Showing posts with label sekolah. Show all posts
Showing posts with label sekolah. Show all posts

Tuesday, November 8, 2016

SPM 2016 - Selamat Berjuang..!

Semalam, 07 November... bermulanya perjuangan getir para pelajar Tingkatan 5 dalam menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Umumnya inilah peperiksaan terakhir di peringkat sekolah menengah yang bakal menentukan arah tujuan pendidikan seterusnya atau bidang kerjaya yang akan diceburi. 

Di dalam keluarga kami, tiada yang mendudukinya. Paling hampir adalah Nur Solehah yang sedang belajar di Tingkatan 4. Kini Solehah sedang sibuk menghadapi IGSCE Exam yang bakal berakhir pada awal minggu hadapan.

Dalam keluarga terdekat, terdapat 2 orang anak saudara mengambil SPM. Seorang dari keluarga di Terengganu iaitu Shazni dan seorang lagi dari keluarga di Kuala Lumpur iaitu Aiin Farhani. Untuk mereka berdua dan seluruh para pelajar Tingkatan 5... 
"Tabahkan hati dan tenangkan minda. Perhatikan kehendak soalan dan usahakan menjawab dengan sebaik mungkin. Mohonlah bantuan ILLAHI tika buntu dengan lazimkan diri mengingatiNYA. Moga ALLAH SWT mempermudahkan segala urusan dan beroleh kejayaan bagai yang diharapkan. Ameen."

Thursday, January 2, 2014

Kembali Ke Sekolah

Alam persekolahan di tahun baru 2014 bermula sudah. Terujanya anak-anak setelah lama bercuti akhir tahun. Terlebih lagilah bagi yang baru melangkah ke alam persekolahan, tidak kiralah peringkat rendah mahupun menengah ataupun pra sekolah. Sibuknya anak-anak menandakan kesibukan sama dirasai oleh ibu bapa dan penjaga. Itulah rutin kehidupan seharian yang bakal dilalui sepanjang tahun ini.

Hadirnya tahun baru menandakan bertambahnya usia setahun lagi, sekaligus meningkat setahun dalam dunia persekolahan. Kini anak bongsu kami, Imran di Tahun 4, masih di sekolah lama, SK Hulu Kelang. Nur Solehah pula di Tingkatan 2 - MRSM Kota Putra, Besut. Manakala Nur Hanisah di Tingkatan 4 - SMK Lembah Keramat dan anak sulung kami, Izzuddin baru sahaja tamat persekolahan Tingkatan 5 di MRSM Serting, Negeri Sembilan.

Bagi negeri-negeri yang bercuti awal tahun baru 2014, hari ini adalah hari pertama persekolahan. Bagi negeri-negeri lain, semalam adalah harinya.

Majlis Multaqa' di Dewan Ulul Albab, MRSM Kota Putra
Bagi MRSM pula lain ceritanya, khususnya di MRSM Kota Putra. Para pelajar lama telah pun mendaftar masuk pada hari Sabtu lalu, 28/12/2013. Oklah tu sebab mereka bercuti awal seminggu berbanding sekolah-sekolah bukan MRSM.

Ketika menghantar Solehah ke MRSM, sempatlah kami sekeluarga (kecuali Izzuddin yang pergi umrah) bercuti beberapa hari di rumah Tok Ayah di Telok Menara, Terengganu. Seterusnya kami menginap di Bukit Keluang Beach Resort, hanya beberapa kilometer jaraknya dari MRSM Kota Putra. Itulah percutian terakhir kami sekeluarga untuk tahun 2013. AlhamduliLlah sempat juga diatur untuk anak-anak.

Kepada para pelajar, selamat kembali ke alam persekolahan. Berusahalah sedaya mungkin untuk menjadi anak-anak yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia dan menjadi penyejuk jiwa bagi ibu bapa yang membawa kejayaan hidup di dunia dan terlebih lagi di akhirat.

Tuesday, June 11, 2013

Kembali Ke Sekolah

Cuti sekolah Penggal II 2013 selama 2 minggu telah pun berakhir. Pasti ramai yang merasakan jarak waktu 2 minggu amat pendek, lebih-lebih lagi bagi anak-anak yang tinggal di asrama.

Suka atau tidak masing-masing perlu menerima hakikat bahawa perjuangan sebagai seorang pelajar wajib diteruskan. Bukan sahaja anak-anak kembali kepada rutin harian, malah setiap orang pun kembali merasai kesannya termasuk ibu bapa/ penjaga, guru-guru dan pengguna jalan raya. Malah para peniaga/ pengusaha kecil juga kembali bergerak aktif.

Bagi kami sekeluarga tiada terkecuali. Di awal cuti, anak-anak kelihatan begitu teruja sekali. Lebih-lebih lagi semuanya dapat berkumpul bersama. Izzuddin dan Solehah yang tinggal di asrama terlebih lagilah. Si bongsu Imran pula seronok sekali menyakat dan mengusik abang dan kakaknya yang lama tidak bertemu. Selama ini hanya Hanisah yang menjadi temannya di rumah, di samping sepupu-sepupunya yang lain.

Di penghujung minggu kedua, bermulalah detik-detik sedih. Hari Khamis, Izzuddin kembali ke asrama MRSM Serting kerana kelas tambahan SPMnya akan bermula secara intensif pada keesokan harinya. AlhamduliLlah, semangatnya untuk merangkul kejayaan cemerlang begitu menyerlah. Moga tercapai apa yang diimpi-impikannya. Ameen.

