Sunday, January 11, 2009

Tetamu Dari Malaysia & Adelaide

Dari masa ke semasa sentiasa ada rakan kenalan baru dan lama terutama dari Malaysia dan Adelaide yang bertandang ke rumah. Mereka “menyinggah” samada kerana ada urusan di Melbourne ataupun dijemput ke rumah. Seronok sekali apabila dapat berjumpa dan berkenal mesra, lebih-lebih lagi yang baru dikenali.
Entri ini agak terlewat, lebih tertumpu menyiapkan entri Jalan-jalan Ke Adelaide.

Keluarga Din Ganu

Keluarga Din Ganu di meja makan
Seminggu yang lalu, tengahari Jumaat (02/01/2009), kami menjemput ibu bapa Khairuddin Yusof (Din Ganu) dari Terengganu serta adiknya, Hanisah (senang nak ingat, sama nama dengan nama anak sendiri) makan tengahari di rumah kami. Mereka datang ke Melbourne untuk menjenguk cucu terbaru, Siti Nur Khadijah, anak pertama Din Ganu dan Azliza yang dilahirkan di sini 7 bulan lalu.

Imran sedang bermain dengan baby Khadijah di sebelah ibunya, Liza
Pertemuan yang singkat tetapi kemesraannya cepat terukir. Apatah lagi apabila mengetahui Terengganu bukanlah tempat asing bagi kami yang juga berasal dari sana. Tambahan pula Kak Siti Aminah yang kini menetap di Terengganu pun ada di rumah kami. Insya Allah berjumpa lagi di lain ketika.

Sebagai makluman, Din Ganu dan Liza banyak berjasa kepada kami. Di rumah merekalah kami sekeluarga menetap selama 3 minggu ketika tiba di Melbourne. Malah bersusah payah membantu kami ke hulu ke hilir ketika pencarian rumah sewa yang agak rumit prosedurnya. Hanya Allah yang mampu membalas jasa mereka berdua.

Keluarga Kak Dariah-Abg Saiful

Sedang menjamu selera di meja makan
Mereka dari Adelaide. Tiba di Melbourne hari Selasa (16/12/2008), kira-kira seminggu sebelum misi Jalan-jalan Ke Adelaide kami. Mereka datang bersama 3 anak mereka, 2 lelaki dan seorang perempuan. Katanya ada urusan peribadi di sini. Dua hari pertama mereka tinggal di rumah sewa Khaizuran di Noble Park. Kebetulan penyewanya pulang ke tanah air. Hari ketiga pula (Khamis) mereka tinggal di Dandenong Motel.

Kak Dariah telah lama kami kenali, kini mengikuti pengajian peringkat PhD (Nursing) di Adelaide. Tinggal di rumah yang pernah kami sewa ketika di Adelaide dahulu bersama 2 anaknya. Abg Saiful serta anak lelaki bongsunya baru tiba dari Kelantan beberapa hari sebelumnya.

Dalam kesibukan mereka, sempat mereka berkunjung makan petang di rumah kami pada hari Jumaatnya. Pertama kali dapat berjumpa Abg Saiful. Orangnya mudah mesra dan humble sahaja. Dahulu pernah berkerja di MARDI dan kini sibuk dengan urusan perniagaannya sebagai kontraktor perumahan dan agen pelancongan di Kelantan.

Keluarga Nurul Aini

Bergambar di backyard, membelakangi pohon tin dan lemon
Nurul Aini juga dari Adelaide. Kini di tahun akhir pengajian PhD di sana. Mereka datang ke Melbourne selama 3 hari (Khamis, 18/12/2008 – Sabtu, 20/12/2008) untuk melancong bersama-sama dengan ibu bapanya serta adik lelakinya serta kenalan mereka, Wan Suhaimi bersama isteri dan anaknya. Mereka baru tiba dari Kelantan beberapa hari sebelumnya.
Di Melbourne, mereka tinggal di rumah Khaizuran selepas keluarga Kak Dariah berpindah ke motel. Di samping menjemput mereka makan di rumah kami, mereka turut dibawa mengunjungi Dandenong Market untuk mencari cenderahati Australia, DFO di Essendon dan beberapa tempat tarikan di Dandenong. Sebelum pulang ke Adelaide, mereka singgah di Victoria Market di Melbourne City.

Seronok betul ibu bapa Nurul apabila mengetahui Laili pernah belajar di Kota Bharu dan kami pula sering balik kampung di Kuala Terengganu. Berkali-kali mengingatkan kami, jangan lupa ke rumah mereka di Pengkalan Chepa, Kelantan. Begitulah sikap orang-orang tua. Perkenalan walaupun singkat seharusnya diperpanjangkan lagi agar silaturahim yang terjalin tidak putus begitu sahaja. Insya Allah.

