Wednesday, March 26, 2014

Tragedi MH370 - Salam Takziah

Dua hari yang lepas, selepas hampir 18 hari kehilangan pesawat MAS penerbangan MH370 yang menimbulkan pelbagai persoalan dan harapan, akhirnya MH370 disahkan berakhir di selatan Lautan Hindi, yakni di barat Perth, Australia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan berita itu dalam satu sidang khas yang disiarkan secara langsung dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sekitar jam 10:00 malam 24 Mac 2014 lalu.

Menurut Perdana Menteri, kedudukan terakhir penerbangan MH370 itu didasarkan kepada maklumat daripada data satelit Inmarsat milik Britain. Bahagian Penyiasatan Nahas Udara United Kingdom (AAIB) mengesahkan pesawat Boeing 777-200 itu terbang ke jalur selatan iaitu isyarat terakhir yang dikesan daripada pesawat MH370. 

"Ini adalah kawasan yang terpencil, jauh daripada mana-mana tapak pendaratan yang mungkin. Oleh itu, dengan rasa penuh dukacita dan kesal, saya memaklumkan bahawa berdasarkan kepada data baru ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," kata Perdana Menteri. 

Inilah berita yang amat memilukan hati. Selama ini ramai yang masih menaruh harapan dan mengharapkan satu keajaiban yang akan berlaku. Namun segala-galanya telah ditentukan ALLAH SWT.

Pelbagai usaha telah dilakukan dengan dibantu oleh pasukan pencari dari puluhan negara besar dunia. Kecanggihan teknologi dan peralatan nyata tidak dapat menandingi kekuasaan ALLAH SWT. Inilah realiti yang sewajarnya diinsafi. Betapa kerdilnya kita di sisi ALLAH SWT.

Sebagai insan yang beriman kepada qadha' dan qadarNYA, musibah ini dapat diterima penuh pasrah. Justeru itulah kita dianjurkan untuk mengucapkan اِنَّا ِللهِ وَاِنَّا اِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ (Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali). Inshaa Allah kita akan dikurniakan ketenangan jiwa olehNYA.

Marilah sama-sama kita berdoa ke hadrat Illahi moga ALLAH mengampuni segala dosa-dosa mangsa dan diterima segala amalan mereka. Dan untuk kita sendiri usah lupa sentiasa mendoakan moga pengakhiran hidup kita dalam keadaan yang baik dan diredhai ALLAH SWT. Ameen.

Juga marilah kita meneruskan doa kita moga segala usaha pencarian dan pengumpulan serpihan pesawat MH370 berjalan lancar. Begitu juga pencarian kotak hitam dipermudahkan oleh ALLAH SWT. 

Setiap orang masih lagi tertanya-tanya, apakah punca tragedi sedih di pagi 8 Mac lalu. Moga ianya terungkai tidak berapa lama lagi.

Friday, March 21, 2014

SPM - AlhamduliLlah & Tahniah Iddin

Semalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 telah diumumkan, sehari selepas keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (SPTM) diumumkan. Masing-masing ada auranya tersendiri. Bergantung kepada siapa yang ada kaitan dengannya. 

ALHAMDULILLAH dan TAHNIAH
Kepada yang berjaya jangan lupa ucapkan kalimah ALHAMDULILLAH - segala-galanya kembali kepada ALLAH yang menganugerahkan kejayaan. TAHNIAH untuk semua. 

Kepada yang kurang berjaya, usah putus asa - Inshaa ALLAH ada hikmah di sebaliknya. Tiada siapa yang tahu masa hadapan kita kecuali ALLAH. Kita merancang DIA juga merancang... perancanganNYA adalah lebih baik lagi. Yakinlah kepada ALLAH SWT.

Semalam kami menemani Izzuddin dan rakannya, Ridhuan ke MRSM Serting, Negeri Sembilan untuk mengambil slip keputusan peperiksaan SPM. ALHAMDULILLAH Iddin mendapat keputusan yang menggembirakan - kesemuanya A dengan 8A+ dan 1A solid. Iddin bersama Ridhuan adalah di antara 28 pelajar cemerlang MRSM Serting yang mengungguli keputusan semua A.