Hari Jumaat, bersama Solehah dan Imran, kami bertolak pulang ke rumah orang tua di Kuala Terengganu. Terubat rindu setelah bertentangan mata dengan Ayah yang bersendirian setelah Che' dijemput olehNYA hampir 8 bulan lalu.

Petang Sabtu, Solehah kembali ke asrama MRSM Kota Putera, Besut. Kesedihan yang amat dirasai olehnya. Berpisah bagaikan ditinggalkan sendirian di perantauan, jauh dari ibu ayah dan keluarga tercinta.

Itulah hakikat yang perlu diterima. Sesiapa pun yang berjauhan pasti mengalaminya. Namun, demi sebuah perjuangan murni (menuntut ilmu), Solehah sewajarnya pasrah.

Emm... amat mudah untuk diungkapkan tetapi pedih untuk ditanggung oleh empunya badan. Air mata berlinangan berserta lambaian lemah ketika kereta mulai bergerak meninggalkan kawasan asrama.

Malamnya, kami bermalam di Kuala Terengganu.

Pagi Ahad, menghampiri jam 8:30 pagi, kami bertolak pulang ke Ulu Kelang melalui LPT Telemong-Bukit Besi, Jalan AMBS ke LPT Jabor-Karak dan Lebuhraya Karak ke MRR2. AlhamduliLlah, perjalanan kami lancar tanpa mengalami sebarang kesesakan jalan raya. Sesuatu yang amat dibimbangi. Lazimnya begitu, sehari sebelum sekolah dibuka lebuhraya-lebuhraya utama pasti padat dan sendat dengan kenderaan yang bergerak masuk ke Lembah Kelang.

Kami tiba di Ulu Kelang kira-kira jam 1:00 tengahari (4 1/2 jam). Sempat lagi kami memenuhi jemputan walimah seorang rakan sekerja Laili di Hulu Langat. AlhamduliLlah.

Wednesday, February 29, 2012

Majlis Apresiasi Kecemerlangan

Dua tiga hari lepas, bersekali dengan Mesyuarat Agung PIBG di Sek. Keb. Hulu Kelang (SKHK) telah dilangsungkan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Pelajar. Khusus untuk meraikan pencapaian para pelajar sepanjang tahun lepas.

AlhamduliLlah, setinggi-tinggi kesyukuran untukNya. Kedua-dua anak kami mendapat beberapa anugerah pada hari berkenaan.

Walaupun baru setahun bersekolah di tanah air, mereka dapat mengikutinya dengan baik. Suatu kerisauan yang amat membimbangkan terutama di peringkat awal persekolahan mereka dahulu. Kini sinarnya mula bergemerlapan. AlhamduliLlah.

Lebih-lebih lagi bagi Nur Solehah yang tidak pernah bersekolah di sekolah kebangsaan. Enam bulan pertama sentiasa berendam air mata kerana rasa tersisih dan rendah diri.

Sekembalinya dari Australia, Solehah terus masuk ke Tahun 5. Banyak pelajaran yang tertinggal terutamanya penguasaan Bahasa Malaysia dan pengetahuan am. Syukurlah subjek Matematik dan Sains masih dalam Bahasa Inggeris, ada kesinambungannya.

Bagi Imran yang memasuki Tahun 1, tiada masalah yang ketara. Tambahan pula Imran telah pun berada di sekolah rendah selama setahun di Australia sebelum pulang ke tanah air.

Tahniah kepada Solehah dan Imran yang mendapat Hadiah Terbaik Kedudukan Dalam Kelas masing-masing serta merangkul beberapa Hadiah Terbaik Mata Pelajaran Dalam Darjah. Hadiah tambahan untuk Imran adalah Anugerah Pelajar Terbaik Tahun 1.

Sekali lagi, tahniah kepada Solehah dan Imran. Pesanan yang selalu kami titipkan kepada mereka: Berusahalah untuk melakukan yang terbaik dan jangan sesekali melupakan Allah SWT (solat, doa dan tawakal). Setiap yang berlaku adalah dengan izin dan rahmat daripadaNya.

Moga anak-anak semua (Izzuddin-Hanisah-Solehah-Imran) sentiasa di bawah lindungan dan kasih sayang Allah SWT - berjaya hidup di dunia dan di akhirat. Ameen.

Tuesday, February 28, 2012

Mesyuarat Agung PIBG

Hari Sabtu baru-baru ini, terdapat 2 Mesyuarat Agung PIBG yang perlu kami hadiri. Satu di sekolah menengah dan satu lagi di sekolah rendah. Waktunya pula sama, dari jam 08:30 pagi - 12:30 tengahari. Jalan penyelesaiannya: ayah ke sekolah menengah, manakala ibu pula ke sekolah rendah.

Dari pemerhatian kami di sekolah yang sama sejak bertahun lalu, sambutan ibu bapa/ penjaga terhadap majlis seumpamanya amat mengecewakan. Dari ribuan anak bersekolah, tidak sampai pun 100 orang (4%) ibu bapa/ penjaga yang hadir. Kami percaya yang datang pun orangnya sama sahaja saban tahun (selagi anak bersekolah di situ).

