Thursday, July 28, 2016

Salam Syawal

Assalamuaikum wbrkt.

Kini kita di penghujung Syawal. Salah satu bulan yang amat dekat pada hati semua umat Muslim. 

Permulaan Syawal adalah hari kemenangan setelah melepasi ujian dan dugaan iman sepanjang Ramadhan al Mubarak. Juga kejayaan melewati fasa 10 akhir Ramadhan dengan harapan moga dianugerahi kemuliaan 1000 bulan pada Lailatul Qadar. Amiin.

Malah sepanjang Syawal juga tidak lepas daripada pelbagai dugaan pengaruh nafsu makan-minum demi melangsaikan 6 hari puasa sunat Syawal. Urutan ganjarannya amat lumayan ibarat berpuasa sepanjang tahun. Namun godaan majlis sambutan Hari Raya dan sibuknya berkerja, biasanya ramai terleka sehingga 6 hari dari 28 hari Syawal berlalu begitu sahaja. Moga kita tidak sedemikian. Amiin.

Menariknya Syawal juga dijadikan penanda aras akan amalan yang dilakukan sepanjang Ramadhan. Sekiranya segala amalan lazim seperti solat berjemaah, solat sunat rawatib, qiamullail, bersedekah dan sebagainya yang sering dilakukan tetap istiqamah setelah berlalunya Ramadhan, dikatakan itulah Ramadhan terbaik untuk dirinya. Moga-moga itulah kita. Amiin.

Gamitan BaituLLAH..... Bilakah lagi..!
Syawal juga adalah bulan haji. Para bakal jemaah haji mula sibuk menyiapkan persiapan untuk ke Tanah Suci Madinah al-Munawwarah dan Mekah al-Mukarramah. 

Bermulanya Zulkaedah, maka mulalah mereka melangkah bagi memenuhi jemputan ALLAH SWT, DuyufurRahman sebagai tetamu agungNYA. Selamat berangkat. Moga dikurniakan kesihatan yang baik, kekuatan rohani dan jasmani serta keimanan yang mantap dan akhirnya dikalungkan dengan haji nan mabrur. Amiin.

Akhirnya sempena semangat Syawal, kami memohon ampun dan maaf atas segala kesalahan dan dosa yang dilakukan. Moga kita semua sentiasa dirahmati ILLAHI. Amiin.

No comments: