Showing posts with label rumah sewa. Show all posts
Showing posts with label rumah sewa. Show all posts

Tuesday, August 3, 2010

Sewa Rumah

Sewa rumah di Australia, khususnya di Victoria lazimnya dikira secara mingguan. Manakala pembayaran sewa dan tempoh perjanjian sewaan pula bergantung kepada persetujuan bersama antara penyewa dan pihak agen hartanah/ tuan rumah. Kebiasaannya perjanjiaan ditandatangani setahun sekali dan pembayaran sewa pula dilakukan setiap bulan. Itulah juga yang kami perlu lakukan.

Rumah sewa yang kami diami kini telahpun 3 tahun kami duduki, sejak kami tiba di Melbourne dahulu. Istimewanya kami berurusan secara terus dengan tuan rumah; pasangan muda berketurunan Greek, Anastasios dan Kristy Strydis; tidak seperti kebanyakan penyewa lain yang berurusan dengan agen. Amat memudahkan kami.

Ketika memasuki rumah ini dahulu (13 Ogos 2007), kadar sewanya AUD 260/minggu (atau AUD 1,127/bulan). Memasuki tahun kedua, sewa mingguannya telah dinaikkan sebanyak AUD15 kepada AUD 275/minggu (atau AUD 1,191/bulan). Pada tahun ketiga (2009), kami merasa amat bertuah kerana sewa rumah kami tidak dinaikkan. AlhamduliLlah, rezeki kami.

Perjanjian sewaan untuk tahun ketiga akan tamat tidak lama lagi. Bermakna perjanjian sewaan baru perlu ditandatangani. Tuan rumah telah pun menghantar surat pemberitahuan sejak 3 minggu lalu.

Isi suratnya amat mengejutkan kami. Kadar sewaannya telah dinaikkan sebanyak AUD 25/minggu, menjadikan sewaan barunya AUD 300/minggu (atau AUD 1,300/bulan). Satu kenaikan yang dirasakan amat tinggi. Jika dinaikkan AUD 10/minggu kami boleh menerimanya.

Tidak dinafikan, sekiranya dilihat pada kadar sewaan rumah-rumah yang sedang diiklankan di sekitar Dandenong, kadar sewaan AUD 300/minggu adalah antara kadar terendah yang ditawarkan untuk rumah jenis sebuah dengan 3 bilik tidur. Akan tetapi bagi rumah sewa yang telah sedia diduduki, biasanya kenaikan kadar sewanya lebih rendah.

Namun, tuan rumah mempunyai hak ke atas rumah milik mereka sendiri. Serba salah kami dibuatnya. Segan rasanya untuk meminta dikurangkan, apatah lagi minta dikekalkan pada kadar sebelumnya. Lebih-lebih lagi tiada kenaikan pada tahun lepas... Emm, tidak salah jika mencuba...

Pada hari minggu baru-baru ini Laili menelefon tuan rumah, mohon kalau boleh dikekalkan kadar sewaan sedia ada untuk tempoh 5 bulan lagi sehingga kami dijadualkan pulang ke tanah air pada awal tahun hadapan. Menurut Tas, ianya perlu dibincangkan dengan isterinya.

Malam tadi, Kristy memberikan jawaban yang amat-amat menggembirakan, tiada kenaikan sewa. AlhamduliLlah, setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT. Juga terima kasih tidak terhingga kepada Tas dan Kristy yang amat prihatin dan baik hati.

Terdetik di hati ini, alangkah bertuahnya jika terbuka hati mereka untuk mengenali dan mencintai agama nan suci, Islam. Tiada mustahilnya bagi Allah SWT. Ameen.

Thursday, October 22, 2009

Potong Rumput

Merenung laman belakang dan hadapan dengan rerumput pendek melahirkan kepuasan di hati. Lebih puas lagi apabila semak samun dengan lalang dan rumput menjalar di bahagian tepi rumah yang agak tersorot pun telahpun dibersihkan petang kelmarin. Lega betul rasanya. Sedap mata memandang…8)
Mengikut perjanjian sewa rumah kami, kawasan sekitar rumah adalah tanggungjawab penyewa. Bagi sesetengah rumah lain, ianya disenggarakan oleh tuan rumah sendiri. Bergantunglah...

Telah agak lama laman belakang dan hadapan terbiar dengan rerumput dan pepohon renek merimbun segar. Begitu juga di bahagian tepi rumah. Lebih-lebih lagi di musim sejuk (baru berlalu) yang dingin, satu kelebihan untuk pertumbuhan pokok seumpamanya.

Bukannya tiada kemahuan untuk memotong dan membersihkannya tetapi dengan keadaan cuaca panas dan hujan tidak menentu, ditambah pula dengan suhu sekitar yang sejuk, seringkali membantutkan tindakan. Kini suhu di awal musim bunga sedikit menyenangkan hati walaupun panas dan hujan sering bersilih ganti.

Sekembalinya dari Tasmania 3 minggu lalu, tuan rumah datang bertandang bersama agen quatity surveyor (proses perlepasan cukai ataupun perolehan rebat). Keseluruhan rumah diperiksa dan diambil gambar termasuk laman belakang dan bahagian tepi rumah. Malu dan segan pula tapi apa nak buat, terpaksa buat muka seposen ajalah…8)

Minggu lepas, rumput di laman hadapan dan belakang telah pun dipotong. Bukannya susah sangat; hidupkan lawn mower, tolak ke depan, tarik ke belakang, berpusing ke hulu ke hilir. Lepas tu dipangkas sedikit sebanyak pokok-pokok hiasan yang merimbun terutama di laman hadapan. Siap. Tambahan pula kedua-dua laman pun tak berapa luas.

