Thursday, January 28, 2010

Ceritatera Cuti Sekolah

Cuti persekolahan akhir tahun di Victoria tinggal beberapa hari lagi. Hari Isnin ini (01/02/2010) sesi baru persekolahan 2010 akan bermula. Izzuddin dan Hanisah di Dandenong High School, manakala Solehah dan Imran di Dandenong North Primary School.

Solat berjemaah sebelum turun bermain
Selama cuti panjang, nampaknya mereka semua kurang merasa bosan. Setiap hari terpenuh dengan pelbagai aktiviti mereka tersendiri.
Paginya mereka di rumah; menonton TV, DVD, menghadap komputer dan bermain sesama adik beradik. Petangnya pula mereka turun ke padang sekolah untuk bermain dengan rakan sebaya mereka di kalangan anak-anak Malaysia yang tinggal di Dandenong. Adakalanya mereka sleepover bergilir-gilir dari rumah ke rumah.

Di sebelah malamnya pula, selepas solat Maghrib, mereka mengikuti tazkirah ringkas berkaitan Fardhu ‘Ain dan Akhlak Islam, seterusnya membaca Al Qur’an sehingga masuknya waktu Isyak.

Sekurang-kurangnya seminggu sekali pula mereka dibawa ke Dandenong Library untuk membaca dan meminjam buku, majalah serta DVD. Tambahan pula terdapat aktiviti Summer Reading Club yang menarik minat mereka.

Seronok bermain di padang permainan
Di samping itu terdapat juga pelbagai program yang dianjurkan, sebahagiannya memerlukan penglibatan mereka, antaranya Program Peneguhan Iman, Klinik Bola Sepak, Tae Kwon Do Events dan Majlis Sillaturahim South Eastern.

Apabila berkesempatan, mereka dibawa berjalan makan angin seperti ke Golwa-Adelaide-Hamilton dan ke Mornington Peninsula. Hari ini pula sehingga hari Sabtu ini, Insya Allah kami akan menyertai rakan-rakan Clayton berkunjung ke Venus Bay di South Gippsland.

Apabila ditanyakan pada anak-anak, “Jemu ke cuti sekolah ni?”. Ringkas jawapan mereka, “Tak”. AlhamduliLlah, masa mereka tidak terbuang begitu sahaja.

Tuesday, January 26, 2010

Australia Day

Hari ini, 26 Januari adalah cuti umum di Australia. Hari yang dibanggakan oleh segenap rakyat jelatanya sempena sambutan Hari Kebangsaan negara mereka. Setiap tahun juga akan bertambah ratusan pendatang yang dianugerahkan kerakyatan Australia berdasarkan kelayakan mereka.

Menurut sejarah, pada tarikh inilah kapal First Fleet dengan komandernya, Kapten Arthur Phillip yang mengetuai konvoi 11 buah kapal dari Great Britain mendarat di Sydney Cove, New South Wales pada tahun 1788.

Pendaratan yang mencatatkan sejarah hitam-putih bagi dua kelompok manusia yang berbeza. Bagi bangsa kulit putih Great Britain, ianya menandakan permulaan kehidupan (dan penguasaan) mereka di benua Austalia. Manakala bagi penduduk pribumi, Aborigines ianya dianggap satu pencerobohan dan penjajahan.

Sehingga kini ianya masih diperdebatkan terutama oleh penduduk asalnya. Banyak cadangan diutarakan agar tarikh tersebut ditukar, pilihlah tarikh lain yang bersesuaian. Namun sehingga kini ianya hanya tinggal sejarah…

Begitulah adanya. Apa-apa pun, selamat menyambut Australia Day kepada semua warga Aussie.

Happy Birthday Kak Kiah

Hajjah Rokiah Binte Daud @ Kak Kiah adalah warga emas rakyat Malaysia yang telah sekian lama bermastautin di Melbourne. Kami mengenalinya sejak mula-mula kami tiba di Melbourne, hampir 3 tahun lalu. Beliau kini tiada siapa-siapa di bumi Australia ini setelah berpisah dengan suaminya (Aussie) lama dahulu. Rakan kenalannya yang menjadi ahli keluarganya terutama sahabat karibnya, Kak Arifah.