TAHNIAH Iddin dan juga warga MRSM Serting, terutamanya kepada para pendidik yang bertungkus lumus walaupun amat tertekan bagi memastikan anak-anak didik mereka beroleh kejayaan cemerlang dalam SPM. Setinggi-tinggi penghargaan untuk semua.
Sebahagian Pelajar Cemerlang SPM 2013 MRSM Serting
Pesanan kami, kejayaan yang diperolehi hanya sekelumit daripada kurniaan nikmat daripada ALLAH SWT. Paling utama - bersyukurlah kepadaNYA. Masih jauh perjalanan hidup yang bakal dilalui. Sebagai ingatan - di samping mengejar kejayaan hidup di dunia, usah dilupakan segala ikhtiar untuk meraih kejayaan di akhirat yang kekal abadi. Moga kehidupan ini sentiasa dirahmati dan diberkati ALLAH SWT.
Ya ALLAH, kurniakanlah kami kebahagian hidup di dunia dan di akhirat. Hindarkanlah kami daripada azab kubur dan azab neraka. Anugerahilah kami ilmu yang bermanafaat dan jadikanlah kami hamba-hambaMU yang beriman, beramal soleh dan bertaqwa.
Itulah munajat kita yang selalu dirintihkan setiap kali seusai menunaikan solat. Moga diperkenankanNYA. Ameen.

Wednesday, March 12, 2014

Tragedi MH370 - Doa dan Harapan

Hari ini masuk hari ke-5 hilangnya pesawat MAS-MH370 (Boeing 777-200) bersama 227 orang penumpang (termasuk 2 bayi) dan 12 orang kru. Kali terakhir ianya dikesan melalui radar pada jam 1:30 pagi Sabtu, selepas 49 minit berlepas dari KLIA, Sepang menuju destinasi Beijing, China pada ketinggian 10,668 meter (35,000 kaki) dan 120 batu nautika di timur Kota Bharu, bersempadan dengan perairan Vietnam di Laut China Selatan.

Kehilangan MH370 benar-benar satu misteri. Tiada sebarang isyarat kecemasan diterima sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan. Lebih menghairankan, kecanggihan peralatan dan ketinggian teknologi yang digunakan oleh pelbagai agensi dalam dan luar negara yang membantu dalam pencarian masih juga belum dapat menemukan sebarang petunjuk di manakah pesawat berkenaan. Secara tersirat, terserlah akan kehebatan ALLAH SWT.

Dengan penantian yang tiada noktahnya ini, maka timbul pelbagai spekulasi yang tidak menentu seperti angkara pengganas, tindakan sabotaj, kesilapan juruterbang, kerosakan sistem penerbangan, letupan luar jangka, pertukaran arah dan bermacam andaian lagi sehinggalah dikatakankan mungkin pesawat berkenaan termasuk ke alam mistik. Entahlah, apabila terlalu ramai 'pakar' yang merasakan dirinya 'pandai', maka begitulah jadinya...

Namun segalanya tidaklah mustahil kerana yakinlah ada satu kuasa yang bernama ALLAH SWT yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. Segala-galanya adalah milik ALLAH SWT. Maka sewajarnyalah kita kembali kepada ALLAH SWT dengan memohon pertolongan dan bantuan daripadaNYA. Inshaa ALLAH akan ditunjukkan jalan olehNYA.

Maka amat bertepatan sekali lontaran cadangan daripada bekas juruterbang MAS yang pernah mengendalikan MH370 tersebut,  Kapten Noruddin Abd Majid  ketika diminta pandangannya apa yang sepatutnya dilakukan, katanya:
"Doa daripada orang-orang soleh yang dekat dengan ALLAH dan juga keluarga kerana mereka sedang beremosi. ALLAH melihatnya"
Dengan kata lain, sebagai seorang Muslim yang beriman pergunakanlah senjata ampuh yang kita miliki yakni DOA. Yakinlah dengan seyakin-yakinnya bahawa ALLAH SWT amat pemurah dalam mengabulkan setiap doa daripada hamba-hambaNya yang mengharap lebih-lebih lagi daripada mereka yang hampir dengan ALLAH SWT seperti para pencinta ibadah dan ahli keluarga mangsa.