Laila Kamaliah

Dari kiri; Laila, Laili dan Zie
Dr. Laila Kamaliah adalah rakan lama Laili ketika menuntut di MRSM KB dahulu. Juga rakan lama kepada Azidah, yang kini bekerja di Melbourne. Sekarang Laila sedang mengikuti job attachment di Flinders Medical Centre (FMC) di Adelaide. Datang bercuti beberapa hari ke Melbourne sejak hari Jumaat lalu (19/12/2008) dan tinggal di Melbourne City.

Kesempatan yang ada, ketiga-tiganya bersua pada hari Sabtu dan datang bertandang ke rumah kami. Apa lagi apabila dah lama tak berjumpa, banyak perkara yang dibualkan. Insya Allah disambung lagi ketika kami bertandang ke Adelaide pada minggu berikutnya.
Begitulah betapa tingginya nilai persaudaraan dan persahabatan. Kemesraan akan tersemai tanpa disedari dan Insya Allah akan terus mekar di ingatan.

Thursday, January 8, 2009

Jalan-jalan Ke Adelaide > Makan & Tidur

Perjalanan 5 hari 4 malam (24/12/2008 – 28/12/2008) dari Melbourne ke Adelaide benar-benar menguji ketahanan diri. Penat pun tidak terasa dek keseronokan menerokai setiap tempat yang disinggahi. Kembali ke Melbourne, barulah terasa letihnya. Dua tiga hari juga untuk kembali bertenaga kembali. Mujurlah musim cuti sekolah, malah universiti pun turut cuti sehingga minggu pertama Januari.

Imran di taman rumah Jali-Nita
Berdasarkan perancangan perjalanan dan tempat lawatan, persediaan tempat bermalam telah dilakukan lebih awal dengan menempahnya melalui telefon. Kami bernasib baik kerana tempahannya sebelum Hari Krismas. Jika selepasnya, susah untuk mendapatkannya kerana hampir semua tempat telahpun penuh. Persediaan makanan pula dilakukan beberapa hari sebelum perjalanan dengan membahagi-bahagikan tugasan.
Dua malam pertama (24/12 & 25/12), kami menginap di Paragon Limestone Motor Inn di Mt Gambier dan di Apollon Motel di Victor Harbour. Biliknya agak selesa dan sewanya berpatutan. Di Paragon, kami dapat 2 bilik bersambung (connecting room) dengan 2 double bed, 2 single bed dan 2 bilik air. Sewanya hanya $120 semalam untuk kedua-dua bilik tersebut. Di Apollon pula, bilik keluarga dengan 2 double bed, 1 single bed dan sofa yang juga boleh dijadikan tempat tidur. Sewanya mahal sedikit, $178 semalam. Bilik lain untuk 4 orang sewanya $148 semalam.
Di rumah Kak Dariah-Abg Saiful
Dalam perjalanan ke Adelaide, kami singgah di beberapa taman untuk berehat, makan dan solat jamak, antaranya Port Campbell Harbour, Twelve Apostles, Beachport, Coorong Park di Meningie dan Goolwa Barrage. Sewaktu pulang ke Melbourne pula, kami singgah di Tolmer Park di Bordertown dan Masjid Sunshine berdekatan Melbourne City.

Dari Goolwa (petang Jumaat, 26/12/2008), kami bertolak ke Adelaide. Di Adelaide, urusan tempat bermalam serta makan minum tiada masalah. Ramai rakan kenalan di sana yang berlapang dada membantu. Setiap kali ke Adelaide, seolah-olah balik kampung. Jemputannya berkeliling. AlhamduliLlah dimurahkan rezeki dan dipermudahkan olehNya.

Jemputan pertama dari Nurul Aini yang tinggal di Goodwood Rd. Kebetulan ibu bapanya dari Kelantan baru tiba di Adelaide dan pernah singgah di rumah kami seminggu sebelumnya ketika mereka berkunjung ke Melbourne. Nasi kerabu, makanan tradisi Kelantan berserta rencah iringannya (kelapa, budu, ulaman, keropok dll) yang dihidangkan begitu menyelerakan sekali. Hampir setiap orang makan bertambah. Tambahan pula kebanyakan dari kami dari Kelantan dan Terengganu.

Di hadapan apartmen Laila di FMC, sebelum bertolak ke Mt Barker
Malamnya kami mendapat 2 jemputan bermalam. Keluarga kami berserta keluarga Kak Siti Aminah (dengan 3 orang anaknya) bermalam di rumah Dr. Jali-Dr. Nita di Bernard St. Manakala Azidah, Kak Ruzi dan Kak Mai pula ke apartmen Dr. Laila di Flinders Medical Centre (FMC). Di rumah mereka, kami dijamu lagi dengan pelbagai juadah yang menyelerakan, antaranya sop tulang dan kueh mueh.

