Wednesday, December 31, 2014

Nahas QZ8501 : TAKZIAH...!

Penantian itu satu penyeksaan. Namun menghadapi kenyataan adalah lebih menyeksakan. Itulah hakikat yang perlu dilalui oleh para waris Penerbangan AirAsia Indonesia QZ8501 yang dilaporkan terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara pada pagi Ahad lalu. Kejadian berlaku di ruang udara antara Kalimantan dan Pulau Belintung di Laut Jawa.

Pelbagai spekulasi timbul. Semuanya masih mengharap. Selagi tidak ditemui bangkai pesawat, maka selagi itulah harapan masih ada.

 
Satu tragedi seumpama kehilangan MH370 pada awal Mac lalu di mana sehingga kini masih belum dapat dikesan nasibnya. Pada masa yang sama, kesedihan MH17 yang ditembak 'pengganas' di Ukraine pada Julai lalu masih lagi belum hilang sepenuhnya.

Akhirnya penantian ada noktahnya. Setelah 3 hari operasi pencarian dilakukan, pagi semalam, beberapa mayat dan serpihan berserta barangan ditemui terapung-apung di perairan Selat Karimata, kira-kira 10 batu nautika daripada lokasi terputus hubungan. Dan disahkan ianya adalah milik QZ8501.

Sebahagian serpihan QZ8501 di Selat Karimata
Suasana pilu dan mengharukan menyelubungi Pusat Krisis Lapangan Terbang Juanda. Di sebalik raung tangis dan saling berpelukan, terdapat waris yang pengsan menerima perkhabaran menyedihkan ini.

Sebagai orang luar, kami turut merasakannya. Tiada kata yang dapat kami luahkan selain daripada "Moga kalian tabah menerima dugaan dan ujian kehidupan ini. Sesungguhnya setiap insan akan tetap meninggalkan dunia ini, cuma bagaimana caranya tiada siapa yang dapat menjangkakannya. Segalanya itu adalah urusan ALLAH".

Kepada yang beriman kepada ALLAH SWT dan Hari Akhirat, redhalah setiap ketentuan daripadaNYA. Doakan moga ALLAH SWT mengampuni setiap dosa mereka dan digolongkan di kalangan hamba-hambaNYA yang dirahmati. Ameen.

Salam TAKZIAH untuk keluarga penumpang dan kru AirAsia QZ8501.

Thursday, December 18, 2014

Kelate > Muzium Adat dan Masjid Kg Laut


Seusai majlis walimah adinda Nordin-Rahaslina di Ketereh pada petang Jumaat (12/12/2014), kami terus mendaftar masuk ke Hotel Perdana di tengah Bandaraya Islam Kota Bharu. Tidak melepaskan kesempatan untuk melancong di negeri Cik Siti Wan Kembang yang terkenal dengan budaya dan cara hidup Islam. Sekaligus memenuhi permintaan anak bongsu kami, Imran untuk berjalan-jalan makan angin ketika cuti persekolahan akhir tahun ini.

Hotel dari arah kolam mandi
Hotel Perdana Kota Bharu

Langkah pertama Imran ketika di hotel adalah masuk ke kolam mandi. Keesokan paginya sekali lagi Imran turun ke kolam. Itulah yang telah lama diidam-idamkannya. Akhirnya tercapai juga. Lebih-lebih lagi dapat berendam di kolah jakuzi. Terserlah keseronokan dan keterujaan pada wajahnya. 

Sememangnya Hotel Perdana di Jalan Mahmud dengan 272 buah bilik ini tampak indah dan anggun, sesuai dengan status 5 bintangnya. Namun kedapatan sedikit sebanyak kekurangan yang perlu diperbaiki agar lebih menepati syariah (syariah compliant), antaranya sewajarnya azan diperdengarkan pada setiap kali masuk waktu, surau diimarahkan dengan solat berjemaah, tiada percampuran lelaki-wanita ketika menggunakan kolam mandi dan ditetapkan kod etika pakaian mandi tertutama bagi wanita.

Bersantai di Jakuzi
Kami dimaklumkan oleh pelayan hotel, Pasar Malam Wakaf Che' Yeh adalah antara tarikan utama para pelancong. Pasar malam yang luas ini beroperasi sehingga menjelang waktu Subuh dengan jualan pelbagai barangan.

