Wednesday, March 31, 2010

Penangan Buah Tiin

Apabila disebut akan buah tiin, pasti ramai yang terbayangkan bentuknya berkeping kering dengan biji-biji halus di dalamnya. Biasanya dibawa pulang oleh para jemaah haji/ umrah yang berkunjung ke Mekah-Madinah. Juga terdapat di kedai/ gerai yang menjual buahan kering dan bijirin terutama ketika menjelangnya Ramadhan dan Syawal.
Saya sendiri amat menyukai buah tiin kering ini. Jika diberi pilihan samada buah tiin, kurma, kismis, apricot mahu pun kacang pistachio yang biasanya dihulurkan oleh Pak Haji/ Mak Hajjah, saya pasti memilih buah tiin. Rasanya manis dan ranggup sekali apabila biji-bijinya dimamah.
Sering kali terlintas juga di fikiran, bagaimana agaknya rupa buah tiin yang segar serta pokoknya. Ianya berlalu begitu sahaja. Sehingga ketemu buahnya lagi di lain kesempatan, lintasan seumpamanya ada kala timbul kembali.
Siapa tahu, gerak hati tanpa impian mendalam rupa-rupanya dikabulkan oleh Allah SWT. Bukannya di tanah air ianya termakbul. Dan bukan juga di bumi anbiya’ ianya ditemui. Tidak disangka-sangka di bumi kangaroo lokasinya. Hanya di belakang rumah sahaja tempatnya. Setinggi-tinggi pujian untukNya. Terima kasih Ya Allah.
Buah tiin ini juga dikenali sebagai buah fig. Bentuknya bulat dan ada juga bujur, amat digemari oleh burung. Pantang ianya kelihatan masak, jika terlambat pasti menjadi rezeki burung. Begitulah aturanNya.
Terdapat 2 jenis buah tiin yang biasa ditemui. Jenis pertama adalah sebesar bola tenis. Kulit hijaunya bertukar kekuning-kuningan dan selalunya merekah apabila masak. Isinya berwarna kuning pucat dengan pulpa berbiji merah di dalamnya (foto di bawah). Inilah yang ada di belakang rumah kami. Jenis kedua hanya sebesar bola golf/ guli. Apabila masak kulitnya berwarna kemerah-merahan. Begitu juga isinya. Biasanya ia lebih manis dari jenis pertama.
Pokok tiin tidaklah tinggi. Daunnya bercabang tiga seakan daun pokok maples. Merimbun daunnya sehinggakan ada julainya mencecah tanah. Ianya berputik di akhir musim bunga dan masak di awal musim luruh. Lazimnya terdapat di celah-celah pangkal daun di bahagian ranting.
Pokok tiin adalah jenis pokok bermusim. Hanya berbuah setahun sekali sahaja. Menjelang masuknya musim sejuk, keseluruhan daunnya akan mengguning dan gugur ke tanah, meninggalkan dahan dan ranting berceracak bagaikan ‘tangan hantu’. Apabila masuknya musim bunga, dedaunan mulai bertunas dan cepat sekali merimbun segar.
Sepanjang 4 musim luruh menyewa rumah sekarang, bermakna telah pun 4 kali kami dapat merasai buah tiin segar dari pokoknya. Dipetik dari tampuk, disiat kulit luar dan terus dimasukkan ke mulut. Emm... sedapnya. Terima kasih Allah kerana mengurniakan ni’mat yang tidak dijangkakan. Pada tahun hadapan pasti diri ini akan merindui keenakannya kerana tahun ini adalah tahun terakhir kami menetap di Australia ini, khususnya di Dandenong, Victoria.
Pada tahun ini, buahnya tidak selebat tahun-tahun sebelum ini. Namun sempatlah juga dikongsi bersama rakan-rakan di Dandenong ini. Kini hanya tinggal beberapa biji buahnya di pokok. Itupun jika sempat kami mengambilnya. Jika tidak, habuan burunglah jawabnya. Tidak mengapalah, burung pun makhluk Allah SWT jugakan...

Monday, March 29, 2010

Makan2 Dandy > Rumah Zamberi-Harlina

Tengahari Sabtu di hujung minggu baru-baru ini, warga Kg Dandy (komuniti keluarga Malaysia di Dandenong-Noble Park dan sekutunya) berkumpul lagi. Kali ini di rumah Dr. Zamberi-Dr. Harlina di Gissing St, Blackburn South. Rumah sewa yang baru didiami mereka kira-kira 2 bulan lalu setelah berpindah dari rumah sewa lama yang terletak berhampiran. Rumah yang lebih selesa dengan beranda luas di belakang rumah menghadap laman yang menghijau. Itulah idaman mereka.

