Wednesday, December 30, 2009

SA > Perjalanan Ke Adelaide

Menghampiri tengahari Khamis (24/12/2009) kami check out dari Karinga Island Lodge. Terus kami ke Murray Mouth tidak jauh darinya untuk meninjau muara sungai yang unik. Pertemuan antara Murray River dengan Southern Ocean. Muaranya kecil sahaja dengan pasir pantai membatasinya. Justeru itu projek mengepam dilakukan bagi mengelakkannya dari tertutup. Usaha yang amat penting dalam memelihara ekosistem dan persekitaran Coorong National Park.

Dari kejauhan dapat dilihat alunan ombak menghempas pantai. Melewati muara sungai pula, airnya tenang sekali. Dua fenomena yang berbeza. Pemandangan sekitarnya amat cantik, memukau pandangan. Itulah keagungan ciptaan Allah.

Destinasi seterusnya adalah Port Elliot, kira-kira 10 km dari Hindmarsh Island. Sekadar menyusuri jalan sambil mengamati struktur binaan di sekitarnya. Hampir kesemuanya bangunan lama yang telah merakamkan sejarahnya yang tersendiri.

Singgahan kami adalah di Kleinigs Hill Lookout yang terletak menghadap Granite Island di Victor Harbour. Lukisan mural yang melatari pelantarnya amat menarik, mengisahkan kehidupan warga pribumi, Aborigines.
Menggunakan teropong jarak jauh yang disediakan, jelas dapat dilihat pemandangan pulau dan jambatan penghubung serta horse tram melintasinya. Kami tidak berkunjung ke Victor Harbour kerana pernah ke sana pada kunjungan kami ke Adelaide pada akhir tahun lepas. Bagi yang ingin mengetahui pengalaman kami di Victor Harbour, boleh selusuri entri terdahulu.
Koleksi foto di Murray Mouth dan Port Elliot dapat diakses di Album Foto Kami (Fleurieu Peninsula) atau klik di sini.

Menuju Adelaide, kami melencong dahulu ke Hahndorf Village, bandar tua Jerman yang terletak di Mt. Barker. Laluan utama di tengah bandarnya teduh di bawah payungan pokok rendah yang merimbun rendang.
Bangunan tinggalan lama di sepanjang jalan pula tampak unik sekali; antaranya Old Hahndorf Village, Old Hahndorf Market, German Village Shop, Icecreamery & Cafe, Hahndorf Inn dan juga meriam lama 8th Battalion.

Di Beerenberg Farm pula, kami membeli mini bottle fruit jam sebagai buah tangan kembali ke Melbourne. Sebagai makluman, Beerenberg tiada kaitan dengan beer (seperti Carlsberg) - ianya adalah nama pengusahanya yang berketurunan Jerman. Bersebelahan kedainya adalah ladang strawberi yang luas, dibuka kepada pengunjung untuk memetiknya. Bukan itu tujuan kami ke Beerenberg Farm kerana telahpun pernah mengalaminya sebelum ini.

Melewati jam 5:00 petang, sempat lagi kami mendaki bukit di Cleland Conservation Park menuju Mt. Lofty Summit yang terletak 710 meter dari aras laut. Bersebelahan mercu tandanya yang tinggi mendongak langit, dapat dilihat pemandangan luas Adelaide City dan persekitarannya. Ralatnya tiada teropong jarak jauh disediakan untuk pandangan yang lebih jelas. Bernasib baik binocular dibawa bersama.

Hampir sejam di Mt. Lofty, kami terus menuju ke Adelaide. Memasuki Adelaide terasa kelainan atmosferanya. Kesibukan Melbourne hilang berganti ketenangan Adelaide. Had laju kenderaannya hanya 60 km/jam.
Kenangan lama datang bersilih ganti. Terubat rasa rindu yang terpendam selama ini.
Sebahagian foto di Hahndorf, Beerenberg Farm dan Mt. Lofty terdapat di Album Foto Kami (Adelaide) atau klik di sini.