Usahlah dilayan sebarang spekulasi yang belum tentu kebenarannya. Tersilap bicara dikhuatiri menempah dosa. Biarkanlah pihak berkuasa dengan pelbagai usaha yang digembleng dalam usaha pencarian MH370 tersebut. Ikhtiar kita adalah dengan bersolat hajat dan berdoa kepada ALLAH SWT. Moga masih ada sinar di sebalik tragedi yang berlaku.
"Ya ALLAH Ya Tuhan kami. KepadaMU kami memohon dan kepadaMU kami mengharap kerana ENGKAU sahaja Maha Berkuasa atas segala sesuatu.


Ya ALLAH, ketemukanlah mereka dengan pesawat MH370 yang hilang itu. Jika semuanya selamat, kepadaMUlah yang selayaknya kami bersyukur. Tiada yang mustahil bagiMU Ya ALLAH kerana segalanya di bawah keagunganMU yang tiada bertepi.


Ameen... ameen... ameen... Ya Rabbal 'alameen."

Thursday, March 6, 2014

Zubireans @ Desa Balqis

Almarhum Hj Zubir-Hjh Tayyam
Almarhum Hj Zubir dalam entri ini merujuk kepada datuk Laili di sebelah abah. Dengan kata lain bapa kepada abah. Di samping nama Zubir, beliau yang berasal daripada Tanah Jawa juga dikenali dengan nama Maanoh, Mat Noh, Leber dan juga Lebar.

Hasil perkahwinannya dengan Almarhumah Hjh Tayyam (juga keturunan Jawa), mereka dikurniakan 10 orang anak - 5 lelaki dan 5 perempuan.

Dari 10 orang adik beradik ini, hanya Wak Long Salmiyah yang telah pergi mengadap Illahi. Selebihnya, AlhamduliLlah masih dikurniakan kekuatan dan kesihatan untuk meneruskan kehidupan di alam fana' ini.

Dengan inisiatif sesama adik beradik, maka kerap kali diadakan perjumpaan besar-besaran (Hari Keluarga) bagi mengeratkan lagi silaturrahmi. Apatah lagi setelah anak-anak telah pun meningkat usia, sekaligus bertambahlah kaum kerabat bergelar menantu, cucu dan cicit.

Generasi Pertama Keluarga Hj Zubir
Dianggarkan kini keturunan Hj Zubir berjumlah lebih 250 orang. Justeru itu dengan adanya perjumpaan bersama ini dapatlah masing-masing saling kenal mengenali antara satu sama lain. Tidaklah nanti, berlaga bahu pun tidak tahu siapa dia.

Jika dahulu setiap Hari Keluarga dilakukan sendiri oleh adik beradik, kini pengurusan majlis seumpamanya diserahkan kepada anak-anak (generasi kedua Hj Zubir) dengan diawasi oleh wakil ibu bapa.

Hari Keluarga Hj Zubir lazimnya diadakan selang 3 tahun sekali dan untuk tahun ini telah diadakan di Desa Balqis Resort @ Kuala Linggi, Masjid Tanah, Melaka dari 28/02 hingga 02/03/2014.

Inshaa ALLAH, sebahagian daripada koleksi foto @ Desa Balqis dapat diakses di Album Foto Kami atau klik di sini.

Laman Desa Balqis menghadap Rumah Pak Ngah
Kami sekeluarga tiba di Desa Balqis sekitar jam 11 malam pada 28/02 setelah melalui laluan trafik yang teruk dari Ulu Kelang hingga ke Nilai (kelaziman di hujung minggu). Terpegun kami melihat deretan rumah-rumah kayu tradisional Melayu Melaka berserta beranda dan anjung yang dihiasi kerlipan lampu-lampu neon berwarna-warni di setiap rumah.

Kesemua 9 buah rumah menjadi milik 'ahli keluarga Hj Zubir' dengan mempunyai laman hadapan rumah yang luas terbentang - ibarat sebuah taman perumahan. Setiap rumah mempunyai nama dan identitinya tersendiri seperti Rumah Balqis, Mama, Penghulu, Pak Long, Pak Ngah, Pak Cik, Pak Andak, Adik-Kakak, Nenek dan Atuk.

Sebagai makluman, Desa Balqis @ Kuala Linggi ini terletak di tepi pantai yang boleh diakses melalui tepi kolam renang, bersebelahan padang bola.

