Friday, July 31, 2009

2 Tahun @ Melbourne

Hari ini, 31/07/2009 – genap 2 tahun kami berada di Melbourne. Terasa begitu cepat masa berlalu. Jika tiada aral, tinggal lagi 1 – 1 ½ tahun untuk kami berkelana di perantauan. Insya Allah Laili bakal menamatkan pengajiannya (PhD in Geriatrics) di Monash University di pertengahan tahun hadapan (2010) atau pada akhir tahunnya, bergantung kepada keadaan dan keupayaan.

Sehari selepas tiba di Melbourne, masih kesejukan
Dalam jarak masa 2 tahun berlalu, terlalu banyak rencah kehidupan yang dilalui. Pahit dan manis adalah resamnya. Namun banyak pengalaman dan pengetahuan yang dapat dikutip, direnungi dan dipelajari. Mana yang baik disyukuri dan cuba diamali, manakala yang buruk dan kurang sesuai disisihkan penuh hati-hati. Sebahagian daripadanya telah dikongsi bersama dalam entri-entri terdahulu. Insya Allah, selebihnya akan dimuatkan dari masa ke semasa.

Kepelbagaian bangsa, keturunan, asal usul, agama anutan dan persekitaran mewarnai kehidupan seharian. Kami amat bersyukur dapat tinggal di Dandenong. Umat Islamnya ramai terutama dari keturunan Turkish, Afghanistan dan Somalia. Secara tidak langsung masyarakat sekeliling telahpun terbiasa dengan anutan dan budaya komuniti Muslim. Masjid Emir Sultan juga tidak jauh daripada rumah, amat mudah dan selesa untuk beribadah secara berjemaah.

Beraya di Melbourne
Dengan kemajmukan masyarakat Muslimnya, pengamalan mengikut mazhab berbeza adalah perkara biasa. Walaupun majoritinya bermazhab Hanafi, pengikut mazhab lain tidak kekok untuk beribadat mengikut kaedah yang biasa diamali. Sedikit sebanyak kita sendiri pun dapat memahaminya. Ukhwah yang terjalin tampak begitu murni atas dasar akidah yang sama. Benarlah bahawa Islam itu indah.

Begitu juga hubungan sesama rakyat Malaysia di perantauan tanpa mengira bangsa, agama dan ideologi. Semangat kekeluargaan dan persaudaraannya begitu intim dan utuh sekali. Merekalah rakan, merekalah saudara dan merekalah juga keluarga. Susah dan senang dikongsi bersama. Malah keakrabannya adakala menjangkaui sempadan negara di mana rumpun Melayu Malaysia, Singapura, Indonesia dan juga Brunei yang menetap di Melbourne kini ibarat satu keluarga.

Sumber makanan halal pula amat mudah diperolehi. Sumber makanan bercita rasa Asian, termasuk dari Malaysia juga senang ditemui, seperti belacan, gula melaka, kicap, maggi dan pelbagai lagi. Sekurang-kurangnya dapat mengubat rindu akan makanan Malaysia. Apatah lagi jika diadakan sesuatu majlis bersama rakan-rakan Malaysia, bermacam-macam juadah tanah air dapat dirasai bersama.
Persekolahan anak-anak juga berjalan lancar. Sistem pendidikannya terutama peringkat sekolah rendah lebih santai daripada di Malaysia - tidak berorientasikan peperiksaan dan tidak terlalu akademik. Beg sekolahnya ringan sekali, hanya bermuatkan makanan bekal dan adakala sebuah dua buku untuk kerja sekolah. Cuma pendidikan agama Islam perlu dicari sumber lain, samada diajar sendiri oleh ibu bapa ataupun ke masjid, pusat Islam ataupun mencari pengajar berbayar.
Jalan-jalan makan angin
Dikesempatan yang ada dengan anugerah rezeki dariNya, kami berpeluang berjalan-jalan makan angin di Melbourne dan sekitarnya serta beberapa kali melewati sempadan Victoria. AlhamduliLlah.

