Wednesday, July 23, 2014

Tragedi MH17 - Sengketa Bawa Bala

Sebagai rekod, di awal pagi Jumaat nan syahdu, 18 Julai, 2014M bersamaan 20 Ramadhan, 1435H nan barakah, kita dikejutkan dengan satu berita yang amat menyayat hati - pesawat Boeing 777-200 milik Penerbangan Malaysia (MAS) telah ditembak jatuh di perkampungan Grabovo, Donestk, Ukraine berhampiran sempadan Russia pada malamnya.

Pesawat MH17 berkenaan sedang membawa seramai 285 penumpang (majoriti rakyat Belanda) dan 15 kru berlepas dari Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam, Belanda sekitar jam 12:15 tengahari Khamis (waktu Belanda) dan dijangka tiba di KLIA kira-kira jam 6:10 pagi Jumaat,  dipercayai telah terkena tembakan peluru berpandu di kawasan yang sedang bergolak di antara tentera Ukraine dan puak pemisah pro-Russia. Kesemua penumpang dan kru terbunuh.

Setulus hati, TAKZIAH diucapkan kepada para ahli keluarga mangsa. Semoga roh mereka yang Muslim akan dirahmati ALLAH SWT dan termasuk di kalangan insan terpilih menuju ke Jannahnya di bulan nan mulia ini. Ameen. 

Sedih dan amat mengharukan. Kita masih lagi dirundung malang mengenangkan misteri kehilangan pesawat MH370 yang masih menjadi teka teki sejak 8 Mac lalu (baru 4 bulan berlalu), kini kita dilanda duka dengan tragedi terbaru yang berlaku. Apatah lagi kali ini akibat kuasa, nyawa insan tidak berkaitan menjadi taruhan.

Kini, kedua-dua belah pihak (Ukraine dan Russia/pemisah) saling menuding jari antara satu sama lain. Menariknya, dari sini timbul pelbagai konspirasi dan realiti yang bagaikan tidak diketahui umum melibatkan pihak Amerika dan Russia (dulunya Soviet Union) yang sememangnya bertelagah secara Perang Dingin sejak lebih 50 tahun lalu.

Dalam hal ini, Malaysia perlu bertegas dan cepat bertindak untuk menyelesaikannya. Setiap langkah diplomasi yang ada sewajarnya digunakan secara berhemah. Pihak yang bersalah wajib dibawa ke muka pengadilan dengan segera dan dikenakan hukuman yang setimpal dengannya. Jenayah pembunuhan yang dilakukan sememangnya tidak bertamadun, tidak berhati perut dan langsung tidak boleh diterima walau dengan apa alasan sekali pun.

Secara peribadi, kami menyanjung tinggi kejayaan Perdana Menteri, DS Najib berdiplomasi secara senyap dengan ketua puak pemisah, Alexander Borodai sehingga berjaya mendapatkan kotak hitam dan mayat serta membolehkan pihak penyiasat antarabangsa memasuki kawasan nahas. Tahniah PM!

Fikirkanlah secara saksama - demikianlah natijahnya jika memilih cara permusuhan dan persengketaan. Termasuklah dalam realiti kehidupan seharian.

Banyak buruk dari baiknya. Jadi, usahlah kita bermusuhan dan bersengketa kerana kesannya amat pedih sekali. Setiap perselisihan, usahakan perdamaian dan pemuafakatan dengan jalan perbincangan kerana itulah kaedah yang terbaik. Lebih-lebih lagi dalam setiap isu dalaman negara yang melangkaui sempadan bangsa dan agama.

Alangkah nikmatnya hidup ini jika persekitaran kita sentiasa aman dan nyaman. Apatah lagi jika jiwa sentiasa disaluti iman dan Islam. Seseungguhnya Islam itu agama perdamaian.

Thursday, July 17, 2014

Gaza Bermandi Darah Lagi

Hari ini, telah lebih 10 hari kita digemparkan dengan bedilan senjata bertali arus; udara dan darat ke atas bumi Gaza oleh penjajah Zionis Israel. Sehingga kini lebih 200 rakyat Palestin telah pun syahid dan hampir 2,000 orang pula mengalami kecederaan.

Zionis Israel memang celaka. Apatah lagi tindakan tidak berperikemanusiaaan ini dilakukan di bulan Ramadhan nan mulia ini.