Tuesday, December 29, 2009

SA > Di Goolwa

Suasana pagi Rabu (23/12/2009) terasa begitu menyegarkan. Pemandangan di luar rumah tenang sekali. Menyedut udara pagi dari beranda di tingkat atas, menghadap kehijauan pepohonan dan bungaan di laman hadapan benar-benar mendamaikan hati. Teringat akan suasana kampung di Kuala Terengganu dan juga di Sepang.
Cuaca pada hari ini agak panas, sekitar 42 darjah Celcius. Misi kami di sebelah pagi adalah cockling (mencari kepah) di Goolwa Beach menghadap Southern Ocean. Itulah antara sebab utama kami menyinggah di Fleurieu Peninsula, mengimbas nostalgia lama di Goolwa.

Kami keluar dari rumah menjelang tengahari. Goolwa Beach hanya sekitar 5 km sahaja jaraknya. Kelihatan ramai sekali para pengunjungnya, masing-masing dengan surfing board. Sememangnya Goolwa Beach antara tumpuan utama penggemar surfing.

Panasnya udara persekitaran membuatkan kulit terasa perit. AlhamduliLlah, krim sun block yang disapu dapat mengelakkan kekeringan melampau. Debu pasir berterbangan ditiup angin tanpa henti ada ketikanya memedihkan mata. Air lautnya amat masin, kepingan putih air garam melekat di kulit apabila kering.

Berbekalkan baldi dan bakul jarang, kami sekeluarga turun ke laut. Pasir dikorek dengan tangan, terasa ketulan-ketulan licin. Adakala terasa lembut isinya yang menjulur keluar. Itulah kepah.
Bersama ombak yang menghempas pantai, seterusnya air laut surut kembali ke laut, kelihatan jelas kepah bergolek-golek turut sama menyusut turun atau tenggelam ditimbusi pasir. Berkejar-kejaran anak-anak mengejarnya. Kerapkali hempasan ombak kuat mendorong kami ke arah pantai. Keseronokan tanpa menghiraukan kepenatan dan kesejukan air laut. Dari kebanyakan pengunjung pantai, hanya beberapa kerat sahaja yang asyik dengan aktiviti seumpamanya.

Kepahnya amat banyak sekali. Namun mengecewakan kerana saiznya kecil sedikit dari yang biasa kami perolehi dahulu. Jika sebelum ini saiz sepertinya kami buang kembali ke laut tetapi kali ini terpaksa kami ambil juga. Tiada pilihan. Jika tidak kempunanlah jawabnya.

Hampir 3 jam berendam air laut tidak terasa lamanya. Semuanya ghairah mengutip kepah. Tidak disedari hampir 2 baldi dapat dikutip. Sebelum dimasak, direndamkan dahulu dengan air laut semalaman untuk mengeluarkan pasir di dalamnya. Rasanya manis sekali. Sedap dimakan walaupun sedikit berpasir. Solehah antara penggemar utamanya.
Koleksi foto dapat dilihat di Album Foto Kami (Fleurieu Peninsula) atau klik di sini.

Di sebelah petangnya kami keluar ke bandar Goolwa. Bermula dengan Tourist Information Centre, kami menerokai kawasan sekitarnya.
Hampir setiap pelusuk terdapat bangunan-bangunan bersejarah; antaranya Goolwa RSL, Railway Superintendent’s Cottage, Railway Station, Post and Telegraph Office, Goolwa Wharf, Signal Point, Hindmarsh Bridge, Australian Hotel, Corio Hotel, Goolwa Hospital, Custom House, Council Chamber dan Former Bank of SA.

Malamnya, selepas makan dan solat jamak, kami terus masuk tidur. Semuanya kepenatan. Ahh... leganya dapat merebahkan tubuh ke katil. Sekejap sahaja masing-masing terlena diiringi suara cengkerik bersahutan membelah kegelapan.