Keesokan harinya (Sabtu 27/12/2008), kami memenuhi jemputan sarapan pagi (cum makan tengahari) di rumah Kak Dariah-Abg Saiful di Diagonal Rd. Rumah yang meninggalkan nostalgia tersendiri bagi kami. Itulah rumah yang kami duduki ketika berada di Adelaide 2 tahun lalu. Seronok dapat bertemu muka dengan Nazri dan Hazami.
Tak sangka pula, jejak kasih mempertemukan 2 rakan lama ketika bersekolah menengah dahulu, Kak Dariah dan Kak Mai.
Lewat petang, kami singgah di rumah Dr Jali. Dijamu lagi dengan sop tulang. Malamnya, kami bermalam di rumah Dr. Sharifuddin-Dr. Ati di Mt. Barker. Rumah yang baru diduduki setelah berpindah dari rumah mereka di Murray Bridge. Kami tiba agak lewat. Hidangan makan malam telah sedia terhidang. Maaf dan terima kasih...8)

Di hadapan anjung rumah Sharifuddin-Ati di Mt Barker. Pudin tiada dalam gambar, keluar bermain golf
Pagi Ahad (28/12/2008), kami bersarapan pagi di rumah mereka sebelum bertolak pulang ke Adelaide dengan dibekalkan lauk pauk.
Berbanyak terima kasih kepada semua rakan kenalan di Adelaide yang bersusah payah melayan kami. Moga kalian dirahmati Allah sentiasa. Kiranya ke Melbourne, jangan lupa singgah ke rumah kami. Itulah yang sentiasa kami ingatkan kepada rakan kenalan yang datang ke Melbourne.
Dalam kesuntukan masa, rasa terkilan kerana tidak sempat berjumpa dengan ramai kenalan lama lain ketika di Adelaide. Antaranya Syidee, Salina, Jabar, Fadilah, Kak Ros, Pak Uka dan ramai lagi. Insya Allah, berjumpa kita di lain ketika

Tuesday, January 6, 2009

Jalan-jalan Ke Adelaide > Gorge Wildlife Park

Pagi Sabtu (27/12/2008), kami bersarapan pagi di rumah Kak Dariah-Abg Saiful di Diagonal Rd, Sturt. Azidah, Kak Ruzi dan Kak Mai yang tidur di apartmen Laila lebih panjang langkahnya. Selepas bersarapan terus ke Marion Shopping Complex, tidak jauh dari rumah Kak Dariah. Kebetulan hari tersebut (27/12/2008) adalah Boxing Day (hari shopping sakan) di South Australia. Itulah, lari dari perangkap Boxing Day di Melbourne pada 26/12/2008, terjerat pula di Adelaide.

Memberi makan kangaroo
Petangnya kami berkunjung ke Gorge Wildlife Park (Gorge WP) di Cuddle Creek, kira-kira 25km dari Adelaide City. Laila pun turut serta. Asalnya kami bercadang ke Cleland Wildlife Park (Cleland WP) di Mt. Lofty Ranges, tempat yang pernah dikunjungi sebelum ini, tetapi berubah rancangan setelah mendapat pandangan dari Nita Jali. Apatah lagi ianya belum pernah kami sekeluarga kunjungi.
Matlamat kami hanya satu, memberi peluang kepada rakan kenalan lain menyuakan makanan kepada kangaroo dengan tangan sambil dikelilingi olehnya. Satu pengalaman yang amat dicari-cari sebagai kenangan berada di Australia. Tambahan pula Gorge WP lebih kecil berbanding Cleland WP. Ianya berkeluasan 14 ekar, terletak di tanah beralun, telah dibuka sejak tahun 1965.

Iddin, Azidah, Laili dan Laila bergambar bersama kangaroo putih
Perjalanan kami ke Gorge WP agak mencabar, mendaki dan menuruni lereng bukit yang berliku-liku. Kami tiba di Gorge WP kira-kira jam 03:30 petang. Tiket masuknya $35 untuk keluarga 2 dewasa, 2 anak, $40 untuk keluarga 2 dewasa, 3 anak dan $45 untuk keluarga 2 dewasa, 4 anak. Untuk dewasa sahaja, bayarannya $13 seorang, kanak-kanak $7 seorang dan tiket konsesi (warga tua, pelajar universiti, OKU) pula $10 seorang.
Melangkah masuk ke taman melalui kedai cenderahati, tiada langsung petugas yang memeriksa tiket. Jika berhajat untuk masuk percuma pun tiada masalah. Itulah sebahagian daripada budaya Aussie, bergantung kepada kepercayaan. Sesuatu yang amat tinggi nilainya.

