Thursday, May 8, 2008

Cuti-cuti Australia - Sydney

Perjalanan hampir 800 km amat meletihkan. Kami melintasi kawasan padang rumput keperangan dan dibawa melencong dek Navigator meredahi ladang tebu serta melalui ladang pisang.

Kami tiba di Sydney dah agak lewat, kira-kira jam 10:00 malam. Terus ke rumah tuan rumah sewa, Katie untuk mengambil kunci apartmentnya, Olympiad Apartment di Burwood, tak jauh dari rumahnya. Rumah sewa 2 bilik tidur + 2 bilik airnya di tingkat 3 siap dilengkapi tilam dan sofa bed untuk 10 orang. Terima kasih Katie.

Kami berada di Sydney selama 3 hari, dari hari Selasa sehingga Khamis.

Hari I : Selasa (01/04/2008)

Selepas solat jamak, kami terus ke Taronga Zoo. Terdapat lebih 2,700 haiwan daripada hampir 400 spesis dari serata dunia dengan habitatnya tersendiri. Terdapat juga haiwan malam dengan persekitarannya yang kelam.

“Menonton” haiwan di zoo bukanlah pelik dan asing tapi ada kelainan di zoo ini. Haiwan di dalam sangkar kaca walaupun merbahaya tetapi boleh dilihat amat dekat kerana mereka tidak nampak “penonton” di luar. Jadi tidak hairanlah ada yang bersantai berdekatan cermin kaca.

Taronga Zoo dibina di dataran mencuram hingga ke laut. Di samping masuk melalui pintu masuk utama, kita juga boleh masuk (atau keluar) dari pintu menghadap laut. Kami berjalan menurun hingga ke tepi laut, seterusnya menaiki kereta kabel kembali ke pintu utama. Sememangnya itu yang dirancang.

Malamnya tidak kemana-mana. Hanya Bat dan Aya yang turun “merayau” di shopping complex bersebelahan apartment.

Hari II : Rabu (02/04/2008)

Hari ini kami ke Darling Harbour. Dari Entertaiment Centre di mana diparkirkan kereta, kami berjalan melintasi Tumbalong Park dan Chinese Garden terus ke Darling Harbour. Pemandangannya amat cantik dengan feri dan bot teroleng-oleng di air. Begitu juga dengan bangunan di sekitarnya seperti Exhibition Centre, Convention Centre, Imax 3D Theatre, Harbourside dan banyak lagi.

Seterusnya kami menaiki feri dari Darling Harbour menuju ke Circular Quay, melewati Harbour Bridge yang unik, Opera House yang bagaikan terapung di air, The Rocks yang mencatatkan sejarah pendudukan awal dan beberapa bangunan yang juga menarik.

Tercapai hajat untuk ke Opera House yang menjadi salah satu ikon terkenal di Sydney. Ianya siap dibina pada tahun 1973 dan kini tersenarai dalam Heritage World. Bentuknya seakan kepala kapal yang berlapis kelihatan amat unik. Terdapat 4 auditorium dengan lebih 2,500 acara teater, drama, muzik dan opera dipersembahkan setiap tahun.

Sempat juga kami singgah untuk berehat dan makan tengahari dengna bekal yang dibawa di Royal Botanical Garden yang terletak bersebelahan Opera House.

Kembali menaiki feri, kami singgah pula di Sydney Aquarium yang menempatkan lebih 11,500 hidupan marin. Akuariumnya terletak di tengah-tengah bangunan dengan persekitaran laut dalam yang amat mempesonakan dengan jerung, pari dan ikan pelbagai warna bebas berenang di celah-celah karang. Terdapat juga paparan persekitaran Great Barrier Reef yang dikatakan terbesar di dunia dan juga terowong sepanjang 160 meter.

Hari ini kami keluar dari Olympiad Apartment. Sepatutnya terus ke kabin sewaan di Golburn tetapi terpaksa batalkan. Masih banyak tempat menarik di Sydney yang masih belum dilawati. ALhamduliLlah, terdapat bilik kosong di Malaysian Hall. Mak, abah, Bat, Aya, Hanisah dan Solehah bermalam di sana. Kami pula bermalam di rumah kenalan Laili, Sdr. Hanafi. Terima kasih Hanafi. Terima kasih Kak Nani di Malaysian Hall.