Kami tidak pergi ke pasar, sekadar singgah makan malam di warung/ restoran tepian jalan di Wakaf Che' Yeh . Anak-anak dah kepenatan, masing-masing menolak untuk berjalan lagi. Hanya tilam dan bantal yang menjadi idaman.

Keesokan paginya kami bersarapan di Cerana Coffe House yang terletak bersebelahan kolam mandi. Bermacam juadah terhidang, pilihlah mana yang disukai terutamanya makanan tradisi Kelantan, antaranya nasi kerabu, laksam dan laksa. Itulah juga antara pilihan kami.

Muzium Adat Istiadat Diraja Kelantan

Bergerak dari Hotel Perdana sekitar jam 11:30 pagi pada keesokan harinya, kami terus menuju ke Muzium Adat Istiadat Diraja yang terletak bersebelahan Gerbang Sultan Ismail Petra, Istana Balai Besar dan Masjid Muhammadi. Muzium 2 tingkat ini asalnya adalah Istana Raja Bendahara Tengku Long Kundor ibni Sultan Ahmad. Ianya lebih dikenali sebagai Istana Jahar dan telah siap dibina pada tahun 1887. Istana ini melambangkan rekabentuk tradisional dengan dilengkapi hiasan kesultanan Kelantan.

Terdapat 2 galeri utama. Galeri di tingkat bawah mempamerkan Adat Istiadat Perkahwinan Diraja iaitu pertunangan dan persandingan, Istiadat Puri Peraduan, jenis-jenis tekstil tradisional tempatan, barangan perhiasan dan barangan tembaga.

Adat Istiadat Melenggang Perut
Manakala galeri di tingkat atas pula mempamerkan Adat Istiadat Menyambut Kelahiran Diraja seperti melenggang perut, beranak, membelah mulut, berendoi, mencukur jambul, pijak tanah, bersiram dan berkhatan.

Bagi setiap adat istiadat tersebut tertera helaian penerangan dwi bahasa bagi memberi pemahaman disertakan dengan pelbagai peralatan, bahan-bahan dan gambaran adat istiadat. Semuanya dilatari warna kuning - warna diraja.

Kebanyakan daripada adat-adat ini bukan sahaja diamalkan oleh kerabat diraja tetapi turut dilakukan oleh orang awam. Sebahagian daripadanya pernah kami lihat ketika kanak-kanak dahulu. Cuma kini ianya semakin ditinggalkan kerana sebahagiannya mempunyai elemen khurafat dan tahyul.

Namun bagi generasi sekarang ianya amat elok untuk diketahui sebagai tinggalan sejarah. Malah itulah yang ditekuni oleh anak-anak kami terutama Imran. Bagi mereka segalanya amat asing dan perlu dipandu bimbing bagi memahamkannya.

Balai Senjata

Menarik... banyak pengetahuan baru

Di belakang Istana Jahar adalah Balai Senjata. Pelbagai jenis senjata lama dipamerkan di galeri atas rumah seperti keris, lembing, tombak, rencung, pedang, beladau, kapak, kelewang, badik, beliung, golok, parang, serampang, sengat pari, cucuk sanggul dan banyak lagi.

Senjata-senjata ini dikategorikan berdasarkan kaedah penggunaannya seperti senjata menetak, melibas, menikam, membaling dan lain-lain. Sebahagian daripada senjata ini terutamanya keris dinyatakan asal usulnya seperti keris Semenanjung, Jawa, Pattani dan Madura.

Di bahagian bawah rumah pula dipamerkan beberapa model rumah tradisional Kelantan seperti rumah tiang dua belas dan rumah kampung serta beberapa buah perahu dan sampan.

Kesemua bahan sejarah ini amat menarik hati dan minat kami terhadap budaya hidup orang-orang dahulu terutama masyarakat Kelantan.

Terletak di sebelah belakang Muzium Adat Istiadat Diraja, terdapat beberapa lagi muzium iaitu Muzium Kraftangan, Muzium Diraja, Muzium Islam dan Muzium Perang. Manakala Muzium Negeri pula terletak tidaklah jauh sangat daripadanya iaitu di Jalan Hospital. Namun dek kesuntukan masa, kami tidak berkesempatan untuk melanjutkan penerokaan kami ke tempat pengumpulan sejarah berkaitan.