Kegilaan, kebiadapan dan kekejaman Israel LaknatuLlah ini benar-benar menyiat robek hati sanubari setiap umat Islam sedunia yang cintakan ukhuwah Islamiah sejagat.  Ribuan foto dan video yang luas tersebar membuktikan segalanya.

Bagi yang mengaku Islam tetapi tidak merasa apa-apa, entahlah nak kata apa.... Namun ALLAH SWT mengherdik golongan ini sebagai musuh-musuh ALLAH. Apakah mereka ini munafik namanya? Ingatlah orang-orang munafik tempatnya di Jahanam, aras terbawah dalam neraka. NauzubiLlahiminzaalik.

Mengingatkan kesengsaraan demi kesengsaraan yang dilalui oleh rakyat Palestin, hati ini sentiasa merasa pedih dan sedih yang teramat sangat. Hancur luluh hati dibuatnya. Sebak dada mengenangkan penderitaan yang belum tentu bila berakhirnya. Tidak mampu untuk diluahkan dengan kata-kata mahupun tulisan.

Seikhlas hati, marilah kita sama-sama berkorban semampu mungkin bagi membantu saudara-saudara kita di Gaza. Inilah salah satu kewajiban kita sepertimana yang ditekankan oleh kekasih kita, RasuluLlah SAW di dalam hadis di bawah. Tambahan pula di bulan nan mulia, penuh barakah ini.
RasuluLlah SAW pernah bersabda, "Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga ia mengasihi saudaranya sepertimana ia mengasihi dirinya sendiri" (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Punca yang berlaku ini atas sebab keangkuhan dan kezaliman Yahudi Zionis Israel yang tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka telah pun dimurkai dan dilaknat oleh ALLAH SWT atas kedurjanaan mereka membunuh nabi-nabi terdahulu. Maka umat Nabi Muhammad SAW yang telah diperakui oleh ALLAH SWT menjadi galang ganti pembalasan dendam mereka.

Para sekutu Israel hanya tersenyum senang. Tiada apa yang dilakukan. PBB langsung tidak berfungsi. Lebih malang lagi negara-negara Arab di sekitarnya bagai dicucuk hidung. Jika ada pun sekadar mengutuk dan mengecam di media massa sahaja. Yang lantang pun hanya Turki. Apatah lagi jika nak diharapkan kepada OIC (Pertubuhan Negara-negara Islam). Yang tinggal hanyalah Oh! I See... (OIC).

Sekarang kita saksikan episod keganasan Zionis Israel di Palestin-Gaza. Namun jangan lupa umat Islam di negara-negara lain; antaranya di Syria, Mesir, Chechnya, Nigeria, Iraq, Afghanistan, Burma, Pattani (malah banyak lagi) yang juga terus terusan dikeronyok oleh para penentang dan pemerintah.

Malang sungguh malang sekali. Umat Islam terus terusan tertindas di tanah air mereka sendiri. Bagi kita yang lemah ini masih ada senjata lebih ampuh bagi membantu saudara-saudara kita di sana iaitu DOA. Setiap masa, usah lupa bermunajat kepada ALLAH SWT agar diberikan pertolongan ke atas umat Islam dan agama Islam tercinta ini.
Ya ALLAH, Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa. Bantulah Islam dan umat Islam. Hancurkanlah para penentang Islam dan sekutu-sekutunya. Tegakkanlah keindahan dan keadilan Islam di muka bumiMU ini. Ameen.

Thursday, July 10, 2014

Muhasabah Ramadhan

[Muhasabah diri khusus untuk diri sendiri. Moga ada manafaat untuk orang lain]
 
Kita sering diberitahu, Ramadhan terbahagi kepada 3 fasa - 10 hari awal, 10 hari pertengahan dan 10 hari akhir.

Pastinya semua orang amat prihatin di fasa manakah kita berada sekarang. Lebih-lebih lagi yang ingin cepat beraya. Ya, 10 hari awal telah pun berlalu pergi. Kini kita mula melalui fasa kedua, 10 hari pertengahan. 

Persoalannya, bagaimanakah prestasi pengimarahan Ramadhan kita selama ini? Apakah tercapai apa yang kita inginkan? Berjayakah kita melawan segala tuntunan nafsu, sekaligus meningkatkan kualiiti dan kuantiti pengabdian diri kepada Illahi? Paling utama, apakah ianya menepati ketetapan syariat? Marilah bersama-sama kita merenung ke dalam diri sendiri...