Koleksi foto dari kamera kami serta Uji (terima kasih) terdapat di Album Foto Kami (@ Rumah Dr. Zamberi) atau klik di sini.

Majlis makan-makan pot luck kali ini agak istimewa berbanding majlis-majlis seumpamanya sebelum ini. Bukan sahaja majlis ramah mesra serta house warming bagi tuan rumah tetapi turut sama meraikan penyertaan 2 warga baru Kg Dandy iaitu Robert-Nelly berserta 3 orang anak dan juga keluarga Ustaz Zain-Wan Saliza dengan 2 pasang anak kembar serta ibu Saliza, Mak Wan. Selamat Datang kepada mereka semua.

Di samping itu, kehadiran Khairul Anuar-Raja Azlina bersama baby comel yang baru berusia hampir 2 minggu, Muhammad Shafiq menjadi tumpuan utama para ibu dan anak-anak kecil. AlhamduliLlah, kesabaran mereka selama belasan tahun akhirnya dikurniakan permata hati yang ditunggu-tunggu. Insya Allah mereka akan pulang ke tanah air pada akhir bulan April ini. Ina telah pun tamat pengajian PhD-nya di Monash University. Tahniah Ina dan Kerol.

Dalam diam Dr. Zamberi memaklumkan Insya Allah di pertengahan bulan hadapan beliau akan berangkat ke Fiji, membantu WHO (World Health Organisation) membangunkan Makmal Microbiologi di sana untuk jangkamasa 5 – 6 bulan. Satu peluang yang amat baik dalam usaha meraih pengalaman lebih-lebih dengan organisasi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Tahniah Dr. Zamberi.

Kehadiran ahli keluarga Kg Dandy dan para jempu reka saling kenal mengenali antara satu sama lain dan bertukar-tukar cerita. Penuh tan lain amat menggalakkan. Seronok sekali nampaknya me ceria disulami gelak ketawa. Turut sama memeriahkannya adalah Mak Cik Tini (kami panggilnya Kak Tini), penyampai radio (DJ) di Radio Melayu Melbourne yang bersiaran setiap Ahad malam Isnin selama sejam dari jam 10:00 – 11:00 malam.

Dengan para ibu bapa dan anak-anak kecil bersantai di laman belakang, anak-anak lelaki pula berseronok di dalam rumah dengan pelbagai permainan video. Di luar rumah tiada padang berdekatan untuk bermain, jika tidak ke sanalah tempatnya. Manakala kelompok anak-anak perempuan pula dengan rakan-rakan sebaya mereka di laman hadapan.

Menjelang jam 3:30 petang, masing-masing mula beredar pulang. Lambakan pelbagai juadah di meja hidangan hanya sedikit yang berbaki. AlhamduliLlah.
Terima kasih Zamberi-Harlina sekeluarga.

Insya Allah jumpa lagi di bulan hadapan, di rumah rakan lain pula.