Hari III : Khamis (03/04/2008)

Paginya kami mengunjungi Sydney Wildlife Centre (bersebelahan Sydney Aquarium) di mana terdapat lebih 6,000 hidupan dominan Australia termasuk serangga, burung, ular dan pepohonan. Malah lipas terbesar di dunia sebesar tapak tangan juga terdapat di sini. Bangunan 3 tingkat ini memaparkan hidupan dalam 9 habitat berbeza dengan lebih 65 exhibit. Haiwannya juga diletakkan di dalam sangkar kaca kalis pandangan dalam. Tidak hairanlah ada ular yang menjalar bebas berdekatan cermin.

Seterusnya kami berjalan menuju ke Market Street di mana terletaknya Sydney Tower yang berketinggian 305 meter. Kami di bawa masuk ke bilik 3D teatre untuk menonton kempen sayangilah persekitaran kita. Kemudian memasuki OzTrek, merasai pengembaraan 3D hologram berserta180 darjah skrin merentasi Australia melalui pantai, sungai, air terjun, pergunungan dan terbang di udara. Satu pengalaman menarik tetapi tidak sesuai kepada yang cepat pening kepala dan tekak meloya.

Setelah berehat seketika, kami menaiki lif menuju Observation Deck. Menarik dan amat cantik sekali bandaraya Sydney dengan panorama 360 darjah. Disediakan juga teropong berkuasa tinggi di setiap sudut untuk mendapatkan pandangan yang lebih jelas. Lebih menarik, terdapat SkyWalk tour di luar menara pada aras 260 meter dengan bayaran tambahan.

Petangnya kami tersesat hampir sejam di tengah bandaraya Sydney yang sibuk. Di kelilingi bangunan pencakar langit, GPS Navigator juga tidak dapat mencari jalan keluar. Setelah berada di pinggir bandar, barulah laluannya dapat dikesan.

Malamnya selepas solat jamak di Malaysian Hall, kami terus bertolak ke Golburn. Kami tiba di Big4 Caravan Park agak lewat, kira-kira jam 10:30 malam. Cuacanya amat sejuk sekali, dijangkakan sekitar 10 darjah Celcius.

Monday, May 5, 2008

Cuti-Cuti Australia - Gold Coast

Selama seminggu, dari 28/03/2008 sehingga 04/04/2008 kami sekeluarga berserta mak, abah, Bakhtiar (Bat) dan Suraya (Aya) menjelajah timur Australia. Selama 4 hari di Queensland, kami mengunjungi beberapa tempat menarik di Gold Coast dan Sunshine Coast. Seterusnya turun ke New South Wales dengan tumpuan di sekitar Sydney selama 3 hari. Di Canberra ACT (Australia Capital Territory) pula hanya sehari sahaja sebelum bertolak pulang ke Melbourne.

Hari I : Jumaat (28/03/2008)

Kami bertolak dari Melbourne, Tullamarine Airport (Tiger Terminal) sekitar jam 07:00 pagi menaiki Tiger Airways A320 dan tiba di Gold Coast Airport kira-kira 2 jam selepasnya (jam 08:00 pagi waktu Queensland). Muatan kargonya tak sama seperti penerbangan antarabangsa. Untuk bagasi, hanya 15 kg @ 1 kotak/beg sahaja per penumpang yang dibenarkan. Malamnya kami tidur di rumah Ustaz Khairul-Dr. Intan Hakimah di Pascoe Vale South, 15 km dari rumah mereka. AlhamduliLlah kami sempat solat Subuh di ruangan menunggu sebelum berlepas.

Dari airport, menaiki Kia Carnival yang disewa dari Thrifty Cars, kami terus ke Australia Zoo di Beerwah, Sunshine Coast, kira-kira 170 km jaraknya. Buat pertama kali menggunakan GPS In Car Navigator, Navman S30 yang dibeli beberapa hari sebelumnya sebagai penunjuk jalan.