Sekarang Kak Kiah terlantar di Box Hill Hospital selepas menjadi pembedahan membuang sebahagian paru-parunya yang rosak sejak beberapa bulan lalu akibat kanser paru-paru yang dihidapinya.
Rawatan fisioterapi yang dijalaninya menampakkan perkembangan yang positif. Kekuatan semangatnya untuk kembali cergas berserta sokongan moral yang tinggi para sahabatnya banyak membantu. Hampir setiap hari Kak Arifah berkunjung ke hospital. Kerap kali juga Laili pun turut serta.

Tengahari semalam kami sekeluarga ke Box Hill Hospital menziarahi Kak Kiah. Turut sama bersama kami adalah Sham Hanif bersama 3 anaknya dan juga Suraya Lajiman. Kak Arifah dan kenalan Malaysianya, Tracey berserta cucunya telah tiba lebih awal. Kehadiran kami bersama 6 orang kanak-kanak memeriahkan suasana di wad yang dikongsi bersama 4 pesakit lain, terutama di sekitar katil no. 10.

Semalam adalah hari ulang tahun kelahiran Kak Kiah. Kami bawa bersama kek yang dibuat oleh pakar kek Dandenong, Sham Hanif, khusus dari cucu-cucunya untuk Nenek Kiah. Juga kad ucapan besar yang direka bentuk oleh Solehah dan Hanisah. Tampak rasa terharu di wajah Kak Kiah dengan kehadiran kami, lebih-lebih lagi ketika lagu Happy Birthday didendangkan di sekelilingnya. Happy Birthday Nek Kiah.

Kek dipotong dan dibahagi-bahagikan termasuk kepada pesakit lain dan pelawat yang ada di wad tersebut. Imran pula senang hati sekali duduk di sebelah katil Nenek Kiah sambil bercerita tentang dunia haiwan dari buku-bukunya yang diselak helaiannya satu persatu.

Lebih sejam kami berada di wad bersama Kak Kiah. Sebelum beredar, bersama-sama kami membacakan doa syifa’ untuknya. Moga Kak Kiah sentiasa diberikan kekuatan yang berpanjangan dan dikurniakan kesembuhan oleh Allah SWT. Ameen Ya Rabbal ‘a Lameen.

Bertentangan dengan hospital terhampar luas Box Hill Gardens. Anak-anak tidak melepaskan peluang untuk bermain gelungsur, buaian, jongkang-jongkit dan panjat memanjat sebelum beredar pulang ke Dandenong.

Tuesday, January 19, 2010

Tetamu Adelaide : Syidee, Jabar, Pak Wae

Petang Sabtu, sekembalinya dari Jells Park, rumah kami dikunjungi oleh 3 rakan dari Adelaide; Syidee, Jabar dan Wan Nazri (Pak Wae).

Dari kiri; Pak Wae, Jabar dan Syidee di hadapan kereta yang dipandu dari Adelaide
Syidee dan Jabar adalah kenalan rapat kami sejak 4 tahun lalu yang kami kenali ketika di Adelaide. Pak Wae pula baru dikenali pada hari berkenaan walaupun difahamkan telah lama beliau tinggal di Adelaide.
Tak kisahlah, yang penting bertambah lagi seorang kenalan. Jika ditakdirkan ke Adelaide lagi ketika Syidee dan Jabar telah pulang ke tanah air, maka ada kenalan lain yang boleh dijenguk atau pun tumpang bermalam... Bolehkan Pak Wae? (Opps, sorry, baru dapat tahu... rupa-rupanya Pak Wae dah nak balik ke Malaysia pada bulan Mac nanti...)