SA > Perjalanan Ke Hindmarsh Island

Adelaide adalah ibu negeri South Australia. Letaknya antara 800 – 1,200 km dari Melbourne, bergantung kepada laluan yang dilalui samada merentasi laluan tengah ataupun menyusur laluan pantai. Itulah destinasi jalan-jalan makan angin terjauh kami sekeluarga untuk Summer Holiday kali ini. Kami ke Adelaide pada minggu lepas, dari 22/12/2009 – 27/12/2009 (Selasa – Ahad).
Untuk perjalanan kali ini, kami memilih laluan pantai ke Fleurieu Peninsula. Menyinggah selama 2 hari di Hindmarsh Island sebelum bertolak ke Adelaide. Di Adelaide juga 2 hari, seterusnya bermalam di Hamilton sebelum bertolak pulang ke Melbourne pada hari Ahadnya.

Berkunjung ke Adelaide ibarat balik kampung kepada kami. Kali terakhir kami ke sana setahun yang lalu. Rindu untuk berjumpa dengan rakan taulan yang tinggal di sana. Bolehlah dikatakan kunjungan selamat jalan sebelum kami berangkat pulang ke tanah air pada tahun hadapan. Dikhuatiri tiada lagi kesempatan untuk ke sana apabila Laili semakin sibuk dengan penulisan tesisnya.

Kami bertolak dari Dandenong kira-kira jam 10:00 pagi melalui Western Hwy. Melewati waktu tengahari kami berhenti di Sawyer Park, Horsham untuk makan dan bersolat jamak. Taman yang sedikit terpinggir dari jalan utama dengan sungai kecil mengalir. Suasananya tenang sekali, amat sesuai untuk beristirehat.

Berpandukan navigator tanpa peta jalanan, kami seterusnya dibawa melalui Dukes Hwy menuju Meningie. Seterusnya diarahkan melalui laluan tidak bertar melintasi Coorong National Park, kawasan tanah berair (wetland) yang terkenal dengan migrasi ribuan burung setiap tahun sehinggakan dari Siberia, North Asia dan Artik.
Perjalanan sejauh lebih 30km akhirnya terputus di Pelican Point, terpaksalah kami mengundur balik ke Meningie. Hairan juga, bagaimana boleh tersilap jalan kerana pernah melalui laluan pantai ke Victor Harbour setahun yang lalu menggunakan navigator yang sama.

Satu pengajaran dan peringatan kepada kami, usah terlalu bergantung kepada navigator, peta jalanan perlu ada sebagai panduan yang lebih selamat dan cepat. Ada hikmahnya juga, sekurang-kurangnya ‘jauh berjalan luas pemandangan, tersesat jalan tambah pengetahuan’.

Dari Meningie, kami mengambil laluan ke Goolwa, menaiki feri (beroperasi 24 jam sehari) di Wellington merentasi Murray River. Melalui Wellington-Langhorne Creek-Strathalbyn seterusnya ke Goolwa menyaksikan penempatan bersejarah dengan pelbagai reka bentuk bangunan dan rumah lama di kiri kanan jalan.

Kami tiba di bandar Goolwa sekitar jam 9:30 malam. Hindmarsh Island terletak bersebelahannya dengan dihubungi oleh jambatan melengkung di tengahnya. Pencarian rumah tumpangan, Karinga Island Lodge berpandukan alamat yang diberi (Lot 482, Randell Road) sedikit menyulitkan. Apatah lagi dalam kelam malam tanpa lampu jalan. Di sekelilingnya hanya kelihatan pokok-pokok yang berbalam-balam seumpama hutan.
Setelah berkomunikasi dengan empunya rumah, Ms. Gabriele, barulah ditemui jalan masuknya di celah-celah pokok. Rupa-rupanya lot no tidak boleh dijadikan panduan, plate no sebagai gantinya, 022 682.

