Tuesday, September 22, 2009

Beraya di Melbourne

Tahun ini merupakan tahun ketiga saya beraya Eid-ul-Fitr di Australia. Laili serta anak-anak pula tahun ke empat. Kali pertama mereka beraya di Adelaide, South Australia ketika Laili mengikuti subcourse di Flinders University pada tahun 2006. Manakala tahun 2007, 2008 dan tahun ini, 2009 kami sekeluarga beraya di Melbourne.
Sebahagian koleksi foto Raya 2009 terdapat di Album Foto Kami : Eid-ul-Fitr 2009 (kiri web) ata klik di sini.
Solat Raya
Kemeriahan beraya di perantauan tidak kurang seronoknya seumpama di tanah air. Malah dirasakan lebih meriah lagi. Bermula daripada malam raya, kami berbuka puasa dan bertakbir raya bersama beberapa keluarga Malaysia. Paginya kami bergegas ke Monash University untuk bersolat sunat bertempat di Sport Centre.
Ruangan dalam dewan penuh sesak dengan muslimin dan muslimat sehingga melimpah keluar dewan. Jemaahnya bukan hanya para pelajar Malaysia berserta keluarga tetapi terdiri daripada pelbagai bangsa, keturunan dan warna kulit. Bersama bersatu menghadap Allah SWT dalam satu akidah yang sama. Betapa indahnya Islam.
Begitu juga dengan kepelbagaian pakaian tradisional yang dipakai menggambarkan kepelbagaian budaya di Melbourne. Menariknya, pakaian baju Melayu bersamping dan baju kurung mahupun kebaya yang digayakan oleh rakyat Malaysia begitu menyerlah sekali. Bukan sahaja kerana fesyennya yang tersendiri tetapi ceria dan meriah sekali dengan warnanya yang memikat pandangan umum.
Rumah Terbuka @ Clayton
Selesai bersolat serta bersalaman dengan setiap kenalan yang ditemui, kami terus beredar ke Beddoe Ave, Clayton memenuhi jemputan Rumah Terbuka South Eastern Families bertempat di rumah Sdr Hanif-Zuraida.
Pelbagai juadah yang dihidang hasil tangan rakan-rakan Malaysia dijamah penuh berselera. Dengan menu utamanya, sate yang menjadi rebutan ramai, lain-lain juadah tradisonal Melayu seperti laksa Penang, laksa Terengganu, nasi dagang, tapai, soto, lontong dan bermacam-macam lagi tidak kurang hebatnya. Berpinar mata dibuatnya, terasa semuanya ingin dimakan... 8)
Singgah Menyinggah Hari Raya
Menjelangnya Hari Raya, komuniti Dandy Group bersepakat untuk meneruskan tradisi Singgah Menyinggah Hari Raya di kalangan ahli yang berbesar hati menerima tetamu.
Ahli konvoi pada kali ini terdiri daripada 10 buah kereta; keluarga Wafir-Suharti, Dr Abd Manaf-Dr Siti Aminah, Hisham-Zurida, Lajiman-Suraya, Hanif-Sham, Tg Rashdan-Azura-Syahril-Maizatul, Dr Faizal-Dr Rahana, Dr Zamberi-Dr Harlina, Rashdan-Rohani dan kami sekeluarga berserta Azidah.
Dari Clayton, konvoi Dandy Group mula bergerak ke rumah singgahan pertama , rumah Dr Zamberi-Dr Harlina di Blackburn South. Mee Tom Yam dan kueh keria antara yang menjadi tarikan utama.
Seterusnya konvoi bergerak ke Dandenong, ke rumah Hisham-Zurida di Olive St. Rumah terbuka yang dikongsi bersama keluarga Lajiman-Suraya dan keluarga Hanif-Sham tidak kalah dengan juadah yang begitu enak sekali, antaranya Mee Hoon Sup, Pulut Kuning dan Cendol.
Destinasi berikutnya adalah rumah Dr Abd Manaf-Dr Siti Aminah di Margaret Ct. Seronoknya, Dr Abd Manaf dan anak perempuannya baru beberapa hari tiba dari Malaysia semata-mata untuk beraya bersama keluarga yang lain di Dandenong. Hidangan utama mereka adalah pulut kuning dan pizza.
Dari Margaret Ct, kami menuju ke rumah Wafir-Suharti di Menzies Ave. Setiap tahun, yang pasti juadah yang tidak pernah ketinggalan adalah pulut durian. Peluang yang tidak patut dilepaskan. Sekurang-kurangnya hilang rindu kepada pesta durian di tanah air.
Melewati waktu Asar, konvoi bergerak ke rumah singgahan terakhir iaitu rumah kami. Ianya diadakan secara berkongsi bersama-sama dengan Azidah, Tg Rashdan-Azura dan Syahril-Maizatul. Makanan yang dihidangkan antaranya laksa Terengganu, nasi dagang, nasi impit, dendeng dan spaghetti. Hampir kesemuanya kelihatan sudah kepenatan dan ‘mengah’ dan ‘semput’ dek kekenyangan. Namun AlhamduliLlah, masing-masing tidak melepaskan peluang untuk menjamah seadanya.
Dengan ruang waktu yang ada, kami sempat duduk bersama berbincang perancangan terakhir kami untuk Majlis Rumah Terbuka Raya Dandenong 2009 yang bakal diadakan pada 27/09/2009 nanti.
Umumnya, program beraya yang diadakan benar-benar dapat mempereratkan silaturrahim sesama kami. Dapat saling kenal mengenali antara satu sama lain terutama di kalangan ahli yang baru menyertai Dandy Group seperti keluarga Dr Faizal-Dr Rahana, Syahril-Maizatul dan Hisham-Zurida. Bukan sahaja bagi ibu bapa tetapi juga anak-anak yang begitu cepat sekali mesranya. Setiap rumah yang disinggahi terlebih lagi yang mempunyai ruang untuk bermain, mereka tidak melepaskan peluang untuk bermain. Begitulah anak-anak, makan-minum tolak ke tepi, asalkan dapat bermain...
Diharapkan ikatan ukhwah yang sedia terjalin akan terus berkekalan selamanya, tidak hanya ketika berada di perantauan tetapi berterusan apabila masing-masing pulang ke tanah air nanti. Insya Allah.
Malamnya kami semua tidur kepenatan. Selepas Isyak sahaja masing-masing terus mencari bantal dan selimut. Tidur lena hingga ke Subuh menyapa di keesokan harinya.