Di dalam kemanisan ada juga pahitnya. Budaya dan cara hidup majoriti masyarakatnya agak bebas dan kemodenan. Pergaulan bebas, perlakuan tidak senonoh, minum arak, penagihan dadah dan perjudian antara barah sosial yang amat mudah ditemui di mana-mana. Suasana yang dirasakan amat tidak sesuai untuk pendidikan sosial anak-anak.

Untuk hari-hari mendatang, diharapkan kami sekeluarga sentiasa di bawah lindungan Illahi. Segala harapan dan impian terpenuh hendaknya. Ameen.

Wednesday, July 29, 2009

Bingkisan Sdr Muslim @ Malaysia

E-mel dari Sdr Muslim Mustapha untuk rakan-rakan di Melbourne, khususnya South Eastern Group @ Clayton, Springvale, Dandenong dan sekitarnya.
Assalammualaikum,
Alhamdulillah kami telah selamat sampai di Malaysia pada pagi Sabtu 25/7 yang lepas. Kami sekeluarga kini sihat dan sedang menyesuaikan diri balik dengan cuaca dan suasana di Malaysia.
Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih di atas segala pertolongan yang telah diberikan oleh South Eastern family members. Semangat kekeluargaan yang ditunjukkan di dalam famili South Eastern ini telah banyak mengurangkan rindu kepada keluarga dan suasana di Malaysia.
Kami juga sangat terhutang budi kepada segala pertolongan yang telah diberikan kepada kami dari Balkhis mengandung sampailah Madeehah dilahirkan. Pengalaman melahirkan anak pertama di OZ tanpa ada orang tua disisi adalah peristiwa yang tidak akan kami lupakan.
Peristiwa ini yang menguatkan lagi rasa kekeluargaan kami dengan South Eastern members kerana terlalu ramai members yang tampil menawarkan pertolongan tanpa diminta, membantu kami dengan segala pengalaman dan ilmu yang mereka ada dan memberikan sokongan moral. Banyak lagi peristiwa-peristiwa menarik yang tak terungkap yang akan menjadi memori indah kami bersama keluaga South Eastern.
Semoga semangat kekeluargaan yang telah terbentuk ini akan berterusan walau di mana jua kita berada. Kami mohon maaf jika ada South Eastern members yang ada terasa hati dengan kami ataupun jika kami gagal menunaikan hak-hak mereka ke atas kami. Kami mohon doa daripada South Eastern members agar kami akan diberikan kejayaan di dunia dan akhirat.

Sunday, July 26, 2009

Pulang Ke Tanah Air

Bagi perantau yang mencari ilmu, sampai ketikanya mereka perlu kembali ke tempat asal. Apatah lagi jika kedatangan mereka dibiayai oleh majikan mahupun kerajaan.
Begitulah keadaannya rakan-rakan di Melbourne ini. Awal pagi Sabtu baru-baru ini (25/07/2009), Dr. Ruziaton (Kak Ruzi), Dr. Maimunah (Kak Mai) dan Muslim bersama isterinya, Balqis dan anak mereka, Mardihah berangkat pulang ke tanah air.

Kak Ruzi dan Kak Mai berada di Melbourne sejak November tahun lepas. Mereka mengikuti latihan kerja (job attachment) berpusat di Monash University, Nottinghill (Clayton) dengan pengkhususan dalam bidang-bidang tertentu. Kak Ruzi terlibat dengan warga tua, manakala Kak Mai berkaitan dengan remaja.

Mereka berdua amat rapat dengan keluarga kami. Ketika mula tiba di Melbourne, mereka tinggal bersama kami dan mereka juga sama fakulti dengan Laili di universiti. Anak-anak perempuan kami, Solehah dan Hanisah pula amat manja dengan mereka, acap kali juga bermalam di rumah mereka di Oakleigh East. Malah kerap melancung bersama, antaranya ke Adelaide, Bright, Mornington Peninsula dan juga di sekitar Melbourne.