Solehah, Hanisah dan Azizah memberi makan kangaroo
Di dalam taman, kangaroo adalah antara haiwan pertama yang ditemui. Ada yang berwarna kelabu, coklat dan juga putih. Saiznya tidaklah berapa besar dn menggerunkan seperti di Cleland WP tetapi memadai. Begitu seronok sekali masing-masing menyuakan biskut dan kacang tanah yang dibeli dari kedai cenderahati. Bukan sahaja kepada kangaroo, tetapi juga burung emu dari kandang bersebelahan. Ghairahnya memberi makan sambil merakamkan foto, tidak disedari kehabisan bekalan makanan. Kesian melihat lain-lain kangaroo terlompat-lompat datang menghampiri sambil menyuakan mulut.

Di lain-lain lokasi, pelbagai haiwan dapat dilihat secara dekat samada di dalam kandang, sarang mahupun di kolam. Wallabi, wombat, koala, dingo, echidna, gibbon, meerkat, buaya dan pelbagai jenis burung termasuk little penguin adalah antara tarikannya. Imran antara yang paling teruja. Baginya haiwan sentiasa dekat di hati dan paling suka untuk ditemui. Bagi yang lain, tampak kepuasannya. Tercapai sudah hajat di hati.

Setelah berehat sambil makan-makan dengan bekalan yang dibawa di On-site BBQ, kami pun melangkah keluar. Rupa-rupanya kami adalah yang paling lewat keluar. Sekali lagi, jika ada yang ingin masuk tanpa berbayar pun tiada masalah. Tiada orang yang mengawasinya.
Koleksi foto boleh diakses di Album Foto Kami (kiri web) atau klik di sini.

Jika dilakukan perbandingan antara Gorge WP dan Cleland WP, secara peribadi Gorge WP adalah lebih selesa untuk dikunjungi. Pengalaman bersama kangaroo sama sahaja. Haiwannya pun banyak dan pelbagai. Dengan keluasannya yang sederhana, hampir semua lokasi dapat dilawati tanpa merasa penat. Begitu juga jika berkeinginan mendukung koala, datanglah ketika waktu ditetapkan iaitu jam 11:30 pagi, 1:30 petang dan 3:30 petang setiap hari. Tambahan pula bayaran masuknya lebih murah berbanding Cleland WP.

Sunday, January 4, 2009

Jalan-jalan Ke Adelaide > Cockle @ Goolwa

Melewati tengahari, hari Jumaat (26/12/2008), kami bertolak dari Victor Harbour ke Goolwa. Jaraknya hanya sekitar 20 km sahaja melalui Port Elliot dan Middleton. Tercari-cari kami akan lokasi pantai yang pernah dikunjungi ketika berada di Adelaide dahulu tapi tidak ditemui. Akhirnya kami singgah berhampiran Goolwa Barrage di Sir Richard Peninsula. Perut pun dah berkeroncong dan badan pun terasa kepenatan.

Imran di hadapan Goolwa Barrage
Sedikit info, Goolwa Barrage sepanjang 632 meter telah siap dibina melintangi Murray River dari Sir Richard Peninsula ke Hindmarsh Island pada 5 Februari 1940. Fungsinya untuk mengawal aras air pasang surut sekaligus mengelak berlaku limpahan air di kawasan sekitarnya. Ia juga berfungsi mengekalkan keaslian air di Alexandrina dan Albert Lake yang terletak bersebelahannya ketika aras air sungai lebih rendah dari aras air laut.

Selepas solat, kami terus ke agenda utama kami, menuju ke pantai. Kedudukan pantainya agak jauh, terpaksa menyeberangi jalan raya, mendaki bukit dan meredah padang pasir sebelum tiba di tepian pantai. Ramai juga para pengunjungnya, malah pacuan 4 roda pun sibuk ke hulu ke hilir.

Azidah, Azizah dan Umar terbongkok-bongkok mengorek pasir
Pantainya agak landai dan sesuai untuk bermandi manda. Ombaknya sesekali kuat menghempas pantai, mendorong kami ke tepian. Airnya terasa begitu sejuk sekali, mengigil dibuatnya. Lebih-lebih lagi apabila lama berendam, anggota badan terasa kejang.

Di samping bermain air laut, tujuan utama kami adalah untuk mencari cockle yang hanya muncul ketika musim panas. Rupanya seakan kepah tetapi bukannya kerang. Cengkerangnya sedikit tirus dan licin. Orang menyebutnya cockle, jadi kami ikut sahaja le. Entahlah apa nama sebenarnya.