Ada hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah yang menyentuh tentang pembahagian fasa-fasa ini. Dikatakan pada permulaannya membawa rahmat ALLAH SWT, pertengahannya memperolehi keampunan dan akhirnya pembebasan dari api neraka.

Namun secara umumnya ketiga-tiga fasa ini membawa erti tersendiri dari segi amalan. Fasa pertama adalah penyesuaian, fasa kedua pemantapan dan fasa ketiga peningkatan.

Di fasa pertama, kita berusaha membiasakan diri dengan rutin ibadah yang telah lama ditinggalkan atau tidak pernah kita lakukan. Bermula dengan bangun awal pagi. Sebelum sahur kita luangkan masa untuk bertahajjud - bersolat sunat, berwirid dan membaca al-Quran.

Begitu juga amalan sunat selepas Subuh, seterusnya menahan diri sepanjang hari daripada perkara-perkara mengurangkan pahala puasa sambil menambah pahala sepert mengikuti sesi tazkirah, solat berjemaah, membaca perkara berfaedah, bersedekah dan sebagainya.

Malamnya pula bertarawikh-witir di masjid/surau sambil memperatkan silaturrahim sesama ahli keluarga dan ahli qariah. Malah setiap masa kita berusaha menjaga pancaindera lidah-mata-telinga, hati serta anggota daripada melakukan perkara sia-sia.

Di fasa kedua pula, kita berusaha mengekalkan segala amalan yang telah kita biasakan di fasa pertama sambil memperelokkan lagi demi meraih keredhaan ALLAH SWT. Di peringkat ini sewajarnya kemanisan dalam beramal telah pun mulai kita rasai. Tidak sanggup untuk kita mengundur ke belakang lagi. Inilah saaatnya untuk kita bersedia memburu kelebihan 10 terakhir Ramadhan.

Di fasa terakhir adalah segala-galanya. Di sela-sela 10 hari terakhir inilah peluang terakhir untuk kita merebut sebanyak mungkin kelebihan yang ada pada Ramadhan. Ini kerana belum pasti Ramadhan mendatang akan kita temui.

Malah di fasa terakhir ini terdapat satu anugerah tersembunyi yang amat besar yang tidak sepatutnya kita lepaskan iaitu Lailatul Qadar - satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan (rujuk surah al-Qadr). Suri teladan kita, baginda RasuluLlah SAW amat memberatkan 10 hari terakhir Ramadhan ini dengan berterusan beriktikaf di masjid.

Jadi saya mengingatkan diri sendiri, belum terlambat untuk memperbaiki amalan dan beristiqamah dengannya. Fikirkanlah akan setiap anugerah tidak terhingga yang dijanjikan di sepanjang Ramadhan ini.

Setiap amalan sunat bakal diganjari pahala amalan fardhu di luar Ramadhan manakala amalan fardhu digandakan sebanyak 70 kali. Setiap doa pula amat mudah untuk diperkenankan oleh ALLAH SWT. Pahala bersedekah/ menginfak harta pula terlalu lumayan. Begitu juga dengan pelbagai amalan lagi.

Yang pasti, bersihkan hati dan lakukan amal ibadah, amal kebajikan dan amal kebaikan sebanyak mungkin semata-mata kerana ALLAH SWT. Insya ALLAH itulah antara bekalan terbaik kita untuk bertemu dengan ALLAH SWT nanti.


Ya ALLAH, kami mohon ampunan dan keredhaanMU. Ameen.

Tuesday, July 1, 2014

Ramadhan Datang Lagi

Cepat benar masa berlalu. Terasa benarnya bila dikaitkan dengan Ramadhan. Setahun berlalu bagaikan semalam perginya. Masih basah ingatan rutin Ramadhan setiap tahun. Kini ia berulang lagi.

AlhamduliLlah. Setinggi-tinggi kesyukuran kepada ALLAH SWT yang memanjangkan usia kita dan dikurniakan kesihatan untuk bertemu Ramadhan kesekian kalinya. Moga anugerah Ramadhan ini dapat terus dikecapi sehingga ke penghujungnya.