Masjid Muhammadi

Hadapan Ruangan Solat Wanita di Masjid Muhammadi
Masjid Muhammadi yang terletak bersebelahan muzium juga menarik perhatian kami. Tidak sempat untuk kami menerokai, cukup sekadar melihat persekitarannya ketika menyinggah untuk bersolat jamak. Menariknya, ruang solat lelaki dan wanita terpisah di dua bangunan yang berlainan, dicantumkan oleh gerbang/arca menara.

Masjid ini asalnya diberi nama Masjid Besar Kota Bharu, juga dikenali sebagai Masjid Negeri. Ianya telah dibina pada tahun 1867 ketika pemerintahan Sultan Muhammad II menggunakan kayu. Pengubahsuaian kepada struktur konkrit pula telah dilakukan pada tahun 1922 dan ditukar nama kepada Masjid Muhammadi pada 31 Julai 1931.

Masjid ini terkenal di alam Nusantara sebagai pusat penyebaran dan pendidikan ilmu agama oleh para ulama besar, antaranya Tok Kenali dan Tuan Taba sehingga Kelantan dikenali sebagai Serambi Mekah. 

Masjid Kg. Laut

Selesai bersolat jamak Zohor-Asar di Masjid Muhammadi, kami terus bergerak ke Nilam Puri. Tumpuan kami adalah Masjid Kg Laut. Difahamkan ianya adalah masjid tertua di Malaysia menjadikan satu-satunya mercu tanda sejarah Islam khususnya di Kelantan.

Masjid Lama Kg Laut di Nilam Puri
Terpesona kami melihat masjid hitam berdinding kayu yang amat indah ini. Nilai sejarahnya amat tinggi dan mengkagumkan. Inilah antara warisan turun temurun yang sewajarnya dijaga dengan sebaiknya.

Tapak asal masjid ini adalah di Kg Laut, Tumpat, Kelantan tetapi telah dipindahkan ke tapak sekarang pada tahun 1968 setelah ianya rosak teruk dilanda banjir besar pada akhir tahun 1966.

Dikisahkan bahawa masjid ini telah dibina pada abad ke 15 oleh sekumpulan alim ulama yang berulang alik dari Champa dan Jawa dengan dibantu oleh penduduk setempat. Ciri-ciri rekabentuknya mempunyai persamaan dengan Masjid Kuno di Champa dan Masjid Agung Damak di Jawa yang telah dibina pada tahun 1401. 

Uniknya masjid ini, pembinaannya tidak menggunakan sebarang paku, sekadar dipasak dengan potongan kayu dan buluh sahaja. Sekaligus membuktikan kemahiran tinggi para tukang rumah di zaman dahulu, sehingga kini ianya masih kukuh dan utuh.

Kepada yang berminat dengan foto, sebahagian daripadanya terdapat di Album Foto Kami di kiri laman atau klik di sini

Melewati jam 4:00 petang, kami mula bergerak ke Terengganu. Menyinggah bermalam di rumah ayahanda di Telok Menara, seterusnya bertolak pulang ke Ulu Kelang pada pagi keesokan harinya.

Monday, December 15, 2014

Selamat Pengantin Baru

Hari Bahagia Din dan Ina
Di hujung minggu baru-baru ini kami sekeluarga berada di Ketereh, Kelantan - meraikan hari bahagia bagi kedua mempelai; adinda kami, Nordin Mohd Noor bersama pasangannya, Rahaslina Abdul Ramli. 

Selamat Pengantin Baru Din dan Ina.

Tidak dilupakan, ucapan selamat pengantin baru kepada adinda di Ulu Kelang, Nasrul Hadi Mohd Tauhid yang juga mengakhiri usia bujangnya 2 minggu sebelumnya, juga dengan oghe Kelate iaitu Asmar Hafizah di Tanah Merah.

Moga kedua-dua pasangan ini sentiasa dirahmati Illahi hingga ke akhir hayat, kekal bahagia selamanya sehingga membawa ke Jannatul Firdaus.

Inshaa ALLAH majlis walimah di sebelah pengantin lelaki bagi kedua-dua pasangan ini akan diadakan berturutan akhir minggu dalam seminggu dua ini. Pada akhir minggu ini (20/12//2014) adalah majlis di Ulu Kelang, manakala minggu selepasnya (26/12/204) pula di Kuala Terengganu. 

