Monday, July 9, 2018

California > Solat, Puasa dan Raya

Kami bertolak dari KLIA pada 10-Jun (Ahad). Berbuka puasa ketika transit di Hong Kong - genaplah 25 hari kami berpuasa. Tiba di California, masih pada tarikh yang sama, 10-Jun sedangkan kami sedang berpuasa untuk hari ke-26. Kebetulan juga hari ke-26 di California kerana mereka berpuasa awal sehari daripada Malaysia. Hari Rayanya pada hari Jumaat, maka kami wajib berpuasa 30 hari walaupun di Malaysia hanya 29 hari sahaja.

Sesi Tazkirah Ringkas selepas Solat Subuh
Puasa dan Tarawikh-Witir

Waktu Subuh di California sekitar jam 4:15 pagi. Pukul 3:30 pagi semuanya bersedia untuk bersahur. Makanannya ala kadar sahaja ikut apa yang ada samada yang dimasak ataupun dibeli ketika berbuka.

Waktu Maghribnya pula lewat sedikit, kira-kira jam 8:30 malam. Adalah dalam 16 jam setengah lamanya berpuasa. Mungkin kerana dah biasa berpuasa, maka tidaklah terasa sangat walaupun siangnya kami bergerak ke merata ceruk melihat keindahan dan kelainan yang ada di negara Uncle Sam.

Seusai berbuka, kami bersolat jamak. Biasanya kami menunggu Isyak sekitar jam 10:00 untuk menunaikan solat sunat tarawikh dan witir. Tidak larat nak ke masjid kerana setiap malam terasa begitu penat - mungkin jet lag pun belum hilang. Tambahan pula; menurut Iddin, lazimnya solat tarawikh dan witirnyanya lama demi menghabiskan satu juzuk al-Quran satu malam.

Bersama Tuan Roslan dan Puan Aisyah
Sambutan Raya

Berlaku sedikit kekeliruan tentang penetapan Hari Raya. MSA dan Pusat Islam di Davis telah mengisytiharkan Eid Fitr pada hari Khamis sedangkan lain-lain tempat di California menetapkannya pada hari Jumaat.

Apa yang perlu dilakukan? Mudah sahaja... Iddin di UC Davis ikut sahaja ketetapan komuniti Islam di situ, kami di Sacramento ketika itu ikutlah qariah di mana kami berada.

Pada malam Hari Raya, kami mendapat jemputan daripada Tuan Roslan-Puan Aisyah sekeluarga di Citrus Heights, Sacramento yang menjadi hos tetap sambutan malam raya komuniti Malaysia setempat termasuk para pelajar tanah air. Kami tiba sedikit terlewat ketika takbir rayanya telah pun di penghujung sebelum dijamukan dengan pelbagai juadah citarasa Malaysia; antaranya sate, nasi lemak serta kueh mueh. Juga diraikan dengan mainan bunga api yang didominasi oleh pelajar - pengubat rindu di perantauan.

Kenangan Eid Fitr di Perantauan California, USA
Pagi Raya @ Hari Jumaat... dengan lengkap berpakaian warna sedondon hijau dan bersampin, kami bergambar sakan di rumah sewa.

Ketika beredar keluar untuk check out dan bergerak ke tempat solat, kami terserempak pula dengan tuan rumah, Mr. Sergie... sempat kami bergambar sebagai kenang-kenangan. Malah dimintanya untuk memiliki gambar yang dianggapnya sebagai unik dan menarik.

Solat sunat Eid Fitrnya diadakan di Jackson Sports Academy di McClellan Park, Sacramento yang melimpah sambutannya, dianggarkan lebih 1,000 orang hadir dari pelbagai bangsa dan asal keturunan.

Dimulai dengan takbir raya yang berlainan rentaknya daripada versi Malaysia dan diselang seli dengan tazkirah ringkas. Solat Eid Fitr dilangsungkan sekitar jam 9:00 pagi, diikuti khutbah raya.

Seusai solat kami tidak menunggu lama, terus beredar ke 65th Street untuk makan tengahari (piza-ayam goreng-kentang goreng) di kedai halal berdekatan. Seterusnya menunaikan solat Jumaat  jamak-qasar di Masjid AnNur bersebelahannya. Perjalanan kami diteruskan menuju tempat menginap berikutnya di Days Inn @ Fresno Central.

Di tepi hutan @ Yosemite National Park
Solat Di Jalanan

Solat adalah ibadah wajib. Tidak kira di mana kita berada. Siapalah kita untuk mengingkariNYA walaupun berada di negara majoritinya non-Muslim. Apatah lagi ALLAH SWT telah memberi kelonggaran untuk solat jamak dan qasar. Usahlah direka bermacam alasan tetapi usahakanlah ruang untuk mentaatiNYA.