Untuk bersangka baik, kami mengandaikan kalangan ibu bapa lain amat sibuk dengan urusan harian. Mungkin juga harinya (Sabtu) tidak bersesuaian. Dan mungkin juga tempoh 4 jam adalah terlalu lama. Dari segi hebahan pula, mungkin ianya tidak sampai kepada mereka.

Entahlah... mungkin juga segelintir dari mereka menganggap tiada faedahnya duduk berjam-jam di dewan. Sekadar mendengar celoteh guru, JK PIBG dan perbincangan usul-usul yang diutarakan. Dengan kata lain, tiada nilai 'ringgit dan sen' yang diperolehi daripadanya.

Lihat sahaja suasana 'serbuan' bantuan persekolahan dahulu - sanggup mereka berdiri dan berpanas berjam-jam semata-mata RM100. Malah sanggup pula sebahagian daripadanya bercuti kerja.

Tidak bolehkah mereka turut mengambil inisiatif seumpamanya untuk menghadiri Mesyuarat Agung PIBG yang hanya diadakan sekali setahun? Tambahan pula turut disediakan tempat duduk yang selesa dan sarapan pagi? Amat jauh bezanya antara dua situasi tersebut.

Maaf jika dikatakan inilah sikap tidak prihatin dan tiada kesedaran. Sedangkan segalanya adalah berkaitan langsung dengan perkembangan dan permasalahan yang dihadapi oleh anak-anak kita di sekolah. Setiap perbincangan adalah untuk kebaikan bersama. Jika tidak ibu bapa sendiri, siapa lagi yang nak diharapkan?

Lebih menjengkelkan, ramai yang berdegar-degar cakapnya menyalahkan itu dan ini di tepi pagar sekolah (ketika menunggu anak pulang) tetapi tidak sanggup meluahkannya sendiri kepada guru dan JK PIBG.

Cuma ada ketikanya kami amat tidak gemar apabila soal politik kepartian dan individu berkepentingan turut dilibatkan oleh guru, JK PIBG dan perasmi/ penceramah. Ingatlah, tidak semua orang sealiran ideologi mahu pun pendekatan dengan kita. Tersilap bicara mungkin boleh meninggalkan kesan di jiwa.

Pendidikan adalah isu global yang melibatkan masa hadapan generasi baru. Ianya perlu ditangani dengan sebaik mungkin berlandaskan kewarasan akal dan hala tuju berwawasan. Jauhilah sikap mementingkan diri dan kejumudan pemikiran.

Sebenarnya banyak manafaat yang diperolehi dari Mesyuarat Agung PIBG. Setidak-tidaknya, inilah masanya kita dapat mengikuti secara dekat perkembangan sekolah di mana anak-anak kita menimba ilmu pengetahuan.

Tahniah kepada para guru dan ibu bapa yang sanggup meluangkan masa untuk anak-anak demi kejayaan mereka di masa hadapan - dunia dan akhirat.

Tuesday, October 4, 2011

PMR & UPKK

Sekarang adalah musim peperiksaan peringkat kebangsaan dan negeri. Dalam jarak masa sebulan ini telah berlangsungnya UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah) di sekolah rendah kebangsaan, diikuti pula PSRA (Penilaian Sijil Rendah Agama) di sekolah agama. Kedua-duanya untuk pelajar Tahun/Darjah Enam.

Mulai semalam pula bermulanya ujian bertulis UPKK (Ujian Penilaian Kelas Kafa) bagi pelajar Darjah 5 sekolah agama yang bakal berakhir pada hujung minggu ini. Dalam keluarga kami, Nur Solehah yang bersekolah di KAFA (Integrasi) Masjid Al-Ridhuan sedang menghadapinya.

Manakala di sekolah menengah pula, calon-calon PMR (Penilaian Menengah Rendah) sedang bertungkus lumus menghadapinya termasuklah anak sulung kami, Muhd Izzuddin.

Beberapa minggu lagi, Peperiksaan Akhir Tahun pula akan menyusul.

Sebagai ibu bapa, kami sentiasa mendoakan moga Izzuddin dan Solehah dapat melaluinya penuh tabah dan berusaha sebaiknya. Begitu juga kepada Hanisah dan Imran. Paling utama, sentiasa ingat kepada Allah SWT.

Terus terang, kami tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk mereka mengecapi kejayaan cemerlang. Kami memahami situasi yang mereka hadapi kerana baru tahun ini mereka memasuki sistem persekolahan di tanah air setelah bertahun-tahun terbiasa dengan sistem pendidikan di Australia.

Pesan kami, berusahalah setakat yang mampu. Malah kami tidak memberati mereka dengan kelas-kelas tambahan. Buat masa ini cukuplah dengan apa yang diperolehi di sekolah. Apatah lagi pagi petang bersekolah, gunakanlah waktu malam untuk mengulangkaji pelajaran dan beristirehat. Itulah juga yang kami pelajari dari sistem pendidikan di Australia.

Dari pemerhatian kami, AlhamduliLlah keempat-empat anak kami menunjukkan peningkatan yang baik dalam pelajaran dan penguasaan ilmu yang dicurahkan. Sebarang kemusykilan sentiasa diajukan kepada kami untuk diselesaikan.

