Muharram adalah bulan pertama dalam Taqwim Islam (Hijrah). Muharram asasnya bermaksud 'diharamkan' atau 'dipantang', yakni terdapat larangan Allah SWT pada melakukan peperangan mahupun pertumpahan darah. Akan tetapi larangan ini akhirnya dimansuhkan olehNya melalui ayat 91 dari Surah Al-Baqarah. Sejak itu, umat Islam bebas melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa ikatan.
Imam Salih dalam khutbah Jumaatnya di Masjid Emir Sultan, Dandenong hari ini menyentuh akan bulan Muharram ini. Bulan ini telah dinamakan sebagai bulan Allah oleh RasuluLlah SAW. Sesungguhnya baginda SAW tidak menyandarkan Allah SWT kepada sesuatu melainkan kemuliaan dan kelebihannya berbanding yang lain sebagaimana dinamakan Baitullah yang merujuk kepada Kaabah.Dari Abu Hurairah r.a., bersabda RasuluLlah SAW, mafhumnya :
“Dan puasa hari ‘Asyura, aku mengharapkan agar Allah menghapuskan dosa setahun sebelumnya” (HR Muslim)
Dengan keutamaan pada bulan Muharram ini, umat Islam amat digalakkan agar berusaha mempertingkatkan amalan dengan harapan mendapat keredhaan Allah SWT semata-mata. Semoga ganjaran yang dijanjikan akan menjadi milik kita sebagai bekalan dalam perjalanan menemui Allah SWT. Amiin.
Banyak peristiwa penting yang berlaku dirujukkan kepada tanggal 10 Muharram ini, antaranya :-
>> Allah SWT menurunkan rahmat
>> Allah SWT menjadikan 'Arasy
>> Allah menjadikan Luh Mahfuz
>> Allah menjadikan Malaikat Jibril
>> Nabi Adam bertaubat kepada Allah SWT
>> Nabi Idris diangkat ke langit
>> Nabi Nuh diselamatkan dari banjir besar
>> Nabi Ibrahim diselamatkan dari pembakaran Raja Namrud
>> Nabi Musa menerima kitab Taurat daripada Allah SWT
>> Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara
>> Nabi Yaakob dipulihkan penglihatannya oleh Allah SWT
>> Nabi Ayub disembuhkan dari penyakit kulit yang “menjijikkan” manusia
>> Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus
>> Nabi Musa dan pengikutnya terselamat dari Firaun dan tenteranya
>> Nabi Daud diampuni Allah SWT akan kesalahannya
>> Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar
>> Nabi Isa diangkatkan ke langit


