Friday, September 18, 2009

Salam Eid-ul-Fitr

Penetapan Eid-ul-Fitr 1430H telah pun diumumkan semalam oleh Islamic Council of Victoria (ICV) –disertakan di bawah-. Berdasarkan kiraan falak mereka, Insya Allah Eid-ul-Fitr-nya pada hari Ahad ini, 20 Sept 2009. Rasanya sama dengan kiraan falak di Malaysia. Bermakna kita berpuasa 29 hari sahaja pada tahun ini. Begitu juga ketetapan dari komuniti Turki yang berpuasa awal sehari dari ketetapan ICV.

Nampaknya umat Islam di Victoria, Australia akan menyambut Eid-ul-Fitr pada hari yang sama. Memudahkan bagi kami memilih tempat untuk bersolat sunat Eid-ul-Fitr, samada di masjid komuniti Turki berhampiran rumah atau bersama komuniti Melayu Victoria di Community Hall di Narre Warren (tidak jauh dari Dandenong).
Namun kebiasaannya kami akan ke Monash University untuk bersolat, sekaligus berukhwah dengan rakan-rakan pelajar Malaysia di sana, bersama-sama dengan lain-lain bangsa dan keturunan dari serata dunia. Seterusnya bergerak ziarah raya dari rumah ke rumah, memenuhi jemputan rumah terbuka dari rakan-rakan.