Moga mereka mampu meraih kejayaan demi kejayaan, di dunia dan juga di akhirat. Ameen.

Monday, October 4, 2010

Pengggal Ke-4/2010

Hari ini anak-anak mula kembali bersekolah setelah 2 minggu bercuti. Maka bermulalah Penggal Ke-4 persekolahan di Victoria.
Penggal ini adalah sesi terakhir persekolahan bagi tahun 2010 ini, juga terakhir untuk anak-anak kami; Izzuddin, Hanisah, Solehah dan Imran bersekolah di Victoria. Insya Allah awal tahun hadapan kami sekeluarga akan kembali ke tanah air.
Selama 2 minggu bercuti, diperhatikan anak-anak begitu seronok sekali.
Di minggu pertama, mereka di bawa berjalan-jalan makan angin melalui Great Ocean Road ke Port Campbell dan Warrnambool; menunggang kuda di Blazing Saddle, Aireys Inlet; bermain dengan kangaroo di Phillip Island dan menghayati keindahan bungaan tulip di Silvan.
Di minggu kedua mereka lebih banyak masa di rumah. Hampir saban petang mereka keluar bermain dan ada ketikanya tidur (sleepover) bersama rakan-rakan sebaya. Di masa terluang lain, mereka dibawa ke Dandenong Library untuk meminjam buku dan DVD kegemaran.
Di sebalik keseronokan bercuti, mereka juga kelihatan seronok untuk kembali ke sekolah. Tidak sabar untuk bertemu lain-lain rakan sekelas, guru dan juga sistem pembelajaran yang menyeronokkan.

Friday, June 25, 2010

Cuti Penggal 2

Hari ini adalah hari terakhir persekolahan Penggal Ke-2/2010 di Victoria. Bagi anak-anak, inilah yang saat yang ditunggu-tunggu. Dapat berehat dari kesibukan harian. Mereka akan bercuti selama 2 minggu sehinggalah sekolah dibuka kembali pada 12/07/2010 nanti.

Untuk cuti kali ini, tidak banyak perancangan untuk anak-anak. Ibu mereka sekarang ini sibuk dengan rutin penulisan tesisnya. Jarak waktu 6 bulan tidaklah lama. Setiap hari termasuk hari minggu berada di universiti. Biarkanlah kerana itulah keutamaannya. Didoakan moga Laili sentiasa dipermudahkan oleh Allah SWT dan berjaya menamatkan pengajian dalam waktu yang ditetapkan. Ameen.

Kini adalah musim sejuk di Australia. Dengan persekitaran yang sejuk dan waktu siang yang pendek, saya berpandangan adalah lebih baik masa dihabiskan di rumah sahaja. Banyak aktiviti yang boleh dilakukan, termasuklah membiasakan diri mereka dengan sistem pembelajaran di Malaysia dari buku-buku sekolah yang dibawa. Jika tidak bersedia dari sekarang, bila lagi...

Kunjungan lebih kerap ke Dandenong Library adalah antara yang boleh dilakukan. Malah itulah kegiatan yang amat disukai. Bagi Izzuddin pula, inilah masanya untuk mengikuti secara lebih dekat kejohanan bolasepak dunia, Piala Dunia; berjaga malam mahupun bangun awal di pagi hari.
Insya Allah di penghujung minggu ini kami akan ke Fawkner, berdekatan Melbourne City. Izzuddin akan menyertai pertandingan tae kwon do, OTC Friendly Club Competition yang turut disertai puluhan peserta dari 11 buah kelab gabungan. Insya Allah kami akan menyinggah di rumah Shaharuddin-Azizah (Din-Gee) yang telah lama tidak ditemui.

Dan pada minggu kedua cuti, Kak Dariah bersama 2 orang anaknya akan tiba dari Adelaide, South Australia. Mereka berhajat untuk bermain salji di pergunungan. Insya Allah kami akan turut serta bersama mereka. Untuk tahun ini pun kami belum lagi berkesempatan menyentuh salji, elok sangatlah tu…

Walau apa pun, amat diharapkan agar cuti sekolah kali ini benar-benar terisi dengan kegiatan yang berfaedah dan dilalui penuh ceria oleh anak-anak.

Selamat Bercuti.

Sunday, February 7, 2010

Belanja Sekolah

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang bersekolah, awal tahun sememangnya amat memeritkan. Lagi ramai yang bersekolah lagi terasa peritnya. Lebih-lebih lagi jika ada yang baru memulakan persekolahan atau berpindah sekolah. Begitulah rutinnya hampir setiap tahun. Tidak kira di mana berada. Itulah juga yang kami rasai di bumi Australia ini.

Pada tahun ini, kesemua 4 orang anak kami memasuki alam persekolahan sepenuhnya. Dua orang di sekolah menengah (Dandenong High School) dan 2 orang lagi di sekolah rendah (Dandenong North Primary School).

Kami bersyukur kerana semua anak mendapat perlepasan di bawah peruntukan Dependence Visa kerana ibunya mengikuti pengajian lepasan ijazah di bidang penyelidikan. Jika tidak mereka akan dikategorikan sebagai pelajar antara bangsa dengan bayaran belajar kira-kira AUD 8,000 (lapan ribu) setahun untuk seorang. Bayangkan jika 4 orang anak. Itulah yang dihadapi oleh sebahagian ibu bapa yang mengikuti pengajian di negeri-negeri yang tiada peruntukan seumpamanya seperti di Queensland, New South Wales dan Tasmania.