Rumah Pak Ngah adalah yang terbesar dengan kelengkapan 5 bilik tidur, 2 bilik air, dapur dan ruang tamu. Inilah rumah inapan kami dan anak-cucu Hj Tauhid-Hjh Azizah berjumlah hampir 30 orang. Dengan ruang beranda yang memanjang luas, ianya turut menjadi tempat untuk solat berjemaah serta aktiviti-aktiviti dalaman Hari Keluarga.

Sedikit terkilan, kami menghadapi masalah ketiadaan air di bilik air selama 2 hari yang dihadapi oleh penghuni rumah Pak Ngah sahaja. Walaupun telah dilaporkan kepada para petugas tetapi tiada penyelesaiannya. Mungkin ada kerosakan pada saluran paip ataupun tangki simpanan. Alternatif kami adalah menggunakan bilik air di kolam renang atau pun terjun sahaja ke kolam.

Sepanjang 3 hari 2 malam, banyak aktiviti kekeluargaan dilangsungkan; antaranya sesi Tazkirah, Senamrobik, Sukaneka, UkhuwahRace, BBQ dan Pembinaan Hiraki Keluarga (Family Tree). Di sela masa yang terluang, kolam renang menjadi tumpuan anak-anak kecil, manakala padang bola pula dikerumuni oleh bapa-bapa dan anak-anak remaja. 

Tidak ketinggalan terdapat gerai-gerai jualan dan promosi barangan yang diusahakan oleh ahli keluarga Hj Zubir; antaranya pakaian santai muslimah, aneka tudung, barangan kecantikan, kerepek, karipap, lukisan seni dan buku serta Al-Quran terjemahan. 

Kami tak berjual ke? Jawapnya ada iaitu pakaian muslimah, buku Cerita Cinta Ahmad Ammar dan Al-Quran terjemahan. AlhamduliLlah dapat sambutan menggalakkan terutama jualan pakaian muslimah yang diusahakan oleh Laili.

Walaupun jumlah ahli keluarga keturunan Hj Zubir agak ramai, namun kehadirannya hanyalah sebahagian sahaja. Apakan daya... berkebetulan sebahagian lagi mempunyai tanggungjawab keluarga dan urusan kerja yang tidak dapat dielakkan. Tidak mengapalah, asalkan semangat Zubireans tetap bersemarak di jiwa. Inshaa ALLAH kita bertemu lagi di lain kesempatan.

Sebahagian Ahli Keluarga Hj Zubir 2014
Bersabda RasuluLlah SAW, mafhumnya "Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga ia mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri" (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Wednesday, February 26, 2014

Ziarah Warga Kg Dandy

Selama hampir 4 tahun (2007 - 2010) kami sekeluarga pernah berkelana di bumi kangaroo, Australia; khususnya di Dandenong - sebuah daerah di tenggara Bandaraya Melbourne.

Nostalgia 09/2009: BerBBQ di musim sejuk
Bersama kami, terdapat beberapa lagi keluarga rakyat Malaysia yang menetap dan bermukim di Dandenong dan sekitarnya - bersilih ganti kerana majoritinya daripada kalangan para pelajar Master dan PhD. Pernah pada suatu ketika sehingga mencecah 20 buah keluarga. Berjiran dengan kami adalah komuniti yang lebih besar, tinggal di sekitar kampus Monash University di Clayton.

Berada jauh daripada ahli keluarga, sanak saudara dan rakan taulan menyebabkan hubungan kami menjadi begitu akrab bagaikan adik beradik. Dengan kata lain, susah senang dikongsi bersama. Dari sinilah terbentuknya komuniti Warga Kg. Dandy (Dandy adalah singkatan bagi Dandenong).

Setelah kembali ke tanah air, kemesraan kental yang sedia terjalin terus dipertahankan. Kesibukan urusan harian dan tempat tinggal di merata daerah dan negeri sedikit sebanyak menjarakkan pertemuan. Namun dengan pelbagai kecanggihan teknologi terkini seperti WhatsApp, Facebook, Twitter dan Instagram dirasakan segalanya dekat bagaikan bersua muka. Lebih meriah lagi di kalangan para ibu.