Kita sedia maklum, tidak terhitung banyaknya kelebihan yang diberikan ALLAH SWT dalam bulan Ramadhan ini. Kurniaan pahalanya melimpah ruah. Bukan sahaja dengan amalan rutin di siang hari tetapi berlebihan lagi di malam hari. Jika direnung-renungkan, tidak ingin walau sedetik masa sekalipun untuk kita lepaskan setiap anugerah Illahi tersebut.

Justeru itu marilah kita bersama-sama berusaha mengimarah dan memeriahkan Ramadhan kali ini dengan mempertingkatkan amalan kita serta memelihara hati-pancaindera-anggota daripada perkara sia-sia.

Banyak perlakuan di bulan Ramadhan ini boleh menjadi permulaan kepada penambahbaikan amalan kita untuk 11 bulan selepasnya, antaranya:-

1. Bangun sahur boleh menjadi rutin untuk bangun bertahajjud/ bersolat malam.
2. Berpuasa sebulan boleh diamalkan terus dengan puasa sunat setiap bulan seperti puasa Nabi Daud as (selang sehari) atau puasa Isnin-Khamis.
3. Baca Quran boleh diteruskan setiap hari, sebaiknya setiap kali sebelum/selepas solat fardhu/sunat.

Sebenarnya terlalu banyak jika ingin ditulis tetapi cukuplah 3 amalan di atas sebagai rutin awal kita sebagai tarbiyah untuk bulan-bulan selepas Ramadhan. Moga kita dikurniakan ketaqwaan dan pengampunan daripada ALLAH SWT. Ameen.

Kepada para pengunjung Salam Monash, penuh takzim diucapkan Selamat Menyambut Kedatangan Ramadhan 1435 Hijrah.

Ahlan wasahlan Ya Ramadhan Kareem.

Thursday, June 12, 2014

Jualan Amal - Pasrahkah Mereka?

Tidak lama dahulu heboh tentang Pusat Tahfiz Amal (PTA) di Kedah yang didakwa menggunakan (baca: mempergunakan) anak-anak tahfiz bagi tujuan 'menjual barangan sambil berderma'. Di Lembah Kelang, mereka boleh ditemui di merata tempat sambil menagih simpati orang ramai. Kasihan mereka. Sepatutnya mereka berada di sekolah... 

Kami sendiri pun kerap dihampiri oleh anak-anak ini. Barangan yang ditawarkan sama sahaja, samada CD, kismis, jus, ubatan dan bermacam lagi. Istimewanya di setiap pek barangan tersebut terpampang wajah seorang insan yang diisytiharkan 'bermasalah' oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan pernah diambil tindakan undang-undang lebih 10 tahun lalu. Difahamkan, beliaulah penyumbang barangan tersebut.

Akhirnya pihak berkuasa mengeluarkan amaran dan mengarahkan pihak PTA menghentikan operasi pusat tahfiz berkenaan. Selepas itu senyap tanpa berita. Mudah-mudahan ianya dipatuhi dan anak-anak tahfiz tersebut diberikan pembelaan dan perhatian sewajarnya oleh para penjaga mereka.

Malangnya beberapa hari lalu dilaporkan kegiatan mempergunakan kanak-kanak oleh PTA masih lagi dijalankan dengan kaedah yang sama seperti sebelumnya. Entahlah... sakit hati dibuatnya.

Terdahulu, Pengetua PTA, Muslim Ab Karim telah menyatakan bahawa PTA telah menghentikan aktiviti jualan amal dan menafikan penglibatan para pelajarnya. Jadi, timbul persoalan baru, siapakah pula dalang baru di sebalik jualan amal dengan menggunakan buku resit PTA? Apakah pula tindakan pihak berkuasa dalam hal ini?
Lewat petang kelmarin, sebelum bergerak pulang ke Puchong, kami singgah makan malam di sebuah restoran berdekatan Masjid al-Hasanah, BB Bangi. Inilah antara hentian kesukaan kami kerana berdekatan dengan masjid, mudah untuk bersolat jemaah apabila masuk waktunya.

Ketika sedang enak menjamu selera, meja kami dihampiri seorang wanita tua bertudung labuh yang boleh dipanggil nenek. Di tangannya terdapat beberapa botol bahan jualan dan sekeping kertas. Tidak pasti apa yang ditulis pada kertas tersebut kerana tiba-tiba hati kami merasa amat geram apabila terlihat nama 'Pusat Tahfiz Amal' di bahagian atasnya. Di botol-botolnya pula dihiasi 'wajah itu'.