Sebagai tambahannya, kami juga bersyukur kerana Hanisah mendapat School Start Bonus Voucher sebanyak AUD 300 yang diberikan kepada setiap pelajar yang memasuki Year 7 (awal sekolah menengah). Dapatlah menampung sebahagian perbelanjaannya. Imran yang mula bersekolah di sekolah rendah juga sepatutnya dapat tetapi sehingga kini tiada khabar beritanya…

Namun begitu masih banyak lagi perbelanjaan persekolahan yang perlu dikeluarkan terutama di peringkat sekolah menengah.

Yuran Pengajian & Program

Bayarannya berbeza mengikut sekolah. Sesetengah sekolah menggabungkan yuran pengajian dan program berkala untuk pelajar dalam satu senarai bayaran wajib. Sebahagiannya pula hanya menyenaraikan yuran pengajian sahaja. Bayaran program berkala dibayar apabila tiba masanya. Bagi Dandenong North Primary School (DNPS) dan Dandenong High School (DHS), mereka mengguna-pakai kaedah kedua.

Di DNPS, surat pembayarannya telahpun diedarkan. Yuran tahunannya sebanyak AUD 112.50 seorang (untuk 2 orang = AUD 225.00). Ianya meliputi semua kelengkapan pembelajaran termasuk alat tulis, buku kerja, buku tulis, kemudahan komputer dan internet, bahan-bahan seni, jemputan penceramah dan lain-lain yang bersangkutan dengannya. Tiada lagi bayaran tambahan kecuali untuk program/aktiviti untuk pelajar.

Di DHS pula, yurannya telah pun dijelaskan ketika sesi pendaftaran pada bulan Disember 2009 lalu. Untuk Hanisah yang baru melangkah masuk ke sekolah menengah, bayarannya AUD 350, manakala Izzuddin pula AUD 305 (semuanya AUD 655). Itu hanya yuran pengajian sahaja. Alat tulis, buku teks, buku kerja, buku tulis dan lain-lain perlu dibeli sendiri.

Kelengkapan Belajar

Di sekolah rendah, kesemuanya disediakan, termasuk dalam bayaran yuran tahunan. AlhamduliLlah.

Di sekolah menengah berbeza pula. Buku teks dan buku kerjanya bukanlah murah harganya. Harga buku teks antara AUD 40 – AUD 60 sebuah. Harga buku kerjanya pula antaranya AUD 15 – AUD 30 sebuah. Jumlah keseluruhan untuk seorang mencecah sehingga AUD 400.

Kami bernasib baik kerana musim pertukaran silibus belum tiba saatnya. Maka bolehlah buku teks lama Izzuddin diguna semula oleh Hanisah. Buku teks Izzuddin pula dibeli dari rakan-rakan lamanya yang naik ke Year 9 dengan harga istimewa atau dari lelongan Ebay. Hanya buku kerja yang dibeli baru. AhamduliLlah dapatlah dikurangkan belanja secara puratanya sehingga AUD 200 seorang.

Belanja pembelian alat tulis dan buku tulis untuk Izzuddin dan Hanisah tidaklah banyak sangat. Beli apa yang dirasakan perlu sahaja, selebihnya boleh dibeli kemudian. Tidak semua senarai alat tulis perlu dibeli. Pengalaman di tahun lepas perlu diambil iktibar.

Pakaian Seragam

Bagi pelajar sekolah rendah atau menengah, pakaiannya bergantung kepada sekolah masing-masing. Ada sekolah yang mewajibkan pakaian berlogo sekolah, pasti harganya mahal sedikit. Ada sekolah pula tidak mewajibkannya, cukup sekadar menyamai warna yang dibenarkan sahaja.

Bagi Solehah dan Imran, sekolah mereka memilih kaedah kedua. Jimatlah belanja. Tambahan pula mereka berdua mewarisi pakaian kakak-kakak mereka. Jika tidak pun boleh dibeli dengan harga murah di kedai-kedai dengan harga di bawah AUD 10.00.

Bagi Izzuddin dan Hanisah lain pula ceritanya. Sebahagian besar pakaian mereka adalah berlogo sekolah atau sewajarnya menepati fesyen yang ditetapkan. Jadi perlulah dibeli baru dengan harga yang mahal.

Pakaian Izzuddin di tahun lepas masih boleh dipakai. Pakaian yang sama sepanjang tahun. Kemeja biru tanpa logo, seluar kelabu dan kasut kulit hitam boleh dibeli di mana-mana. Cuma jumper dan tali leher (untuk musim sejuk) serta pakaian sukan dengan logo sekolah yang perlu dibeli baru. Itu pun telah selesai pada tahun lepas.

Perbelanjaan pakaian sekolah untuk Hanisah yang baru memasuki sekolah menengah agak tinggi. Tambahan pula fesyen musim panas dan musim sejuk berbeza. Satu set pakaian musim panasnya sahaja kira-kira AUD 300. Untuk musim sejuknya pula perlu tambahan sebanyak AUD 100.

Begitulah secara umum perbelanjaan persekolahan untuk tahun 2010 ini. Jumlah keseluruhannya sekitar AUD 1, 500 setelah ditolak voucher yang diterima oleh Hanisah.