Australia Zoo sememangnya terkenal dengan ikon The Crocodile Hunter (Steve Irwin) yang meninggal dilibas ekor ikan pari kira-kira 2 tahun lepas di Great Barrier Reef. Asalnya, zoo ini dikenali sebagai Beerwah Reptiles Park dibuka oleh Bob dan Lynn Irwin pada tahun 1970. Pada tahun 1992 pengurusannya diserahkan pada anak mereka, Steve dan pasangannya Terri dan mulai terkenal di seluruh dunia.

Umumnya tidak banyak haiwan di zoo ini, sekitar 20 jenis sahaja dengan didominasi oleh beberapa spesis buaya. Tidak hairanlah kerana itulah keutamaan keluarga Irwin. Kami sempat melewati 10 kolam buaya, menonton aksi semulajadi buaya, burung dan ular berunsur pendidikan di Crocoseum (ala stadium) dan beberapa haiwan lagi. Hujan lebat membantutkan penerokaan kami, malah kami basah lencun kerananya. Kira-kira jam 4:30 petang kami bertolak pulang ke Gold Coast menuju ke rumah sewa di Burleigh Heads.

Rumah sewanya agak besar dengan dekorasi yang simple tetapi menarik. Biliknya ada 4 kesemuanya dan ruang tamu yang luas. Ruang keluarganya selesa menghadap kolam renang kecil. Amat sesuai kiranya diambil idea untuk rumah sendiri. Bat dan Aya nampaknya berminat.

Hari II : Sabtu (29/03/2008)

Mak dan abah beserta Bat dan Aya tiba di Gold Coast Airport menaiki Air Asia dari Malaysia paginya. Terlerai segala kerinduan terutama anak-anak. Kereta sewa kedua diambil di airport. Asalnya ditempah Mitsubishi Colt 3 pintu, tak disangka diupgrade tanpa kos kepada Nissan Trail 4WD, seronoklah Bat yang memandunya.

Selepas solat jamak Zohor-Asar, kami ke Seaworld di Surfers Paradise, hampir 20 km dari rumah. Tempatnya amat menarik dan banyak tarikannya. Oleh kerana masa yang agak terhad, kami hanya sempat kunjungi sebahagian daripadanya sahaja, antaranya menyelami alam dugong di Dugong Discovery, menonton persembahan karakter popular Sesame Street; Big Bird, Elmo, Cookie Monster, Zoe, Bert dan Ernie sebelum bergegas ke Dolphin Cove menonton aksi-aksi menarik ikan lumba-lumba bersama para pelatihnya. Amat mengkagumkan. Penontonnya penuh memenuhi ruang duduk bertingkat.
Sempat juga kami singgah di auditorium Planet SOS yang menayangkan dokumentari bermesejkan selamatkan bumi dengan konsep 4D. Terasa bagaikan turut berada di dalamnya. Lain-lain tempat yang dikunjungi adalah Penguin Point, Polar Bear Shores (tapi bearnya tiada) dan akuarium.

Sayangnya kami tak sempat mengunjungi dan menyaksikan aksi-aksi di Shark Bay, Sea Lion Show dan Waterski Wipeout. Atau bermain air di Sesame Street Beach dan di Water Park. Begitu juga tidak merasai keseronokan menaiki Pirate Ship, Cockscrew dan Bermuda Triangle. Mungkin ada peluang di lain kesempatan.

Hari III : Ahad (30/03/2008)

Hari ini kami ke Sunshine Coast lagi mengunjungi UnderWater World. Ianya terletak di dalam bangunan 4 tingkat. Sebaik melangkah masuk sahaja, kami terus tenggelam dalam dunia hidupan air yang pelbagai jenis dan bentuk. Bermula dengan ikan pari yang kelihatan begitu jinak, penjelajahan kami diteruskan ke kawasan pelbagai koleksi ikan, otter, singa laut dan lain-lain lagi. Banyak nama hidupan yang tak pernah kami ketahui dan dengar, begitu juga dengan rupanya.