Menjelang tibanya Hari Lebaran nan mulia ini, kami sekeluarga mengambil kesempatan memohon ampun dan maaf setulus hati atas segala salah dan silap kami. Terlalu banyak kesilapan kami, adakalanya tanpa disangka mengguris hati orang lain. Dosa kepada Allah SWT boleh bertaubat secara langsung dengannya, sedangkan dosa sesama manusia perlu keampunan dari manusia yang disakiti.
Salam Eid-ul-Fitr. Maaf Zahir dan Batin.

Announcement from Board of Imams regarding Eid-ul-Fitr 2009

Thursday, 17 September, 2009

Please find the following communication from the Board of Imams reproduced below

In the name of Allah SWT, the most Gracious and the most Merciful.

ANNOUNCEMENT. 1ST DAY OF SHAWWAL 1430 (Edul Fitr -2009)

All praise be to Allah (SWT) the most Gracious and the most Merciful. The Board of Imams Victoria is pleased to announce that the first day of Shawwal 1430 will be on

Sunday 20th of September 2009 Insha Allah.

The Astronomical New Moon is expected to be on Friday, 18th of September, 2009 at 18:44 Universal time (04.44 Melbourne time) in Australia and thus the first possible visibility of the new moon (hilal) after sunset will be on Saturday, 19th September 2009.
The member Imams of the Board of Imams Victoria (BOIV) send their warmest Eidul Fitr greetings to all Victorian Muslims and the entire Muslim community all over Australia.

BOIV wishes a happy and virtuous Eidul Fitr for all.

Thursday, September 17, 2009

Tadarus Al-Quran

Ketika tibanya bulan Ramadhan, amalan bertadarus Al-Quran sememangnya menjadi antara keutamaan kami sekeluarga, terlebih lagi ketika berada di Melbourne ini. Matlamat kami, setiap hari sekurang-kurangnya 1 juz dihabiskan dan sebelum berakhirnya Ramadhan keseluruhan 30 juz dapat ditamatkan.
AlhamduliLlah, puji-pujian tiada bertepi untuk Allah SWT, dengan izinNya pagi semalam kami berjaya melakukannya. Menyamai pencapaian kami pada tahun-tahun sebelum ini. AlhamduliLlah.
Usaha tadarus ini telah dilakukan seawal Ramadhan oleh kami 4 beranak (ayah, ibu, Izzuddin dan Hanisah) setiap kali selepas solat Maghrib dan selepas solat Subuh. Solehah pula sibuk dengan pembelajaran tajwidnya.
Kesungguhan anak-anak amat dipuji. Walaupun penat dan mengantuk, segalanya dapat ditempuhi penuh kesabaran. AlhamduliLlah, moga berterusan sehinggalah ke akhir hayat mereka. Malah diharapkan Al-Quran bakal menghiasi diri anak-anak walau di mana sahaja mereka berada. Ameen.
Pada bulan-bulan lain amalan tadarus ini masih diteruskan seperti biasa tetapi tiada had masa untuk khatam. Adakala cepat dan adakala lambat.
Izzuddin dan Hanisah telah pun mahir membaca Al-Quran sejak mereka di tanah air lagi. Selepas mereka khatam kali pertama, usaha pembacaannya masih diteruskan sehinggalah kini. Jika dahulu kami, ibu bapanya yang menunjuk ajar tetapi kini adakala mereka berdua sahaja membacanya sambil disemak secara bergilir-gilir. AlhamduliLlah, ada peningkatannya.
Ketika di Malaysia, saya lebih suka membaca Al-Quran bersendirian termasuklah di bulan Ramadhan. Waktunya selepas solat Subuh, waktu rehat di pejabat dan sementara menunggu waktu berbuka di masjid. Tambahan waktu, selepas solat Zohor dan Asar di hujung minggu. Lebih selesa begitu, senang untuk diatur masa sendiri. Sesekali dapat dirujuk pada terjemahannya.
Setiap kali menatap Al-Quran, hati terasa seronok sekali. Agaknya itulah dinamakan mukjizat Al-Quran. Moga Al-Quran sentiasa bertakhta di hati kami sekeluarga dan kalian semua. Ameen.