Mereka bertiga tiba di Melbourne pada pagi Sabtunya. Tumpuan mereka adalah World Kitchens di DFO Essendon, tidak jauh dari Melbourne Airport. World Kitchens adalah kedai kelengkapan dapur, khususnya pinggan-mangkuk yang terkenal seantaro dunia dengan harganya yang murah, apatah lagi ketika adanya potongan harga. Correlle, Corningware dan Pyrex adalah antara jenama barangan yang menjadi kegilaan ramai. Bukan sahaja untuk kegunaan sendiri tetapi juga sebagai cenderahati untuk ahli keluarga, sanak saudara serta kenalan rapat di tanah air.

Tentang mereka bertiga, peliknya, para suami sahaja yang datang tanpa ditemani para isteri, peminat setia barangan tersebut. Menurut Syidee,

“Tak mengapalah orang rumah tak ikut, nanti sehari suntuk tak ke mana perginya, asyik terperap kat kedai tu aja. Silap-silap kena sewa trak pulak balik ke Adelaide. Cukuplah kami sahaja yang ambil order”.

Begitulah penangan Correlle, Corningware dan Pyrex pada kaum wanita. Tidak menghairankan. Setiap orang ada minatnya tersendiri. Sama juga keadaannya bagi kaki pancing, kaki bola, kaki fesyen, ulat buku dan seangkatan dengannya. Tanpa disedari masing-masing akan tenggelam dalam dunia mereka tersendiri.

Mereka menyinggah di rumah kami bukan sekadar bertemu muka tetapi ada hajatnya.. mengambil barangan World Kitchens yang dipesan beli sebulan sebelumnya. Emm, penuhlah bonet kereta nampaknya...8).

Hampir 3 jam di rumah kami, mereka beredar pulang ke bilik penginapan di Melbourne City. Keesokan harinya mereka bertolak pulang ke Adelaide. Hampir tengah malam, pesanan ringkas (SMS) diterima dari Jabar, “Kami selamat tiba di Adelaide...”. AlhamduliLlah.

Monday, January 18, 2010

Sillaturahim Keluarga SE

Keluarga pasca siswazah Malaysia (lepasan Ijazah) di South-Eastern (Melbourne) agak ramai juga. Majoritinya tertumpu di Clayton-Oakleigh East di mana terletaknya Monash University. Sebahagian lagi tinggal di Dandenong, Springvale, Noble Park, Glen Waverley, Mt. Waverley dan juga Blackburn South.

Pada pagi Sabtu baru-baru ini (16/01/2010) kami berkumpul di Jells Park, Wheelers Hill, kira-kira 15 km dari Dandenong. Perjumpaan yang diadakan khusus dalam usaha mengeratkan sillaturahim sesama kami. Lebih-lebih lagi terdapat pertambahan ahli keluarga baru SE. Bagi para pelajar tahun akhir, perjumpaan ini diharapkan sekurang-kurangnya dapat meredakan ketegangan dan tekanan pengajian mereka.
Koleksi foto terdapat di Album Foto Kami (Sillaturahim SE) atau klik di sini.

Pada peringkat awalnya, rakan-rakan Kg. Dandy (komuniti Dandenong-Noble Park dan sekitarnya) merancang mengadakan perjumpaan rutin bulanan kami di Dandenong. Namun memandangkan sudah lama tiada majlis sesama rakan-rakan lain di SE, kami mengambil inisiatif untuk mempertemukannya. Maka tempatnya berubah ke taman, lebih luas dan selesa untuk berkumpul dalam jumlah yang ramai. Konsep penyatuan makan pagi-makan tengah hari (Brunch : Break fast-Lunch) diatur dengan setiap keluarga membawa makanan sendiri (pot luck) untuk dikongsi bersama.

Cuaca pada hari berkenaan baik sekali. Sederhana panas dengan suhu sekitar 30 darjah Celcius. Tempat berbumbung dengan 6 bangku kayu yang dipilih amat strategik dan selesa. Sekitarnya teduh dipayungi pepohonan rendang. Di sebelahnya tersedia tandas dan di hadapannya pula terdapat Yabbie Hill Playground. Seawal jam 8:00 pagi lagi, keluarga Lajiman dan Huzaizi telahpun tiba untuk memastikan ianya menjadi milik kami. Terima kasih daun keladi.