Jika dilihat pada nilai duit yang perlu dikeluarkan secara sekaligus, pasti sahaja dikatakan amat membebankan. Namun semuanya itu tanggungjawab yang perlu dipikul oleh para ibu bapa bagi memastikan anak-anak mendapat keselesaan dalam menuntut ilmu. Tidak seharusnya dianggap sebagai satu bebanan. Anggaplah ianya satu pelaburan untuk masa hadapan yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Hanya redha Allah SWT diharapkan.

Friday, April 3, 2009

Cuti Sekolah...Balik Kampung

Cuti Sekolah

Hari ini, Jumaat, 03/04/2009 adalah hari akhir persekolahan Penggal I di Victoria, Australia. Mulai esok para pelajar sekolah rendah dan menengah akan bercuti selama 2 minggu sehingga 19/04/2009. Hari ini mereka berpakaian bebas dan balik awal. Hanisah dan Solehah di Dandenong North Primary School balik jam 02:30 petang, manakala Izzuddin di Dandenong High School pula setengah jam selepasnya.

Sukan Rumah

Menjelang cuti sekolah, anak-anak agak sibuk dengan pelbagai aktiviti di sekolah. Di Dandenong North Primary School, dua hari lepas (01/04/2009) diadakan House Athletics Competition yang melibatkan para pelajar Grade 3 hingga Grade 6 bertempat di padang sekolah. Kesungguhan jelas kelihatan pada setiap peserta yang bertanding mewakili 4 buah rumah; Leed, Marsh, Verey dan Keys.

Solehah dan Hanisah berada di dalam rumah yang sama, Leed. Solehah yang baru melangkah ke Grade 3 tidak terpilih mewakili pasukannya. Hanisah (Grade 6) pula terpilih dalam acara lari berganti-ganti. Pasukan larinya sekadar di tempat ke-3 sahaja. Tak mengapalah, menang dan kalah adat pertandingan.

Secara keseluruhannya dalam pengumpulan mata, pasukan Leed unggul di tempat pertama, diikuti oleh pasukan Marsh. Berapa matanya? Tak pasti pula kerana tidak mengikuti acara penutupnya yang diadakan di dewan sekolah.

Semalam pula mereka berdua ke Skateworld Frankston bermain roller skating. Hadiah pihak sekolah kepada 2 rumah sukan yang berjaya menduduki tempat pertama dan kedua untuk Penggal I ini iaitu Leed dan Marsh.

Daylight Saving Time Tamat

Awal pagi Ahad ini (05/04/2009) akan berakhir Daylight Saving Time untuk Victoria, kembali kepada waktu normal. Ketika Daylight Saving Time yang bermula menjelang masuknya musim panas sejak hampir 4 bulan lalu, waktu dipercepatkan sejam bagi mengimbangi waktu keluar matahari yang agak awal dan waktu terbenam yang agak lewat.
Bermulanya musim luruh, seterusnya musim sejuk, waktu siangnya semakin pendek, bermakna matahari keluar lebih lewat dan terbenam lebih awal. Sepatutnya masa dikurangkan pula sejam untuk mengimbangi waktu malam yang agak panjang, tetapi tak ada pula... pelik juga..8) agaknya diaorang lebih suka "lagu" tu...

Jika sebelum ini jarak waktu Malaysia dan Victoria berbeza 3 jam lewat, kini kembali kepada biasa, bezanya 2 jam lewat. Maksudnya, jika dahulu jam 09:00 pagi di Malaysia, di Victoria pula jam 12:00 tengahari. Kini, jam 09:00 pagi di Malaysia, jam 11:00 pagi di Victoria.

Balik Kampung

Apabila cuti sekolah, biasanya akan ada rancangan jalan-jalan makan angin untuk kami sekeluarga, samada di sekitar Melbourne mahupun keluar dari Victoria. Kali ini lebih istimewa, balik kampung di Malaysia selama 3 minggu sehingga 25/04/2009. Bertemu keluarga dan sanak saudara. Paling teruja berjumpa dengan ibu Laili dan Imran yang telahpun hampir 2 bulan berada di tanah air.

Nampak gayanya anak-anak kena bercuti tambahan seminggu. Segalanya beres, telahpun dimaklumkan pada guru-guru kelas serta penyelaras rumah.

Insya Allah, petang esok, kira-kira jam 04:00 petang kami akan berlepas pulang ke tanah air menaiki Penerbangan Malaysia (MAS), MH 148. Moga perjalanan kami selamat, pergi dan balik. Ameen.

Thursday, March 19, 2009

Multicultural Day

Di Australia, para penduduknya adalah majmuk; bercampur-campur asal-usul, keturunan dan agamanya. Sebahagian besar daripadanya telah diakui sebagai warga negara Australia.
Saban tahun ketika sambutan Australia Day (26 Januari), ribuan “pendatang” telah dianugerahkan sijil kerakyatan ini. Kesannya, secara tidak langsung membentuk kepelbagaian kebudayaan, kehidupan dan persekitaran. Dan tarikh 21 Mac setiap tahun pula telah diiktiraf sebagai Harmony Day sebagai perlambangan dan ingatan akan kesatuan dan perpaduan rakyat yang pelbagai ini.