Thursday, September 10, 2009

Bazaar Ramadhan

Bazaar Ramadhan amat popular di Malaysia. Ianya tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, bermusim hanya pada bulan Ramadhan sahaja. Kemeriahannya amat terasa, bukan sahaja kepada penjual, terlebih lagi kepada para pengunjungnya.
Bersama Solehah di meja jualan (Foto dari Facebook Haneem Potter..Tk)
Pelbagai makanan dan minuman (juga pakaian) yang bercirikan tradisional Melayu tidak kira asalnya mudah sahaja ditemui. Malah ada yang tidak pernah didengar namanya sebelum ini pun ada dijual. Saban petang lokasi jualan diserbu penuh minat. Inilah masanya untuk mengenali dan menjamah juadah yang dirindui selama ini, terutama kepada anak perantau, jauh daripada keluarga di kampung halaman.

Fenomena seumpamanya dapat juga dirasai oleh anak-anak Malaysia di perantauan Melbourne ini. Jika pada tahun lepas, Bazaar Ramadhan Malaysia berpusat di Malaysia Hall tetapi tahun ini tiada lagi di sana. Dengan inisiatif pelajar sendiri, ianya masih diadakan di kawasan penempatan mereka yang ramai didiami warga Malaysia. Cuma ianya hanya diadakan pada setiap hujung minggu sahaja bertempat di halaman belakang rumah sewa para pelajar secara bergilir-gilir. Apakan daya kerana pada hari-hari lain pembuat makanan dan minuman sibuk dengan pengajian mereka.

Melayan pelanggan ketika bazaar di rumah Azam (Foto dari Facebook Haneem Potter..Tk)
Pada tahun lepas kami membuka gerai dendeng. Pada tahun ini ianya masih diteruskan lagi. Cuma barang jualannya diperluaskan lagi dengan turut disertai sama rakan-rakan sekampung di Dandenong, antaranya Zurida-Hisham, Sham-Hanif dan Suraya-Lajiman. Gerai Dendeng kini telahpun bertukar nama kepada Gerai Dandy. Di samping dendeng, juadah lainnya adalah nasi hujan panas, bubur lambuk, roti jala, dadih, karipap, cucur badak dan kueh-kueh raya.
Lokasi jualan kami adalah di Clayton, kira-kira 15 km dari Dandenong. Di sinilah letaknya Monash University di mana ramai komuniti pelajar Malaysia tinggal di sekitarnya, terutama adik-adik di peringkat under graduate. Mereka ini amat merindui masakan tradisional Melayu.

Selama 2 minggu berjual, sambutannya amat memberangsangkan. Terdapat hampir 10 buah gerai dibuka dengan bermacam jenis makanan dan minuman yang menyelerakan, terlebih lagi di bulan puasa ini. Dua minggu lepas ianya diadakan di rumah Sdr Hanif-Zuraida di Beddoe Ave, diikuti minggu lepas di rumah Sdr Azam dan rakan-rakan bujangnya di Stockdale Ave. Pada minggu ini pula, Insya Allah di rumah Sdr Haidar-Nor, juga di Stockdale Ave.
Di samping barangan jualan kami, turut sama dijual antaranya murtabak, nasi ayam, ikan dan ayam percik, solok lada, rojak buah, kueh ketayap, lompang, vadie, popia dan macam-macam lagi.
Sebahagian penjual dan pengunjung bazaar di rumah Hanif (Foto dari Facebook Haneem Potter..Tk)
Pengunjung yang datang tidak kurang ramainya. Tidak terhad di kalangan pelajar Malaysia dan keluarga mereka sahaja tetapi turut sama dikunjungi oleh rakan-rakan Melayu lain yang menetap di Melbourne.

Kami turut menumpang seronoknya. Bukan sahaja hasil jualan laku habis tetapi sama-sama dapat membeli-belah beberapa juadah yang amat disukai tetapi tidak berkesempatan (atau tidak tahu..8) membuatnya. Begitu juga Izzuddin, Hanisah, Solehah dan Imran, masing-masing ada makanan kegemaran mereka yang tersendiri.