Seterusnya kami melangkah masuk ke dunia yang lebih gelap, Oceanarium melalui terowong bawah air sepanjang 80 meter yang berkapasiti 2.5 million air laut. Pelbagai hidupan laut dalam yang dapat disaksikan termasuk penyu, ikan pari, jerung gergasi dan ikan laut yang berwarna-warni. Juga pelbagai karang laut dan tapak sulaiman yang amat cantik sekali. Sesungguhnya, masih ada dunia selain daratan yang juga tidak kurang cantiknya. Kami tenggelam dalam keindahan ciptaan Allah.

Sebelum melangkah keluar, kami menjengah haiwan merangkak di Crawly Creatures Exhibit. Bersebelahan Underwater World, terdapat jeti Mooloolaba Harbour, pemandangan di sekitarnya cantik sekali.
Petangnya selepas solat, anak-anak ditemani ibunya melepaskan geram, terjun ke kolam renang. Airnya sejuk sekali. Seterusnya dituruti sama oleh Bat, Aya dan juga Abah selepas Maghrib.

Hari IV : Isnin (31/03/2008)

Untuk perjalanan seterusnya ke Sydney, Canberra dan Melbourne, kami menggunakan kereta syarikat Hertz, Toyota Camry dan Toyota Corolla.

Kami bertolak meninggalkan Burleigh Heads sekitar jam 11:00 pagi, melewati pantai yang memutih seterusnya melepasi sempadan Queensland ke Sydney. Jarak perjalanan yang agak jauh, kira-kira 800 km merentasi Pacific Highway.

Terkilan juga di hati, sepatutnya kami luangkan masa sehari untuk menikmati keindahan pantai Gold Coast yang terkenal itu. Tengoklah di lain ketika, Insya Allah jika dimurahkan rezeki dan dikurniakan kesempatan.

Saturday, April 19, 2008

Cuti-Cuti Australia - Persediaan

Zam zam ala kazam... mak dan abah selamat mendarat turun di Gold Coast
Setiap kali merancang untuk bercuti, perancangan yang teliti perlu dibuat. Lagi lama masa dan jauh jarak perjalanan lebih banyak hal yang perlu diberikan perhatian. Tapi adakala terlepas pandang juga, bak kata peribahasa, “setelah terhantuk baru tengadah”.

Untuk perjalanan kami ke Gold Coast, turun ke Sydney dan Canberra, seterusnya bertolak pulang ke Melbourne, perancangan dan persediaannya telah dilakukan sejak 2 bulan sebelumnya. Perkara utamanya adalah tempat lawatan, tempat bermalam, kereta sewa dan tiket kapal terbang. Tidak terkecuali soal makanan halal dan solat di jalanan. Kalau kat Malaysia makan-minum dan solat tidaklah menjadi isu kerana kemudahannya ada di mana-mana.

Untuk mencari tempat bermalam, menyewa kenderaan dan membeli tiket penerbangan semuanya perlu dilakukan secara online. Untungnya tak perlu menelefon ke sana-sini. Bolehlah melayari internet sebelah malam.

Tempat Bermalam

Inilah yang terpenting dan paling memeningkan kepala. Rumah/ apartmen/ kabin/ etc perlu ditempah awal, tambahan pula pada musim cuti persekolahan. Pada masa yang sama lokasi lawatan dan singgahan perlu diatur lebih awal. Budget pun nak kena tengok juga.

Agak susah juga untuk membuat tempahan kerana kebanyakan tempat sewaan yang menarik telahpun penuh. Apatah lagi untuk memuatkan 10 orang kesemuanya. Tambahan pula kami sendiri pun tidak arif akan persekitaran dan lokasinya, sekadar berpandukan pada peta semata-mata

Di hadapan rumah sewa di Gold Coast
Di Gold Coast, kami menempah sebuah rumah di Burleigh Heads, tidak jauh dari Gold Coast Airport untuk tempoh 4 hari 3 malam (Jumaat – Isnin). Di Sydney pula kami dapat Olympiad Apartment 2 bilik di tingkat 4 untuk 3 hari 2 malam (Isnin – Rabu). Memandangkan masih banyak tempat yang perlu dilawati di Sydney, tambahan pula mendapat tawaran bermalam di Malaysian Hall dan di rumah kawan Laili, kami berada di Sydney sehingga hari Khamis. Seterusnya di Canberra pula setakat cabin sahaja (2 buah) di Goulburn untuk tempoh 2 hari 1 malam (Khamis – Jumaat)..