Sememangnya sepanjang cuti persekolahan akhir tahun ini, kami agak sibuk sedikit - berkejar ke Tanah Merah, Ketereh, Ulu Kelang dan Kuala Terengganu. Walaupun agak penat tetapi kami merasa amat gembira kerana masing-masing telah pun berkeluarga, memenuhi salah satu sunnah RasuluLLAH SAW yang amat diberati kepada umatnya.
 
Juga ucapan Selamat Pengantin Baru kepada para penjenguk Salam Monash yang baru menyambut hari bahagia sebagai pasangan sehidup semati. Moga kita semua beroleh kebahagiaan hidup di dunia dan berlebihan lagi di akhirat. Ameen.

Tuesday, December 9, 2014

Menerjah Big Bad Wolf Di Pagi Buta

The Big Bad Wolf Book Sale datang lagi. Masih lagi di lokasi yang sama seperti tahun-tahun sebelumnya iaitu di Malaysia International Exhibition and Convention Centre (MIECC) di The Mines, Seri Kembangan.

Jualan mega jutaan buku dengan potongan harga yang maha hebat ini telahpun beberapa hari berlalu dan akan berakhir pada 16/12/2014. 

Paling menarik, ianya dibuka 24 jam sehari semalam, non stop. Datanglah pukul berapa pun ianya masih dibuka. Tambahan pula kini adalah musim cuti persekolahan, amat sesuai membawa anak-anak memilih buku-buku kegemaran bagi mengisi senggang masa lapang mereka yang panjang.

Imran ralit memilih buku
Bagi kami sekeluarga, The Big Bad Wolf Book Sale adalah acara jualan buku tahunan yang menjadi tumpuan kami di samping Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang diadakan pada awal tahun. Lebih-lebih lagi bagi anak-anak yang amat menggemari bahan bacaan dalam Bahasa Inggeris di mana hampir semuanya terbitan luar negara. Paling utama adalah banyak pilihan dan harganya pula amat murah, sekitar RM 5 - RM 15 sebuah. Berbaloi... amat berbaloi.

Untuk tahun ini pun kami tidak lepaskan peluang keemasan ini. Cuma kali ini kami terpaksa ambil tindakan sedikit gila. Dek kesuntukan masa dengan bermacam urusan di siang hari, kami terjah MIECC pada awal pagi, sekitar jam 2:30 pagi Ahad baru-baru ini. Kesemua anak-anak tidak kisah malah amat teruja menunggu masa dikejutkan dari tidur.

Setibanya di ruang pemeran, suasananya masih lagi meriah. Pengunjungnya masih lagi ramai, akhirnya beransur-ansur berkurangan. Dengan keadaan lenggang, lebih memudahkan bagi kami bergerak dan membuat pilihan. Anak-anak pula bebas mencari bahan yang mereka sukai.

Solehah dengan pilihan sendiri
Pelbagai ragam dan pemandangan dapat dilihat. Ramai para ibu-bapa yang turut membawa anak-anak kecil bersama samada dikendong di dada atau ditolak di dalam stroller. Malah masih kedapatan anak-anak yang masih segar dan ceria.

Sebahagian pengunjung telah pun bersedia dengan troli pasar mahu pun bagasi beroda bagi mengisi buku-buku yang menarik hati. Selebihnya ramai yang mengelek kotak-kotak yang disediakan, bergerak penuh minat dari booth ke booth. Kami sendiri terpaksa membawa kotak, beg sandang, shopping bag kerana terlupa menyediakan troli seperti tahun sebelumnya.

Ruang pameran MIECC luas terbentang, saujana mata memandang dengan deretan booth buku mengikut genre dan kategori tertentu seperti General Fiction, Non Fiction, Young Adult, Children, Travel Cookery, Readest Digest, Magazines dan bermacam lagi.

Sebahagian koleksi terbaru
Kesemuanya dalam Bahasa Inggeris kecuali buku-buku di ruangan Malay Books yang amat terhad - kebanyakannya novel dan buku umum sahaja. Mungkin pihak penganjur (BookXcess) dengan kerjasama dengan penerbit-penerbit buku tempatan dapat menambah koleksi Buku-buku Melayu di masa hadapan.