Insya Allah, Sabtu ini adalah minggu terakhir Bazaar Ramadhan di Clayton. Minggu selepasnya tiada lagi kerana berkemungkinan Hari Raya Eidil Fitri jatuh pada hari Ahad, 20/09/2009. Masing-masing sibuk pula dengan persediaan menyambut Hari Raya, termasuk mengadakan Rumah Terbuka kepada rakan taulan dan kenalan.

Tuesday, September 8, 2009

Ramadhan di Perantauan

Tahun ini merupakan tahun ketiga kami sekeluarga berpuasa dan Insya Allah beraya di perantauan Melbourne. Jauh dari ibu bapa serta adik beradik dan sanak saudara. Rasa rindu sememangnya ada, lebih-lebih lagi ketika berbuka puasa dan juga di pagi hari raya. Namun segalanya diterima penuh redha.

Dengan adanya keluarga sendiri bersama dan dapat saling berhubungan, sekurang-kurangnya kerinduan terubat jua. Tambahan pula ramai rakan taulan sesama rakyat Malaysia mahupun serumpun Melayu dari Singapura, Indonesia serta Brunei senasib di perantauan. Merekalah teman, merekalah saudara dan mereka jugalah ahli keluarga. Susah senang ditanggung bersama. Keakraban yang terjalin melahirkan semangat kekeluargaan yang tinggi bagaikan adik beradik seibu sebapa. Begitulah indahnya persahabatan di perantauan.

Di Dandenong, di mana kami tinggal sekarang terdapat 13 keluarga semuanya. Hampir setiap minggu ada sahaja kueh mueh dan juadah berbuka yang sampai ke depan pintu. Masing-masing saling hantar menghantar dan balas membalas. Keluhuran adat masih segar di bumi Melbourne. Ada ketikanya meja penuh dengan pelbagai kueh mueh hantaran, ditambah pula dengan kueh mueh bercita rasa Malaysia yang dibeli di Bazaar Ramadhan pada setiap hujung minggu. Apa nak buat, anak-anak pun ada cita rasanya tersendiri. Tak mengapalah, seminggu sekali sahaja.

Pada tahun lepas Bazaar Ramadhan Malaysia diadakan di Malaysia Hall di Melbourne City pada setiap petang Sabtu. Namun tahun ini tiada lagi di sana, difahamkan mendapat bantahan penduduk sekitarnya. Tambahan pula bangunan Malaysia Hall sedang dilakukan kerja-kerja penambah baikan.

Tahun ini Bazaar Ramadhannya masih lagi dijalankan tetapi di persekitaran komuniti Melayu Malaysia masing-masing. Lazimnya diadakan setiap hujung minggu, bergilir-gilir di halaman belakang rumah para pelajar Malaysia.

Bagi South-Eastern Group, ianya diadakan di Clayton di mana ramai pelajar Monash University kampus Clayton tinggal. Sambutannya amat menggalakkan terutama di kalangan pelajar under graduate yang amat merindui masakan Malaysia. Bersama rakan-rakan Dandenong, kami turut membuka gerai dengan pelbagai juadah berbuka puasa seperti nasi hujan panas, dendeng, bubur lambuk, roti jala, karipap, cucur badak dan juga kueh-kueh raya.

Di malam hari, masjid-masjid pula meriah dengan solat tarawikh dan witir. Tidak terkecuali Masjid Emir Sultan di Dandenong. Walaupun perlaksanaannya dilakukan mengikut Mazhab Hanafi tetapi sambutan dari pengikut lain-lain mazhab amat menggalakkan. Dikerjakan sebanyak 20 rakaat tarawikh dan 3 rakaat witir, cuma kaedahnya sahaja sedikit berbeza, antaranya 4 rakaat 1 salam, bacaan selawat selepas salam dan tiada doa qunut.