Tempat Lawatan

Ini pun tidak kurang memeningkan kepala. Mana nak pergi dan tempat mana yang perlu dilawati pun kami kurang mengetahui. Jika dirujuk pada tempat-tempat menarik dalam internet, semuanya tempat dipromosikan menarik. Akhirnya keputusan dibuat di saat-saat akhir. Kami beli tiket di kedai RACV (macam AAM kat Malaysia) yang ada potongan istimewa untuk ahli RACV.

Di Gold Coast, tempatnya Australia Zoo, Underwater World dan Sea World. Habis tempoh 4 hari di Gold Coast. Tak berkesempatan untuk menikmati keindahan pantai dan laut yang dikatakan amat mengkagumkan. Sepatutnya kami luangkan masa sehari untuk berjalan-jalan dan bersantai di pantainya. Hari ke-4, sehari perjalanan ke Sydney.

Di Darling Harbour sebelum menaiki feri ke Opera House
Di Sydney pula, tempatnya di sekitar Darling Harbour, antaranya Sydney Aquarium, Wildlife World, Opera House, Botanical Garden, Harbour Bridge dan Sydney Tower. Juga ke Taronga Zoo. Manakala di Canberra pula sekadar di sekitar Parliament House dan singgah solat jamak di Canberra Mosque (Masjid Abu Bakar) yang terletak berhadapan Kedutaan Malaysia. Dari pencarian kami pun tidak banyak tempat yang benar-benar menarik di Canberra.

Awalnya kami merancang nak ke Adelaide sehingga hari Ahad tetapi dibatalkan kerana dirasakan perjalanan yang dirancang pun amat memenatkan. Tambahan pula sekolah akan dibuka untuk penggal kedua pada hari Isninnya. Bagi peluang pada anak-anak untuk berehat.

Tiket Kapalterbang

Di samping Qantas terdapat beberapa syarikat penerbangan tambang murah, antaranya Jet Star, Virgin Blue dan Tiger Airways. Jika bernasib baik terdapat tawaran menarik dengan harga tambang murah serendah AUD 10.00 (harga bersih tanpa cukai). Ini yang kami terlepas.

Tiket penerbangan yang ditempah hanya untuk ke Gold Coast sahaja iaitu Tiger Airways. Balik ke Melbourne menaiki kereta sewa sambil melancong.

Kereta Sewa

Kereta sewa, Camry dan Corolla
Terdapat banyak syarikat kereta sewa di Australia, antara yang popular adalah Thrifty, Hertz, Avis, Budget dan Europcar. Perbandingan harga boleh dilakukan secara online untuk mendapatkan harga yang termurah. Di samping harga, tawaran unlimited km perlu diberikan perhatian terutama untuk perjalanan melebihi 100 km.
Di Gold Coast, kami menyewa dari Thrifty kerana lebih murah untuk tempoh masa pendek. Tambahan pula ada potongan sebagai ahli Thrifty. Keretanya, MPV Kia Grand Carnival dan compact car (diupgrade kepada 4 WD). Kedua-duanya diambil di Gold Coast Airport, sedikit airport charge dikenakan.

Manakala untuk perjalanan ke Sydney – Canberra – Melbourne, kami menyewa dari Hertz menggunakan keistimewaan potongan harga ahli RACV. Keretanya Toyota Camry dan Toyota Corrolla. Emm... dapatlah merasa 4 jenis kereta.

Makanan Halal

Perancangannya kami akan memasak makanan. Jadi periuk nasi dan pinggan mangkuk perlu dibawa sama. Begitu juga rempah ratus, makanan segera , beras dan lain-lain keperluan turut dibawa sebagai asas. Bekalan seterusnya dibeli di mana-mana pasaraya yang ditemui. Kuali, pinggan dan seumpamanya yang terdapat di rumah sewa boleh digunakan tapi perlu disamak terlebih dahulu.