Sesekali dapat berkumpul bersama adalah satu nikmat yang dianugerahkan. Beberapa bulan lalu, warga Kg Dandy (alumni) ini berkumpul di rumah Huzaizi-Zainah di Putrajaya. Malangnya kami tidak dapat turut serta kerana tidak dapat dihubunginya (ketika itu Laili kehilangan telefon dan simcard). Apakan daya...

Di samping itu, secara peribadi ramai di antaranya saling kunjung mengunjungi, lebih-lebih lagi apabila mereka berada di kawasan berdekatan tempat tinggal rakan-rakan.

Begitu jugalah kami. Di penghujung minggu baru-baru ini kami berkesempatan menyinggah di rumah Hanif-Sham di Bukit Bandaraya, Seksyen 8, Shah Alam. Pada hari tersebut berkebetulan kami berdua ada urusan di Seksyen 15, Shah Alam. Seronok dapat bertemu dengan anak-anak mereka yang semakin membesar - Nazhan, Nadhirah, Farihah dan Masha. Merekalah jiran terdekat kami ketika di Dandenong.

Bersantai di ruang tamu rumah Zain-Saliza
Keesokan harinya pula kami ke rumah Ust Zain-Saliza di Taman Mulia, Mantin, Negeri Sembilan sebelum bergerak memenuhi jemputan perkahwinan di Bandar Baru Bangi.

Telah kerap kali mereka menjemput kami bertandang ke rumah mereka. Apatah lagi anak bongsu kami, Imran sering bertanya bila nak ke rumah Auntie Ja.

Teruja sekali apabila dapat bersua muka. Hilang rasa rindu yang bersarang. Tambahan pula ibu Saliza yang dipanggil 'Che' (panggilan orang Terengganu) pun turut ada bersama. Seronok sekali melihat keletah lasak si kembar bongsu, Rayyan dan Raihan yang telah pun meningkat usia 5 tahun (kali terakhir berjumpa 3 tahun lepas) serta si kembar sulung, Faris-Farah yang kini 11 tahun usia mereka. Untung mereka, 2 kali bersalin melahirkan 2 pasang anak kembar. Rezeki ALLAH SWT. Tidak dinafikan penatnya yang amat sangat.

Jutaan terimakasih di atas layanan istimewa yang diberikan oleh Hanif-Sham sekeluarga serta Zain-Saliza sekeluarga. Moga kalian semua sentiasa diberkati Illahi. Ameen.

Demikianlah hikmahnya berkelana di negara orang. Di samping dapat mengenali dan mengutip pengalaman di negara yang berbeza budaya hidup dan persekitarannya, paling utama dapat menjalin ukhuwah di kalangan rakyat Malaysia di perantauan. Inshaa Allah moga ianya terus kekal selamanya sehingga berkampung pula kita di Jannah. Ameen.

Thursday, February 13, 2014

Hikmah Di Sebalik Musibah

Ramalan Cuaca Hari ini (13/02/2014)
Sekarang ini cuaca di Malaysia agak panas. Secara kasar, suhunya melewati 30*C terutama di waktu tengahari membawa ke petang dan juga malam. Badan terasa rimas, berpeluh sehingga ke pagi.

Bagi yang menggunakan pendingin hawa (ingat : bukannya penghawa dingin) atau lebih tepat lagi penyaman udara bolehlah nyaman bersantai tetapi kenalah berani tanggung tarif elektrik yang telah pun meningkat.

Dek kerana cuaca panas, di merata tempat, rumput-rumput dah pun mengguning. Dedaunan kering bersepahan. Di sesetengah tempat tanahnya pula merekah. Paras air di sungai dan empangan semakin cetek. Inilah kemarau namanya.

Apabila kemarau, maka tidak secara langsung akan timbul pelbagai kemungkinan yang tidak baik. Kebakaran mudah berlaku dan mudah merebak. Jerebu pun boleh terjadi. Krisis bekalan air pula mungkin meruncing. Lebih teruk lagi, penyakit Demam Denggi semakin menular, berpunca daripada pembiakan nyamuk Aedes yang aktif.

Kita lihat sahaja apa yang sedang berlaku di sekeliling kita dan juga di negara-negara jiran. Bahana cuaca panas mencetuskan bermacam bencana panas.