Tadarus Al-Quran di masjid pula diadakan selepas solat Subuh setiap hari, satu hari satu juzuk. Kami sekeluarga hanya bertadarus di rumah, selepas solat Maghrib dan selepas solat Subuh setiap hari. Azam kami untuk khatam Al-Quran sebelum berakhirnya Ramadhan, sama seperti tahun-tahun sebelum ini. Insya Allah.

Ramadhan pada tahun ini dilalui dalam suasana peralihan musim, dari musim sejuk kepada musim bunga. Sejuknya masih terasa dengan suhu antara 13 – 20 darjah Celcius diiringi cuaca yang tidak menentu, hujan dan panas bersilih ganti berserta angin yang sentiasa bertiup, menyejukkan lagi persekitaran. Dalam suasana seumpamanya, penatnya berpuasa kurang terasa. Anak-anak pun steady sahaja berpuasa.

Cuma dugaan untuk anak-anak lebih sedikit ketika mereka bersama kawan-kawan di sekolah. Yang pasti para pelajar non-Muslim tidak berpuasa, mereka bebas makan ketika recess dan juga lunch time. Tidak terkecuali segelintir pelajar Muslim terutama di grade rendah seperti Solehah. AlhamduliLlah, mereka berjaya menghadapinya dengan keimanan yang tinggi.
Begitulah sepintas lalu suasana Ramadhan yang dilalui setakat ini. Moga kami sekeluarga dirahmati Allah SWT. Begitu juga kepada para pengunjung blog kami ini, terutama dalam meniti 10 hari terakhir yang penuh barakah dengan ganjaran yang tidak terkira. Ameen.

Thursday, September 3, 2009

Sopiyuddin ke Jordan

Muhammad Sopiyuddin Zakaria adalah anak sulung Kak Long dan Abang Ya dari 9 orang adik beradik. Mereka kini tinggal di Kelantan. Juga cucu tertua Cik dan Ayah (dari 20 orang cucu) yang menetap di Terengganu.

Dua hari lepas, Sopi menelefon kami di Melbourne, memaklumkan berita keberangkatannya ke Jordan pada awal minggu hadapan. Permohonannya untuk melanjutkan pengajian di bidang Syariah selama 4 tahun di Mu’tah University telah berjaya. Tahniah Sopi. Gembiranya dia tidak terkira. Begitu juga umi dan walidnya serta seisi keluarganya.

Sebelum ini Sopi pernah mengikuti Program Diploma Tahfiz selama 3 tahun di Darul Quran (JAKIM) di Kuala Kubu Bharu dan baru sahaja mendaftar masuk ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam bidang Syariah. Setelah mendapat tawaran ke Jordan, Sopi berhenti dari USIM. Dirasakan tindakan yang tepat kerana itulah yang diidamkannya selama ini. Bukan bermaksud universiti tempatan tidak berkualiti tetapi peluang yang diperolehi tidak seharusnya dilepaskan, apatah lagi Mu’tah University adalah sebuah universiti terkenal yang telah melahirkan ramai graduan agama dunia termasuk di kalangan rakyat Malaysia sendiri.

Ketika berbual dengan Kak Long, terbayang rasa terkilan di hatinya kerana masih kedapatan masyarakat setempat yang memandang serong pengajian di bidang keagamaan. Terlebih pedih lagi ianya dipertikaikan oleh saudara-mara sendiri. Persoalan mereka, apakah ada peluang kerja apabila tamat nanti? Nampaknya anggapan lama yang bercambah lebih 52 tahun lalu (sebelum merdeka) masih kekal di minda mereka. Kenapa persoalan rezeki Allah di kemudian hari yang dibimbangkan? Apakah kesemua mereka yang belajar di bidang selain agama kini semuanya telah mendapat kerja?

Sesungguhnya mereka yang berfikiran seumpamanya perlu disedarkan. Insya Allah setiap orang telah ditetapkan rezekinya oleh Allah. Usahlah dirisaukan. Malah mereka yang belajar di bidang keagamaan pun telah ramai menjawat jawatan yang baik dan mampu menyara keluarga dengan penuh keselesaan. Sekurang-kurangnya mereka ini mempunyai asas keagamaan yang kukuh dalam membentuk sahsiah diri dan keluarga serta masyarakat.