Rumah kayu 2 tingkatnya kelihatan menarik sekali. Biliknya ada 5 buah; 3 buah di tingkat bawah, selebihnya di tingkat atas. Salah satunya adalah Children Room yang dilengkapi katil, sofa, TV dan soccer game. Seronok sekali anak-anak bermain tanpa disedari malam telahpun semakin larut.
Kami memilih untuk menggunakan bilik-bilik di tingkat bawah. Apa pun kami tetap terpaksa naik ke tingkat atas kerana ruang tamu dan dapurnya terletak di tingkat atas. Penat di jalanan benar-benar melenakan kami sehinggalah dikejutkan keesokan harinya untuk solat Subuh.
Koleksi foto di Fleurieu Peninsula terdapat di Album Foto Kami atau klik di sini.

Tuesday, December 22, 2009

Bercuti ke South Australia

Insya Allah, hari ini kami sekeluarga akan bergerak menuju Adelaide, South Australia. Percutian yang telah dirancang sejak beberapa bulan lalu. Bukan sahaja untuk melancong tetapi paling utama adalah untuk berjumpa dengan rakan kenalan lama di sana.

Tahun hadapan adalah tahun terakhir kami di Melbourne. Kesibukan Laili menyiapkan tesis PhD-nya mungkin memendekkan langkah untuk bergerak jauh melepasi sempadan Victoria. Tambahan pula kini masyarakatnya dalam mood sambutan Krismas, elok juga kami mengambil kesempatan bercuti.

Insya Allah kami akan kembali ke Dandenong pada hari Ahad hadapan. Selama itulah, blog ini mungkin tiada entri baru.

Doakan moga perjalanan kami sekeluarga sentiasa di bawah peliharaan dan lindunganNya, dipermudahkan segala urusan dan dikurniakan keselamatan di sepanjang perjalanan. Ameen.

Selamat bercuti.

Monday, December 21, 2009

Izzuddin : Sambutan Akhir Tahun OTC

Petang Ahad, selepas beredar dari majlis makan-makan di rumah Uji-Peter, bersama keluarga Wafir-Suharti kami bergegas pula ke St. Mathews Primary School di Fawkner, hampir 50 km dari rumah. Majlis OTC End of Year Ceremony dijadualkan akan dilangsungkan pada jam 4:00 petang.
Majlis sambutan tahunan ini adalah anjuran Olympic Taekwondo Centre (OTC) pimpinan Master (7th Dan) Jemal Hasan, mengumpulkan kesemua kelab yang bernaung di bawah OTC. Izzuddin dan 2 orang anak Wafir-Suharti, Izzati dan Imran adalah antara ahli OTC Dandenong Club di bawah seliaan Master (5th Dan) Mohamed Jamshed Mohabbe.

Melewati jam 3:30 petang kami tiba di dewan sekolah di mana majlis dilangsungkan. Ibu bapa bersama anak-anak ahli OTC mula beransur-ansur tiba. Masing-masing segak sekali dengan seragam putih dengan pelbagai warna (tahap) tali pinggang. Ramai juga yang bertali pinggang hitam. Malah ada kanak-kanak kecil dengan tali pinggang berbelang, khusus untuk kanak-kanak bawah usia 6 tahun.
Majoriti daripada ahli OTC adalah Muslim. Tidak hairanlah bilik solat disediakan dan makanan yang dijual terjamin halal. Memudahkan semua untuk memenuhi tuntutan kepadaNya.