Bagi kami, kebiasaannya solat jamak-qasar kami lakukan di rumah penginapan - lebih selesa. Jika di lapangan terbang, AlhamdulILLAH selalunya ada bilik khusus disediakan untuk beribadah.

Namun ada ketikanya dek kesuntukan masa terutama di dalam perjalanan atau di tempat melancong, kami laksanakan solat di mana-mana tempat bersesuaian seperti di taman, bersebelahan stesyen minyak dan di sudut tersorok. Yang penting ada sumber air untuk berwuduk, biasanya di tandas awam atau menggunakan air yang dibawa. Cuma perlu awasi daripada membasahi sekitarannya. Hormati sensitiviti masyarakat setempat.

Moga segala amal kita diterima olehNYA. Aamiin.

Friday, July 6, 2018

California > Kenderaan dan Penginapan

Setibanya di San Francisco Intl Airport, kami mengambil kereta 7-seater yang telah ditempah di Hertz, salah sebuah syarikat sewaan kenderaan yang terkenal di dunia. Kami pernah menggunakan khidmatnya ketika di Australia dahulu. AlhamdulILLAH... diberinya Toyota Highlander yang cukup selesa.

Bagi pelancong, lesen memandu sedia ada boleh digunakan. Cuma perlu berhati-hati kerana pemanduan di USA adalah di sebelah kiri, lebih-lebih lagi ketika membelok ke kiri atau ke kanan. Alah bisa tegal biasa.

Untuk ke mana-mana kami lebih suka menggunakan GPS Waze berbanding Google Maps - mungkin telah terbiasa. Manakala jarak perjalanan pula dalam kiraan batu, bukannya kilometer - sedikit mengelirukan apabila melihat papan tanda di tepian jalan.

Petrol di USA agak mahal, purata $3.5/gelen. Di kawasan terpencil lagi mahal, boleh mencecah $5/gelen. Harganya berubah setiap hari dan tidak sama antara satu stesen minyak dengan stesen minyak yang lain walaupun namanya sama. Kami dapati ARCO menawarkan harga yang lebih murah.

Penginapan

9 Hari 8 Malam kami bermusafir di bumi California, 4 tempat berbeza kami menginap. Kesemuanya melalui carian Airbnb. Untuk penginapan pertama, kami usahakan mencarinya dari tanah air.  Selebihnya dilakukan oleh Izzuddin.

Faktor utama dalam memilih rumah sewa adalah tidak jauh daripada tempat yang ingin kami kunjungi. Sebolehnya ada dapur untuk memasak, maka homestay menjadi keutamaan pilihan kami.

Secara umumnya, hampir semua rumah di California mempunyai ciri-ciri luaran dan dalaman yang lebih kurang sama sahaja dengan Australia yang pernah kami bermukim dahulu. Bagi rumah sebuah, laman hadapannya terbuka menghadap ke jalan raya dan laman belakangnya tertutup dengan pintu di bahagian tepi. Tandasnya telah sedia maklum... tandas kering tanpa paip air untuk bersuci - jadi perlu sediakan air dalam botol atau seumpamanya. Ingat... pastikan ruangan kakinya tidak basah.

Santa Clara

5 hari pertama (10/06~15/06/2018) kami menyewa di Tracy Drive, Santa Clara - rumah sebuah 3 bilik milik keturunan India yang dilengkapi sistem pemanas berpusat. Syukur kerana malamnya agak sejuk.

Ruang belakangnya luas tetapi kami tidak berkesempatan melepak di luar. Banyak masa di dalam rumah sahaja dek penangan jet lag dan penat berjalan di siang harinya.

Secara umumnya rumahnya selesa tetapi aturan dalamannya kurang kemas, menyamai kebanyakan rumah orang-orang Asia. Ok aje kerana kami pun jenis menyepah jugak...😅... Untuk pusingan pertama, sempatlah kami membasuh dan mengeringkan pakaian di sini.

Citrus Heights

Pada hari ke-5 kami berpindah pula ke Meadowriver Way, Citrus Heights. Wow... rumah yang paling kami suka... asalnya garaj kereta yang diubahsuai menjadi rumah kecil yang simple tapi padat. Tiada dapur untuk memasak tetapi disediakan microwave, coffee maker dan peti sejuk.

Sofa bed dan pendiang elektrik di ruang tamu, bersebelahannya meja makan. Inilah ruang lepak kami untuk menonton TV dan makan=makan.