Sebelum berangkat ke Melbourne Airport, malam Sabtunya mereka berkumpul di rumah Halimaton, jiran mereka di Oakleigh. Kami pun turut ke sana. Kak Siti Dandenong (Dr. Siti Aminah), keluarga Iwan dan Aswadi pun turut bersama. Riuh rendah rumah dengan gelak ketawa dan usik mengusik. Begitulah kemesraan yang sedia terjalin walaupun perkenalannya tidaklah lama. Dalam keceriaan terbayang rona kesedihan menghadapi perpisahan yang bakal dihadapi tidak lama selepasnya.

Mereka keluar dari rumah sekitar jam 8:45 malam menaiki 2 buah teksi tuan rumah mereka, Cina Malaysia. Dengan kemudahan cab voucher dari universiti (dibiayai), tidak perlulah rakan-rakan menghantar mereka ke lapangan terbang, cukup sekadar melambaikan tangan sebelum teksi bertolak pergi. Bukannya tidak ingin menghantar sehingga sebelum berlepas tetapi rasanya ia lebih memudah dan memberi keselesaan kepada semua.

Pada malam yang sama, Muslim sekeluarga juga berlepas pulang ke tanah air setelah Muslim tamat pengajian peringkat sarjananya selama 1 ½ tahun di Monash University. Muslim kini adalah pensyarah kejuruteraan di Universiti Malaysia Perlis. Mereka juga tinggal di Clayton. Terlupa pula mereka berangkat pada masa yang sama dengan Kak Ruzi dan Kak Mai. Namun, kami telah bersua dan saling bermaafan ketika Majlis Pot Luck di rumah Tg Rashdan pada minggu lepasnya.

Ketika singgah bersolat Isyak di Monash Islamic Centre malamnya, bertemu Muslim di sana. Sememangnya masjid sentiasa menjadi tumpuan beliau walaupun beberapa jam lagi akan berangkat pulang. Selepas solat, beliau telah dijemput memberi ucapan oleh imam. Perpisahan yang menyentuh perasaan bagi para jemaah tetap masjid.

Untuk Kak Ruzi, Kak Mai dan Muslim sekeluarga… ampun maaf seikhlasnya atas segala salah-silap kami. Moga persahabatan dan persaudaraan yang terjalin tetap utuh sepanjang zaman. Doakan kesejahteraan untuk kami di perantauan. Insya Allah dipertemukan di kemudian hari. Ameen.

Tuesday, July 21, 2009

Tetamu Adelaide - Keluarga Dr. Jali

Salam. Kami dah sampai mlm td kul 8.00pm. AlhamduliLlah.

Begitulah mesej telefon bimbit (SMS) yang diterima dari Dr. Nita dari Adelaide pada pagi Sabtu baru-baru ini. AlhamduliLlah perjalanan kira-kira 10 jam beliau sekeluarga dari Sydney ke Adelaide terpelihara dan dilindungi Allah SWT, selamat pergi dan selamat kembali.

Dr. Nita dan suaminya, Dr. Jali adalah kenalan lama kami ketika Laili mengikuti pengajian sub-course di Flinders University, South Australia pada tahun 2006. Mereka telah lama menetap di Adelaide setelah menamatkan pengajian mereka di Australia. Ikatan persaudaraan yang sedia terjalin antara kami terus berkekalan dan sering berhubungan.

Bersama 3 anak mereka; Husna, Humairah dan Hani Sakinah, mereka telah datang berkunjung ke Melbourne pada hari Ahad minggu lepas. Sekolah di South Australia pula sedang bercuti 2 minggu. Sememangnya mereka amat kuat semangat. Demam yang dihidapi oleh kesemuanya tidak mematahkan hajat mereka. Tambahan pula ianya tidak dapat dielakkan. Penginapan sewa berdekatan Mt. Buller telahpun berbayar. Manakala temujanji di Kedutaan Malaysia, Canberra ACT telah ditetapkan, jika tidak perlu menunggu 3 bulan lagi.

