 110 km. Bagi kita di tanah air dianggap jauh tapi di negara besar seperti USA, itu dikira dekat sahaja.

Melewati Yosemite NP, jelas kelihatan di sana-sini kelompok pepohonan pines rentung akibat terbakar. Difahamkan kejadian setahun yang lepas. Untuk makluman, kawasan hutan di California sering mengalami bush fire yang teruk ketika musim kemarau.

Menghampiri pintu masuk, kira-kira setengah jam kami terperangkap dalam deretan panjang kenderaan menunggu giliran untuk membayar tiket masuk - USD35/kereta. Mahal atau murah bergantung kepada persepsi masing-masing.

Di Yosemite National Park, kami menyinggah di 3 lokasi iaitu Mariposa Grove, Glacier Point dan Yosemite Valley.

Mariposa Grove

Kereta diletakkan di Mariposa Plaza. Untuk ke Mariposa Grove, kami menaiki shuttle bus yang disediakan secara percuma.

Mariposa Grove terkenal dengan gugusan pokok sequoia yang bersaiz besar dan tinggi menjulang menongkah langit. Usianya boleh menjangkau sekitar 2000 tahun. Salah satu pokok sequoia yang tertua di taman ini dikenali sebagai Grizzly Giant, dikatakan berusia 1900 - 2400 tahun

Terdapat 4 denai (trail) yang disediakan, bergantung kepada masa yang ada dan kesukaran yang perlu dihadapi. Kami pilih yang terpendek iaitu Big Trees Loop Trail sejauh 0.5 km sahaja. Itupun memakan masa hampir sejam. Banyak perkara menarik yang ingin diterokai dan difahami; antaranya sejarah Mariposa Grove, anatomi pokok sequoia, rahsia bulatan serta kesan parut pada permukaan bongkah pokok dan usaha-usaha pemeliharaan yang dilakukan.

Glacier Point

Pada ketinggian 2,200 meter, pemandangannya amat mempesonakan, menghadap Half Dome, High Sierra, Yosemite Falls, Nevada Fall, Vernal Fall dan Clouds Rest. Nun... di bahagian lembahnya pula kelihatan menghijau Yosemite Valley.

Bagi peminat fotografi, panorama indah ciptaan ILLAHI yang terbentang luas pasti dirasakan bagaikan syurga. SubhanALLAH... tidak terbayang akan keindahan sebenar syurga nan hakiki.

Pada musim sejuk (Disember-Mac), persekitaran Glacier Point menjadi tumpuan peminat ski dan snowboard, juga bagi yang ingin merasai suasana dilingkungi salji.

Yosemite Valley

Beredar dari Glacier Point, kami turun ke perlembahan Yosemite yang menjadi tumpuan utama pengunjung ke Yosemite National Park. Keluasannya 12 km dan kedalaman 900-1000 meter serta dikelilingi puncak batuan granit dan pepohonan pines. Aktiviti hiking merentasi hutan dan camping adalah antara yang menjadi tarikan di sini.

Bagi kami bukan itu tujuannya. Kami hanya singgah untuk ke tandas dan kedai cenderahati. Tidak terkecuali untuk menghayati persekitarannya dari posisi bawah pula.

Melewati jam 5:00 petang, kami mula meninggalkan Yosemite National Park menuju Manteca, seterusnya tiba di rumah penginapan di 4th Avenue, Sacramento sekitar jam 9:00 malam.

Penjelajahan dan perjalanan yang amat memenatkan. Selepas solat jamak taakhir Maghrib-Isyak, tiada apa yang diinginkan selain daripada tidur...zzZZ

Tuesday, July 24, 2018

California > Old Sacramento

Kami bertolak dari Cannery Row, Monterey ke Sacramento sekitar jam 2:30 petang. Pendaftaran masuk ke penginapan baru di Citrus Heights pula selepas jam 4:00 petang. Masih ada masa untuk menyinggah di mana-mana tempat berdekatan.

Meninjau Fungsi dan Aktiviti Wells Fargo
Pilihan kami adalah ke Old Sacramento State Historic Park atau Old Sac - sebuah pekan lama berkeluasan 28 ekar yang masih dikekalkan kesan sejarahnya. Difahamkan terdapat kira-kira 53 bangunan bersejarah yang menempatkan sebilangan besar restoran/cafe dan pelbagai kedai jualan, termasuklah hotel dan muzium.

Old Sacramento mula menjadi tumpuan mulai tahun 1848 berikutan penemuan galian emas. Di mana-mana sahaja, jika emas ditemui, maka persekitarannya pasti berubah terutama sistem pengangkutan dan penghantaran.

Tidak hairanlah ia menjadi antara laluan utama keretapi, antaranya Pony Express. Begitu juga dengan Wells Fargo yang menguruskan penghantaran seperti surat/telegraf dan emas.

Di Old Sacramento, kami hanya meninjau sepintas lalu persekitarannya yang tampak unik dan menarik dengan dilingkungi pelbagai bentuk senibina bangunan. Teringat kami akan persekitaran seumpamanya ketika di Bendigo, Victoria, Australia yang juga terkenal di zaman Gold Rush.

