Kunjungan kami ke sana di bawah seliaan syarikat pengendali umrah-haji, Al-Fajr Travel and Tours.
Rentetan pengalaman selama 11 hari/13 malam telah kami rakamkan di dalam entri Salam Monash pada bulan April-Mei 2012.
Bukan sahaja keseronokan dan kenikmatan menjadi tetamu Allah SWT dinukilkan tetapi juga keperitan yang dilalui terutama ketika ahli rombongan dibiarkan terkontang-kanting semalaman sehingga ke pagi menguruskan sendiri setiap permasalahan yang timbul turut diabadikan sebagai kenangan dan renungan bersama.
Jadi, melalui entri kali ini, ingin kami perjelaskan isu berkenaan. Oleh kerana perkara yang ditimbulkan oleh para pembaca adalah sama, maka secara mudahnya kami hanya 'potong dan tampal' sahaja jawabannya kepada setiap pengemel kecuali kepada beberapa orang yang mengajukan soalan yang berbeza skopnya.
Diharapkan dengan penjelasan ini tiada lagi persoalan berkaitan ditanya dan sebaiknya dapatkan kepastian terus daripada para pengendali umrah atas isu yang dimusykilkan.
Berikut sedutan daripada jawaban 'potong dan tampal' yang saya poskan kepada para pengemel.
Tentang al-Fajr, terus terang saya tiada pengalaman berumrah dengan lain-lain agensi umrah. Jadi rasanya tidak adil untuk saya membuat perbandingan. Cuma apa yang boleh saya utarakan berdasarkan pengalaman yang dilalui, seorang wakil bertauliah dari agensi pengendali umrah sewajarnya ada bersama para jemaah yang dibawa. Saya fahami kekangan birokrasi Arab Saudi di dalam soal mutawwif tetapi ruangnya masih ada untuk mengadakan seorang wakil di kalangan jemaah.
Peranan 'wakil bertauliah/ pembimbing' perlu di dalam membimbing para jemaah melaksanakan ibadah dengan betul menurut syariaat seperti kaedah tawaf, saie, tawaf wida' berserta larangan yang perlu dijauhi dalam ibadah-ibadah tertentu termasuk dalam mengerjakan solat seperti jamak, qasar, tamam, masbuk, muaafik dll.
Sekaligus wakil ini menjadi tempat rujukan yang dipercayai dan diyakini ilmunya terutama berkaitan agama.
Di samping itu wakil ini turut menjadi pengurus bagi jemaah dalam berurusan dengan pihak berkuasa Arab Saudi/ kumpulan tertentu yang memerlukan penterjemah bahasa Arab, urusan lapangan terbang dll berkaitan.
Bayangkan masaalah yang kami hadapi - tiada pakar rujuk dalam hukum hakam tawaf wida' hingga ada yang bersantaian/ membeli belah setelah mengerjakannya lebih awal, dihantar ke airport yang salah menyebabkan kami perlu menguruskan sendiri perpindahan airport dengan kos sendiri, dipermainkan oleh kakitangan airport yang cuba mendapatkan 'duit kopi' dan macam-macam lagi.
Cemburu kami melihat jemaah dari agensi umrah lain yang teratur segala urusan mereka kerana wakil pengendali ada bersama mereka. Terus terang, saya amat tidak selesa jika ada pengendali umrah/haji yang berkata... itulah dugaan yang perlu dihadapi ketika di Tanah Suci.... sedangkan ianya boleh dielakkan dengan usaha berterusan dari pihak pengendali sendiri.
Itulah apa yang kami alami. Namun sebaiknya jangan jadikan ianya sebagai halangan untuk berumrah bersama al-Fajr. Mungkin sekarang segalanya telah berubah dan lebih baik dari pengendali umrah lain. Sebaiknya berinteraksilah dengan al-Fajr untuk mendapat gambaran sebenar perkhidmatan terkini.
Akhirkata, selamat berkunjung ke Tanah Suci. Ingatan saya, pergunakanlah setiap detik masa yang ada untuk mendekatkan diri kepadaNya. Moga dianugerahi umrah yang mabrur. Ameen.
Sekian. Allahu a'lam.
ps. Mohon maaf, saya tidak bermaksud 'menutup periuk nasi' al-Fajr tetapi jadikanlah ia sebagai panduan @ KPI di dalam meningkatkan kecemerlangan dalam pengurusan.