Majlis sambutannya bermula agak lewat, sekitar jam 5:00 petang. Penantian yang amat membosankan dengan suasana dewan yang sejuk dan bising. Persembahan dimulakan dengan aksi pattern dan tendangan oleh wakil Dandenong Club yang turut disertai oleh Izzati Wafir. Kepelbagai persembahan amat menarik sekali, diakhiri dengan persembahan oleh ahli Black Belt Senior dengan aksi-aksi akrobatik taekwondo. Namun pergerakan antara satu persembahan dengan persembahan selepasnya tidak kemas meninggalkan ruang masa menunggu yang panjang, melahirkan rasa bosan bagi penonton. Jika dapat dilakukan secara lancar pasti dapat melahirkan kekaguman semua. Malah dapat menjimatkan masa.

Agenda terakhir adalah majlis penyampaian cenderamata kepada para petugasnya yang berdedikasi. Diikuti penyampaian sijil dan tali pinggang kepada para ahli OTC yang disampaikan oleh Master Jemal Hasan. Bagi ahli OTC Dandenong Club, sesi ujian kenaikan tali pinggang (grading) telah dijalankan seminggu sebelumnya di Masjid Emir Sultan, Dandenong, lokasi latihan sejak sekian lama.

Tahniah kepada Izzuddin yang meningkat dari Blue Belt 3 kepada Red 1. Begitu juga kepada Izzati dari Blue Belt 3 kepada Red 1 dan juga adiknya Imran dari Yellow Belt 2 kepada Yellow Belt 3.

Selesai sahaja sesi penyampaian sijil, kami terus ke rumah Cik Din-Gee di Thomastown, tidak jauh dari sekolah. Memenuhi jemputan makan malam serta menunaikan solat Maghrib sebelum beredar pulang. Di rumah merekalah Laili berserta anak-anak yang lain menyinggah sehinggalah majlis sambutan berakhir sekitar jam 8:00 malam.
Keluarga Wafir-Suharti pula terus pulang ke Dandenong selepas majlis kerana telah pun kepenatan, esoknya pula perlu berkerja.

Jumpa-jumpa Akhir Tahun

Pagi semalam (Ahad) ahli keluarga Dandy Group berjumpa lagi. Kali ini di rumah Uji-Peter Scully di Caroline St, Dandenong. Majlis makan-makan yang bermula seawal jam 10:00 pagi dan berakhir sekitar jam 2:00 petang. Bolehlah dianggap sebagai gabungan sarapan pagi dan makan tengahari (brunch : breakfast-lunch). Selamatlah tidak payah makan di rumah…8)
Sebahagian foto dapat dilihat di Album Foto Kami atau klik di sini.

Kami sekeluarga tiba sedikit terlewat, mengerjakan dendeng untuk dibawa sebagai potluck. Hidangan juadah di meja panjang di laman belakang rumah menarik sekali. Ada nasi kerabu, laksa penang, nasi lemak, nasi kuning, mee goreng, puding, kek dan bermacam lagi. Peluang makan yang tidak seharusnya dilepaskan, apatah lagi dengan citarasa Malaysia yang tidak lekang walaupun jauh di perantauan.

Ramai juga rakan-rakan yang hadir termasuk ahli baru Dandy Group, pasangan Rashidah-Craig Pursley yang tinggal di Chadstone (kini telah berpindah ke Blackburn South). Masing-masing terbayang keseronokan dapat bertemu muka, bertanya khabar berita dan berkongsi cerita. Anak-anak apatah lagi. Inilah peluang yang amat ditunggu-tunggu oleh mereka.

Majlis makan-makan turut diserikan dengan majlis ringkas sambutan hari lahir ke-13 untuk anak kami, Izzuddin dan rakannya, Nazhan Hanif yang ke-12. Kek yang disediakan oleh Sham, ibu Nazhan amat menarik dan sedap sekali. Terima kasih Sham. Elok sekali jika dipromosikan di kalangan rakan-rakan Malaysia bagi yang berhajat.