The Big Four
Bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas akan Old Sacramento, para pengunjung boleh sahaja berkunjung ke beberapa muzium yang terdapat di sini; antaranya California State RailRoad Museum, Automobile Museum, Sacramento History Museum, School House Museum dan Wells Fargo Museum. Boleh juga mengikuti penjelajahan Old Sacramento Undergorund atau menaiki keretapi stim melewati Sacramento River.

Kami hanya sempat masuk ke Wells Fargo Museum dan menyinggah seketika di pintu masuk Sacramento History Museum. Ikutkan hati memang banyak tempat yang ingin diterokai, namun apakan daya... masa yang ada agak suntuk.

Kami perlu bersegera ke rumah penginapan di Meadowriver Way, Citrus Heights untuk menunaikan solat jamak-qasar Zohor-Asar, seterusnya bergegas ke UC Davis untuk menjemput Iddin yang baru tamat peperiksaan akhirnya. Di sebelah malamnya pula kami mendapat undangan berbuka puasa dan sambutan Hari Raya di rumah Tuan Roslan-Puan Aisyah tidak jauh dari penginapan kami. Ianya adalah hari terakhir Ramadhan di USA.

Monday, July 23, 2018

California > Cannery Row

Berpatah balik dari Bixby Creek Bridge, kami melencong pula ke Cannery Row di New Monterey.

Nama Cannery Row diambil daripada novel Cannery Row (1945) karangan John Steinbeck, pemenang Anugerah Nobel. Steinbeck dan rakan-rakannya yang menetap di Cannery Row dengan penuh tekun telah berjaya merubah persekitarannya sehingga menjadi tumpuan ramai. Sebuah monumen telah dibina khusus dedikasi untuk mereka.

Kini... Tinggal Sejarah
Dahulunya Cannery Row terkenal dengan perusahaan pengetinan sardin sehinggalah kilang sardin terakhir telah menamatkan operasinya pada tahun 1973.

Kini sebahagian kilang-kilang berkenaan masih ada tetapi fungsinya bertukar kepada pusat perniagaan; antaranya Hovden Cannery (kini Monterey Bay Aquarium), American Tin Cannery (China Point) dan Monterey Canning Company. Malah sebahagian besar bangunan lama di sini masih kekal terpelihara.

Di samping tinggalan sejarahnya, terdapat juga sebuah muzium patung lilin, Wax Museum - Journey into The Past... kisahnya seawal kehidupan warga pribumi, kedatangan Spanish hinggalah ke zaman John Steinbeck. Terdapat 15 hentian dengan alkisahnya tersendiri yang diperdengarkan melalui rakaman audio.

@ Wax Museum
Di Cannery Row juga terdapat Monterey Bay Aquarium dengan lebih 35,000 hidupan laut, merangkumi 550 spesis. Kawasannya amat luas, hampir 30,000 m2. Teringin juga untuk masuk tapi terkedu seketika apabila melihat harga tiketnya... USD50 bagi dewasa dan USD40 untuk kanak-kanak. Lupakanlah... cukuplah berkunjung ke akuarium di tanah air.

Secara umumnya Cannery Row adalah lokasi tumpuan pelancong. Tidak hairanlah pusat hiburan dan kedai-kedai minuman keras bersepah di merata ceruk. Ianya hidup segar di waktu malam. Itulah cara hidup mereka yang telah menjadi satu budaya...

Lupakan... sebagai pelancong Muslim, bukan itu yang kita carikan. Apa yang positif, itu yang kita jadikan panduan, mana-mana yang negatif jadikanlah sempadan. Kita ada addin Islam sebagai pedoman... in shaa ALLAH kita akan selamat selamanya. Aamiin.

Thursday, July 19, 2018

California > Bixby Creek Bridge

Bixby Creek Bridge letaknya di pantai Big Sur... hampir 100 batu (160 km) jaraknya dari penginapan kami di Tracy Drive  merentasi California State Highway (Route 1) menuju ke arah Los Angeles.

Di sepanjang jalan, umumnya terdapat 3 pemandangan yang berbeza - bermula dengan bukit-bukau yang kekuningan rumputnya, diikuti dengan ladang-ladang sayuran dan buahan seperti strawberi dan ceri yang menghijau.

Melewati Marina, kami mula menyusuri pesisiran air yang menghadap ke Lautan Pasifik dengan tebing batu yang curam dan air laut membiru saujana mata memandang.

Terdapat beberapa Lookout View bagi yang ingin menghayati dan mengabadikan persekitarannya yang memukau... teringat kami dengan Great Ocean Road di Victoria, Australia... seakan-akan itulah panoramanya.

Sekitar 2 jam di jalanan, akhirnya kami tiba di singgahan Bixby Creek. SubhanALLAH pemandangan yang sememangnya cantik dan mengasyikkan. Dari arah mana pun kita berada, pemandangannya masih memukau pandangan.

