10 Zulhijjah telah pun berlalu. Namun takbir raya masih dikumandangkan terutama seusai solat fardhu yang lima. Itulah sunnahnya kerana Eid al-Adha masih diraikan sehinggalah tenggelamnya mentari petang 13 Zulhijjah.
Eid al-Adha... bukannya sekadar keraian biasa seumpama Eid Fitr bagi menzahirkan kesyukuran setelah berjaya mengekang nafsu selama sebulan Ramadhan. Eid al-Adha adalah lambang tuntutan pengorbanan dan ketaatan yang seikhlasnya hanya kepada ALLAH Rabbul Jalil.
Bagi para jemaah haji... mereka berkorban segala-galanya... harta, jiwa raga dan keluarga semata-mata bagi memenuhi tuntutan pelengkap kepada Rukun Islam. Tiada bezanya antara yang kaya dan papa... apatah lagi ketika berpakaian ihram.... berkumpul dan bergerak bersama di Arafah, Muzdalifah dan Mina. Tidak terkecuali tika berada di Madinah mahupun Mekah. Yang dinilai oleh ALLAH SWT hanyalah ketaqwaan kepadaNYA.
Manakala bagi yang tidak mengerjakan ibadah haji, mereka dituntut untuk berkorban wang ringgit atau haiwan ternakan sendiri untuk mendapatkan bahagian korban. Ianya dikategorikan sebagai sunat muakkad yakni sunat yang amat dituntut. Bagi jemaah haji, lazimnya mereka juga menyertai ibadah korban di Mekah.
Niatnya hanya satu - patuh kepada perintah ALLAH dan Rasul demi membantu umat Islam lain yang amat memerlukan. Moga ibadah korban kita diterima oleh ALLAH SWT. Ameen.
Setiap kali tibanya musim haji seperti sekarang... ingatan kami akan terus terimbau kepada pengalaman kami mengerjakan haji pada tahun 2012 yang lalu terutama ketika berada di Masyair Haram (Arafah-Muzdalifah-Mina). Alangkah seronoknya jika berpeluang untuk ke sana lagi. Moga kami dipanjangkan usia dan dikurniakan kesempatan bagai yang diimpi-impikan. Ameen.
Kepada para jemaah haji... AlhamduliLLAH... moga kalian dianugerahi haji dan umrah nan mabrur. Ameen.
Maka bermulalah mujahadah seterusnya yang lazimnya ramai yang kecundang iaitu istiqamah beramal seumpama di Masjidil Haram dan Madinah. Antaranya solat berjemaah di masjid/surau, membaca al-Quran dan menekuni terjemahannya, berpuasa sunat sekurang-kurangnya Isnin dan Khamis, bertahajjud di sepertiga malam, solat dhuha, menjaga batasan aurat tidak kira lelaki mahupun perempuan dan sebagainya.
Jika tidak... apakah layak untuk kita mengharapkan haji yang mabrur? Dan layakkah kita digelarkan Haji dan Hajjah? Apakah ALLAH SWT redho kepada kita? Renung-renungkanlah... agar kita menjadi hamba-hambaNYA yang dirahmati dari ibadah haji yang dilaksanakan. Insafi diri..!
2 comments:
salam aidil adha
salam aidil adha
Post a Comment