Cockle biasanya bersembunyi di dalam pasir dan perlu dikorek untuk mendapatnya. Ada juga yang dibawa dek ombak ke tepi pantai dan jelas kelihatan ketika air menyusut turun kembali ke laut. Ianya perlu segera dicekup, jika tidak sekejap sahaja menghilang masuk ke dalam pasir. Cockle bersaiz duit 5 sen banyak kelihatan tetapi yang ditangkap hanyalah bersaiz besar, sekitar saiz duit 50 sen.

Sesekali dipukul ombak, apa pun cockle mesti diselamatkan
Kami langsung tidak membawa kelengkapan khusus untuk menangkapnya berbanding pengunjung lain. Tiada pengorek, tiada baldi (yang ada pun baldi pecah yang ditemui dibuang orang) dan tiada bekas simpanan. Yang ada hanyalah jari jemari untuk mengorek dan beg plastik untuk menyimpannya.

(Info : Sejurus ditangkap, ia perlu dimasukkan ke dalam bekas mengandungi air laut dan dibiarkan semalaman untuk mengeluarkan pasir di dalam cengkerang. Itu yang tidak kami lakukan. Apabila direbus terasa berpasir. Terima kasih pada Nita-Jali yang merendam, merebus dan mengopeknya. Malangnya tertinggal di peti ais rumah Pudin-Ati)

Tidak semua turun mencari cockle. Kak Ruzi, Kak Siti dan Kak Mai hanya sekadar menonton dari tepian pantai. Yang lain nampaknya begitu bersemangat dan seronok sekali. Terbongkok-bongkok mengorek pasir sambil sesekali tercampak dilanda ombak. Seekor demi seekor cockle dihulur mengisi baldi dan beg plastik. Sejuknya amat terasa, namun masing-masing bertahan dalam keghairahan mengorek dan memungut setiap cockle yang tersentuh dek jari.
Koleksi foto dapat dicapai di Album Foto Kami atau klik di sini.

Inilah sebahagian hasil tangkapannya, lumayan Pak..
Dalam keseronokan mencari cockle, tidak sedar masa bergerak begitu pantas, menghampiri jam 05:30 petang. Hampir 3 jam kami berendam air masin dan hasil tangkapan bolehlah dianggap lumayan, lebih setengah baldi.

Selepas bersalin pakaian, kami meneruskan perjalanan ke Adelaide, menuju ke rumah Nurul Aini di Goodwood Rd untuk memenuhi jemputan makan. Hidangannya istimewa sekali, nasi kerabu, hasil tangan ibunya yang datang bertandang ke Adelaide. Masing-masing berselera sekali nampaknya.

Saturday, January 3, 2009

Jalan-jalan Ke Adelaide > Victor Harbour

Kami tiba di motel penginapan di Victor Harbour, Apollon Motel kira-kira jam 09:00 malam. Cahaya matahari masih berbalam menandakan waktu malam baru sahaja menjengah.

Little Penguin @ Granite Island

Meredah gelap malam ke Granite Island
Penyambut tetamu motel menyarankan kami terus ke Granite Island, tidak jauh dari motel untuk melihat little penguin @ fairy penguin mendaki tebing batu pulang ke sarangnya di celah-celah batuan di daratan. Satu saranan yang baik. Tanpa berlengah lagi, kami terus bergegas berjalan kaki ke sana merentasi causeway sepanjang 632 meter menyeberangi Encounter Bay.

Setibanya di Granite Island, kelihatan 2 ekor penguin terkedek-kedek mencari sarangnya (burrow), manakala seekor lagi sedang mendaki tebing di tepi teluk. Gelap malam hanya diterangi lampu jalan yang malap. Suasana senyap sunyi. Setiap orang cuba mendiamkan diri sambil memerhatikan pergerakan penguin. Kami duduk di bongkah batu berdekatan.

Para pengunjung mulai mengelilinginya. Terpinga-pinga dibuatnya penguin tersebut. Naik turun tebing dan ke hulu ke hilir mencari di mana sarangnya. Begitu juga yang sedang mendaki tebing, langsung tidak bergerak kerana ramai orang di hadapannya. Di celah-celah batu kelihatan beberapa lubang, rasanya itulah antara sarang yang dicari.

Terdapat juga pengunjung yang mengambil gambar, sesuatu yang boleh menakutkannya.Tiada siapa yang menegur dan tiada kelihatan petugas yang memantau. Terasa sakit hati dibuatnya. Teringat akan pengalaman di Phillips Island di mana para pengunjung dilarang keras mengambil dan menganggu penguin, malah petugasnya juga ramai.