Begitulah secara umum persediaan yang dilakukan. Pelbagai kesulitan dan karenah yang timbul tapi dari situlah timbulnya pengajaran dan peringatan. AlhamduliLlah segalanya dipermudahkan oleh Allah SWT.

Monday, April 14, 2008

Famili Dari Malaysia

Bakhtiar dan Suraya di Darling Harbour
Hari demi hari terus berlalu. Tanpa disedari dah lebih 3 minggu blog ni tidak diupdate. Bukannya tak ada masa tetapi asyik dok bertangguh aja.

Semalam, Bakhtiar (ipar) dan orang rumahnya, Suraya dah berangkat pulang ke tanah air. Awal pagi semalam, mereka menaiki Tiger Airways ke Gold Coast, Queensland. Malam tadi naik Air Asia pula ke Malaysia. Awal pagi tadi, Alhamdulillah selamat tiba di KLIA. Terima kasih Bat dan Aya. Sampaikan salam kami pada saudara mara dan kenalan di tanah air.

Dah 2 minggu mereka berada di Australia. Mereka turun di Gold Coast Airport menaiki Air Asia pagi Sabtu (29/03/2008) bersama-sama dengan mak dan abah (ibu bapa Laili). Kami sekeluarga pula ke Gold Coast sehari sebelumnya. Kebetulan pula anak-anak sedang cuti sekolah penggal pertama selama 2 minggu.

Di hadapan Opera House, Sydney
Tiga hari di Gold Coast, kami berkunjung ke Australia Zoo (Crocodile Hunter) dan Underwater World di Sunshine Coast. Juga ke Seaworld di Surfers Paradise. Dari Gold Coast, kami turun ke Sydney, New South Wales. Tiga hari di Sydney kami melawat Taronga Zoo, Sydney Wildlife World, Sydney Aquarium dan Sydney Tower. Kami juga berkesempatan menaiki feri di jeti berhadapan Sydney Convention Centre di Darling Harbour melalui Harbour Bridge dan The Rocks ke Opera House dan Botanic Gardens. Pagi Jumaat kami ke Canberra, sekadar melewati Parliament House dan singgah di Masjid Canberra yang terletak berhadapan Kedutaan Malaysia. Petangnya, kami terus bertolak pulang ke rumah di Dandenong, Victoria dan tiba di rumah lewat malamnya.

Di Melbourne, mereka berkunjung ke Phillip Island, melawat Churchill Island Heritage Farm, Koala Sanctuary dan Penguin Parade. Mereka juga di bawa menaiki feri merentasi Port Phillip Bay dan menikmati keindahan pantai di sepanjang Great Ocean Road serta keunikan arca batu di Port Campbell. Malah mereka turut sama merasai pengalaman barangan murah di Garage Sale dan di Trash & Treasure Market. Bat dan Aya lebih panjang langkahnya, dengan tiket AUD 9.50 mereka menaiki train, tram dan bas tanpa limit di Melbourne City.

Bakhtiar dan Suraya pulang ke Malaysia, Hadi dan kawannya, Khalil pula datang. Mereka tiba di Gold Coast Airport pada pagi Sabtu menaiki Air Asia. Malamnya menaiki Jet Star ke Melbourne Airport.

Insya Allah mereka bersama mak dan abah akan tinggal bersama kami di Australia sehingga pertengahan Jun.

Friday, March 21, 2008

Good Friday & Easter Day

Hari ini mula cuti sekolah selama 2 minggu untuk Penggal Pertama. Hari ini juga dikenali sebagai Good Friday. Seluruh Australia bercuti. Dan esok, lusa dan tulat pun cuti. Maksudnya rakyat Australia bercuti panjang sehingga Isnin kerana meraikan Hari Easter. Kalau kat Tasmania ditambah sehari lagi hari Selasa, dikenali Easter Tuesday. Hebat betul Easter ni. Bercuti sakan mereka.

