Showing posts with label dandenong. Show all posts
Showing posts with label dandenong. Show all posts

Wednesday, October 28, 2009

Dandenong Market Berwajah Baru

Gambaran pelukis, Dandenong Market yang baru
Dandenong Market letaknya di tengah-tengah Bandar Dandenong. Dari rumah kami hanya sekitar 3 km sahaja. Ianya dibuka 3 kali seminggu; Selasa, Jumaat dan Sabtu seawal jam 7:00 pagi sehingga jam 3:00 - 5:00 petang (mengikut hari). Hari-hari lain ianya ditutup.
Kedudukan Dandenong Market amat strategik. Di sekelilingnya terdapat pusat-pusat membeli belah seperti Dandenong Plaza, Dandenong Archade dan ALDI serta deretan pelbagai jenis kedai, Dandenong Council, Dandenong Library, bangunan pejabat, pusat komuniti dan beberapa buah bank. Tidak terkecuali beberapa pusat jualan daging dan makanan halal yang amat memudahkan bagi umat Islam di Dandenong dan sekitarnya.

Mengikut sejarah, Dandenong Market mula beroperasi sejak tahun 1850an dengan tumpuan kepada perniagaan lembu. Pada tahun 1863, para pembayar cukai menghantar petisyen untuk mengujudkan Dandenong Market. Ianya dipersetujui oleh Colonial Government sehingga membawa kepada pembukaannya secara rasmi pada Oktober 1866 di persimpangan Lonsdale St dan McCrae St. Pada tahun 1926, pasar dipindahkan ke tapak sekarang di persimpangan Cleeland St dan Clow St.

Dandenong Market kini berwajah baru. Projek pembangunan semula di tapak asal dengan kos $26 ribu ini telah dimulakan sejak bulan Januari 2009 lalu dilakukan secara berperingkat-peringkat. Bermula dengan General Merchandise Hall, diikuti Meat, Fish & Deli Hall, Produce Hall dan Fruits & Vegetables Area. Keseluruhan projek ini dijangka siap pada April, 2010 nanti.

General Merchandise Hall (GMH) yang menghadap Dandenong Plaza di Clow Street telahpun siap. Sebuah bangunan memanjang yang lebih luas ruangan dewannya dengan bumbung tinggi melangit dengan pencahayaan semulajadi menyebabkan atmosfera dalamannya terasa lebih segar berbanding bangunan lama. Majlis pelancaran rasminya telah pun dilakukan pada hari Sabtu baru-baru ini (24/10/2009) oleh Datuk Bandar Dandenong, Mayor Pinar Yesil.

Suasana dalam GMH, kelihatan tapak jualan pakaian Muslim
Kesemua peniaga barangan runcit seperti pakaian, cenderamata, barangan seni dan pelbagai lagi barangan kering telahpun memulakan perniagaan di tempat baru mulai sehari sebelumnya. Tidak kalah dengan Victoria Market di tengah Melbourne CBD yang terkenal dengan kepelbagaian barangannya.

Kepada para pelancong yang mencari cenderamata untuk dibawa pulang, barangan di Dandenong Market dikatakan lebih murah berbanding di Victoria Market. Itulah luahan rakan-rakan yang pernah mengalaminya. Dari pengamatan kami, ada kebenarannya.

Barangan segar seperti buahan, sayuran, ikan dan daging serta bungaan turut dijual di Dandenong Market. Makanan kering seperti kekacang, madu, roti, herba dan pelbagai lagi pun ada. Pendek kata semuanya ada. Tidak hairanlah ianya mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Tidak kurang menariknya, ramai peniaga Muslim pun turut sama membuka perniagaan mereka seperti daging halal, kebab, pakaian Muslimah, kedai buku terpakai, barangan cenderamata, buah-buahan dan banyak lagi.

Seronok dapat belon Dandenong Market pada hari pelancarannya
Ketika ke pasar pada pagi Jumaat baru-baru ini, para peniaga sedang sibuk mengemas dan menyusun atur barangan perniagaan mereka di petak niaga masing-masing. Di sana sini kedengaran ulasan dan sungutan sesama mereka. Bercampur baur antara suka dan duka... Begitulah lazimnya di mana-mana sahaja apabila berpindah dari tempat asal...