Mulai jam 9:00 pagi, rakan-rakan SE bersama keluarga masing-masing mulai tiba dengan juadah pot luck tersendiri. Sambutannya amat menggalakkan, hampir 200 orang hadir. Bangku-bangku kayu dipenuhi dengan aneka juadah yang amat menyelerakan dengan cita rasa Melayu. Begitulah adanya, walau pun jauh di perantauan, selera tanah air sentiasa diutamakan.

Terbayang keseronokan pada hadirin yang hadir. Kemesraan mudah sahaja terjalin. Tiada batasan orang lama mahu pun orang baru. Moga ianya berterusan selamanya. Dalam ketenangan para ibu bapa beramah mesra, anak-anak pula tidak melepaskan peluang bersama rakan-rakan mereka bermain di taman permainan atau di padang bersebelahannya. Diselangi juga dengan majlis hari lahir ringkas untuk Izzati Wafir dan Maisarah Cikgu Din.

Sebagai pengisiannya, sesi suai kenal telah diatur. Ahli keluarga baru memperkenalkan diri mereka, antaranya Rudie-Dr. Ashrini, Shapawi-Marlini, Mohd Nor-Dr. Ziela, Hisham-Zurida, Mohizam-Dr. Norhana, Dr. Zaiton, Dr. Faiz dan beberapa orang lagi. Diikuti pula oleh ucapan perpisahan dari Arif-Yang yang akan pulang ke tanah air dalam masa terdekat.

Seterusnya, Ustaz Muhammad Razak (pelajar tahun akhir di Melbourne University) dijemput khusus untuk menyampaikan tazkirah. Ustaz menekankan betapa perlunya kita mendapatkan kefahaman jelas tentang kesyumulan Islam.

Beberapa isu hangat di tanah air kini seperti penggunaan kalimah Allah oleh penerbitan Kristian dan usaha-usaha terancang kelompok Islam Liberal turut disentuh oleh Ustaz Razak yang juga Presiden ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia). Tak secara langsung Ustaz berkempen, masuklah ABIM untuk memperjuangkan Islam…8). Terima kasih Ustaz.

Melewati waktu tengah hari, selepas merakamkan foto berkumpulan, masing-masing mula beredar pulang. Tidak dilupakan, juadah yang berbaki dibungkus untuk bekalan makan malam. Terima kasih pada semua. Moga ada hikmahnya dari perjumpaan kali ini.

Tuesday, January 12, 2010

Panasnya...

Panasnya musim panas di Australia (khususnya di Victoria) kini mula menunjukkan 'taring'nya. Semalam suhunya mencecah sehingga 43 darjah Celcius. Panas kering tanpa hujan. Membahang panas seawal pagi lagi sehinggalah kemuncaknya di waktu tengahari membawa ke petang.

Dokkoon di Melbourne Zoo pun terpaksa dimandikan
Suhunya sedikit menurun di sebelah malam tetapi masih terasa panasnya sehinggalah ke pagi ini. Bahang panas yang terperangkap di dalam rumah menambahkan lagi seksa. Tidur malam pun tidak selesa dibuatnya.
Ketiga-tiga bilik di rumah kami kesemuanya bertemankan kipas yang berpusing sepanjang malam. Air conditioner yang dipasang sebelum tidur pun tidak mampu menyejukkan persekitaran dalaman rumah.
Bacaan suhu di dalam rumah menjangkau sehingga 36 darjah Cecius. Diberitakan kepanasan melampau di malam hari yang mencatat sejarah sejak 102 tahun lalu. Wow... canggih betul simpanan rekod yang ada... ratusan tahun pun masih boleh diakses.

Hari ini pun bahang panasnya masih lagi terasa walaupun diramalkan suhunya sekitar 37 darjah Celcius. Diramalkan hujan akan turun di sebelah petangnya. Moga-moga betul bagai yang diramalkan.