Terdapat juga sebuah bilik tidur dan bilik air di bahagian bawah. Naik ke loteng, hanya dilengkapi katil besar dan ruangan santai. Walaupun aturan perabutnya sendat tetapi kemas dan ringkas.

Kami berkesempatan berjumpa tuan rumah, Mr. Sergie ketika check in dan check out. Malah sempat bergambar dengan kami yang lengkap berpakaian Melayu seragam, bersedia untuk ke masjid bersolat sunat Eid Fitr

Fresno Central

Hari ke-6 kami bermalam di Days Inn, Fresno Central. Bagai dijangka, kemudahannya lebih kepada untuk merebahkan badan tetapi masih disediakan kemudahan pemanas/penyejuk, peti sejuk dan microwave.

Untuk makan malam, kami beli di Kedai Halal di sekitar Fresno. Sambil=sambil itu kami habiskan sedikit sebanyak bekalan makanan berbungkus serta buahan yang dibawa.

Keesokan harinya... sarapan pagi disediakan oleh Days Inn secara berkelompok di cafe yang agak tersorok; antaranya bijirin, roti, bubur oat, pisang dan minuman panas serta jus buahan. AlhamduliLLAH tidak perlu kami bersusah payah menyediakan makanan. Tambahan pula kami sedang mengejar masa untuk ke Yosemite National Park yang berjarak 100 batu.

 Sacramento

Dua malam terakhir kami menginap di rumah banglo 2 tingkat di 4th Ave, Sacramento. Rumah besar yang amat selesa dengan kemudahan 3 bilik tidur, 2 bilik air, dapur untuk memasak dan ruang makan serta ruang tamu yang luas.

Tersedia juga mesin basuh dan pengering untuk kami laksanakan misi cucian untuk kali kedua, juga yang terakhir.

Di sini kami memasak nasi kabsah dan rendang daging yang dibawa dari tanah air. Ayam dan dagingnya dibeli di Salam Halal Shop di Oakland. Sebahagiannya diberikan kepada rakan-rakan Izzuddin di rumah sewa mereka @ Davis. Begitu juga lebihan barangan makanan yang dibawa, juga diserahkan kepada mereka.

Demikianlah sepintas lalu kenderaan dan rangkaian penginapan yang kami duduki. AlhamdulILLAH...!

Thursday, July 5, 2018

California > Penerbangan KUL-HKG-SFO

Tanggal 10-Jun-2018... sekitar jam 10:30 pagi kami berlima bertolak dari Ulu Kelang ke KLIA. Terima kasih Fahimey-Eusni serta Abah-Emak yang hantarkan kami. 

Dua beg troli dan 1 kotak makanan dibalut plastik agar terhindar daripada anasir tidak beretika atau terkoyak/pecah ketika pemindahan bagasi. Cajnya RM 13.50 per beg/kotak = RM 39.45. Tidak mengapalah, asalkan selamat. Pendaftaran masuk telahpun dilakukan secara online dan boarding pass pun dah di tangan, jadi kami cuma perlu ke kaunter serahan beg @ Area H sahaja.

Kuala Lumpur - Hong Kong

Penerbangan Cathay Dragon A330 (seat: 2+4+2) berlepas sekitar jam 1:30 petang dan selamat tiba di Hong Kong Intl Airport kira-kira jam 5:10 petang (waktu Hong Kong dan Malaysia pada zon masa yang sama) - 3 jam 40 minit yang selesa dan lancar. Masa yang ada digunakan untuk menonton video - OK le banyak video yang belum ditonton atau ulang tonton.

Majoriti penumpang adalah berwajah Cina - tak pasti negaranya. Pakaian pramugarinya nyata lebih sopan berbanding penerbangan di tanah air sendiri. Itu komen Imran yang kerap naik Malindo Air dan Firefly. Ketika dihidangkan juadah tengahari, kami terpaksa menolak kerana sedang berpuasa - walaupun mereka kurang faham tetapi mereka berusaha untuk membantu dengan dibekalkan muffin dan makanan panas sebelum kapal terbang mendarat. Terima kasih...!

Berbuka puasa
Hampir 2 jam transit di HKIA... tumpuan pertama kami adalah Prayer Room (gunasama semua agama) untuk solat jamak-qasar Zohor-Asar. AlhamdulILLAH ianya terletak di Area 42, turut sama disediakan ruangan untuk berwuduk.

Tempat menunggu adalah di Area 48 di mana pesawat dijadualkan berlepas ke San Francisco jam 7:15 malam. Kami berkira-kira macam mana nak berbuka puasa sedangkan waktu Maghribnya pukul 7:07 malam. Masa yang terlalu suntuk serta khuatir makanan dan minuman tidak dibenarkan dibawa masuk ke kapal terbang.