Pada pagi Sabtunya, bersama anak-anak kami ke sana lagi. Sekadar berjalan-jalan sementara menunggu Dandenong Library bersebelahan pasar dibuka kira-kira jam 10:00 pagi. Ramainya orang sehinggakan tempat letak kereta dipenuhi para pengunjung. Demikianlah suasana rutin setiap hari Sabtu, diserbu orang dari segenap pelusuk kerana hari cuti. Sememangnya kami sentiasa mengelak untuk berurusan di pasar pada hari berkenaan kecuali terpaksa.

Dengan kedudukan rumah yang tidak jauh dari Dandenong Market, ianya amat memudahkan. Itulah antara salah satu sebab kenapa kami memilih Dandenong sebagai tempat tinggal walaupun sedikit menjauh dari Monash University di Clayton, di mana Laili perlu berulang alik hampir setiap hari.

Saturday, March 28, 2009

Islam di Dandenong

Australia adalah multicultural country. Ini diakui sendiri oleh para pemimpin negaranya. Sebahagian besar dari rakyat Australia termasuk Perdana Menteri, Kevin Rudd sendiri adalah berketurunan “pendatang”. Malah sejak sekian lama sehinggalah kini bumi Australia menjadi antara pilihan utama pendatang untuk bermastautin dan menukar kewarganegaraan mereka. Sebilangan besarnya pula beragama Islam.

Australia sejak dahulu mengamalkan dasar keterbukaan dalam menerima pendatang termasuklah pelarian perang dari negara-negara yang sedang bergolak, antaranya Lebanon, Afghanistan, Bosnia, Albania, Sudan dan Somalia di mana majoritinya beragama Islam. Begitu juga dari kalangan warga Muslim Turki yang melarikan diri dari dasar sekular yang menekan kebebasan beragama di zaman Shah Iran. Kedapatan juga etnik Melayu-Islam dari Singapura yang merasa terhimpit di negara sendiri. Tidak terkecuali di kalangan Melayu-Islam dari Malaysia dan Indonesia turut sama “melarikan diri” ke Australia. New South Wales dan Victoria adalah antara negeri-negeri di Australia yang menjadi tumpuan utama umat Islam ini.

Masih utuh. Masjid di Bourke, New South Wales, dibina sejak kurun ke-19
Dari segi sejarah, penghijrahan umat Islam ke bumi Australia bermula seawal kurun ke-17 lagi dimulai oleh pedagang-pedagang Macassan dan Bugis dari Sulawesi, Indonesia yang berurusan dengan warga pribumi, Indigenous. Pada tahun 1860an pula, para pemandu unta dari Afghanistan pula dibawa masuk untuk menerokai kawasan gurun di tengah Australia. Salah satu keretapi menghubungkan Adelaide dan Darwin dinamakan The Ghans sempena nama mereka. Lain-lain kelompok Islam yang dibawa masuk adalah etnik Melayu di sekitar tahun 1870an sebagai penyelam mutiara, Muslim Albania dari tahun 1920 hingga 1930, warga Turki sekitar tahun 1980an dan ramai lagi.

Di Greater Dandenong, Victoria (di mana kami tinggal), difahamkan kini terdapat hampir 12,000 orang umat Islam, majoritinya berketurunan Turki, Afghanistan dan Sudan. Dan kebanyakannya tinggal di sekitar Dandenong Central dan North serta sebilangannya di Noble Park yang berjiranan dengan Dandenong North. Majoritinya amat teguh dalam beragama tanpa mengira mazhab yang diikuti walaupun umumnya masyarakat berketurunan Turki dengan Mazhab Hanafi lebih banyak mendominasi masjid-masjid.

Di sekitar Dandenong ini, terdapat kira-kira 6 buah masjid/ pusat islam, antaranya Masjid Emir Sultan di Dandenong North; berdekatan rumah kami, Masjid Dandenong di Dandenong South, Masjid Afghan di Doveton, United Islamic Centre di Noble Park, Masjid Springvale dan Al Furqan Islamic Centre di Springvale South. Setiap kali solat Jumaat dan Hari Raya, jemaahnya penuh, adakala melimpah hingga ke luar bangunan. Sesetengah masjid kini dalam proses pembinaan semula atau pembesaran, antaranya Masjid Emir Sultan yang sedang rancak dibina baru dan pada masa yang sama bertungkus lumus mencari dana pembangunan.