Sekitar jam 1:30 petang, kami mula memohon diri untuk beredar pulang. Segan juga untuk pulang awal sebelum majlis berakhir tetapi sudah terpaksa. Selepas solat Zohor kami harus bergegas pula ke Fawkner untuk menghadiri OTC (Taekwondo) End of Year Ceremony untuk Izzuddin yang dijadualkan bermula jam 4:00 petang. Malah jemputan majlis hari lahir anak Dr. Faizal-Dr. Rahana, Al-Qays di sebelah petangnya pun tidak dapat dipenuhi. Maaf.

Terima kasih kepada semua. Insya Allah kita ketemu lagi di lain ketika.

Sunday, December 20, 2009

Memetik Ceri di Bukit Merah

Cherry picking. Itulah perjalanan makan angin kami yang pertama sempena cuti sekolah yang baru bermula. Destinasi kami tahun ini adalah Ladang Ceri Bukit Merah (Red Hill Cherry Farm) di Red Hill, Mornington Peninsula kira-kira 60 km dari Dandenong. Bersama kami adalah Dr Zaiton berserta 2 anak gadisnya yang baru tiba dari Sandakan dan iparnya. Turut serta Dr. Faizal-Dr. Rahana sekeluarga yang bertemu janji jumpa di ladang ceri.
Koleksi foto ada di Album Foto Kami atau klik di sini.

Pada pagi Sabtu (19/12/2009), kami bertolak dari rumah kira-kira jam 10:00 pagi dan tiba di ladang sejam selepasnya. Terdapat beberapa ladang ceri di sekitarnya. Menariknya, kesemua ladang diselubungi jaring besar yang disangga besi untuk mengelakkan serangan serangga. Pemandangan yang berbeza dari ladang ceri di Dandenong Ranges yang terbuka.

Red Hill Cherry Farm kelihatan luas tapi hanya sebahagian sahaja dibuka untuk aktiviti U Pick. Bayaran masuknya mahal sedikit, $10 untuk dewasa dan $5 untuk kanak-kanak 10 tahun ke atas. Bernasib baik anak-anak semua masuk percuma. Harga sekilogram juga mahal, $12 berbanding harga di Dandenong Market antara $5 - $10/ kg. Tidak mengapalah, asalkan dapat merasai pengalaman memetik ceri terus dari pokok sambil makan sepuas-puasnya. Namun buahnya tidak banyak lagi yang tinggal kerana musim memetiknya telah lama bermula, sejak awal bulan lepas lagi.

Keadaan cuaca pada hari tersebut tidak menentu. Di jalanan lagi hujan dan panas berselang seli. Begitu juga ketika di ladang. Adakala hujannya lebat hingga terpaksa berlindung di bawah pokok ceri tapi hanya sekejap sahaja. Langsung tidak menganggu aktiviti memetik buahnya.

Para pengunjung ladang ramai juga, majoritinya berketurunan Cina. Para petugas ladang pula kelihatan mundar-mandir di sana-sini sambil menegur dan menunjuk ajar kaedah yang betul memetik ceri tanpa merosakkan pokok dan buahnya – disarankan hanya buah berwarna gelap (masak) sahaja dipetik dengan menolak tampuk tangkainya ke atas. Adakala geram juga di hati melihat kanak-kanak merentap buahnya sesuka hati. Buah ceri yang tidak diperlukan pula bertaburan di bawah pokok. Betul-betul membazir.

Anak-anak tampak seronok sekali memetik ceri sambil memakannya. Jika tidak berhati-hati boleh mengakibatkan pakaian, tangan dan muka comot terkena air buah yang berwarna merah gelap. Seronoknya anak-anak hanya seketika, selepas itu terus meminggir ke tepi sambil bermain sesama mereka.

Melewati waktu tengahari kami sekeluarga beredar pulang selepas membeli biskut dan kek di kedai makanan ladang, Red Hill Kitchen. Dr Zaiton sekeluarga pula melencong ke tempat lain, meninjau tempat-tempat menarik di Mornington Peninsula. Kami tidak dapat menyertai mereka kerana Izzuddin ada klinik bola sepak dan kriket di sebelah petangnya.