Tahun lepas dan beberapa tahun sebelumnya kami sekeluarga berpuasa dan beraya di Australia, khususnya di Adelaide, South Australia dan Dandenong, Victoria. Suasana asing yang amat berbeza daripada suasana di tanah air sendiri. Walaupun ramai umat Islam di sekitar kami tetapi kebanyakannya berasal dari negara-negara Islam yang berlainan. Maka adat, budaya dan perlakuan mereka pasti jauh berbeza dari amalan kita. Namun rasa hormat dan kasih sayang sesama umat Muhammad SAW sentiasa utuh.
Apabila jauh di negara asing, maka tidak secara langsung keakraban persahabatan dan persaudaraan sesama rakyat Malaysia akan melangkaui segala sempadan. Tidak kira ideologi politik, bangsa, agama, pangkat dan keturunan. Masing-masing saling memerlukan. Merekalah rakan, merekalah saudara dan merekalah juga adik beradik. Susah senang ditanggung bersama.
Berpuasa di waktu musim bunga dan awal musim sejuk kurang terasa penat, lapar dan dahaga. Waktu berbuka pula awal, sekitar jam 5:30 petang. Kami berbuka di rumah sahaja bersama keluarga, tidak seperti di tanah air di mana masjid menjadi pilihan utama. Di masjid berdekatan rumah kami di Dandenong ada majlis berbukanya tetapi makanannya bercitarasa Turki, susah untuk diterima tekak Melayu.
Solat tarawikh di masjid dilakukan 20 rakaat; 4 rakaat 1 salam, berbeza daripada amalan biasa kita 2 rakaat 1 salam. Manakala solat witirnya 3 rakaat 1 salam. Mungkin itulah kebiasaan amalan Mazhab Hanafi yang diikuti oleh majoriti jemaah berketurunan Turki. Secara peribadi saya menyukainya tetapi saya memilih untuk bersolat jemaah Isyak-Tarawikh-Witir di rumah sahaja bersama-sama keluarga.
Bertukar-tukar juadah berbuka adalah amalan biasa. Di setiap hujung minggu pula rakan-rakan sekampung berkumpul di rumah-rumah tertentu untuk berbuka puasa bersama-sama sehinggalah selesai solat sunat Tarawikh-Witir ala Malaysia dengan disudahi hidangan moreh. Saat yang amat menyeronokkan. Walaupun jauh dari keluarga tetapi kemesraan rakan-rakan senasib mengubat rindu kami.
Juadah berbuka dan moreh biasanya bercitarasa Malaysia. Juadah popular kami adalah dendeng dan sup meehun (hasil dari air rebusan daging untuk dibuat dendeng). Itu jugalah yang biasa kami hantar ke rumah rakan-rakan sekampung (Kg. Dandy) sebagai juadah berbuka mereka. Puncanya, kami kerap membuat dendeng untuk tempahan dan jualan di Bazaar Ramadhan, jadi adalah rezeki untuk mereka dan kami sekeluarga.
Di malam raya pula kami berkumpul untuk sama-sama berbuka puasa, seterusnya solat berjemaah dan bertakbir raya. Syahdu dan sayu meruntun jiwa mengingatkan keluarga dan sanak-saudara di tanah air. Malah ada yang menitiskan air mata terharu.
Di pagi raya, kami berkumpul di lokasi-lokasi tertentu untuk bersolat sunat Eidil Fitri. Biasanya tumpuan kami di mana terdapat ramai komuniti Melayu-Malaysia turut serta. Bagi kami di tenggara Melbourne, selalunya kami ke Monash University Kampus Clayton atau ke majlis anjuran Komuniti Melayu Islam Victoria (KMIV) di Mt. Waverley.
Selesai solat, kami berkonvoi dari satu rumah terbuka ke rumah terbuka yang lain. Pernah kami berjalan raya dari pagi sehinggalah ke malam. Belasan rumah disinggahi dalam sehari. Sesetengah rakan pula sehingga melewati waktu tengah malam baru pulang ke rumah. Apakan daya, itulah sahaja masa yang ada. Bukannya ada cuti khas perayaan seumpama di Malaysia.
Menariknya, walaupun di tempat orang, juadah rayanya tidak lekang dari makanan tradisional Melayu seperti sate, ketupat, lemang, nasi dagang, nasi kerabu, nasi himpit, laksa Terengganu, laksa Penang, laksa Johor dan bermacam-macam lagi termasuk kueh-muehnya yang pelbagai jenis dan nama. Ibarat kata, sebut sahaja semuanya ada.
Di setiap hujung minggu pula rumah-rumah terbuka banyak diadakan. Kami sendiri pun ada ketikanya turut sama menjemput rakan-rakan jauh dan dekat datang ke rumah. Biasanya pada hari raya atau sehari dua selepasnya. Rumah terbuka Mega Raya bagi Kg. Dandy yang diuruskan bersama komuniti sekampung pula diadakan pada minggu tertentu khusus untuk rakan kenalan yang tinggal di Victoria termasuk rakan sekerja, rakan sekuliah dan orang asing. Bertungkus lumus kami menyiapkan setiap juadah sambil masing-masing menyumbang mengikut kemampuan tersendiri. Kemeriahan yang menyeronokkan.
Emm, satu lagi yang menariknya, tiada duit raya dihulurkan kepada kanak-kanak. Pelik tetapi benar. Budaya yang terbentuk di luar negara di kalangan warga Malaysia yang telah biasa dengan 'huluran sampul raya'. Tidak pernah saya mendengar sesiapa pun yang mempertikaikannya. Setiap orang bagaikan 'tahu sama tahu' atau 'faham-faham ajalah'. Secara peribadi, saya mengkagumi dan menyokongnya. Namun sekembalinya ke tanah air, ianya tidak dapat dipraktikkan kerana persekitarannya telah dibiasakan dengan budaya duit raya.
Mengimbau kenangan di perantauan lebih-lebih ketika tibanya Ramadhan dan Syawal membuatkan diri ini terasa amat rindu kepada rakan-rakan lama samada yang telah pulang ke tanah air ataupun masih berjuang di perantauan. Moga kita dipertemukan lagi. Insya Allah.
No comments:
Post a Comment