Tuesday, July 17, 2018

California > Ripley's & Cable Car

Kami tiba di Fisherman's Wharf sekitar jam 12:30 tengahari. Masa yang ada agak suntuk... perlu dirancang sebaiknya apa yang perlu dilakukan. Pilihan kami... Ripley's Odditorium, jalan-jalan di Pier 39, naik cable car dan beli sedikit sebanyak cenderahati. Jika ada lebihan masa bolehlah cuba terokai lain-lain tempat yang ada.

Di hadapan pintu masuk Ripley's
Ripley's Believe It or Not!

Pemiliknya adalah Robert Ripley, seorang pengembara dan kartunis yang telah mengunjungi lebih 200 buah negara. Banyak benda pelik dan unik yang ditemui, sebahagiannya menjadi koleksi beliau yang dipamirkan di bangunan 2 tingkat ini dan diingati dengan frasa 'Believe It or Not!

Penggembaraan di Ripley's bukan sekadar menyelami lebih 400 artifacts tersebut tetapi para pengunjung turut sama dapat merasai pengalaman permainan interaktif, ilusi dan teka-teki; antaranya mirror maze, dance room dan laser race.

Tidak perasan pula... rupa-rupanya lama juga kami di Ripley's tetapi berbaloilah dengan harga tiket USD 25 seorang. Tambahan pula sesuatu yang menakjubkan sememangnya minat kami.

Lihatlah.. betapa agungnya ALLAH SWT atas segala ciptaanNYA. Sebenarnya tiada apa-apa yang pelik pun jika kita menyakini akan kebesaran dan kekuasaan ILLAHI. SubhanALLAH.

Cable Car

Kata orang 'tidak lengkap kunjungan ke San Francisco tanpa menaiki classic cable car'. Kereta kabelnya berbentuk klasik tanpa engin, ditarik oleh kabel keluli yang tertanam di jalan raya dan bergerak selaju 9.5 batu/jam. Untuk berpusing di setiap hentian terakhir, ianya dilakukan secara manual - ditolak dan ditukarkan arahnya.

Cable car di Powell St. Station
Terdapat 3 laluan utama iaitu Powell-Hyde, Powell-Mason dan California Line.

Dari Fisherman's Wharf, kami pilih Powell-Mason Lane yang bermula di Bay St., melintasi North Beach, Chinatown dan Cable Car Museum serta melepasi Nob Hill yang curam. Boleh sahaja jika berhajat turun di pertengahan jalan. 

Menariknya, para penumpang suka bergayut di palang besi yang disediakan atau duduk di bangku bahagian hadapan kerana lebih seronok dan luas pemandangannya.

Tiba di Powell St. Station, berpandukan SF City Map, kami terus berkejar mencari arah ke Yerba Buena Gardens untuk menunaikan solat jamak taakhir. Wuduknya kami ambil di tandas awam shopping complex bersebelahan. Persekitaran taman amat sejuk sehingga badan mengigil dan hidung pula berair. Di suatu sudut sedikit terlindung dek bongkahan batu dan pepohonan bunga, di situlah kami bersujud kepadaNYA dengan hanya beralaskan kertas peta. AlhamdulILLAH....!

Bergerak balik ke Fisherman's Wharf, kami naik kembali cable car. Kami singgah di beberapa kedai cenderahati sambil membandingkan harga, akhirnya pilihan kami di beberapa kedai Cina yang menawarkan harga yang lebih murah. 

Fridge magnet, key chain, post card dan sweater adalah antara yang dibeli samada sebagai buah tangan ataupun koleksi peribadi.

Seterusnya kami bergegas ke hentian bas berdekatan, menunggu bas no 47 yang akan membawa kami ke San Francisco Depot di mana kami akan menaiki CalTrain ke Palo Altion Station, selepas itu kembali ke rumah sewaan di Tracy Drive, Santa Clara.

Perjalanan yang amat memenatkan kerana banyak berjalan kaki dari satu lokasi ke satu lokasi lainnya. Maka tidur adalah nikmat yang tidak ternilai harganya. Pantang ketemu tempat yang selesa, jika ada peluang dapatlah dilelapkan mata walaupun hanya sepicing sahaja. AlhamdulILLAH...!

No comments: