Thursday, June 17, 2010

Tetamu Malaysia - Keluarga Dr. Hasnida

Dr. Hasnida adalah rakan sepenggajian Laili ketika di peringkat Sarjana Muda di UKM dahulu. Kini mengusahakan klinik perubatan di kawasan perumahan mereka di Bandar Tun Abdul Razak, Cheras. Suaminya, Prof. Dr. Hatta Sidi, Ketua Jabatan Psykiatrik di HUKM pula adalah rakan sekerja Laili. Berlainan jabatan tetapi di bawah fakulti yang sama.

Mereka sekarang berada di Melbourne. Bercuti sambil melancong sejak seminggu yang lalu. Turut serta adalah 3 orang anak mereka. Insya Allah mereka akan pulang ke tanah air pada hari ini.

Pada malam Isnin baru-baru ini, sekembalinya dari bermain salji di Mt. Buller, mereka singgah di rumah kami. Pertemuan yang tidak dirancang. Kesibukan di tanah air, rupa-rupanya membuka ruang berjumpa di perantauan.

Dan kebetulan ada rezeki untuk mereka, nasi amal sambal goreng yang dibeli dari jualan amal pembinaan masjid di sebelah petangnya masih banyak berbaki. Rezeki mereka. Jika tidak mungkin membazir sahaja kerana anak-anak kami tidak menyukai rasanya yang pedas.

Betapa cantiknya aturan Allah SWT. Setinggi-tinggi kepujian untukNya.

Sikap peramah dan suka merendah diri setiap ahli keluarga mereka memudahkan bicara. Anak-anak begitu cepat mesranya, bagaikan telah lama kenal. Saya sendiri pun pertama kali dapat mengenali mereka secara dekat.

Apabila lama tidak berjumpa, terlalu banyak perkara yang ingin diperkatakan. Dari soal keluarga dan kerja sehinggalah kepada perkembangan semasa di negara tercinta, dikongsikan penuh sedar dan semangat yang menggunung.

Hampir 3 jam bersama, tidak terasa masa begitu cepat berlalu. Tidak puas rasanya. Masih banyak hal yang ingin dibualkan. Namun mereka perlu beredar pulang ke rumah rakan mereka, Dr. Norzila di Clayton South.

Insya Allah ketemu lagi kita di tanah air nanti.

Wednesday, June 16, 2010

Tetamu Malaysia - Keluarga Norazlina

Malam tadi, tanpa disangka-sangka kami dikunjungi rakan lama saya ketika di MIMOS Berhad dahulu, Norazlina Othman. Bersamanya suami tersayang, Abdul Mujid Abdullah dan 3 puteranya, Muhd Hafiz (13 tahun), Muhd Firdaus (9 tahun) dan Muhd Iqmal (10 bulan). Kini, Ina masih setia bersama MIMOS' team yang telah berpisah dengan MIMOS Berhad iaitu JARING Communications Sdn Bhd.

Sebelum tiba di rumah kami, mereka telah pun menyinggah di rumah Shaharuddin-Azizah (Din-Gee) di Thomastown. Din dan Gee juga rakan lama kami ketika di MIMOS Berhad.

Kami berempat sama-sama bekerja di MIMOS sejak zaman bujang lagi, lebih 15 tahun lalu. Ketika itu MIMOS masih lagi salah sebuah agensi kerajaan. Pejabatnya terletak di Exchange Square, Damansara Height, Kuala Lumpur. Seterusnya kami berpindah ke Kompleks MIMOS di Bukit Jalil setelah MIMOS dikorporatkan pada akhir tahun 1996.
Sememangnya kami amat rapat, lebih-lebih lagi sesama staf lama, MIMOS kerajaan.

Suami Ina, Abdul Mujid, pensyarah Sains Kesihatan di UiTM tidak pernah saya temui sejak mereka berkahwin di pertengahan tahun 1996 lalu. Alih-alih kami bersua di Masjid Emir Sultan, Dandenong North pada awal tahun lepas. Ketika itu Mujid baru sahaja tiba di Melbourne, menyambung pengajian peringkat PhD-nya di Monash University.

Mujid datang ke Melbourne berseorangan, keluarganya tinggal di tanah air. Hajat untuk membawa keluarga bersama tidak kesampaian. Keutamaan perlu diutamakan. Begitulah aturan kehidupan. Kita merancang, Allah juga merancang. Terimalah dengan redha. Insya Allah ada hikmahNya.

Ketika cuti persekolahan di Malaysia, mereka mengambil kesempatan datang bercuti di Melbourne. Selama 10 hari, puas mereka melancong ke serata pelusuk Melbourne dan sekitarnya; antaranya ke Great Ocean Road, Port Campbell, Phillip Island, Franskton, Dandenong, Melbourne City dan berkesempatan bermain salji di Mt. Baw-Baw.

Setelah lama tidak berjumpa, banyak perkara yang berubah. Anak-anak pun dah besar. Banyak cerita lama dan semasa menjadi bualan kami.

Pagi ini, mereka berangkat pulang ke tanah air. Di Malaysia, mereka tinggal di Seksyen 7, Bangi. Kawasan di mana ramai kenalan lama dan baru kami menetap. Insya Allah ketemu lagi.
Pesan saya, sampaikan salam kami sekeluarga kepada rakan taulan yang ditemui terutama staf MIMOS yang masih bekerja di JARING.

Moga persahabatan yang sedia terjalin akan terus berpanjangan dan sentiasa dirahmati olehNya. Ameen.

Sunday, June 13, 2010

Musim Salji di Victoria

Tidak disangka-sangka, salji datang lebih awal pada musim sejuk tahun ini. Sehari dua ini, kesemua kawasan rekreasi salji di pergunungan telah pun mula dibuka. Maka bermulalah pesta main salji di Victoria. Berkebetulan pula esok (Isnin) pun hari cuti umum (Queen’s Birthday) di Australia.

Pemandangan salji di Falls Creek jam 5:00 petang hari ini
Purata suhu (siang hari) di pergunungan kini antara -1 hingga -4.5 darjah Celcius. Di malam hari berlebihan lagilah sejuknya. Tidak hairanlah salji mudah sahaja turun. Jika keadaan suhunya tidak berubah, tanpa diselangi panas, keindahan persekitaran bersalji pasti akan lebih menyerlah.

Bagi yang berminat, maklumat semasa boleh dirujuk di Victoria Snow Report. Laporannya sentiasa dikemaskini.

Di Victoria, terdapat kira-kira 10 kawasan bersalji yang menjadi tumpuan ramai. Falls Creek, Mt. Hotham, Mt. Buller, Mt. Baw-Baw dan Lake Mountain adalah antara yang terkenal.

Dengar khabar ramai rakan-rakan di sekitar Melbourne telah pun mengorak langkah ke sana. Lebih seronok lagi, para pelancong dari luar, terutama dari Malaysia turut sama dapat merasai pengalaman yang menyeronokkan ini. Tuah badan.

Insya Allah, kami akan pergi juga tetapi bukanlah sekarang. Tunggulah salji tebal sedikit. Lokasinya belum pasti. Mungkin jauh sedikit dari kunjungan kami sebelum ini.
Salji memutih, terhampar luas bagaikan permaidani. Indahnya ciptaan Illahi. SubhanaLlah.

Friday, June 11, 2010

Demam Bola

Hari ini, bermulalah sepak mula Piala Dunia FIFA 2010 di Afrika Selatan. Kejohanan terunggul bola sepak peringkat dunia yang dilangsungkan 4 tahun sekali. 32 pasukan bakal turun bertarung, berusaha memartabatkan negara masing-masing.

Kaki bola pasti tersenyum lebar. Yang ditunggu-tunggu telah pun tiba. Masing-masing mempunyai pasukan pilihan dengan para pemain sanjungan mereka. Setiap malam membawa ke pagi ada sahaja siarannya di kaca televisyen. Sudah pasti tidak dilepaskan. Slogan mereka; makan bola, minum bola, tidur bola, mandi bola dan apa sahaja...bola. Begitulah bersemangatnya mereka.

Saya tidaklah seumpama itu. Sekadar minat bola sahaja, bukannya kaki bola. Tidak larat untuk bersengkang mata di 'pagi buta' kerana bola. Malah ke stadium untuk menonton bola pun tidak pernah.
Bagi Izzuddin lain pula. Sanggup dia bangun pagi-pagi dan menontonnya sendirian. Malah ketika di tanah air dahulu pun (Piala Dunia 2006) dibuatnya. Namun, keizinan diberi ada syaratnya, hanya pada hari cuti sahaja, bukannya hari persekolahan.

Teringat semasa di tanah air dahulu. Ketika musim Piala Dunia, ramai yang berubah sikap. Mengambil cuti, lebih-lebih lagi cuti kecemasan menjadi mainan. Yang ponteng dan hilang ketika bekerja pun ada. Terlebih pelik lagi, tiba-tiba sahaja pelbagai penyakit cepat sekali berjangkit. Slip rawatan doktor (MC) menjadi bukti.
Aura Piala Dunia sememangnya membuatkan ramai orang tidak senang. Bukan sahaja pekerja, bos pun turut pening kepala. Produktiviti pun turut tidak menentu.

Di Australia, khususnya di Melbourne, bahang Piala Dunia semakin membara. Tambahan pula Australia adalah salah sebuah negara yang bertanding, berada di dalam Kumpulan D bersama-sama Jerman, Serbia dan Ghana. Di sana sini kelihatan pakaian hijau kuning keemasan dipakai penuh bangga. Sudah pasti ghairahnya lebih lagi berbanding di Malaysia.

Di Australia, bolasepak dikenali dengan nama soccer dan para pemainnya dipanggil socceroos. Ianya bukanlah permainan utama.

Australian football
, ringkasnya footy adalah permainan bolasepak kebanggaan rakyat Australia (foto sebelah). Corak permainannya hasil gabungan antara soccer dan rugby. Kini sedang rancak berlangsung kejohanan bolasepak peringkat kebangsaan, Australian Football League (AFL).

Di samping AFL, sekarang ini juga sedang berlangsung kejohanan rugbi peringkat kebangsaan di Australia, National Rugby League (NRL). Ianya antara sukan yang popular di Australia, di samping kriket dan tenis.

Dengan pelbagai kejohanan besar yang berlangsung serentak, membuatkan seluruh Australia dilanda demam bola. Setiap hari, dari awal pagi membawa ke pagi berikutnya membuatkan kaki bola benar-benar tenggelam dalam keghairahan yang tidak kunjung padam. Menggalahkan demam bola di tanah air.

Wednesday, June 9, 2010

Sejuknya Di Musim Sejuk

Musim sejuk (winter) datang lagi. Bermulanya bulan Jun sehinggalah berakhirnya bulan Ogos setiap tahun, merupakan musim sejuk di Australia. Negeri-negeri di selatannya termasuklah Victoria (negeri yang kami diami sekarang) adalah antara yang terlibat secara langsung.

Sekarang ini cuaca di Melbourne (lebih tepat lagi di Dandenong) terasa amat sejuk sekali. Suhu di siang harinya antara 8 hingga 15 darjah Celcius. Berlebihan lagilah ketika malam hari, terutama menjelang terbitnya fajar di pagi hari. Apatah lagi jika bersekali dengan angin dan hujan.

Ini baru di awal musim sejuk. Lebih sejuk lagi setelah melewati pertengahan musim pada bulan Julai dan Ogos nanti.

Saya sememangnya tidak menggemari suasana sejuk terutama sejuk di musim sejuk. Juga sejuk ketika musim luruh dan musim bunga. Sejuknya tidak sama seperti rasa sejuk di tanah air mahupun sejuk dari alat pendingin udara. Sejuknya menyelirat sehingga ke tulang. Jari tangan dan kaki terasa ngilu dan kebas. Hidung pula kerap berair. Jika berada di luar rumah, kulit muka pun turut pedih dibuatnya.

Kerana sejuk, segalanya menjadi pasif. Malah nak uruskan diri ke bilik air dan tandas pun dirasakan amat membebankan.

Sesekali cahaya matahari menyinar melimpahkan habanya ke bumi, ni’matnya tidak terkira.

Syukurlah, di rumah kami dilengkapi alat pemanas berpusat. Sekurang-kurangnya haba panas yang terhasil membuatkan kami dapat bergerak lebih bebas. Namun stoking dan baju tebal masih diperlukan. Begitu juga selimut tebal ketika tidur.

Di pagi hari, alam sekitar di Dandenong ini kebiasaannya berkabus. Sejuknya sudahlah pasti. Adakalanya agak tebal sehingga membatasi pemandangan, berlanjutan sehingga ke waktu tengahari, barulah ianya menghilang.

Di kawasan pergunungan, tahap sejuknya lebih rendah. Ada ketika suhunya di bawah tahap beku. Salji pun telah beransur-ansur turun. Namun belum sesuai untuk dikunjungi. Tunggulah sebulan lagi untuk melihat kemeriahannya.

Musim sejuk pada tahun ini adalah kali ke-4 kami sekeluarga alami di Melbourne. Insya Allah kali terakhir sebelum kami berangkat pulang ke tanah air pada akhir tahun ini. Sebagaimana lazimnya, Insya Allah kesempatan bermain salji tidak akan dilepaskan. Kot-kot nanti rindu pula di kemudian hari...8)

Monday, June 7, 2010

Foto-foto Di Melbourne

Berikut disertakan sebahagian foto selama Fairuz sekeluarga bertamu di Melbourne. Sila rujuk ruangan Album Foto Kami. Ianya dibahagikan kepada dua kategori :-

> Foto-foto di Dandenong dan Melbourne CBD; antaranya di rumah kami, Mt. Dandenong, Dandenong Park, Federation Square, Yarra River dan Shrine of Remembrance.