Mengikut perancangan, mereka akan bermalam di rumah kami pada hari Ahad malam Isninnya tetapi tidak menjadi. Ketika singgah di rumah rakan lama mereka di Altona (sebelum Melbourne CBD), Jali dan anak-anak sudah tidak bermaya lagi, terus mereka bermalam di situ. Kasihan.

Keesokan harinya, mereka singgah makan tengahari dan solat jamak di rumah kami. Pertemuan melepas rindu setelah lama tidak bersua. Kali terakhir berjumpa pada akhir tahun lepas ketika kami berkunjung ke Adelaide. Hanisah dan Solehah amat teruja untuk berjumpa Husna, Humairah dan Hani, namun tidak kesampaian kerana kedua-duanya ke sekolah. Insya Allah berjumpa di lain kesempatan.

Dari rumah kami (berbekalkan nasi himpit dan dendeng), mereka terus menuju ke Lake Mountain kerana anak-anak asyik bertanyakan “mana saljinya”. Sekurang-kurangnya terungkai keinginan mereka memandangkan Mt. Buller masih lagi jauh untuk ditujui. Seterusnya mereka ke Mansfield untuk bermalam sebelum naik ke Mt. Buller keesokan harinya. Hari Khamis pula mereka mempunyai temujanji di Canberra dan bermalam di Sydney, di rumah kenalan mereka.

Kami mengharapkan mereka singgah di Melbourne dan bermalam di rumah kami ketika dalam perjalanan pulang ke Adelaide. Itupun jika mereka merasa kepenatan di jalanan. Nampaknya mereka memang kuat semangatnya. Mungkin juga demam pun dah pun kebah apabila dapat menyentuh salji di Mt. Buller…8)

Apa pun, terima kasih kerana sudi bertandang ke rumah kami. Sampai juga mereka setelah kerap kali kami menjemputnya. Insya Allah ketemu lagi di lain ketika.

Monday, July 20, 2009

Pot Luck Dandenong

Telah lama kami, warga Malaysia di Greater Dandenong tidak mengadakan majlis bersama. Kali terakhir kira-kira 5 bulan lalu d rumah Lajiman-Suraya ketika Majlis Perpisahan Nordin-Yati-Zuran yang pulang ke tanah air setelah tamat pengajian mereka di Melbourne.

Hasrat untuk berjumpa dan beramah mesra seumpamanya telah lama diluah dan dibayangkan. Akhirnya impian tersebut menjadi kenyataan pada petang Sabtu lalu (18/07/2009). AlhamduliLlah.

Perjumpaan yang berkonsepkan pot luck kali ini diadakan di rumah Tg. Rashdan-Zura di Alexander Avenue, Dandenong. Terima kasih kepada tuan rumah yang sudi menjadi hos. Cadangan majlis berkenaan yang diwar-warkan seminggu sebelumnya ternyata mendapat sambutan amat menggalakkan. Noh-Rafidah telah menghadiahkan seekor lamb (aqiqah Nawfal) untuk BBQ. Malah perbelanjaan sebahagian daripada majlis adalah sumbangan para dermawan. Begitu juga kepada penyumbang pot luck. Terima kasih kepada semua.

Cuaca pada hari berkenaan sedikit mengusarkan. Panas dan redup kerap bersilih-ganti diiringi angin yang sentiasa bertiup. Suasana sejuk-panas yang menyegarkan. AlhamduliLlah ianya berterusan begitu, hujan tidak turun, cuma sekadar gerimis di akhir majlis.