Begitulah ketentuan dari Allah SWT. Ujian kepanasan dunia yang sewajarnya diinsafi. Kepanasan yang hanya kecil juzuknya jika dibandingkan dengan kepanasan di Padang Mahsyar, apatah lagi di Neraka.

"Ya Allah, jadikanlah kami hambaMu yang sentiasa mensyukuri setiap ni’mat kurniaanMu dan golongankanlah kami di kalangan mereka yang sentiasa bertaqwa. Ameen.. Ameen.. Ameen.. Ya Rabbal ‘a lamin".

Monday, January 11, 2010

Program Peneguhan Iman

Program Kem Ibadah atau biasanya dikenali Summer Camp amat popular terutama ketika musim cuti persekolahan. Lazimnya dikendalikan oleh perkumpulan tertentu dengan anak-anak sekolah menjadi tumpuan utamanya. Mereka ini akan didedahkan dengan ilmu pengetahuan keagamaan dan pendidikan moral yang asas tetapi mampu memberi kesedaran akan tanggungjawab mereka sebagai seorang Muslim.

Pada petang Sabtu baru-baru ini (09/01/2010), program seumpamanya, dikenali Program Peneguhan Iman telah diadakan di Monash Islamic Centre di Beddoe St, Clayton. Ianya diadakan khusus untuk anak-anak para pelajar post graduate di South Eastern Group yang berumur di antara 7 – 15 tahun. Setinggi-tinggi penghargaan kepada Sdr Rudie dan Dr. Ihsan serta para penggerak yang mengusahakannya.

Sokongan dari para ibu bapa amat menggalakkan. Kira-kira 40 orang anak-anak turut serta. Majoritinya dari Dandenong kerana hampir keseluruhan keluarga di Dandenong terdiri daripada anak-anak sekolah rendah dan menengah. Izzuddin, Hanisah dan Solehah juga tidak terkecuali dengan diletakkan di dalam kumpulan umur yang berbeza.

Menurut anak-anak, mereka amat seronok dengan program tersebut. Banyak perkara yang dipelajari, tambahan kepada ilmu yang sedia ada di dada. Kaedah pengendalian oleh para fasilitator yang mesra kanak-kanak turut menarik minat anak-anak. Moga usaha murni mereka mendapat keredhaan Allah. Ameen.

Anak-anak adalah amanah terbesar dari Allah. Sesungguhnya tanggungjawab ibu bapa dalam pendidikan anak-anak tidak terhenti di situ sahaja. Perlu ada tindakan susulan yang berterusan agar jiwa mereka sentiasa dipandu oleh ilmu keagamaan yang mantap. Apatah lagi berada di tengah-tengah masyarakat non-Muslim yang amat asing dan adakalanya bersyak wasangka terhadap Islam dan umatnya.

Cabaran dan dugaan dalam menyemai ilmu keagamaan ke sanubari anak-anak adalah amat berat tetapi itulah tanggungjawab seorang pemimpin rumah tangga yang bakal dipersoalkan di akhirat kelak. Amat dikhuatiri anak-anak akan menyalahkan ibu bapa kiranya mereka diabaikan. NauzubiLlahi min zalik.
Moga dikurniakan kekuatan dan dipermudahkan oleh Allah kepada kami dalam mendidik anak-anak mengenali Islam nan syumul. Berkekalan selamanya sehingga terbentuk zuriat yang soleh dan solehah. Penyejuk jiwa di dunia dan di akhirat. Ameen.

Aneka juadah pot luck turut disumbangkan oleh setiap keluarga yang dihidangkan di bahagian belakang masjid. Emm, sedap sekali dan amat menyelerakan. Program berakhir dengan solat Asar berjemaah. Seterusnya anak-anak bergegas pula ke Padang Anfield di Browns Rd untuk mengikuti sesi klinik bola sepak serta latihan bola jaring yang dikendalikan oleh ibu bapa yang berkemahiran.