Bixby Bridge ibarat sebuah arca konkrit berbentuk parabola yang merentangi lembah yang menghubungkan antara Carmel dan San Luis Obispo. Berhadapannya pula jaluran pantai dengan badaian ombak yang tenang dengan dibentengi cerun nan curam.

Bixby Bridge berjarak 714 kaki (218 m) dengan 24 kaki (7.3 m) lebar dan 260 kaki (79 m) tinggi ini dibuka dengan rasminya pada tahun 1932.

Ramai juga para pengunjung yang singgah untuk mengambil gambar sambil menghayati keindahan alam ciptaan ALLAH SWT termasuklah kami. SubhanALLAH...!

Setelah itu kami berpusing balik melalui lebuh raya yang sama menuju ke Cannery Row di New Monterey.

Tuesday, July 17, 2018

California > Ripley's & Cable Car

Kami tiba di Fisherman's Wharf sekitar jam 12:30 tengahari. Masa yang ada agak suntuk... perlu dirancang sebaiknya apa yang perlu dilakukan. Pilihan kami... Ripley's Odditorium, jalan-jalan di Pier 39, naik cable car dan beli sedikit sebanyak cenderahati. Jika ada lebihan masa bolehlah cuba terokai lain-lain tempat yang ada.

Di hadapan pintu masuk Ripley's
Ripley's Believe It or Not!

Pemiliknya adalah Robert Ripley, seorang pengembara dan kartunis yang telah mengunjungi lebih 200 buah negara. Banyak benda pelik dan unik yang ditemui, sebahagiannya menjadi koleksi beliau yang dipamirkan di bangunan 2 tingkat ini dan diingati dengan frasa 'Believe It or Not!

Penggembaraan di Ripley's bukan sekadar menyelami lebih 400 artifacts tersebut tetapi para pengunjung turut sama dapat merasai pengalaman permainan interaktif, ilusi dan teka-teki; antaranya mirror maze, dance room dan laser race.

Tidak perasan pula... rupa-rupanya lama juga kami di Ripley's tetapi berbaloilah dengan harga tiket USD 25 seorang. Tambahan pula sesuatu yang menakjubkan sememangnya minat kami.

Lihatlah.. betapa agungnya ALLAH SWT atas segala ciptaanNYA. Sebenarnya tiada apa-apa yang pelik pun jika kita menyakini akan kebesaran dan kekuasaan ILLAHI. SubhanALLAH.

Cable Car

Kata orang 'tidak lengkap kunjungan ke San Francisco tanpa menaiki classic cable car'. Kereta kabelnya berbentuk klasik tanpa engin, ditarik oleh kabel keluli yang tertanam di jalan raya dan bergerak selaju 9.5 batu/jam. Untuk berpusing di setiap hentian terakhir, ianya dilakukan secara manual - ditolak dan ditukarkan arahnya.

Cable car di Powell St. Station
Terdapat 3 laluan utama iaitu Powell-Hyde, Powell-Mason dan California Line.

Dari Fisherman's Wharf, kami pilih Powell-Mason Lane yang bermula di Bay St., melintasi North Beach, Chinatown dan Cable Car Museum serta melepasi Nob Hill yang curam. Boleh sahaja jika berhajat turun di pertengahan jalan. 

Menariknya, para penumpang suka bergayut di palang besi yang disediakan atau duduk di bangku bahagian hadapan kerana lebih seronok dan luas pemandangannya.

Tiba di Powell St. Station, berpandukan SF City Map, kami terus berkejar mencari arah ke Yerba Buena Gardens untuk menunaikan solat jamak taakhir. Wuduknya kami ambil di tandas awam shopping complex bersebelahan. Persekitaran taman amat sejuk sehingga badan mengigil dan hidung pula berair. Di suatu sudut sedikit terlindung dek bongkahan batu dan pepohonan bunga, di situlah kami bersujud kepadaNYA dengan hanya beralaskan kertas peta. AlhamdulILLAH....!

Bergerak balik ke Fisherman's Wharf, kami naik kembali cable car. Kami singgah di beberapa kedai cenderahati sambil membandingkan harga, akhirnya pilihan kami di beberapa kedai Cina yang menawarkan harga yang lebih murah. 

Fridge magnet, key chain, post card dan sweater adalah antara yang dibeli samada sebagai buah tangan ataupun koleksi peribadi.

Seterusnya kami bergegas ke hentian bas berdekatan, menunggu bas no 47 yang akan membawa kami ke San Francisco Depot di mana kami akan menaiki CalTrain ke Palo Altion Station, selepas itu kembali ke rumah sewaan di Tracy Drive, Santa Clara.

Perjalanan yang amat memenatkan kerana banyak berjalan kaki dari satu lokasi ke satu lokasi lainnya. Maka tidur adalah nikmat yang tidak ternilai harganya. Pantang ketemu tempat yang selesa, jika ada peluang dapatlah dilelapkan mata walaupun hanya sepicing sahaja. AlhamdulILLAH...!