Majlis yang bermula seawal jam 1:00 tengahari (selepas waktu Zohor) benar-benar mendapat sambutan. Hampir kesemua keluarga Dandenong-Noble Park-Blackburn seramai 17 keluarga (berjumlah sekitar 80 orang) hadir.
Meja juadah yang menghadap kolam renang di belakang rumah melimpah-ruah dipenuhi pelbagai makanan berat dan pembasuh mulut (dessert) yang dibawa oleh setiap keluarga. Amat menyelerakan sekali. Dari nasi ayam, BBQ lamb-ayam-sosej, mee goreng, spaghetti, salad sehinggalah berjenis-jenis kueh-mueh serta buah-buahan. Tidak larat untuk menjamah rasa kesemuanya sekali.

Turut sama memeriahkan majlis adalah penyertaan keluarga baru di Dandenong, pasangan Syahril-Maizatul (kedua-duanya melanjutkan pengajian - Monash University, Clayton dan Melbourne University) serta keluarga Hisham (melanjutkan pengajian di Monash University – Caufield). Selamat datang kepada mereka.

Pada masa yang sama kami menjemput rakan-rakan dari Clayton dan Frankston yang bakal menamatkan pengajian/ latihan kerja mereka dan akan pulang ke tanah air dalam masa terdekat, antaranya Muslim, Fahmi dan Zainah. Dr. Maimunah, Dr. Ruziaton dan Norhaini pula tidak dapat datang kerana mempunyai urusan penting. Mohon maaf seikhlasnya atas segala kesilapan, moga ketemu di lain kesempatan.

Di samping itu ianya menjadi majlis perpisahan sementara untuk keluarga Noh-Rafidah (kedua-duanya belajar) dan Zainah Huzaizi yang bakal pulang ke tanah air untuk urusan pengumpulan data pengajian mereka selama 2 hingga 3 bulan. Insya Allah ketemu lagi.
Koleksi foto terdapat di Album Foto Kami (Pot Luck Dandenong) atau klik di sini.

Kemesraan sesama sendiri jelas kelihatan di mana-mana. Saling bertegur sapa dan berbual mesra. Bercerita dan berkhabar berita bagaikan telah terlalu lama tidak bersua muka. Sekelompok di sana, sekelompok di sini. Terbayang kepuasan dan keseronokan pada setiap wajah.

Tidak terkecuali anak-anak, masing-masing dengan kelompok usia mereka. Anak-anak remaja lelaki tergesa-gesa makan, terus berkejar ke padang di hadapan rumah untuk bermain bola sepak. Anak-anak remaja perempuan pula tenang makan di hadapan kolam renang dan berjalan beriringan menyusur laluan ke padang. Anak-anak kecil pula dengan kelompok mereka, berkejaran di laman rumah. Suasana yang amat meriah sekali.

Dari cakap-cakap sesama ibu-bapa, telah terbayang untuk mereka berjumpa sekali lagi dalam masa terdekat sebelum tibanya Ramadhan kira-kira sebulan lagi. Insya Allah jika ada yang sanggup menjadi tuan rumahnya.

Menjelang jam 4:00 petang, masing-masing mula berkemas apa yang patut. Sekejap sahaja, setiap bekas licin tidak berbaki. Malah bertukar isinya akan juadah baru yang diidami, lebihan dari hidangan. AlhamduliLlah, semangat setiakawan yang amat bermakna sekali.

Thursday, July 16, 2009

Berakhirnya Cuti Penggal Ke-2

Mulai awal minggu ini, Penggal ke-3 (juga Semester ke-2) persekolahan di Victoria ini telah pun dibuka. Rutin kehidupan anak-anak sebagai pelajar kembali mewarnai hari-hari yang bakal dilalui. Keluar rumah jam 08:30 pagi dan tamat kelas pada jam 03:30 petang. Malam pula, selepas mengaji dan solat Isyak mereka menelaah buku dan menyiapkan kerja sekolah yang diberikan. Jarang sekali mereka menonton TV kecuali ada cerita menarik disiarkan, itupun perlu disiapkan dahulu kerja sekolah kiranya ada.