Saturday, March 27, 2010

Cuti Sekolah Penggal 1/2010

Hari ini, 27/03/2010, bermulanya cuti persekolahan Penggal 1 di Victoria, Australia. Cuti selama 2 minggu ini akan berakhir pada 11/04/2010. Cuti persekolahan antara negeri-negeri di Australia ini sebenarnya tidak sama tarikhnya. Ada yang lebih awal dan ada juga yang lewat sedikit. Pentadbiran Kementerian Pendidikan bukannya secara berpusat seperti di Malaysia tetapi tertakluk di bawah pentadbiran setiap negeri. Jadi tidak hairanlah cuti persekolahannya tidak serentak.
Selama cuti sekolah ini, yang pasti anak-anak mempunyai masa yang lebih di rumah. Sehari dua berada di rumah, tiada masalah bagi mereka. Tidak timbul rasa bosan, umpama cuti hujung minggu sahaja. Namun apabila lama sedikit, mulalah kedengaran keluhan dan perlakuan yang menampakkan riak kurang seronok. Begitulah kelazimannya.
Jadi perlulah dirancangkan sesuatu yang menyeronokkan mereka. Selari dengan minat mereka kepada buku, maka kunjungan ke Dandenong Library adalah satu kemestian. Pilihlah semaksimum buku yang dibenarkan pinjam. Ketika cuti sekolah, bagi setiap satu kad biasanya ditingkatkan hadnya kepada 40 buah buku dan 8 keping DVD. Kami mempunyai 4 kad, jadi pinjamlah seberapa banyak buku dan DVD yang diingini. Silakan.
Pada sebelah petang, selalunya anak-anak turun ke padang sekolah menyertai kelompok rakan-rakan mereka beriadah. Bermain bola sepak, kriket, bola keranjang atau sekadar bermain di padang permainan. Kegiatan yang amat kami alu-alukan agar seimbang antara waktu memerap di rumah dan mengeluarkan peluh di kawasan lapang.
Banyak lagi kegiatan yang dilakukan ketika cuti sekolah. AlhamduliLlah, semuanya dilakukan setelah mendapat keizinan kami terlebih dahulu. Bagi kami tiada masalah, asalkan ianya bermanafaat dan tidak mengundang mudarat. Dan yang paling penting adalah perintah Allah SWT sentiasa menjadi keutamaan terutama mengerjakan solat dan menjaga batasan aurat.
Kebiasaannya pada masa cuti sekolah kami akan membawa mereka melancong ke tempat-tempat tertentu. Berkebetulan pula pada kali ini bersekali dengan cuti Hari Easter. Kami bercadang, Insya Allah akan berkunjung ke Sydney, New South Wales di pertengahan minggu nanti. Di sana tinggalnya adik Laili, Eusni Rahayu sekeluarga yang baru tiba kira-kira sebulan lalu. Anak-anak tidak sabar lagi untuk berjumpa dengan sepupu-sepupu mereka yang sebaya semuanya. Perhatikan foto di atas, mereka kelihatan amat akrab sekali.
Moga segala perancangan kami dipermudahkan oleh Allah SWT. Diharapkan juga sepanjang cuti 2 minggu ini dilalui penuh keseronokan sambil menambah ilmu dan pengetahuan. Ameen.

Wednesday, March 24, 2010

Dunia Buku : Minat Buku

Setiap orang dalam keluarga kami sememangnya meminati buku. Dengan lain perkataan, semuanya minat membaca. Satu hobi yang amat menarik, boleh menyebabkan manusia tenggelam dalam keasyikan.
Sebahagian buku kami di perantauan tersusun rapi di rak
Hobi meminati buku ini terutama pada anak-anak terbentuk secara semulajadi. Kehidupan seharian mereka sentiasa dikelilingi buku-buku. Dan kami, sebagai ibu bapa sentiasa menggalakkan mereka mencintai buku. AlhamduliLlah, ianya berputik sejak kecil dan terus mekar sehingga kini. Moga-moga ianya berterusan begitu selama adanya hayat. Ameen.
Setiap orang daripada kami mempunyai ruang lingkup minat yang tersendiri. Saya meminati buku-buku mahupun artikel keagamaan dan kesejagatan serta tidak ketinggalan novel-novel islami. Laili pula meminati buku-buku agama dan juga bahan bacaan ilmiah.
Anak sulung kami, Izzuddin amat menyukai majalah sukan, komik dan buku-buku berbentuk facts and figures seumpama Guinness World Records. Hanisah pula beransur-ansur menukarkan minatnya daripada buku-buku fairy tales kepada buku-buku berkonsep keremajaan, selari dengan peningkatan usia remajanya. Manakala Solehah pula kini mengambil alih tempat kakaknya menggemari buku-buku fairy tales.
Anak bongsu kami, Imran, sejak dahulu lagi amat menyukai buku-buku tentang binatang. Kini hampir semua koleksi Imran adalah tentang binatang. Buku Wildlife Atlas dan My First Animal Encyclopedia adalah antara buku yang amat digemarinya. Jika berjalan jauh, buku tersebutlah yang akan dibawa bersamanya.
Dengan setiap orang mempunyai minatnya tersendiri, tidak hairanlah masing-masing mempunyai koleksi peribadinya sendiri. Sekiranya ketemu buku diminati, tidak lokek rasanya untuk berbelanja.
Namun kebanyakan buku dalam simpanan kami ketika di perantauan ini adalah yang terpakai. Ianya mudah ditemui dan harganya pula berganda murahnya berbanding buku baru. Tidak kisahlah, yang penting adalah kualiti ilmu yang terkandung di dalamnya. Moga ada manafaatnya.

Tuesday, March 23, 2010

Dunia Buku : Pesta Buku

Di tanah air, kini sedang berlangsung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) Kali ke-29 bertempat di Putra World Trade Centre (PWTC). Ianya bermula pada hari Jumaat lalu (19/03/2010) dan akan berakhir pada hari Ahad (28/03/2010). Diberitakan kira-kira 857 buah booth disediakan untuk lebih 200 penerbit/ penjual/ agensi dalam dan luar negara. Sekaligus mencatat sejarah pesta buku terbesar yang dianjurkan.