Cuma bahagian berumput di tepi jalan utama sahaja yang tidak dipotong. Rumputnya masih lagi pendek. Mungkin juga sedikit terbantut pertumbuhannya dek teduhan pokok gum besar yang memayunginya. Sebenarnya bahagian itupun di bawah tanggungjawab tuan rumah/ penyewa rumah yang berhadapan dengannya. Jika engkar, boleh dikenakan amaran ataupun didenda oleh pihak Dandenong Council.

Kelmarin giliran bahagian tepi rumah pula dikerjakan. Bahagian ini tak boleh digunakan mesin rumput jenis lawn mower kecuali jenis trimmer kerana kawasannya sedikit berbatu dan sempit. Lebih mudah lagi jika dicabut sahaja, dapatlah ditarik bersekali dengan akarnya. Sejam jugalah duduk mencangkung sambil mata melilau kot-kot ada haiwan menjalar di celah-celah lalang dan rumput. AlhamduliLlah… hanya di peringkat awalnya sahaja tergendala seketika apabila terpandang warna coklat berbatik-batik di celah batu. Khuatir juga di hati, rupa-rupanya hanya cengkerang siput… Fuhh.. lega.

Dengan keadaan sekarang bolehlah bertahan untuk selama dua tiga bulan lagi. Namun lawn mower yang dikongsi bersama beberapa rakan Dandenong jarang dapat berehat lama. Sering berpindah randah dari rumah ke rumah. Jasanya amat banyak dan ramai yang dapat menikmatinya… Berbaloi sekali dibeli baru dengan warranty period selama setahun. Diharapkan ianya mampu berkhidmat sehinggalah ke akhir tahun hadapan, tika kesemua pemilik bersamanya kembali ke tanah air. Moga-moga. Ameen.

Wednesday, August 5, 2009

Rumah Kami Rumah Sewa

Rumah sewa di Australia, khususnya di Melbourne biasanya diuruskan oleh real estate agent yang dilantik oleh pemilik rumah. Umumnya ia merangkumi proses pengiklanan, lawatan pemeriksaan, penandatanganan kontrak, pemeriksaan berkala dan pembaikan kerosakan yang dilaporkan. Hanya segelintir sahaja yang diuruskan sendiri oleh pemilik rumah.

Pemandangan hadapan rumah 2 tahun lepas, sama juga suasananya kini

Bagi kami, ianya sedikit berbeza. Pencarian penyewa dilakukan oleh agen sehinggalah kontrak pertama ditandatangani. Proses seterusnya termasuk pembaikan kerosakan dan pembaharuan kontrak tahunan dilakukan secara langsung dengan pemilik rumah kami, pasangan muda Greek yang amat baik hati dan prihatin; Anastasious dan Kristali Strydis.

Sehingga kini telahpun hampir 2 tahun kami menetap di rumah sewa mereka yang terletak di tepi Heatherton Rd, Dandenong North ini. Hampir setiap tahun pada awal Ogos, mereka bertandang ke rumah kami untuk menandatangani kontrak baru untuk setahun berikutnya.

Sesuatu yang kurang seronok bagi penyewa rumah, biasanya pembaharuan kontrak berserta dengan kenaikan sewa rumah. Pada tahun lepas, sewa rumah kami naik $15.00 seminggu, menjadikan peningkatan sewa bulanannya kepada $1,191.00. Sesuatu yang sudah dijangkakan kerana hampir kesemua penyewa lain mengalami situasi yang sama, malah ada yang lebih tinggi lagi. Pembukaan lebuhraya bertol kedua di Melbourne, Eastlink yang merintangi Dandenong antara penyebab utama kenaikan nilai hartanah (termasuk sewa) di sekitarnya.

Bersama Kristy dan Tas ketika Rumah Terbuka Raya 2007
Pembaharuan kontrak tahun ini sehingga pertengahan tahun hadapan telahpun ditandatangani bersama pada hari Sabtu baru-baru ini. AlhamduliLlah tiada sebarang kenaikan sewa, kekal pada kadar sama. Telah juga dipersetujui, kontrak penyambungan sewaan selepas ianya tamat akan dilakukan secara bulanan (kiranya pengajian Laili belum selesai) sehinggalah kami berangkat pulang ke tanah air. Terima kasih Tas dan Kristy.

Jika pada tahun lepas, Tas dan Kristy hanya datang berdua, namun pada tahun ini mereka bertiga, bersama anak sulung mereka yang comel, Annabelle yang baru berusia 7 bulan. Terlupa pula untuk rakamkan foto terbaru mereka. Mungkinkah pada tahun hadapan mereka datang berempat pula? Ketika rancak berbual, Kristy ada membayangkannya, malah turut meminta pandangan Laili mengenainya. Pasti sahaja jawabannya positif dan sambutannya juga positif. Moga tercapai hajat mereka berdua. Alangkah baiknya jika ada nanti yang menerima Islam sebagai anutan mereka. Siapa tahu? Ameen.