Selepas sejam, kami terus beredar pulang ke motel. Malas nak berjalan menengok penguin di lain tebing. Baik balik ke bilik sahaja. Badan pun dah terasa kepenatan.

Horse Drawn Tram

Di taman permainan berhadapan Encounter Bay
Keesokan harinya, pagi-pagi lagi anak-anak dah keluar menuju ke arah pantai berdekatan Causeway, bermain di taman permainannya. Suasana awal paginya begitu tenang sekali. Kedapatan masih banyak bangunan bersejarahnya yang masih kekal terpelihara, sesuatu yang begitu dititik beratkan di Australia. Di samping itu terdapat juga tarikan lain seperti Whale Centre, Soldiers Memorial, Encounter Coast Discovery Centre dan SteamRanger Train ke Goolwa. Kak Ruzi, Kak Mai dan Azidah pun turut serta merayau dan meninjau di sekitarnya sambil mengambil gambar.

Selepas check-out, kami kembali ke pekan Victor Harbour untuk merasai pengalaman menaiki tram 2 tingkat yang ditarik kuda jenis Clydesdale, dikenali sebagai Horse Drawn Tram melalui tramway/ causeway menuju ke Granite Island. Ianya juga tinggalan sejarah di mana pernah menjadi pengangkutan utama seawal pertengahan tahun 1860 lagi. Pemandangan sekeliling cantik sekali dengan pantai yang memutih bersih, batuan granit memagari teluk dan air cetek membayangi dasarnya. Perjalanan sehala mengambil masa kira-kira 20 minit sahaja.

Menaiki Horse Drawn Tram
Di Granite Island, dapat dilihat jelas sarang-sarang little penguin di celah-celah batu yang telah dipahatkan papan sebagai laluan. Bongkah batu yang kami duduki semalam pun ada sarangnya. Opps.. mungkinkah itu sarang penguin malam tadi yang terkial-kial mencarinya sedangkan kami duduk melindunginya. Terasa bersalah pula. Salahkan orang menganggu, tidak sedar kami pun mungkin turut terlibat sama. Sorry… little fairy.

Terdapat juga Penguin Centre yang memaparkan pelbagai penerangan berkaitan penguin tetapi ditutup, cuti Krismas. Bagi yang lasak, boleh mendaki anak-anak tangga menuju ke puncak bukit batu granit. Disediakan juga laluan penjalan kaki, Kaiki Trail sejauh 2.9km mengelilingi Granite Island. Kami tak larat, tambahan pula masanya dah agak suntuk.

Di hadapan Penguin Centre
Dari kejauhan di barat pulau pula, dapat dilihat tanjung yang mengunjur keluar dikenali sebagai Bluff yang melengkungi Encounter Bay.

Cenderahati berkaitan Victor Harbour boleh didapati di Information Centre, berdekatan Horse Tram Station. Terdapat juga di kedai cenderahati di Granite Island tetapi harganya mahal sedikit berbanding di I-Centre.
Koleksi foto berkaitan boleh diakses di Album Foto Kami (kiri web) atau klik di sini.

Menjelang jam 01:00 petang, kami bergerak ke Goolwa, mencari tempat untuk berehat, makan tengahari serta solat. Kami singgah di Goolwa Barrages, Sir Richard Peninsula setelah berpusing-pusing mencari pantai untuk menangkap cockle (bukan kerang, seakan kepah), pengalaman yang pernah dilalui oleh Laili dan anak-anak ketika di Adelaide 2 tahun lepas.

Friday, January 2, 2009

Jalan-jalan Ke Adelaide > Mt. Gambier

Di Mt. Gambier
Pagi Hari Krismas (25/12/2008) di Mt. Gambier terasa nyaman dan segar sekali. Suasana sunyi dan lenggang mengamit diri untuk keluar. Bersama Laili dan Hanisah, kami berlari-lari anak (jogging) menyusuri laluan tepi jalan, kira-kira 2 km, menuju ke Umpherstone Sinkhole. Persekitaran yang menghijau berserta bunga-bungaan berkembang mekar menyejukkan pandangan.

Dikelilingi bungaan mekar berkembang di Umpherstone Sinkhole
Selepas check-out sekitar jam 9:30 pagi, konvoi kami bergerak menuju ke Umpherstone Sinkhole untuk melihat keunikan dan keindahan taman tenggelam. Asalnya adalah lohong/ lubang besar yang terhasil dari proses pemendapan dan hakisan air ke atas batu kapur (limestone) sejak 15 – 40 juta tahun lalu. Umpherstone pula diambil sempena nama James Umpherstone (meninggal dunia tahun 1990) yang berusaha memperindahkannya menjadi taman untuk kunjungan ramai.