Di Dandenong North Primary School (DNPS), sekolah Hanisah dan Solehah; para pelajarnya juga sama. Dianggarkan separuh daripadanya berasal daripada negara-negara selain Australia dengan majoritinya dari Afghanistan, Turki, China, Afrika dan India-Sri Lanka. Keharmoniannya jelas kelihatan dalam pergaulan para pelajar setiap hari yang juga turut sama dirasai oleh para ibu bapa. Inilah antara keunikan yang terserlah di sekolah ini.

Malah pihak sekolah sendiri telah menjadikan tema “Multicultural Australia” sebagai salah satu bidang pembelajaran para pelajar Grade 3 dan Grade 4 untuk Penggal I ini.
Sebagai penutupnya, pada hari ini (Khamis, 19/03/2009), “Multicultural Australia Day” telah dilangsungkan di dewan sekolah. Para pelajar dari kedua-dua gred diminta datang ke sekolah berpakaian kebangsaan/ tradisional atau warna bendera negara asal masing-masing. Makanan tradisional mereka juga turut dibawa untuk dikongsi bersama rakan sekelas.

Untuk acara pertunjukan di dewan yang bermula jam 11:45 pagi, para penjaga digalak hadir untuk menontonnya di samping memberikan sokongan moral pada anak-anak. Peluang yang tidak seharusnya dilepaskan.

Solehah yang kini di Grade 3 tidak terkecuali. Malangnya beliau malu untuk berpakaian baju kurung ataupun seumpamanya. Dipilihnya untuk berpakaian biasa dengan warna merah, putih dan biru serta bertudung kuning pinang masak, mewakili warna-warna bendera Malaysia. Terkilan juga di hati tapi tidak mengapalah. Itu pilihannya. Kueh yang dibawa pula adalah kueh bakar (Terima kasih Suraya tolong buatkan. Apa nak buat, ibunya sekarang kat Malaysia).

Di dalam dewan, kiri-kanannya dipenuhi oleh para pelajar dengan pakaian yang berbagai fesyen, gaya dan warna, diawasi guru-guru kelas yang kebanyakannya berpakaian santai Aussie. Turut serta para ibu bapa yang turut sama memeriahkannya.

Pelajar dari Malaysia dari Grade 3 dan 4 hanya ada 5 orang. Hanya Solehah seorang dari Grade 3, selebihnya dari Grade 4; Imran, Tarmizi, Raquib dan Azizahnya. Semuanya berpakaian biasa sahaja seperti Solehah kecuali Azizah, cantik berpakaian baju kurung. OKlah.. sekurang-kurangnya ada wakil dari Malaysia berpakaian kebangsaan.

Lain-lain pelajar, sebahagiannya berpakaian biasa dan sebahagian lagi menyerlah dengan pakaian tradisional/ kebangsaan dari pelbagai negara asal mereka. Dipercayai, kebanyakan mereka ini telahpun berstatus PR mahupun warga negara Australia, terutama dari Afghanistan, Turki dan India tetapi mereka masih mengekalkan budaya mereka terutama dalam berpakaian tradisional. Malah dalam kehidupan seharian pun mereka masih tetap memakainya. Kuatnya ikatan budaya mereka walaupun budaya sekitarnya amat kontra sekali.

Berbalik ke dewan. Setiap pelajar diminta berjalan memperagakan pakaian masing-masing dalam dua pusingan. Pusingan pertama, mengikut kelas dan pusingan kedua mengikut negara. Bagi yang berpakaian tradisional, mereka nampaknya begitu berbangga sekali lebih-lebih lagi ketika berjalan bersama rakan-rakan senegara.
Majlis diakhiri dengan tarian India dari para pelajar India yang lengkap berpakaian tradisional mereka.

Bagi para pelajar, guru-guru dan ibu bapa, sambutan Multicultural Australia Day ini bagaikan satu kaedah pembelajaran tidak langsung dalam mengenali susur budaya dan cara hidup masyarakat lain selain dari apa yang sedia diketahui.
Ada manafaatnya.

Friday, December 21, 2007

Hore... Cuti Sekolah

Jam hampir menunjukkan pukul 1:30 pm. Ibu bapa kelihatan mundar-mandir di hadapan kelas. Tiba-tiba kedengaran lantang suara kanak-kanak mengira… 5, 4, 3, 2, 1… dan bunyi siren… diikuti suara sorakan. Ya.. hari ini murid-murid Dandenong North Primary School balik awal dan sekaligus menandakan bermulanya cuti sekolah akhir tahun yang panjang sehinggalah akhir Januari tahun hadapan.

Guru-guru melepaskan mereka pulang di muka pintu dengan ucapan Happy Christmas dan Happy New Year. Tahun hadapan kesemua anak didik mereka akan naik gred dan secara automatik mendapat guru kelas yang baru. Murid-murid di Grade 6 lebih terasa kesedihan kerana tahun hadapan mereka akan melangkah ke sekolah menengah (secondary) sekaligus meninggalkan guru-guru serta sekolah yang mereka sayangi.

Tahun hadapan Izzuddin akan naik ke Grade 6, Hanisah ke Grade 5 dan Solehah ke Grade 2. Manakala Imran pula mula melangkah ke Kindergarten.