SubhanALLAH... PerancanganNYA amat cantik - masa penerbangan telah dilewatkan 15 minit... Sementara menunggu barisan panjang untuk masuk, kami ada masa untuk makan bekal yang dibawa. Jadilah kami penumpang terakhir bergerak masuk ke Cathay Pacific. AlhamdulILLAH.

Hong Kong - San Francisco

Penerbangan Cathay Pacific A350-900 (seat: 3+3+3) berlepas sekitar jam 7:15 malam. Majoriti penumpangnya juga warga Cina, sebahagian kecil sahaja wajah-wajah orang putih.

Kami dihidangkan dengan minuman jus dan kacang goreng - segar sedikit rasanya. Diikuti pula dengan Muslim Meals yang telah ditempah khas. Istimewanya kami dilayan dahulu sebelum penumpang lain mendapat giliran mereka. AlhamdulILLAH ada hikmahnya.

Muslim Meals - AlhamdulILLAH...!
Kami berbelah bahagi... perlukah berpuasa keesokan harinya. Sememangnya dibolehkan tidak berpuasa kerana sedang bermusafir tetapi sayang pula, rasanya boleh bertahan sehingga waktu Maghrib di San Francisco iaitu hanya 4 jam selepas ketibaan kami. Apa-apa pun pasang niat dahulu untuk berpuasa.

Kami bersolat jamak di tempat duduk sahaja dan menunggu masuknya waktu Subuh sekitar jam 10:30 malam - itu pun sejam sahaja masanya. Sebelum Subuh, kami bersahur dengan kurma dan air mineral.

Masa panjang yang ada digunakan untuk melayan bermacam program di skrin atau pun tidur sahaja. Makanan yang disediakan ditolak kerana kami sepakat untuk meneruskan puasa.

Sebenarnya penerbangan kami mengundur ke belakang, merentasi masa dan hari. Sekitar 12 jam dalam kapalterbang tetapi tiba di destinasi (San Francisco) pada hari yang sama, 10-Jun sekitar jam 4:15 petang. AlhamduliLLAH kami dapat bertahan tidak makan dan minum sehinggalah waktu berbuka. Uniknya kami berpuasa 2 kali pada tarikh yang sama... dikira 2 hari kerana ada sahur dan berbuka.

Tiba @ San Francisco

Akhirnya....
AlhamdulILLAH... pemeriksaan bagasi berjalan lancar. Kotak makanan diselongkar - 2 barang tak lepas iaitu paket Nasi Briyani Kambing kerana didapati tertulis chicken flavour dan serunding daging. Selebihnya selamat... adalah bekalan dengan citarasa Malaysia di negara orang.

AlhamdulILLAH... berjalan keluar dari pintu ketibaan, Iddin telah pun menunggu. Seronok dapat berjumpa setelah hampir 2 tahun tidak bersua muka.

Sebelum beredar mendapatkan kereta sewa di Hertz (Airport), kami bersolat jamak dahulu di Reflection Room di Tingkat 2. Suatu ruangan yang luas untuk beristirehat tetapi tidak disediakan kemudahan berwuduk dan ruangan untuk bersolat - pilih sahaja sudut mana yang sesuai dan selesa. Yang penting kewajiban kepada Yang Maha Esa dapat ditunaikan.

Suhu di luar lapangan terbang agak sejuk, sekitar 20^C (sebenarnya US guna ^F). Ditambah pula dengan tiupan angin - terasa menyengat hingga ke tulang. Dah lama tak merasa sejuk...

AlhamdulILLAH... segalanya dipermudahkanNYA...

Tuesday, July 3, 2018

California > Persediaan ke USA

Kami sekeluarga telah lama berhasrat untuk berkunjung ke USA, khususnya menjenguk Izzuddin @ Iddin yang sedang mengikuti pengajiaan ijazahnya di University of California Kampus Davis (UC Davis). Perancangan kami... paling lewat ketika majlis konvokesyennya. Sambil-sambil tu bolehlah Iddin pusing-pusing dulu tengok mana-mana tempat yang boleh kami singgahi nanti.

Berikut adalah antara persediaan yang telah kami lakukan:-

1. Mohon Visa Secara Online -  bayarannya USD 160 seorang. Lecehnya kerana perlu mengisi Form DS-160 yang panjang berjela untuk setiap orang. Maklumat berkaitan boleh diperolehi di www.ustraveldocs.com/my.