Mendidih darah dibuatnya. Kasihan si nenek tua kerana tempias amarah kami terpaksa ditelannya. Jika sebelum ini kanak-kanak dipergunakan tetapi kini kami temui orang tua (warga emas) pula dipergunakan. Mereka sewajarnya dilindungi dan dikasihani, bukannya diperlakukan sedemikian rupa. 

Bayangkan... sanggupkah kita melihat ibu kita mahupun nenek kita atau pun ahli keluarga kita 'mengemis' dari meja ke meja? Jika bertanyakan dari hati ke hati kepada mereka, pasti mereka tidak mahu melakukannya tetapi kerana terpaksa. Tergenang air mata kami apabila mengingatkannya. Jika mampu ingin sekali kami menanggung hidup mereka. Biarlah mereka bersenang lenang di usia tua sambil berulang alik ke masjid atau tempat pengajian.

Dalam kemewahan yang dikecapi oleh sebahagian rakyat Malaysia, pastinya hasil anugerah Illahi, tidak adakah insan yang tulus membela mereka? Tidak adakah pusat-pusat jagaan orang tua yang ikhlas membantu? Di manakah pula anak-anak mereka (jika masih ada keluarga)? Dan bermacam-macam persoalan lagi yang timbul... semuanya menambahkan pilu di hati...

Moga kehidupan mereka bakal terbela. Jika tidak kita... siapa lagi!

Monday, June 2, 2014

Jalan2 @ Zoo Negara

Hari Rabu, 28/05/2014 bermulanya cuti persekolahan Pertengahan Tahun. Sebahagian besar 'anak-anak kota' mula bergerak pulang ke kampung halaman datuk-nenek atau mula berjalan-jalan makan angin. Dan sebahagian lagi baru mula melepaskan lelah persekolahan sambil bersantaian di rumah.

Bagi Imran, Solehah dan Hanisah; bersama sepupu-sepapat dengan diiringi ibu-ibu saudara; seawal jam 9:00 pagi mereka mula melangkah masuk ke Zoo Negara yang letaknya tidak jauh daripada rumah di Ulu Kelang. 


Inilah peluang yang amat dinanti-nantikan terutama oleh Imran dan sepupu-sepupu ciliknya. Mereka begitu teruja sekali. Beberapa hari sebelumnya telah pun membayangkan keseronokan dikelilingi pelbagai jenis dan spesis haiwan. Jika tidak silap, kali terakhir mereka ke Zoo Negara hampir 5 tahun lalu (Julai 2011), beberapa bulan sekembalinya kami daripada Australia.

Untuk kali ini, kami berdua tidak turut serta. Berbekalkan kamera, pelbagai foto dirakamkan oleh anak-anak dan daripadanya dapat kami berkongsi keseronokan yang mereka alami sekitar 4 jam di Zoo Negara. Secara umumnya, didapati banyak perubahan, pembaharuan dan penambahan dilakukan terutama melibatkan persekitaran di mana ianya tampak lebih ceria, kreatif dan bermaklumat.

Hai Cik Emu.. Lama tak bertemu. Ingat saya lagi tak?
Untuk melihat sebahagian foto yang dirakam, silalah ke Album Foto Kami di kiri blog atau klik di sini untuk capaian terus.

Sangkar Burung, Santuari Orang Utan, Dunia Kanak-kanak dan Akuarium Tunku Abdul Rahman nampaknya lebih informatif daripada dahulu dengan kepelbagaian maklumat dan bahan yang dipamirkan.

Taman Rama-rama pula adalah lokasi tambahan yang baru, dekorasinya amat menarik dan ceria sekali. Malah lokasi gajah (dahulu bersebelahan zirafah) kini telah dipindahkan ke tempat yang lebih sesuai untuknya.

Lebih menarik lagi dengan adanya Pusat Penyelidikan Panda Gergasi bagi menempatkan 2 ekor panda (jantan dan betina) yang dipinjamkan (baca : disewakan) selama 10 tahun oleh Kerajaan China kepada Malaysia. Kedua-dua panda berkenaan baru tiba di Zoo Negara pada 20 Mei lalu dan kini sedang dikuarantin selama sebulan sebelum dipertontonkan kepada umum pada pertengahan bulan Jun ini. 