Bukit di SKVE, Puchong hangus
Di negara kita, kelmarin telah berlaku kebakaran hutan di Tasik Banding yang berkeluasan 60 hektar. Begitu juga 44 hektar kawasan di Ladang Sungai Endau, Rompin masih giat dilakukan operasi pemadaman. Diberitakan kawasan hutan tanah gambut di tepian Lebuhraya Elite, Sepang turut berasap. 

Baru-baru ini pula 2 buah bukit yang bertentangan, dipisahkan oleh Lebuhraya Lembah Kelang Selatan (SKVE) berdekatan Puchong hangus terbakar. Tidak lama lalu dikatakan kebakaran belukar berlaku di Dungun, Terengganu. Manakala ratusan kebakaran kecil pula banyak dilaporkan di seluruh negara. Kemungkinan berlaku kebakaran berskala besar masih ada kerana ianya tidak dapat dijangka.

Di luar negara pula, dilaporkan kebakaran hutan mula merebak di Sumatera. Lazimnya jika tidak dapat dikawal, maka kesan jerebunya akan sampai ke negara kita terutama di Pantai Barat Semenanjung. Itulah yang berlaku saban tahun. Sekarang ini pun jerebu telah mula muncul di ruang udara negara kita. Diburukkan lagi dengan debu-debu daripada letusan Gunung Berapi Sinabung pada 1 Februari lalu yang mengorbankan 17 orang penduduk masih terapung-apung di udara.

Nostalgia: Hutan Bunyip terbakar ketika Black Saturday 2009
Ada kemungkinan ianya akan sampai ke negara kita, kesan daripada cuaca panas dan tiupan angin monsun. Jika fenomena tersebut berlaku, pihak Jabatan Mateorologi Malaysia telah menasihatkan penduduk kawasan terlibat agar berkurung di dalam rumah. Itulah langkah pencegahannya walaupun perit untuk dipatuhi oleh para pencari rezeki.

Beberapa hari ini pula, kesan suhu seharian yang panas sehingga mencecah 40*C, sebahagian besar utara Melbourne di Victoria, Australia mengalami kebakaran hutan yang melibatkan ratusan ribu hektar dan banyak rumah yang hangus dalam kebakaran.

Dikatakan ianya kebakaran paling teruk kali kedua selepas Black Saturday Tragedy pada 7 Februari, 2009 yang mengorbankan 173 orang dengan keluasan kawasan kebakaran melebihi 330,000 hektar, juga di utara Melbourne. Ketika peristiwa itu, kami sekeluarga baru 2 tahun berada di Melbourne. Kisahnya ada disentuh dalam entri pada masa itu - klik di sini.

Aedes: kecil-kecil cili padi, padahnya mati
Bahang panas pastinya boleh menyebabkan badan kekeringan/ kekurangan air dalam badan. Apatah lagi kes penyakit Demam Denggi kini begitu mendadak sekali naik dalam tempoh awal Januari - kini melebihi 200% berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

Beringatlah - Jagalah kebersihan persekitaran kita dan banyak-banyakkan minum air terutama air putih seperti air mineral dan air masak. Sebaiknya jadikanlah air sebagai bekalan ketika berada di luar rumah.
Dengan pelbagai musibah yang berlaku (baru-baru ini banjir besar, kini kemarau pula), sebagai hamba ALLAH yang beriman, kita perlu mengambil iktibar/ pengajaran serta peringatan bahawa ada mesej yang ingin disampaikan oleh ALLAH SWT dari musibah yang dihantar. Tidak sewenang-wenangnya kita menyerah kepada takdir dan perubahan iklim semata-mata. Pasti ada hikmah di sebalik setiap peristiwa yang berlaku. Sekurang-kurangnya kita meletakkan pengharapan dan memohon pertolongan daripada Maha Kuasa bagi mengatasi setiap kesulitan yang timbul.

Moga kita semua terpelihara daripada segala musibah dan bala bencana. Ameen.

Tuesday, February 11, 2014

Gergasi Belakang Rumah

Imran, anak bongsu kami yang berusia 10 tahun amat meminati dunia haiwan sejak kecil lagi. Buku-buku berkaitan haiwan sememangnya menjadi koleksi utamanya. Sebahagiannya telah pun lunyai kerana terlalu kerap dibelek dan dibawa bersama kemana sahaja ia pergi. Lebih menarik lagi, Imran pandai membaca ketika berusia 5 tahun berpunca daripada minatnya terhadap buku-buku tersebut.