Hampir 3 jam berlegar ke hulu ke hilir, akhirnya kami bergerak ke suatu sudut di tepi ruang pameran untuk berehat sambil mebelek dan menyisih buku-buku mengikut keperluan. Selebihnya diserahkan kepada petugas untuk disusun kembali di tempatnya.

AlhamduliLlah, perjalanan yang lancar di awal pagi, kami tiba di rumah sejurus sebelum azan Subuh berkumandang. Semuanya tampak ceria dengan hasil yang diperolehi di pagi buta.

Tuesday, November 25, 2014

London Dalam Kenangan

Telah pun seminggu Solehah pulang dari lawatan ke London. Satu perjalanan yang amat memenatkan. Namun pengalaman yang dilalui dan ilmu pengetahuan yang dicedok menghilangkan segala rasa penat yang dirasai. Ianya amat berharga.

Apabila ditanya, "Apakah yang paling menarik?". Jawabnya, "Suasana sejuk" - sekarang musim sejuk di London - suatu imbasan pengalaman setara ketika berada di Australia dan New Zealand satu ketika dahulu.

Ditanya lagi, "Selain daripada itu?". Ringkas sahaja jawabannya, "Semuanya menarik". 

Lebih 600 keping foto dan beberapa slot video dirakamkan. Dari setiap imej berkenaan terdapat ceritanya yang tersendiri. Maka banyaklah maklumat yang dikongsikan bersama ahli keluarga. Terasa seolah-olah kami turut bersama ahli rombongan Global Solidarity menyelusuri setiap langkah dan tindakan yang diambil.

Di sebalik keseronokan yang dirasai, setiap ahli rombongan mempunyai tugasan untuk dilaksanakan. Mereka perlu abadikan setiap detik yang dilalui serta pengajaran yang boleh diperolehi dalam bentuk laporan, terutama hubungkait setiap peristiwa dengan ALLAH SWT. Itulah cabaran seterusnya bagi anak-anak didik MRSM Kota Putera Ulul-Albab yang mengikuti rombongan Global Solidarity di sepanjang cuti Akhir Tahun 2014 ini.

Tuesday, November 18, 2014

Solehah Kini Di London

Nur Solehah kini berada di Kota London, United Kingdom - mengikuti rombongan Global Solidarity yang dianjurkan secara bersama antara Yayasan Harapan Kanak-kanak Malaysia (YHKM) dan MRSM, khusus untuk para pelajar Tingkatan 2 dan 3 yang mengikuti pengajian Cambridge IGCSE (International General Certificate of Secondary Education).

Pagi Sabtu baru-baru ini, 15/11/2014, Solehah berserta sebahagian rakan-rakan sepengajian dengan diiringi beberapa guru pengiring telah berlepas dari KLIA menaiki Penerbangan Malaysia, MH4 menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow. AlhamduliLlah mereka selamat tiba setelah hampir 15 jam di dalam penerbangan - satu perjalanan yang agak lama.

Insya ALLAH, mereka dijadualkan berada selama 5 hari di London sebelum bertolak pulang ke tanah air pada 20/11/2014. 

Menariknya, kini London di musim sejuk - satu pengalaman baru bagi yang tidak pernah merasainya. Cuma tiadalah salji menyelubungi persekitaran seperti yang digambarkan di dalam sebahagian besar filem/ dokumentari berkaitan musim sejuk.

Selama 5 hari di London, pihak penganjur telah menyediakan tentatif lawatan yang agak ketat dan padat. Setiap hari sekitar 4-5 lokasi yang perlu disinggahi.

Cabaran utama mereka adalah masa siang di musim sejuk yang pendek, sekitar 9 jam sahaja berbanding malam yang panjang, kira-kira 15 jam. Begitu juga suasana cuaca sejuk di musim sejuk yang baru bermula dengan purata suhu sekitar 10C-15C. 

Bagi yang tidak biasa ianya boleh dianggap sejuk, apatah lagi jika disertai angin dan hujan. Namun ianya bakal menjadi pengalaman yang bermakna dalam hidup setiap peserta terutama bagi yang tidak pernah berada di negara 4 musim. Bagi Solehah, suasana seumpamanya pernah dilalui ketika bermukim kira-kira 4 tahun di Melbourne beberapa tahun lalu. Akan tetapi, suasana di London mungkin banyak bezanya.