Sejak sebulan lalu, di merata-rata tempat kelihatan patung Bunny dan telur kecil besar bersalutkan coklat. Berwarna-warni pembalutnya. Hinggakan di sekolah pun Iddin, Nisah dan Leah kena siapkan dekorasi coklat seumpamanya. Hatta Imran di Kindergarten pun tidak terkecuali. Malah masing-masing mendapat hadiah patung Bunny dan telur. Kata mereka kerana Easter.

Terdetik di hati, apa ke benda Easter ni? Apa kaitannya dengan Bunny dan telur? Begitu juga, apa pula kaitannya dengan coklat? Dan kenapa Good Friday disambut berturutan dengan Easter Day? Sebe;um ini hanya dengar-dengar aja tapi tak tahu. Bertanyakan anak-anak, mereka pun tak tahu…

Di pertengahan minggu lepas, berkesempatan bertanyakan Cikgu Mystica, tenaga pengajar di Dandenong Neighbourhood House tentang Easter ni. Sambil-sambil tu selusuri juga maklumat dari internet.

Sebelum disentuh secara langsung, mohon maaf, tidak bermaksud memesongkan aqidah dan kefahaman kita terhadap Islam. Cuma sekadar memahami kepercayaan orang lain. Itu sahaja.

Secara ringkasnya dapatlah difahami ianya adalah kepercayaan penganut agama Kristian terutama dari golongan Katholik. Good Friday disambut, kononnya sebagai ingatan atas pengorbanan dan penderitaan Jesus (ingat, jangan rujuk pada Nabi Isa AS) yang dikorbankan di palang salib. Good Friday disambut 2 hari sebelum Easter Day. Kononnya Jesus tidak mati. Dia bangun dari pusaranya pada hari ke-3, dikenali Easter Sunday. Begitulah pegangan mereka.

Yang pasti kebenarannya amat jauh menyimpang dari keterangan dalam Al-Quran dan Hadith RasuluLlah SAW. Sesungguhnya Allah SWT dengan rahmatNya telah menyelamat dan mengangkat Nabi Isa AS ke langit. Yang terbunuh di palang salib dikatakan Yahuza, pembelot di kalangan pengikut Nabi Isa AS. Hebatnya kekuasaan Allah SWT sehingga dikaburkan mata musuh-musuhNya.

Berbalik kepada Bunny dan telur serta coklat. Menurut Cikgu Mystica, Bunny dan telur melambangkan permulaan kepada kehidupan yang baru. Coklat pula, katanya tiada sebarang maksud, sekadar alat untuk menceriakan sambutan. Tambahan pula ianya diminati oleh semua orang, dari kanak-kanak sehinggalah orang dewasa. Dikatakan pada malamnya, para ibu bapa akan menyembunyikan Bunny dan telur coklat ini di merata tempat di dalam rumah. Pagi keesokan harinya, anak-anak akan berlari ke sana sini mencari Bunny dan telur tersebut.

Begitulah adanya. Nampaknya Bunny dan telur tiadalah apa-apa, sekadar untuk bersuka ria. Iddin, Nisah, Leah dan Imran turut menumpang gembira tetapi tak adalah sehingga sorokkan di mana-mana. Cukuplah apa yang mereka dapat di sekolah. Asalkan ianya Halal cukup.

Thursday, March 20, 2008

Salam Maulidur Rasul (SAW)