Keindahan bungaan merah jambu yang berkembang melatari hampir keseluruhan permukaan taman benar-benar memukau pandangan. Bagi peminat bunga, akan terasa tidak keruan dibuatnya, apatah lagi dikelilingi bungaan seumpamanya. Peluang bergambar sememangnya tidak dilepaskan. Bagi kami, terbayar sudah rasa terkilan ketika berkunjung ke sini di musim luruh dahulu. Ketika itu banyak bunganya telah gugur. (Klik sini untuk entri terdahulu).

Taman di sekitar sinkhole tidak kurang cantiknya. Terdapat juga kesan sejarahnya tersendiri, antaranya kayu balak yang terselamat ketika kebakaran hutan pada 02/03/1983, lori dan mesin pemotong balak, kereta kuda yang dibuat oleh James Keagan dan kisah kediaman James Umpherstone, The Caves.

Di Blue Lake, airnya membiru di musim panas
Seterusnya kami ke Blue Lake pula. Tasik yang terhasil dari kawah gunung berapi ini berkeluasan kira-kira 170 ekar dengan kedalaman mencapai 200 meter. Dengan matahari yang bersinar terang, kebiruan air tasik benar-benar menyerlah warnanya. Benar bagai dikatakan. Betapa indahnya alam ciptaan Tuhan. SubhanaLlah. Sekali lagi terbayar sudah rasa terkilan kami.

Sesuatu yang menarik tentang Blue Lake ini, di samping keindahannya, ia juga membekalkan air untuk kegunaan penduduk Mt. Gambier dan kawasan sekitarnya. Terjawab sudah kenapa air yang diminum terasa payau dan berwarna keputihan. Rupa-rupanya air batu kapur. Tidak lalu untuk menelannya walaupun telah dijadikan air kopi mahupun teh.

Menjelang tengahari, kami mula bergerak menuju ke Victor Harbour yang terletak kira-kira 500 km dari Mt. Gambier melalui laluan pantai. Hajat hati nak menerokai gua di Tantanoola Caves tetapi tutup.
Koleksi foto di Mt. Gambier boleh dicapai di Album Foto Kami (kiri web) atau klik di sini.
Perjalanan Ke Victor Harbour
Bermain pasir di Beachport (kiri) dan replika lobster di Kingston
Kami singgah berehat di Beachport yang terletak di Rivoli Bay, berdekatan jeti yang siap dibina pad tahun 1882, dikatakan kedua terpanjang di South Australia. Anak-anak tidak melepaskan peluang untuk bermain di tepian pantai.

Perjalanan kami melalui Kingston yang terkenal dengan makanan lautnya, antaranya lobster (replika besarnya tercegak di tepi jalan). Seterusnya merentasi Coorong National Park yang terkenal dengan tasik-tasik dan habitat hidupan yang masih terpelihara. Namun tasik-tasiknya kelihatan memutih kekeringan, mungkin garam yang mengeras.

Menghampiri Meningie, tangki minyak mulai menunjukkan tahap membimbangkan. Malangnya semua stesyen minyak tutup kerana cuti Krismas. Kami singgah untuk berehat, makan dan solat di taman berdekatan. Tiada pilihan, kami terpaksa melencong ke Tailem Bend, kira-kira 30 km ke arah pendalaman. Beberapa stesyen minyak yang dilalui juga ditutup. Akhirnya, AlhamduliLlah terdapat Shell Station yang dibuka. Lega hati.

Menaiki feri menyeberangi Murray River di Wellington
Seterusnya kami turun kembali ke arah pantai melalui Wellington. Tidak sangka berpeluang menaiki feri percuma untuk menyeberangi Murray River. Pengalaman yang amat berharga. Melalui Langhorne Creek, pekan lama yang sunyi dan lenggang, menuju ke Strathalbyn dan terus ke Victor Harbour.
Perjalanan kami dari Meningie, Wellington, Strathalbyn ke Victor Harbour sebenarnya menyusuri Lake Albert dan Lake Alexandaria yang amat luas, mengunjur dari Coorong National Park berhampiran Southern Ocean.

Kami tiba di Apollon Motel di Victor Harbour kira-kira jam 09:00 malam. Selepas check-in kami bergegas ke Granite Island untuk melihat little penguin pulang ke sarangnya (akan disentuh dalam entri berikutnya).
Bilik penginapan di motel amat selesa dan cantik sekali dengan dua double-bed dan satu single-bed, sofa dan berkarpet serta siap dengan meja makan bulat di tengahnya.