Cuti sekolah yang panjang ini perlu dirancang sebaik mungkin agar mereka semua tidak merasa terlalu bosan, lebih-lebih lagi jika sentiasa berkurung di rumah sahaja. Apa yang pasti Dandenong Library menjadi tumpuan utama untuk meminjam buku-buku, majalah-majalah dan audio-video CDs/ tapes. Selama ini seminggu sekali adalah satu kemestian tetapi sepanjang cuti sekolah ini mungkin lebih kerap lagi.
Menariknya, sepanjang cuti sekolah ini setiap pemegang kad dibenarkan meminjam sehingga 40 buah buku (biasanya 20 buah) selama 3 minggu berserta 2 CD/VCD/DVD dan 2 VHS tape untuk tempoh 1 minggu. Dan kami ada 5 kad, setiap orang satu kad kecuali Imran. Jadi tiada masalah dari segi bilangan item yang boleh dipinjam.

Di samping itu, mereka juga akan dibawa “melancung” ke tempat-tempat menarik di sekitar Melbourne samada balik hari atau menginap sekurang-kurangnya semalaman kiranya tempatnya agak jauh dari Dandenong. Sekarang adalah musim panas dan dijangka cuacanya agak baik dan elok untuk berjalan-jalan (namun, adakala tanpa dijangka boleh berubah). Insya Allah pagi esok kami akan bertolak ke Great Ocean Road yang terkenal dengan pemandangan alam semulajadinya seperti pantai, 12 Apostles, Lord Ard, London Bridge dll. Kami akan menginap 2 malam di sana sebelum meninjau kawasan perlombongan emas cara tradisional di Ballarat.

Pada hari-hari yang tertentu mungkin akan diaturkan pertemuan sesama mereka di mana-mana padang berdekatan untuk mereka bermain bersama terutama kriket dan bolasepak yang sentiasa menjadi pilihan utama.

Diharapkan sepanjang cuti sekolah ini mereka tidak meninggalkan langsung buku-buku untuk dibaca sekurang-kurangnya untuk mempertingkatkan kefahaman dan penguasaan mereka dalam Bahasa Inggeris.

OK… selamat bercuti anak-anak. Gunakanlah setiap masa yang ada dengan sebaik-baiknya. Moga cuti sekolah ini meninggalkan kenangan yang menarik dan tidak membosankan… 8)

Saturday, December 15, 2007

Imran Mengikuti Induksi Kindergarten

Pagi semalam Imran ke sekolahnya, Dandenong North East Kindergarten yang terletak di seberang jalan hadapan rumah untuk mengikuti sesi induksi selama sejam (10:30 am - 11:30 am) sebelum sesi persekolahan sebenarnya pada awal Februari tahun hadapan.

Surat jemputan telah diterima sejak 2 minggu lalu atas namanya sendiri, Imran Ropidi. Gembiranya dia apabila dapat tahu surat tu untuknya sebab selama ini setiap surat yang diambilnya dari peti surat semuanya untuk ibunya (esp. bil-bil).

Sebenarnya kami tak menyangka akan dapat tempat di kindergarten ini kerana kami dimaklumkan oleh pengarahnya, Mrs Powney hampir 2 bulan lalu bahawa tiada lagi kekosongan dan disaran mencuba di kindergarten lain yang kebanyakannya agak jauh dari rumah. Kami rasa sedikit terkilan kerana tidak menyedari ianya dah fully booked kerana langsung tiada kain pemidang Open for Enrolment.

Dalam merancang untuk mencuba di tempat lain, tiba-tiba kami dihubungi oleh Mrs. Powney pada akhir bulan lepas memaklumkan bahawa mereka telah mendapat tambahan guru dan sekaligus diluluskan pengambilan tambahan pelajarnya. AlhamduliLlah Imran adalah salah seorang daripadanya. Akan tetapi kelasnya hanya 3 kali seminggu sahaja (harinya belum pasti) dari jam 09:00 pagi hingga 12:00 tengahari. Waktu dan hari lain dikhususkan untuk kumpulan pelajar yang lain pula. Tak mengapalah, yang penting adalah pendedahan sosial untuk Imran sebagai persediaan masuk ke Preparation Class pada tahun berikutnya.

Selama sejam di sekolah dengan dikelilingi oleh guru-guru dan rakan-rakan baru, Imran kelihatan agak susah untuk bergaul dan lebih suka melakukan halnya sendiri. Mungkin belum kenal lagi kerana Imran sebenarnya suka berkawan. Satu persatu aktiviti yang disukainya dicuba… main puzzle, belek buku, lekat sticker, atur blok warna dan bentuk serta tekat warna pada kertas sehingga tiada apa lagi yang nak dibuatnya. Tetapi dia tak suka aktiviti mewarna dan membuat dekorasi – sekejap disentuhnya terus ditinggalkan. Waktu sesi terakhir, berkumpul sambil menyanyi, Imran tidak memberikan tumpuan, nampak kurang berminat.

Pada 30 Jan 2008, satu temuduga untuk menilai tahap keupayaan Imran akan diadakan di sekolahnya. Dari situ mungkin mereka ada program untuk membentuk personaliti dan jati dirinya selari dengan minatnya. Di Malaysia sebelum datang ke Melbourne, Imran pernah masuk tadika di Keramat tetapi adakalanya dia tak nak ke sekolah. Mungkin minatnya belum ada atau sistem pembelajarannya membosankan... Harap-harap di sini tidak begitu.