Sebutlah apa sahaja nama haiwan, Inshaa ALLAH akan diketahui termasuklah ciri-ciri umum bagi haiwan berkenaan. Namun kini minatnya berkurangan sedikit, selari dengan perkembangan usia dan persekitaran yang pelbagai kecenderungan.

Walaupun begitu, jika ada kesempatan mengunjungi taman haiwan, pameran dan pertunjukan yang berkaitan, pasti tidak akan dilepaskan peluang. Zoo Negara yang berdekatan rumah kami adalah antara destinasi lawatan yang diminatinya. Itu pun telah lama tidak kami singgahi. Kasihan Imran...

Pada hujung minggu baru-baru ini, bersama Imran dan sepupunya Hawa dan Wafi; kami ke Marina Putrajaya di Precinct 5, Putrajaya di mana pameran serangga dan dinosaur yang bertemakan Backyard Monsters and Dinosaurs sedang berlangsung. Pameran yang bermula dari jam 10 pagi - 10 malam ini telah pun hampir ke penghujungnya pada 28 Februari ini setelah bermula sejak akhir Ogos, 2013 lalu. Bayaran masuknya cuma RM10 untuk dewasa dan RM6 bagi kanak-kanak.

Imran kelihatan amat teruja sekali. Begitu juga Hawa dan Wafi. Tampak tidak sabar untuk memulakan penerokaan. 

Wafi ketakutan di sebelah Tarantula Gergasi
Menyelak tabir hitam di pintu masuk dewan pameran, hampir kesemuanya tergamam dan tersentak apabila terpandang ruangan dalaman yang gelap dengan penataan cahaya yang amat minima berserta bunyi-bunyiannya yang menakutkan. Tambahan pula menunggu di pintu masuk adalah seekor labah-labah Tarantula hitam yang amat besar, sesekali bergerak-gerak menyambut kehadiran para pengunjung.

Wafi yang berusia 3 tahun terus bergayut dengan ibunya dan langsung tidak ingin berenggang sepanjang berada di dalam dewan. Malah kanak-kanak lain yang lebih kurang sebayanya juga demikian lakunya. Bagi Imran dan Hawa yang telah pun berada di alam persekolahan, kejutannya hanyalah di peringkat awal sahaja. Selepas itu mereka seronok mendekati setiap replika serangga belakang rumah serta dinosaur yang dipertontonkan sambil mengenali lebih dekat haiwan-haiwan berkenaan.

Dengan keluasan dewan yang terhad, tidak banyak serangga dan dinosaur yang dapat ditonjolkan. Namun banyak makumat yang boleh diperolehi sekiranya rajin membaca dan melakukan pemerhatian. 

Terdapat 7 replika serangga gergasi iaitu Tarantula, Kumbang Tanduk, Kalajengking, Semut, Pepatung, Mentadak dan Labah-labah Black Widow. Pelbagai serangga yang diawet juga dipamerkan seperti Rama-rama, Kupu-kupu, Lebah dan Kumbang. Bagi dinosaur pula, terdapat 8 jenis semuanya iaitu Basilosaurus, Deinonychus, Stegosaurus, Tyrannosaurus, Apatosaurus, Dimetrodon, Triceraptor dan Pachycephalosaurus.

Umumnya, ianya kunjungan yang berbaloi. Cuma kami kurang berpuas hati dengan konsep pencahayaan yang suram menyebabkan pemandangan terbatas, sekaligus menyebabkan rupa setiap haiwan tidak dapat dihayati. 

Lebih menyedihkan, disebabkan kegelapan, suasananya amat menggerunkan bagi kanak-kanak kecil yang sepatutnya dapat berseronok sambil mengenali setiap serangga di sekeliling mereka dan realiti dinosaur yang hanya tinggal sejarah. Suasananya amat berbeza daripada Dinosaurs Live! yang kami kunjungi di Pusat Sains Negara di pertengahan tahun 2012 lalu.

Bagi merakam foto pula, tanpa menggunakan flash, hasilnya kurang memuaskan. Masalahnya, jika menggunakan flash, hasilnya juga mengecewakan kerana cahaya kamera menyebabkan warna asalnya hilang disimbahi cahaya. Bagi juru gambar profesional mungkin tiada masalahnya.