Sebahagian daripada bangunan Mu'tah University
Yang paling penting bagi setiap penuntut ilmu adalah niat ikhlasnya, belajar kerana Allah SWT, bukannya kerana mengejar kerja, pangkat dan wang ringgit.

Diharapkan Sopiyuddin istiqamah dalam pengajian, berusaha dengan penuh tekun dan sentiasa mengambil peluang menceduk setiap ilmu yang ada. Tempat pengajian hanya sekadar universiti secara lahiriah tetapi universiti sebenar adalah persekitaran dan dunia di luarnya. Saling hubung kait antara keduanya bakal menghasilkan ilmu yang lebih padu dan lebih realistik dengan suasana semasa yang terlalu banyak pancarobanya.

Moga langkah yang diambil bakal membuka luas mata dan minda mereka yang mempunyai anggapan yang kolot itu. TAHNIAH Sopiyuddin. Dari kejauhan didoakan moga Sopiyuddin berjaya. Ameen.

Wednesday, September 2, 2009

Berbuka Puasa di Clayton

Petang semalam kami sekeluarga berbuka di Clayton, memenuhi jemputan dari Dr. Aziz-Noraini sekeluarga. Majlis diadakan sempena aqiqah anak bongsu mereka, Muhammad Akmal yang dilahirkan beberapa minggu lalu di Monash Medical Centre, di mana Dr. Aziz bertugas sekarang. Tetamu lelaki berbuka di Monash University Islamic Centre di Beddoe Avenue (lebih terkenal dengan nama Masjid Beddoe). Manakala tetamu perempuan pula di rumah mereka di Glenbrook St.

Akmal dalam dukungan neneknya (foto dari Facebook Farah Fahmi..tk)
Berbuka di masjid amat menyenangkan dan sememangnya menjadi pilihan saya sejak di Malaysia lagi. Di samping dapat bersolat jemaah, tidak secara langsung dapat mengeratkan sillaturahim sesama rakan taulan (atau jemaah), adakalanya dapat mengenali kenalan baru. Sesi berbuka puasanya mudah sahaja, cukup sekadar beberapa biji kurma dan air putih, terus diikuti solat Maghrib berjemaah. Selepas itu barulah dijamukan dengan juadah yang lebih berat.

Begitu juga keadaannya di Masjid Beddoe. Hadirin yang datang pun agak ramai juga, hampir 100 orang, majoritinya para pelajar Malaysia di Monash University yang terletak bersebelahannya. Hidangan nasi beriani berserta daging biri-biri masak kurma dimakan penuh berselera. Difahamkan oleh Pak Cik Majid (bapa mertua Dr. Aziz) yang duduk makan bersebelahan, ianya dimasak oleh Sdr Haidar, kenalan Malaysia yang menemani isterinya belajar di Monash University. Sedap sekali, ada iras-iras gulai kawah Terengganu...8)

Keluarga Dr. Aziz-Noraini (foto lama dari Facebook Dr. Aziz..tk)
Di rumah Dr. Aziz pun tidak kurang meriahnya dengan kaum wanita berserta anak-anak perempuan. Juadahnya bukan sekadar nasi beriani tetapi ada tambahannya; antaranya nasi kuning (orang Terengganu kata nasi kunyit) dan kueh-mueh. Mungkin sumbangan kaum ibu. Dapatlah juga saya merasanya ketika datang mengambil Laili dan anak-anak di rumah mereka.

Setinggi-tinggi kepujian untuk Allah SWT atas kurniaan rezeki dan terima kasih tidak terhingga pada Dr. Aziz sekeluarga. Moga sentiasa dimurahkan rezeki olehNya dan moga Akmal (serta anak-anak lain) menjadi anak-anak yang soleh dan solehah, membahagiakan ibu bapanya di dunia dan di akhirat. Ameen.