Majlis penerangan kesyumulan Islam
Menariknya kebanyakan bangunan masjid ini berasal dari gereja-gereja yang ketandusan “jemaah” dibeli oleh komuniti Muslim untuk dijadikan tempat ibadah umat Islam. Ianya hidup dan diamarahkan setiap kali solat waktu dan juga untuk pelbagai kegiatan keagamaan dan kemasyarakatan seperti kuliah agama, kelas pengajian untuk dewasa dan kanak-kanak serta sambutan perayaan.

Wanita bertudung dan berjubah di Dandenong adalah pemandangan yang terlalu lumrah, amat mudah ditemui. Situasi yang amat menyejukkan hati. Di negara asing yang lebih dominan dengan agama Kristian seperti Australia ini, lebih-lebih lagi di Dandenong, pemandangan seumpamanya bagaikan satu rahmat yang tiada tandingnya. Dalam erti kata lain, umat Islam bebas mengamalkan kepercayaan dan suruhan agama dalam kehidupan harian tanpa larangan, malah dihormati. Mereka diterima sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat Dandenong.

Ini terbukti dengan penerimaan Senior Constable Maha Sukkar sebagai salah seorang anggota polis wanita di Dandenong Police, lengkap bertudung, dikatakan yang pertama di Australia. Malah seperti yang dimaklumkan dalam entri sebelum ini, Datuk Bandar Greater Dandenong sekarang juga seorang Muslim, Mayor Pinar Yesil.

Langkah-langkah pengembangan agama Islam berjalan lancar tetapi tidak sehebat penyebaran agama Kristian yang dijalankan oleh para “pendakyahnya” dari rumah ke rumah. Diakui, para mubaligh Islam tidak boleh malah tidak dibenarkan melakukan seumpamanya tetapi saluran intelektual seperti dialog antara agama, forum dan tauladan harian dipergunakan sebaik mungkin.

Dalam Islam, ketentuan hukum halal haram perlu dijaga, salah satunya dalam soal pemakanan. Di Dandenong, pusat jualan daging halal amat banyak, adakala sukar untuk dibuat pilihan. Marmara, Minaret, Satray, Al Ameen, Bahar, Al Nour, Noble Park Poultry dan SAV Halal Butchery adalah antara yang terkenal. Begitu juga kedai-kedai makanan siap seperti kebab, satay dan pizza juga banyak pilihannya. Tidak termasuk kedai-kedai perniagaan barangan biasa seperti kedai runcit, kedai elektrik, bengkel kenderaan, ejen perumahan dan lain-lain perusahaan yang diusahakan oleh orang Islam, kebanyakannya dari Turki, Afghanistan, Sudan dan Sri Lanka.

Begitulah sepintas lalu suasana Islam di Dandenong. Dengan komuniti Islam yang ramai, berdekatan dengan masjid, persekitaran yang harmoni dan sumber makanan halal mudah diperolehi, menjadi antara faktor utama kenapa Dandenong menjadi pilihan kami untuk tinggal.

Ditambah pula dengan kedudukan sekolah rendah dan menengah yang berdekatan, kedai Asian Groceries, pusat-pusat membeli belah, perpustakaan awam dan pelbagai kemudahan lagi menjadi faktor pelengkap dalam membuat pilihan. Tidak syak lagi pilihan kami dirasakan amat tepat sekali, lebih-lebih lagi bagi yang berkeluarga seperti kami.

Saturday, January 12, 2008

Minum Petang Keluarga Dandenong - 03

Keluarga Dandenong bertemu lagi. Petang ini (kira-kira jam 06:00) kami berkumpul di rumah Abg Nordin dan Kak Siti yang terletak di persimpangan Cleeland Street dan Oswald Street, kira-kira 700 m sahaja dari rumah kami. Keluarga Wafir tidak dapat datang kerana meraikan abang dan kakak ipar mereka yang datang dari Malaysia. Perjumpaan kali ini turut disertai oleh Badrul dan isteri dari Noble Park, bersebelahan Dandenong.