Thursday, January 1, 2009

Jalan-jalan Ke Adelaide > Port Campbell

Misi Jalan-jalan ke Adelaide kami bermula pada hari Rabu (24/12/2008), sehari sebelum Hari Krismas. Cuacanya agak baik, panas dengan suhu sekitar 25°C. Kami bertolak dari rumah di Dandenong kira-kira jam 11:00 pagi. Tiga buah kereta sewa berkonvoi. Bersama kami adalah Dr. Ruziaton (Kak Ruzi), Dr. Maimunah (Kak Mai), Azidah dan Dr. Siti Aminah (Kak Siti) serta anak-anaknya, Al-Imran, Umar dan Azizah.

Pemandangan di jalanan
Kak Ruzi dan Kak Mai baru 2 bulan tiba di Melbourne untuk job attachment selama 9 – 12 bulan. Begitu juga Kak Siti yang baru tiba beberapa hari sebelumnya. Azidah pula dah 10 bulan berkerja di Melbourne. Mereka amat teruja untuk mengikut rancangan kami untuk ke Adelaide sambil singgah di beberapa tempat pelancungan di sepanjang jalan melalui laluan pantai.

Berpandukan Navman GPS, kami melalui Princess Highway. Tersasar masuk ke lebuhraya baru, Hamilton Highway yang tiada dalam GPS (peta 2007). Sepatutnya kami membelok ke Geelong. Melway (buku peta Melbourne) pula tertinggal di rumah. Akhirnya ditemui jalan merentasi padang rumput di kiri kanan jalan di Ceres, menuju ke Colac. Tak mengapalah, melencong sambil melancong.
Koleksi foto boleh diakses di Album Foto Kami (kiri web) atau klik di sini.

Imran dan Hanisah di tepian pantai Port Campbell Harbour
Kami tiba di Port Campbell Harbour sekitar jam 02:00 petang. Berhenti untuk makan-makan dan rehatkan badan. Seronok melihat keseronokan anak-anak bersama Umar dan Azizah dikelilingi camar laut (seagull) memagut cebisan roti yang dilempar. Sempat juga Imran, Solehah dan Hanisah bermain air di tepian pantai yang landai dan bersih. Di sana-sini kelihatan ramai Aussie berbikini sedang berbaring berjemur. Itulah nikmat matahari bagi mereka.

Ketika melancung seperti ini, kedai cenderahati sememangnya menjadi salah satu tumpuan kami. Kedai di Port Campbell Harbour ini agak besar dengan pelbagai jenis cenderahati yang agak susah untuk dipilih. Fridge magnet dan poskad tempat dilawati biasanya menjadi pilihan. Brosur berbentuk pamplet atau buku, lebih-lebih lagi mengisahkan sejarah setempat juga menarik minat kami. Itulah yang dibeli. Sebagai ingatan dan kenangan pernah sampai di sini.

Mengendong Imran menyusuri paltform
Seterusnya kami ke Port Campbell National Park untuk melihat keunikan batuan pasir (sandstone) Twelve Apostles tertegak kukuh di tepian pantai. Kini hanya tinggal 8 sahaja setelah 4 daripadanya runtuh dilanda ombak dan hakisan. Yang terakhir runtuh pada 2 Julai 2005. Ini adalah kali ketiga kami ke sini, manakala Laili dan Imran kali keempat. Semuanya mengiringi kawan-kawan dan keluarga dari Malaysia.

Ikutkan hati nak bawa mereka singgah di Loch Ard Gorge, London Bridge dan Grotto yang mempunyai sejarah dan keunikan batuan yang tersendiri tapi masa tidak mengizinkan. Tambahan pula anak-anak kelihatan telah kepenatan mengunjungi setiap pelusuk Look-Out Platform yang disediakan di Twelve Apostles. Jika berhajat, bolehlah masing-masing berkunjung lagi di lain kesempatan.

Motor Inn dan kolam renangnya (tak sempat mandi pun..)

Menyusuri Great Ocean Rd melalui Warnambool, memasuki Princess Highway, kami terus menuju ke Mt. Gambier. AlhamduliLlah selamat tiba di Paragon Limestone Motor Inn kira-kira jam 9:00 malam (waktu di South Australia lewat setengah jam dari Victoria). Blok 2 tingkat umpama asrama dengan pecahan bilik-bilik agak selesa dengan fasiliti yang memuaskan. Bilik yang kami sekeluarga duduki adalah 2 bilik bersambung pintu di tengahnya (connecting room). Di sinilah kami bermalam sebelum meneruskan misi pelancongan kami di Mt. Gambier keesokan harinya.

Di samping Paragon, terdapat juga beberapa blok penginapan lain di sekitarnya seperti Best Western, Arkana dan Comfort Inn.