Selama 2 minggu bercuti Penggal Ke-2 baru-baru ini, kebanyakan masa mereka dipenuhi dengan kegiatan harian bersama keluarga, sesekali keluar bersama rakan-rakan sepermainan ketika cuaca cerah. Seminggu sekali pula mereka berkunjung ke Dandenong Library untuk meminjam buku, majalah dan juga DVD.
Seawal minggu pertama, mereka dibawa ke Mt. Buller untuk bermain salji. Berkongsi chalet 3 bilik bersama keluarga Zamri yang turut disertai anak-anak mereka yang sebaya dengan anak-anak kami. Seronok mereka apabila dapat bersama.

Pada akhir minggunya pula dibawa berjalan-jalan menimba pengetahuan di Melbourne Museum serta menonton dokumentari Under The Sea 3D, juga di tempat yang sama.
Ketika ibu mereka ke Paris selama 5 hari di minggu ke-2 cuti sekolah, banyak masa mereka dihabiskan di rumah. Di samping bertungkus lumus menyiapkan kerja sekolah musim cuti, di masa tertentu mereka menonton TV, DVD dan juga membaca. Adakalanya mereka bermain computer games, monopoly dan juga puzzles. Sesekali bermain di laman belakang ketika cuaca terang dan sedikit panas.

Izzuddin pula lebih panjang langkahnya. Ketika cuaca panas (tapi sejuk), disetkan temu janji bermain kriket bersama rakan-rakan Malaysia di padang sekolah di sebelah petangnya selepas solat Asar sehinggalah terbenamnya matahari. Aktiviti yang baik dan menyegarkan berbanding memerap sahaja di rumah. Latihan Tae Kwon Do-nya pun berjalan seperti biasa, 3 kali seminggu.

Namun ada ketikanya terluah juga rasa bosan mereka berada di rumah tetapi tidak lama selepas itu kembali ceria dengan aktiviti masing-masing. Malamnya mereka kerap tidur lewat, kebenaran yang hanya dihadkan di musim cuti sekolah.

Monday, July 13, 2009

Pengalaman di Paris

Berikut adalah catatan ringkas Laili pengalaman singkatnya berada di kota raya Paris. Sebahagian foto terdapat di Album Foto Kami (Paris) atau klik di sini.
Saya berada di Paris selama 3 hari 2 malam dari 07/07/2009 sehingga 09/07/2009 kerana menghadiri XIXth IAGG World Congress of Gerontology and Geriatrics bertempat di Palais des Congress. Peluang dan pengalaman yang amat bernilai terutama dalam perkongsiaan pengetahuan berkaitan warga emas dari serata dunia.

Tidak banyak masa untuk saya melancung di sekitar kota raya Paris. Hanyalah sekitar 4 - 5 jam waktu terluang selepas konferens sebelum malam menjengah. Itulah sahaja masanya, sekadar berjalan meronda jalan-jalan berdekatan dengan hotel penginapan. Hampir saban hari hujan turun, sedikit sebanyak membantutkan pergerakan.

Persekitaran Paris amat menarik sekali. Bangunan-bangunannya begitu artistic, historical, grand dan cantik dengan ukiran-ukiran unik, tegap melatari hampir keseluruhan kota rayanya. Kagum dengan kehalusan seni mereka yang masih terpelihara menungkah kemodenan. Terasa Melbourne mahupun Malaysia tidak dapat menandinginya.
Pemandangannya juga cantik. Di sesetengah tempat, ianya tampak ceria sekali dengan bunga-bungaan berkembang mekar mengimbangi kesibukan manusia di sekitarnya. Berklik klak foto diambil sehinggakan tak sampai 2 hari bateri kamera kehabisan, sesuatu yang tidak pernah dialami sebelumnya. Nasib baik dibawa charger bersama, jika tidak rugilah…