Santai bersama 'panda'
Secara peribadi kami mengalu-alukannya tetapi terasa 'terkilan' dengan jumlah perbelanjaan yang amat besar diperuntukkan untuk hanya 2 ekor panda di mana menjangkau hampir RM 7 juta/tahun. Apakah ianya perlu dalam usaha kerajaan berjimat cermat dan mengamalkan konsep kesederhanaan (wasatiyyah)? Entahlah...

Zoo Negara... dengan keluasan kira-kira 110 ekar; dapat kami bayangkan betapa penatnya bergerak dari satu lokasi haiwan ke lokasi berikutnya. Tambahan pula dengan kelincahan anak-anak yang cepat dan pantas bergerak hinggakan sukar untuk mengambil gambar mereka. Begitulah lazimnya kanak-kanak apabila berada di Zoo Negara.

Jika nak dikirakan kepuasan, berada seharian di Zoo Negara pasti tidak merasa puasnya. Lebih-lebih lagi bagi peminat haiwan seperti Imran. Tidak mengapalah... lain kali boleh berkunjung lagi.

Friday, May 30, 2014

Cuti Pertengahan Tahun 2014

28 Mei 2014 - bermulanya cuti persekolahan Pertengahan Tahun/ Penggal 2/ Semester 1 selama 2 minggu bagi tahun 2014. Saat yang amat menyeronokkan bagi para pelajar terutama yang tinggal di asrama.

Masih terasa baru cuti Penggal 1 pada akhir bulan Mac lalu. Pejam celik dah 2 bulan berlalu.

Namun, Solehah yang berada di MRSM Kota Putra, Besut telah pun mula bercuti seminggu lalu. Lebih awal hampir seminggu berbanding sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Akan tetapi cutinya masih lagi dalam jangkamasa 2 minggu di mana akan berakhir pada 08 Jun (Ahad) nanti. Kami tidak pasti apakah lain-lain MRSM pun begitu... Cuma pelik juga kenapa tidak menuruti jadual cuti KPM kerana lebih memudahkan ibu bapa membuat perancangan keluarga secara bersama.

Cuti selama 2 minggu perlu diisi dengan sebaiknya. Mana-mana yang ada kerja sekolah kenalah dipastikan ianya disiapkan lebih awal. Jika tidak merana jiwa dan kelam kabut dibuatnya... Itulah pengalaman kami.

Di samping itu, perlu juga dibawa anak-anak berjalan-jalan makan angin. Ikut kemampuan dan kelapangan yang ada. Tidak perlu jauh-jauh, di sekitar kita pun banyak tempat-tempat yang menarik yang tidak pernah/ sudah lama kita tidak menjejakkan kaki seperti pantai, muzium, zoo, tempat perkelahan, taman bunga dan bermacam-macam lagi. Seronok apabila dapat bersama ahli keluarga - lebih-lebih lagi bagi ibu bapa yang sentiasa sibuk dan anak-anak yang tinggal berjauhan.

Bagi kami, adalah beberapa perancangan untuk anak-anak. Awal-awal cuti lagi, Zoo Negara yang letaknya beberapa langkah dari rumah menjadi pilihan Imran bersama sepupu-sepupunya. Beberapa sehari selepasnya kami sibuk dengan Majlis Kesyukuran Keluarga. Malah setiap hujung minggu pula ada sahaja undangan perkahwinan di sekitar Lembah Kelang.

Seminggu selepasnya pula kami akan ke Bachok, Kelantan bagi menghadiri undangan perkahwinan di sana. Insya ALLAH akan berjalan-jalan ke satu dua tempat menarik sebelum bergerak pulang ke kampung halaman orang tua di Terengganu. Seterusnya ke Besut pula untuk menghantar Solehah pulang ke asrama.

Termasuk sama di dalam diari musim cuti adalah permintaan Imran untuk berkunjung ke perpustakaan dan juga ke kedai buku bagi mendapatkan beberapa buah buku kesukaannya yang baru diterbitkan. Selebihnya bergantung kepada kelapangan masa.

Melihat kepada kepelbagaian agenda masa cuti, Inshaa ALLAH cuti sekolah selama 2 minggu pasti tidak terasa berlalu begitu sahaja.