Selawat serta salam untuk junjungan mulia, RasuluLlah SAW dan ahli keluarganya serta para sahabatnya.
Hari ini, 12 Rabiul Awwal, ulangtahun keputeraan junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW. Baginda dilahirkan pada hari Khamis Tahun Gajah bersamaan 23 April 571 Masihi di Kota Mekah. Kebetulan hari ini juga hari Khamis.
Ya Allah jadikan daku dan ahli keluargaku serta umat Islam seluruhnya sebenar-benar umat Muhammad SAW. Padukanlah kecintaan kami pada baginda dengan kecintaan yang sejati. Amiin.
Secebis kisah menggambarkan betapa tinggi kecintaan baginda pada umatnya. Tilikilah akan diri kita, setinggi manakah pula kecintaan kita pada baginda.

~~~~~~~~

Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan khutbah,

"Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Ku wariskan dua perkara pada kalian, Al-Qur'an dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku."

Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu. Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba.

"Rasulullah akan meninggalkan kita semua," keluh hati semua sahabat kala itu.

Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia. Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Di saat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu.

Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam.

"Bolehkah saya masuk?" tanyanya.

Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk,

"Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.

Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah,

"Siapakah itu wahai anakku?"

"Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut.
Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

"Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikatul maut," kata Rasulullah.

Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah.

"Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril.

Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.

"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi.

"Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?"

"Jangan khawatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Ku haramkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.

"Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengaduh.

Fatimah terpejam, Ali yang disampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu.

"Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi.

"Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku."

Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya

"Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku", peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu."

Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

"Ummatii, ummatii, ummatiii" - "Umatku, umatku, umatku"

Dan berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai sepertinya? Allahumma sholli 'ala Muhammad wa baarik wa salim 'alaihi. Betapa cintanya Rasulullah kepada kita. Sehinggakan di saat ajal mendatang, kecintaan baginda masih tiada tepinya.

Saturday, March 15, 2008

Tetamu Dari Malaysia - Keluarga Azura

Azura berdiri antara bapanya, berkemeja putih dan bapa saudaranya serta ibunya, berbaju hitam
Malam semalam, Jumaat malam Sabtu (14/03/2008), kami amat berbesar hati menerima kunjungan keluarga Azura-Tengku Rasydan. Bapa dan ibunya serta bapa saudaranya, Uncle Zakaria sudi datang memenuhi jemputan kami. Malangnya Auntie Hasnah, isteri Uncle Zakaria tidak dapat turut serta kerana demam. Mereka di sini dah hampir seminggu dan dijangka pulang minggu hadapan. Mereka datang menziarahi Azura dan Rasydan sambil melancong.

Kedua ibubapa Azura, yang mesra dengan panggilan Uncle dan Auntie amat ramah sekali. Begitu juga Uncle Zakaria. Banyak hal diperbualkan. Isu pilihanraya dan sokongan pengundi yang beralih arah kepada Barisan Rakyat antara isu hangat yang diperkatakan. Kata mereka sebagai pengajaran kepada pemerintah yang tidak memberi perhatian kepada rakyat.

Mereka juga mengimbau kisah-kisah lama mereka. Kisah kehidupan mereka ketika di United Kingdom, kisah kerja sebelum bersara dan macam-macam lagi. Rupa-rupanya bapa Azura berasal dari Batu 14, Hulu Langat dan pernah bekerja di Durian Mas, nama lama untuk Bandar Al-Muktafibillah Shah (AMBS) di Dungun, Terengganu. Berkebetulan, Laili juga pernah berkerja di kedua-dua tempat tersebut. Kira-kira 1 ½ tahun di Klinik Kesihatan AMBS, sekitar tahun 1995. Manakala lebih 7 tahun berulang alik ke Klinik Kesihatan Batu 14, salah sebuah klinik HUKM yang terlibat dalam pengajian peringkat Master.

Kedua ibu bapa Azura kini tinggal di Bukit Antarabangsa. Tak disangka-sangka mereka amat kenal dengan keluarga bapa saudara Laili, Acik Shuib-Acik Noriah yang juga tinggal di Bukit Antarabangsa. Terasa kecil pulak dunia ni. Sama-sama tinggal di Ampang, Selangor tapi berkenalan di Dandenong, Australia. Begitulah aturan dariNya. Pasti menjadi topik hangat apabila mereka bersua Acik Shuib-Acik Noriah di tanah air nanti. Usah lupa, sampaikan salam ingatan mesra dari kami sekeluarga.

Sambil berbual mereka dijamu dengan nasi beriani gam berlaukkan tumis petai dan masak lemak nenas-ikan kurau kering. Azura turut bawakan sotong tumis dan juadah sampingan, bubur jagung. Menjelang jam 10:00 malam, mereka mohon beredar dengan harapan berjumpa lagi di lain kesempatan. Insya Allah. Sampaikan salam kami pada Auntie Hasnah yang tak sempat ditemui.