Hari pertama, lewat petang saya berjalan dari hotel menyusuri Ave de Wagram ke Place Charles de Gaulle di mana terletaknya Arc de Triomphe (foto sebelah). Bangunan bersejarah seakan pintu masuk kubu tersergam megah di tengah-tengah 12 simpang jalan. Seterusnya berjalan lagi melalui Ave des Champs-Elysees sehingga tiba di Road Point. Terpandang tanda arah ke Grand Palais dan Petit Palais tetapi laluannya terlalu gelap, menakutkan, terus sahaja pulang ke hotel. Singgah seketika di kedai cenderahati di Arc de Triomphe. Walaupun harganya mahal, namun dibeli juga, khuatir tidak berkesempatan membelinya di kemudian hari.

Petang hari kedua, dari Ave de Wagram, saya menyusuri pula Ave Kleber dalam keadaan hujan begerimis. Seterusnya gerimis bertukar lebat (terpaksalah dibeli payung cikai tapi mahal) setibanya di Place du Trocadero di mana terletaknya Palais de Chaillot, juga bangunan bersejarah yang unik.

Dari kejauhan, jelas kelihatan gah berdiri Eiffel Tower (orang Perancis sebut ‘Tour’). Tidak larat lagi untuk berjalan, senang cerita naik sahaja bas pelancongan dengan bayaran 24 Euro (untuk 2 hari, itu sahaja pakej termurah – rugi lagi).
Hentian pertama betul-betul di hadapan Eiffel Tower. Seni bina yang amat mengkagumkan walaupun bagi yang “buta seni” seperti saya. Tidak hairanlah ianya menjadi ikon utama Paris dan Perancis. Antara hentian seterusnya adalah Hotel des Invalides, La Madeleine (foto sebelah), Musee du Louvre, Cathedrale Notre-Dame (foto bawah), Arc de Triomphe dan juga Trocadera.

Berhajat juga untuk menaiki bot pelancongan menyusuri sungai/ terusan La Seine yang melingkari tengah kota tetapi rasa penatnya seakan nak pengsan. Terus sahaja pulang ke hotel. Terasa amat rindukan keluarga di Melbourne. Amat berharap dapat membawa mereka ke Paris di suatu hari nanti. Tunggulah sehingga Imran meningkat usianya; mengerti dan menghargai seni. Dalam usia 5 tahun sekarang, pasti Imran akan terasa jemu melihat semuanya itu. Insya Allah.

Umumnya, Paris sememangnya kota untuk golongan kaya dan terkenal tetapi tetap seperti zaman Quasimodo dahulu. Masih ada yang merempat dan mengemis, cuma mereka bukan sahaja setakat etnik Gypsy tetapi turut sama pendatang luar termasuk segelintir Muslim, antara yang ditemui dari Bosnia dan juga Egypt. Gambaran kurang elok jika dikaitkan dengan Islam.

Lalu lintasnya juga “crazy” (diakui oleh pemandu bas IAGG Shuttle) tetapi rasanya tidaklah seteruk Kuala Lumpur yang adakalanya kurang ajar dan tidak menghormati pemandu lain dan pejalan kaki. Namun pemandu di Paris lebih crazy dari Melbourne tetapi kebanyakan jalannya lebih besar dari Melbourne.

Untuk mencari cenderahati, didapati kedai-kedai di sekitar Notre-Dame lebih murah dan lebih banyak pilihan berbanding di tempat-tempat yang pernah disinggahi sebelumnya. Contohnya, dengan duit 10 Euro, kita boleh dapat 4 keping fridge magnet di Notre-Dome, sedangkan di kiosk Eiffel Tower hanya 3 keping sahaja. Di Arc de Triomphe lagi mahal, 7 Euro sekeping, istimewanya diletakkan dalam plastik.

Begitulah sepintas lalu yang sempat dicatatkan sebagai kenang-kenangan.