Bagi seorang Muslim, kesempatan menunaikan haji di BaituLlah adalah satu impian yang sentiasa diharapkan. Bermatlamat untuk melengkapkan satu kefardhuan/ kewajiban dari Rukun Islam yang lima. Ianya adalah satu kepuasan yang tidak terhingga sebagai tanda ketaatan seorang hamba Allah SWT yang mampu melaksanakan satu tuntutan yang diperintahkanNya.
Alangkah indahnya jika dapat ke sana. Itulah satu anugerah yang tidak terperi seronoknya. Bagi kami, ianya amat dirindui.
Kami telah pun mendaftarkan diri di Tabung Haji sejak tahun 2006. Sepatutnya kami mendaftar lebih awal lagi tetapi kami alpa dan sering bertangguh.
Jika diturutkan hati, ingin sekali dibuat rayuan untuk mempercepatkan kunjungan kami ke BaituLlah. Namun keadaan tidak mengizinkan. Setiap yang berlaku ada hikmahnya yang tersurat mahupun tersirat. Itulah ketentuanNya.
Ketika memeriksa status permohonan haji pada awal tahun lepas, nama kami berdua tersenarai untuk menunaikan haji pada tahun ini. AlhamduliLlah, beberapa hari lalu surat tawaran dari Tabung Haji telah pun diterima. Seronoknya hati tidak terkira. Setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT.
Tiba-tiba timbul rasa gementar di hati. Mampukan diri ini melaksanakan tuntutan ini dengan sebaiknya bagai yang diharapkan oleh setiap jemaah haji? Setiap orang mendambakan haji mabrur sedangkan ianya amat sukar diperolehi kecuali bagi hamba-hambaNya yang terpilih.
Ya Allah, permudahkanlah kami di dalam setiap urusan kami. Panjangkanlah usia kami, kurniakanlah kami kesihatan dan kekuatan, perteguhkanlah keimanan kami dan golongkanlah kami di kalangan hambaMu yang mendapat barakah, rahmat dan redhaMu. Anugerahilah akan kami haji yang mabrur. Begitu juga ke atas setiap mukmin dan mukminat. Ameen... ameen... ameen... Ya Rabbal 'alameen.
Insya Allah di penghujung bulan ini, hampir 2 minggu kami sekeluarga akan menunaikan umrah dan ziarah ke 2 tanah suci Haram; Mekah al Mukarramah dan Madinatul Munawwarah.
Semua anak-anak akan turut serta kecuali Izzuddin yang baru mendaftarkan diri di MRSM Serting kerana tidak mendapat perlepasan dari pihak sekolah. Insya Allah di lain kesempatan Iddin berpeluang ke sana. Bersama kami adalah emak dan abah, adik Laili; Nasrul Hadi serta adik-adik perempuan abah.
Moga ibadah umrah ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin dan dianugerahi dengan umrah mabrur. Sekaligus menjadi pemangkin untuk kesempurnaan ibadah haji selepasnya. Ameen.
2 comments:
Tahniah Abg Ropidi, Kak Laily and family. Semoga selamat ke sana dan kembali dgn Haji Mabrur, Insya Allah.
Salam
Terima kasih Fadz. Moga kita semua dirahmati Allah SWT. Ameen.
Post a Comment