Perjumpaan kami dimulai dengan perbincangan persiapan untuk mengadakan majlis perpisahan untuk keluarga Aznan yang akan pulang ke tanah air pada 01hb. Februari nanti. Hasil perbincangan, telah ditetapkan majlis berkenaan akan diadakan pada hari Sabtu minggu hadapan (19/01/2008) mulai jam 02:00 petang bertempat di rumah Lajiman di Bedwell Avenue. Menu utamanya adalah BBQ Lamb (Biri-biri), Sosej dan Sate Ayam. Menu sampingan seperti nasi goreng, karipap dan lain-lain juadah turut disediakan sumbangan peribadi keluarga yang berminat. Beberapa keluarga Malaysia yang tinggal berdekatan Insya Allah akan turut sama dijemput, antaranya keluarga Kak Fatimah dan keluarga Kak Aida yang telah lama tinggal di sekitar Dandenong ini serta kenalan dari Noble Park dan Ringwood.

Seterusnya kami menjamu selera sambil beramah mesra. Kumpulan bapa bersila simpuh di ruang tamu termasuk Aznan yang djemput selepas tamat perbincangan. Kumpulan ibu pula mengelilingi meja makan di dapur. Anak-anak pula ada yang sedang bermain di laman rumah atau bermain playstation di bilik. Hidangannya amat istimewa, antaranya roti cecah stew, meehoon goreng, kueh mueh dan buah-buahan. Di dapur kedengaran suara anak-anak dan ibu-ibu menyanyi girang lagu Happy Birthday untuk Awaddah (anak Abg Nordin) dan Suraya (isteri Lajiman) dan anaknya, Syakirah.

Riuh rendah kedengaran suara anak-anak menjerit dan ketawa di sana sini. Sesekali kedengaran juga gelak ketawa di kalangan ibu dan bapa apabila timbul sesuatu yang melucukan. Pelbagai isu semasa dibualkan terutama isu-isu menarik di tanah air. Kemesraan yang sedia terjalin lebih terasa apabila sesekali dapat berkumpul seperti ini terutama anak-anak. Tanpa disedari masa berjalan begitu cepat, sedar-sedar mentari petang telah terbenam menandakan telahpun melewati waktu Maghrib (kira-kira jam 09:00).

Terima kasih Abg Nordin dan Kak Siti. Terima kasih kepada semua. Insya Allah kita berjumpa lagi di minggu hadapan.

Tuesday, December 18, 2007

Minum Petang Keluarga Dandenong - 02

Keluarga Dandenong berkumpul lagi, sama seperti minggu lepas, petang Ahad selepas solat Asar. Kali ini di rumah warga baru, Mohd Nor dan Suriati di 113, Ann St, Dandenong. Rumahnya taklah jauh sangat, sekitar 1 - 2 km sahaja dari rumah kami. Suriati adalah postgraduate student (PhD) di Melbourne Uni. Mereka mempunyai 2 anak lelaki berusia 12 tahun dan 10 tahun (rujuk foto sebelah, yang duduk berbaju biru berlengan putih dan yang berbaju putih sedang mengelecek bola dengan Iddin).

Rumah 3 bilik tidur mereka kelihatan simple sekali dengan beranda di belakang rumah dan backyardnya yang mengunjur luas ke belakang serta tempat BBQ berpangkin teduh.

Anak-anak kelihatan tak senang duduk apabila melihat ruang belakang yang luas. Tiada apa yang difikirkan mereka selain main tanpa menghiraukan hidangan yang disediakan. Sedar-sedar kedengaran suara riuh-rendah di belakang, yang lelaki dengan kriket dan bolasepaknya, manakala yang perempuan dengan Hide-and-Seek dan Pukul Berapa Datuk Harimau. Imran pun tak terkecuali turut seronok bermain dengan kumpulan kanak-kanak perempuan.

Kaum ibu pula berkumpul di dapur. Mereka ada agenda tersendiri, belajar memasak dendeng dengan sifunya Laili. Manakala kaum bapanya pula berkumpul di ruang tamu, makan-makan sambil berbual. Pelbagai hal dan topik yang diperkatakan samada isu-isu semasa di persekitaran mahupun di tanah air.

Menjelang 8:30 malam, masing-masing mula beredar. Kaum ibu dibekalkan dendeng yang siap dimasak dan sedikit juadah yang masih berbaki. Anak-anak pula nampak begitu gembira dan puas sekali dapat bermain dan berjumpa dengan kawan-kawan. Insya Allah kita berjumpa sebulan lagi, mungkin majlis khusus untuk keluarga Aznan dan Su yang akan pulang ke Malaysia pada awal tahun hadapan.

Monday, December 10, 2007

Minum Petang Keluarga Dandenong - 01

Keluarga Malaysia di Dandenong kini bertambah satu keluarga lagi menjadi tujuh keluarga semuanya sejak Mohd Noor berserta isterinya, Su (Su ke-4 selepas 3 Su sedia ada, agaknya kena ada nickname tersendiri untuk senang membezakannya…8) dan 2 orang anak lelakinya mula menyewa di Ann Street, tak jauh dari rumah kami.

Setiap orang nampaknya sibuk dengan urusan masing-masing, berjumpa pun tanpa dirancang samada di garage sale, pasar, sekolah atau sekadar berselisih di jalanan. Terasa semakin jauh pula hubungan silaturrahim yang sedia terjalin. Kali terakhir kami berkumpul bersama kira-kira 1 ½ bulan lalu sewaktu meraikan rakan-rakan dari utara beraya di rumah Aznan. Rasanya perlu ada usaha untuk aturkan perjumpaan secara tetap. Atas sebab itu, kami mengambil inisiatif awal untuk menjemput semua keluarga berkaitan untuk hadir minum petang di rumah kami pada petang Ahad semalam (09/12/2007), selepas waktu Asar (05:30 petang).

AlhamduliLlah semua keluarga datang. Keluarga Lajiman paling awal sampai, seterusnya diikuti keluarga Kak Siti, Mohd Noor, Su Aznan, Rashdan dan Wafir. Abang Nordin tak datang kerana balik ke Malaysia atas urusan keluarga. Manakala Aznan pula agak sibuk mengejar masa menyiapkan tesisnya. Tak mengapa, yang penting komitmen dan sokongan dari mereka tetap ada. Tak ketinggalan Kak Yati turut sama datang. Pelbagai juadah yang dibawa, antaranya meehoon goreng, bubur pulut hitam, kuih-muih dan buah-buahan di samping nasi dagang yang disediakan oleh Laili.

Apabila bersua sahaja maka riuh rendahlah jadinya. Di samping bertanya khabar, masing-masing kelompok ada alkisahnya tersendiri. Kaum ibu dengan cerita kekeluargaanya, manakala kaum bapa pula dengan isu-isu semasa dan sukan (esp. tenis dan golf). Dan paling teruja adalah anak-anak yang tak sabar-sabar lagi untuk turun ke padang di seberang jalan hadapan rumah untuk bermain kriket.

Selepas makan sahaja, mereka terus berkejar ke padang dengan peralatan kriket yang dibawa oleh Lajiman dan juga set kriket kepunyaan Iddin. Selepas penat bermain kriket, mereka beralih pula kepada bola sepak. Anak-anak perempuan pula berjalan-jalan di tepi padang atau bermain- kejar-kejar. Riuh rendah suara mereka menceriakan petang yang sedikit sejuk dengan cuaca yang redup dan berangin sambil ditemani oleh kaum bapa di tepi padang.

Kaum ibu di rumah pula sibuk dengan sesi membuat kuih bom berlenga sambil mengelilingi sifunya Su Aznan. Elok juga diteruskan sesi buat kuih ni, bolehlah kami turut merasa. Yang lain pula sibuk berbual-bual sambil menjamu selera di meja makan. Sesekali kedengaran suara gelak ketawa apabila timbul sesuatu hal yang melucukan.

Tanpa disedari masa begitu cepat berlalu, tanda-tanda malam menjelma semakin jelas di ufuk barat. Anak-anak nampak kecewa apabila diminta berhenti kerana belum puas bermain. Kaum ibu yang ralit di rumah pun terpaksa diperingatkan. Sebelum pulang mereka dijamu dengan aiskrim Malaysia. Seronok melihat anak-anak menghisap ais berperisa oren, lime dan milo dari plastik panjang sambil berehat di beranda belakang rumah.

Sebagai buah tangan, mereka dibekalkan dengan makanan berbaki yang dibawa dengan harapan perjumpaan seumpamanya terus diadakan di lain masa, berselang seli dari rumah ke rumah, sekurang-kurangnya 2 atau 3 minggu sekali ataupun sebulan sekali. Kita tunggu rumah siapa yang akan menjadi lokasi perjumpaan seterusnya.