> Foto-foto di Phillip Island dan Great Ocean Road; antaranya di Wildlife Park, Nobbies dan Port Campbell Marine Park.

Saya mohon berbanyak-banyak kemaafan kiranya ada yang tertunggu-tunggu. Tiada kesempatan untuk saya memuat turun foto-foto berkenaan. AlhamduliLlah… akhirnya tertunai juga hajat di hati dan janji yang diberi.

Tuesday, June 1, 2010

Tetamu Malaysia : Keluarga Fairuz

[Insya Allah, koleksi sebahagian foto akan menyusul kemudian]
Tengahari hari ini adik Laili, Euslita Fairuz berserta anak-anaknya, Karimah dan Hawa Sakinah berangkat pulang ke Malaysia. Tiga minggu mereka datang bercuti ke Melbourne dan juga Sydney. Datang berempat bersama suaminya, Pisal tetapi pulang bertiga kerana Pisal tidak mendapat cuti panjang.

Mereka tiba di Melbourne pada 13/05/2010 lalu dengan penerbangan murah, Air Asia. Peluang yang tidak disangka-sangka dan tidak sewajarnya dilepaskan. Dengan tiket promo yang amat menjimatkan, RM 2,000+ pergi balik KUL-MEL untuk 4 orang.
Sayangnya cuti Pisal dipendekkan kepada seminggu. Dari Sydney beliau terbang pulang ke tanah air dengan tambang Penerbangan MAS ditanggung oleh majikan. Bertuah badan...

Kedatangan mereka amat ditunggu-tunggu oleh kami sekeluarga. Begitu juga keluarga Eusni di Sydney. Lebih-lebih lagi bagi anak-anak yang amat merindui sepupu-sepupu mereka. Apabila bertemu, mereka bagaikan tidak ingin berpisah. Keakraban dan kemesraan yang tidak lekang dek masa walaupun telah lama tidak bersua.

Minggu pertama (14/05 – 19/05) mereka berada di Melbourne. Minggu kedua (20/05 – 26/05) mereka ke Sydney, rumah kakak Fairuz, Eusni Rahayu. Dan minggu terakhir mereka kembali ke Melbourne.

Selama di Melbourne, mereka dibawa 2 kali ke Phillip Island. Kali pertama bersama-sama Pisal. Kami pergi ke Phillip Island Wildlife Park untuk memberi peluang mereka merasai pengalaman dikerumuni puluhan kangaroo dan wallaby sambil memberinya makan dengan tangan.
Pengalaman yang sepatutnya diambil kesempatan oleh setiap pelancong ke bumi Australia. Mererka juga dibawa menyinggah di Nobbies Centre dan Koala Conservation Centre.
Kali kedua sekembalinya mereka dari Sydney untuk menginap selama 3 hari 2 malam di Island Breeze Resort, hadiah percutian dari Swiss Garden Vacation Club.

Di samping itu mereka juga dibawa menaiki keretapi, tram dan bas pelancongan serta berjalan-jalan di Melbourne City, antaranya ke Federation Square, Yarra River, Queen Victoria Market, Flagstaff Garden dan juga Shrine of Remembrance. Juga ke Port Campbell untuk menghayati keindahan pantai Great Ocean Road dan keunikan Twelve Apostles di Port Campbell Marine Park.

Di Dandenong, mereka dibawa ke Lysterfield Park, Dandenong Market, Dandenong Park, Dandenong Plaza, Dandenong Library, Mt. Dandenong dan juga menyusuri jalan-jalan sambil melihat keindahan dan kemuraman persekitaran di musim luruh.

Di Sydney pula difahamkan mereka dibawa berkunjung ke Sydney Opera House dan sekitarnya, Blue Mountains yang terkenal dengan arca batu the Three Sisters, Manly Beach, Oceanworld dan juga berjalan-jalan di sekitar Kogarah di mana Eusni sekeluarga tinggal.

Diharapkan percutian mereka selama 3 minggu benar-benar menggembirakan. Dan kami memohon maaf kiranya ada salah dan silap serta sebarang kekurangan selama mereka bertamu.

Insya Allah ketemu lagi di tanah air nanti. Sampaikan salam kami pada Emak dan Abah serta keluarga di Ulu Klang dan Sik. Juga sanak saudara dan kenalan yang ditemui.