Monday, January 3, 2011

NZ 06 : @ Dunedin

Penjelajahan kami di Dunedin bermula dengan singgahan di St. Kilda Beach, berdekatan dengan motel. Pemandangan indah dari 2 arah berbeza – di satu arah adalah unjuran pantai dengan laut membiru airnya menghadap South Pacific Ocean; di satu arah bertentangan pula adalah kawasan penempatan yang dilatari kawasan tanah tinggi menghijau di belakangnya.

Dari St. Kilda Beach kami memasuki Dunedin City. Tumpuan pertama adalah i-Site Visitor Centre yang terletak di Princess Rd, tidak jauh dari Octagon. Berjalan-jalan di tengah bandar, kami melewati pelbagai bangunan lama dengan rekabentuk unik lagi menarik; antaranya Town Hall, Art Gallery dan Railway Station.

Tengaharinya kami mengikuti lawatan ke Cadbury Chocolate Factory. Bangunan besar dengan identiti warna ungu tersergam di Chumberland Rd. Lawatan selama 75 minit bermula dengan tayangan video langkah-langkah keselamatan yang perlu dipatuhi, diikuti lawatan ke kilang untuk melihat secara dekat proses pengeluaran sehinggalah pembungkusan. Paling menarik ditunjukkan secara langsung 1 tan coklat cair dicurahkan dari atas ke dalam kawah yang besar.

Penerangan demi penerangan yang diberikan amat berguna sekali. Setiap kali soalan ditanya, anak-anak tidak melepaskan peluang untuk menjawabnya termasuk Imran. Tanpa segan dan takut Imran sering mengangkat tangan dan cuba menjawabnya walaupun kerap kali jawabannya salah. Itulah hasil didikan yang diterima ketika bersekolah di Melbourne.

Di akhir lawatan, goodies bag yang dibawa dipenuhi pelbagai jenis coklat percuma yang dihulurkan di setiap singgahan, juga hadiah kerana menjawab soalan dengan betul. Sebelum keluar, kami membeli beberapa jenis coklat di Cadbury Shop sebagai santapan harian.

Dari Cadbury Factory, kami terus ke Masjid Al-Huda / Dunedin Islamic Centre di Clyde Rd untuk solat Zohor-Asar. Tidak jauh daripadanya adalah Otago University dan Otago Museum. Masjid Al-Huda dipercayai berasal dari gereja kerana berbentuk segiempat seakan dewan yang besar. Sebahagiannya digunakan sebagai dewan solat dan sebahagiannya lagi dewan serba guna. Kutipan derma sedang giat dilakukan untuk tujuan pembangunan semula yang lebih menyerlahkan rekabentuk dan fungsi sebuah masjid.

Beredar dari masjid, waktu telah pun melewati jam 4:00 petang. Perut berkeriut lapar. Tumpuan kami adalah Malaysian Rainforest Halal Restaurant di Filleul Rd. Sayangnya ditutup sementara. Tiada rezeki. Entah di mana lagi nak dicari makanan halal yang mengenyangkan, tambahan pula makan nasi adalah kemestian bagi Imran.

Kami mencuba nasib di Meridian Mall. Allah Maha Besar. Mudah sahaja ditemui kedai yang menjual makanan halal, malah berderetan pula kedudukannya, Sunrise Kebab dan Lemongrass – Thai/Malay Cuisine. Malah Subway dan Indian Corner di sebelahnya juga ada kelihatan Muslim yang membeli makanan di situ. Mungkin juga makanan berasaskan sayuran (vegetarian). Menariknya kedua-dua pekerja wanita di Sunrise Kebab adalah rakyat Malaysia yang bekerja sementara.

Dari Meridian Mall, kami terus ke Baldwin Street untuk merasai pengalaman mendaki jalan yang terkenal paling curam di dunia sebagaimana tercatat di dalam World Guiness Book Record. Jalan sepanjang 700 meter yang terdapat rumah-rumah di sekitarnya itu sememangnya curam, samada di lihat dari bawah, apatah lagi dari atas. Pada satu tahap, catatan gradient-nya adalah 1 dalam 286.

Selangkah demi selangkah kami menapak ke atas, semakin lama semakin mengah dirasakan. Izzuddin pula berlari naik, separuh jalan telah pun terjelepok kepenatan. AlhamduliLlah kami sekeluarga, 6 beranak akhirnya berjaya juga menakluki puncaknya. Certificate of Achievement dengan ditandatangani oleh Mayor of Dunedin menjadi buktinya.

Di sebelah petangnya pula anak-anak ke taman permainan yang terletak tidak jauh dari motel. Seronok melihat mereka gembira.

Sepanjang berada di Dunedin, angin bertiup begitu kencang sekali, sehari semalam tanpa henti. Pepohonan meliuk lintuk bagaikan akan tumbang, debu-debu berterbangan dan bunyi angin membadai dinding dan pokok umpama siulan. Tidak pasti pula samada ianya fenomena biasa kerana kedudukan Dunedin menghadap South Pacific Ocean ataupun sebaliknya. Kami berdoa moga tiada bencana akan menurutinya. Ameen.


2 comments:

Nasrul Hakim said...

Salam,

Mak abah tanya dah sampai mane? Abah telefon x dapat, jadi ke balik Malaysia 11hb Januari?

Kalau boleh bagi masa arrival kat Malaysia, nak atur orang ambilkan. Cadangnya nak ambil guna Estima Kak Eus dan Forte Bat, cukup tak?

Kalau boleh, hubungi rumah.

Salam.

ropidi 'n laili said...

Salam,

Kita orang dah kat Melbourne, duduk kat rumah Dr. Asmadi @ Keysborough. Insya Allah jadi balik 11hb, flight 3:00 pm dan sampai kat KLIA dalam 8:00 malam. Dua kereta tu dah cukup.

Insya Allah nanti kita orang telefon rumah. Salam untuk semua.

Tk.