Sejak dahulu lagi, setiap tahun saya pasti tidak terlepas untuk mengunjunginya. Saya sengaja mengambil cuti pada hari-hari tertentu semata-mata untuk ke PWTC.
Seronok sekali rasanya apabila melihat timbunan buku-buku di sana-sini, tersusun rapi dengan potongan harga yang menarik - membuatkan hati benar-benar teruja dan tergoda. Penat kaki melangkah ke serata pelusuk dewan sambil menyinggah di hampir setiap booth bagaikan tidak terasa. Sememangnya dunia buku benar-benar membuatkan diri ini karam, tenggelam dalam keharuman bau buku yang menyegarkan.

Pada tahun 2008 dan juga tahun ini saya tidak dapat mengunjunginya kerana berada di perantauan. Terasa bagaikan satu kehilangan. Jiwa meronta-ronta tapi apakan daya...

Pada tahun lepas saya rasa amat bertuah kerana berpeluang mengunjunginya ketika pulang bercuti bersama keluarga. Dalam kesibukan menyelesaikan tunggakan urusan, saya pastikan ada masa untuk ke PWTC. AlhamduliLlah 2 kali saya berkesempatan ke sana. Booth PTS, Telaga Biru, Alaf 21, DBP, Karangkraf, Nufair Street dan Galeri Ilmu adalah antara yang menjadi keutamaan untuk disinggahi.

Dari pemerhatian umum, sambutan pengunjung amat hebat sekali. Setiap kali dilangsungkan PBAKL, difahamkan lebih 1 juta orang mengunjunginya. Malah setiap tahun bilangannya semakin bertambah. Jelas menunjukkan mutaakhir ini bahawa rakyat Malaysia sememangnya amat menyukai buku. Petanda yang amat memberangsangkan dalam pembentukan generasi pelapis yang berilmu pengetahuan. Mungkin kajian lanjut perlu dilakukan untuk melihat secara dekat jenis dan skop bahan bacaan yang menjadi kegemaran mereka.
Bagi kami sekeluarga, dunia buku amatlah mengasyikkan. Kami sanggup berbelanja lebih semata-mata untuk membeli buku. Bagi anak-anak, jika diberi pilihan antara buku dan permainan, pasti pilihannya adalah buku. AlhamduliLlah.
Selama hampir 3 tahun di Melbourne ini, telah ratusan buku kami beli. Kebanyakannya buku terpakai yang dijual di Dandenong Library, pusat barangan terpakai seperti Savers, Salvos dan Thrash Market serta di garage sales. Bukunya masih elok lagi dan harganya murah sekali. Ada juga yang diperolehi secara percuma.
Sebahagian daripada buku-buku tersebut telahpun siap dimasukkan ke dalam kotak kerana tiada lagi ruang untuk diletakkan. Kami mengimpikan, Insya Allah akan disediakan Perpustakaan Keluarga ketika pulang ke tanah air nanti. Moga-moga impian menjadi kenyataan. Ameen.

Monday, March 22, 2010

Kenalan Baru

Semalam, rumah kami sedikit meriah dengan kehadiran silih berganti rakan-rakan baru dan lama. Bermula dengan keluarga Ustaz Zain-Wan Saliza, diikuti pula keluarga Nazman-Dr. Salmah dan Kak Arifah. Tengaharinya pula Kahfi-Yati sekeluarga serta Rahana bersama anaknya, Zyva datang berkunjung.
Kak Arifah adalah orang lama, telah 36 tahun menetap di bumi Australia. Kini tinggal di Endervour Hill, tidak jauh dari rumah kami. Manakala Dr. Rahana pula telah lebih setahun di sini. Seperti Laili, kini calon PhD dan tinggal di Clayton South. Insya Allah Rahana akan pulang ke tanah air dalam masa terdekat untuk urusan pengumpulan data.
Keluarga Ustaz Zain-Wan Saliza
Mereka sekeluarga termasuk 2 pasang anak kembar mereka, Faris-Farah berusia 7 tahun dan Raiyan-Raihan pula baru berumur 7 bulan. Turut serta ibu Ja, Mak Wan dari Rhu Renggeh, Terengganu. Ustaz Zain adalah pensyarah UKM dan kini melanjutkan pengajian di peringkat PhD di Monash University kampus Clayton.
Mereka baru sahaja tiba di Melbourne hampir 3 minggu lalu. Awalnya tinggal sementara di Malaysia Hall dan kini di rumah Cikgu Din-Marliana yang pulang ke Malaysia. Insya Allah akan masuk ke rumah sewa mereka di Dandenong pada awal April nanti.
Keluarga Nazman-Dr. Salmah
Bersama 3 anak mereka; Amir (14 tahun), Alia (11) dan Aril (9), telah pun sebulan tiba di Melbourne. Kini tinggal di Browns Rd, Clayton. Dr. Salmah, seorang pegawai perubatan akan menjalani latihan kerja selama setahun, berpusat di Monash University, kampus Notting Hill.
Dr. Salmah akan tinggal berempat bersama-sama anak-anaknya, sementara suaminya, Nazman, seorang ahli perniagaan telahpun berangkat pulang ke tanah air malam tadi. Insya Allah, Nazman akan datang menjenguk keluarga sekali sekala. Tambahan pula anak sulung mereka kini belajar di Geelong, kira-kira 70 km dari Clayton.
Keluarga Kahfi-Yati
Mereka berdua bersama 2 anak perempuan; Nor (12 tahun) dan Isya (9 ) baru 2 hari tiba (Sabtu). Yati adalah pensyarah UUM dan akan menyambung pelajaran di peringkat PhD di Monash University kampus Caufield.
Semalam mereka menaiki tram dan train dari Malaysia Hall ke Dandenong semata-mata memenuhi jemputan kami. Banyak perkara yang dibualkan terutama berkaitan pencarian rumah sewa, pengajian anak-anak, pendaftaran universiti dan kehidupan di perantauan. Mereka merancang untuk mencari rumah sewa samada di Dandenong atau Clayton.
AlhamduliLlah, dengan kehadiran sama Dr. Rahana, soal penginapan sementara ada jawapannya setelah mereka diajak tinggal bersamanya. Insya Allah, soal pendaftaran di universiti pula akan dibantu oleh Nor (isteri Sdr Haidar) yang belajar di kampus Caufield.
Kepada setiap orang baru sentiasa diperingatkan, usah segan meminta pertolongan. Di perantauan, rakan-rakanlah yang menjadi saudara dan keluarga yang terdekat. Jika tidak mereka yang membantu, siapa lagi yang ingin diharapkan. Insya Allah segala-galanya akan dipermudahkanNya.
Kepada semua, berbanyak-banyak terima kasih kerana sudi memenuhi jemputan kami. Moga perkenalan yang baru berputik mahupun telah lama akan terus kekal mesra selamanya.

Thursday, March 18, 2010

Bosan vs Seronok

Di dalam kelas, Imran dikatakan sering kelihatan mengantuk, seolah-olah tidak cukup tidur. Ada ketikanya Imran memasukkan tangannya ke dalam seluar. Gurunya, Mrs. Slatter meminta kami merujukkannya kepada doktor, dibimbangi Imran mengalami gatal-gatal. Bila diperiksa tiada pula. Ianya benar-benar menggusarkan kami.

Hari pertama Imran di sekolah rendah
Bila diselidiki, rupa-rupanya Imran merasa bosan berada di dalam kelas. Imran jemu dengan proses pendidikan awal dalam mengenal huruf, nombor dan melakarkan garisan-garisan. Semuanya itu telah diketahuinya walaupun tidak pernah diajar ketika di kindergarten dahulu. Imran suka membaca tetapi ianya tidak ditekankan. Jadi, ianya perlu diperjelaskan untuk kefahamannya.

Kini Imran kelihatan lebih seronok. Setiap hari ada sahaja buku cerita baru yang dibawa pulang untuk dibaca. Terlebih lagi sukanya apabila diberikan buku berkaitan binatang. Apa sahaja berkaitan binatang pasti membuatkan Imran gembira. Di ruangan reaksi wajah di dalam Home Reading Book pasti akan dilukiskan senyuman melebar, tanda ia amat menyukai buku tersebut. Gurunya sendiri pun telah dapat memahami kehendaknya.

Oxford Word List yang diberikan pun telah menghampiri Tahap 10. Banyak perkataan baru yang ditemuinya, menambahkan lagi keseronokannya. Tambahan pula bagi setiap perkataan yang dapat disebut dengan betul akan dilekatkan sekeping pelekat, sesuatu yang disukainya. Malah satu motivasi untuk Imran.

Diharapkan Imran dapat mengikuti pembelajaran hariannya dengan lebih baik dan menyeronokkan. Tiada lagi rasa bosan dan jemu.