Merujuk kepada tentatif lawatan, antara tumpuan rombongan ini adalah ke University of Cambridge, Imperial College, Science Museum, Natural History Museum, British Museum, Buckingham Palace, Big Ben, London Bridge, Westminster Abey, Tower of London, Arsenal Stadium, King Cross, Trafalgar Square, Convent Garden dan Camden Market.

Ketika sesi taklimat sebelum berlepas, ahli rombongan telah diberikan penerangan dan peringatan ringkas berkaitan perjalanan lawatan. Lebih menarik lagi, cabaran yang diberikan oleh ketua guru pengiring, Cikgu Saidi kepada para peserta agar dapat mengaitkan setiap rentak dan fokus lawatan/ kembara kepada PENCIPTA dan hubungannya dengan sains. 

Pada peringkat awalnya, kami merasa risau juga dengan penjagaan waktu solat dan lain-lain perkara berkaitan hukum hakam agama. Juga kami mengharapkan agar lawatan berkenaan bukan sekadar lawatan tetapi ada pengisian dan manafaat daripadanya. Namun, melihatkan kepada komitmen para guru, Inshaa ALLAH segalanya bakal dipermudahkan oleh ALLAH SWT serta sentiasa berada di bawah lindungan dan rahmat Illahi. Ameen.

Sunday, November 16, 2014

Imran Masih Unggul

Imran di SK Hulu Kelang
Semalam, hari Sabtu berlangsungnya Majlis Kecemerlangan Akademik di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang. Manakala hari ini pula majlis seumpamanya di SAR KAFA (Integrasi) al-Ridhuan. 

Dua hari yang bertuah untuk anak bongsu kami, Muhammad Imran kerana pada kedua-duanya beliau dijemput naik ke pentas untuk menerima hadiah kecemerlangan mengikut kelas dan subjek yang diungguli.

TAHNIAH Imran.

Di sekolah kebangsaan, Imran masih lagi mengungguli tempat teratas di kelasnya, juga kedudukan keseluruhan di Tahun 4. Lebih manis lagi Imran turut menambah koleksi hadiah buku bagi 8 subjek yang memperolehi peratusan tertinggi. 

Namun, Imran perlu lebih gigih lagi di masa hadapan bagi mencapai kejayaan yang lebih bermakna jika mendapat peratusan yang lebih baik bagi subjek Bahasa Melayu Penulisan dan Pemahaman serta Bahasa Inggeris. Itulah antara subjek utama UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah).

Manakala di sekolah agama pula, Imran juga masih dapat mempertahankan kedudukan seperti tahun-tahun sebelumnya. Peratusan keseluruhannya masih lagi di peringkat Mumtaz. Moga-moga dapat dipertahankan (malah dipertingkatkan lagi peratusannya) pada UPKK (Ujian Penilaian Kelas KAFA-JAKIM) pada tahun hadapan dan PSRA (Penilaian Sekolah Rendah Agama-JAIS) pada dua tahun lagi.

Imran di SAR KAFA (I) al-Ridhuan, Hulu Kelang
AlhamduliLLAH. Seperti juga kepada anak-anak yang lain, kami selalu memberi peringatan - bagi setiap kejayaan yang diperolehi, usah lupa bersyukur kepada ALLAH SWT. Sesungguhnya segalanya itu adalah anugerah dan milikNYA. Bila-bila masa sahaja DIA boleh memberi atau menariknya kembali.

Dari segi akademik, cabaran UPSR, UPKK dan PSRA adalah menjadi tumpuan utama. Di samping itu, sahsiah diri sebagai umat Muhammad SAW dan hamba ALLAH SWT perlu bergerak seiring bagi menempa kejayaan yang lebih bermakna di dunia dan di akhirat. Moga-moga dipermudahkan oleh ALLAH SWT. Ameen.

Ucapan TAHNIAH juga untuk sepupu Imran, Siti Hawa Sakinah di Tahun 2 dan juga teman baik Imran, Nur Danish Haikal yang masing-masing memperolehi beberapa kejayaan di peringkat sekolah kebangsaan dan sekolah agama.

Sekali lagi... TAHNIAH Imran..! TAHNIAH Hawa...! TAHNIAH Danish...!