Sesi temuduga pula dijalankan di Kedutaan Amerika Syarikat @ Jalan Tun Razak mengikut jadual temuduga yang telah disetkan lebih awal, juga secara online.  AlhamdulILLAH sesi temuduga santai yang mudah - cuma Hanisah dan Solehah perlu jawab secara bertulis berdasarkan senarai soalan yang disertakan - mungkin kerana usia remaja mereka kot...!

2. Tiket Penerbangan Pergi dan Balik - Kami memilih Cathay Pacific - berlepas dari KLIA pada 10-Jun @ 1:30 pm, transit hampir 2 jam di Hong Kong Intl Airport sebelum terbang ke San Francisco Intl Airport. Penerbangan baliknya pula pada pukul 1:00 pagi @ 19-Jun, juga transit di Hong Kong dan seterusnya berlepas ke KLIA. Penrbangan sehala yang lama, sekitar 20 jam.

Alternatif Singgahan
3. Travel Takaful - Penting... In Case of Emergency... Siapa tahu? Jadi carian kami adalah pakej keluarga untuk 2 dewasa dan 3 kanak-kanak (termasuk pelajar di bawah usia 23 tahun). Kebetulan ada tawaran potongan 25% dari Hong Leong MSIG, jadi itulah pilihan kami. Coverage pun menarik.

4. Lokasi Kunjungan -  Kami mempunyai beberapa alternatif tempat yang akan dikunjungi. Dengan bantuan daripada Iddin, dicadangkan beberapa lokasi pelancongan dan singgahan yang sewajarnya dipertimbangkan. Terima kasih Iddin.

5. Tempat Menginap - Carian melalui Airbnb - Pilihan kami adalah homestay yang mempunyai fasiliti untuk memasak dan memanas. 5 Hari pertama (10/06~14/06) kami menyewa di Tracy Drive, Santa Clara. Hari-hari berikutnya Iddin yang tolong uruskan - 1 malam di Citrus Heights, 1 malam di Fresno dan 2 malam di Sacramento. 

6. Kenderaan - Carian melalui online, SUV/MPV 7-seater untuk 8 hari (10/06~18/06). Kami sewa dari Hertz dengan pickup dan return di tempat yang sama iaitu San Francisco Intl Airport.

Kedai HALAL @ San Jose
7.  Makanan - Kami rancang untuk memasak terutama untuk berbuka puasa dan bersahur serta hari-hari berikutnya.

Kami bawa nasi impit, perencah rendang, perencah nasi goreng, nasi kabsah, nasi briyani kambing, kueh-mueh raya dan beberapa barangan lagi. Lain-lain keperluan dan sebahagian makanan lagi dibeli di sana yang mudah diperolehi.

8. Bagasi - Kami berlima cuma bawa 2 beg pakaian (kecil dan besar) dan 1 kotak pelbagai barangan makanan. Rancangan kami adalah pakaian dibasuh selama berada di rumah sewaan. Malahan pula pakaian kurang berbau disebabkan cuacanya yang kering dan adakala sejuk serta tidak berpeluh.

9. Waktu Solat - Tumpuan kami ketika transit di Hong Kong dan ketika di dalam penerbangan (pergi dan balik) dan juga waktu di California. Ada kaitannya juga dengan waktu berbuka puasa dan bersahur. Pakcik Google sedia membantu. AlhamdulILLAH ada ruangnya untuk kami menunaikan kewajiban kepadaNYA.

10. Tukaran Duit - Dilakukan secara beransur-ansur kerana kedudukan RM berbanding USD ketika itu tidak stabil, sekitar USD1:RM3.96. Berapa banyak yang diperlukan? Bergantung kepada perbelanjaan yang mungkin dilakukan terutama petrol, makan-minum dan barangan cenderahati. Kami bawa USD 2,400 tetapi yang digunakan hanya dalam USD 1,400 sahaja.

Itulah sebahagian daripada persediaan yang kami lakukan. AlhamdulILLAH segalanya berjalan lancar dan dipermudahkanNYA.

Monday, July 2, 2018

California > Kembara Kami Sepintas Lalu

Sempena Majlis Konvokesyen Izzuddin di UC Davis pada 17-Jun lalu, kami sekeluarga telah berkunjung ke California selama 9 hari iaitu dari 10-Jun ~ 18-Jun-2018. Kesempatan diambil untuk melancong dan merasai suasana Hari Raya di perantauan USA.

Tiba di California melalui San Francisco Intl Airport
Perbezaan masa adalah 15 jam California terkebelakang daripada Malaysia. Contohnya jam 8:00 pagi Selasa di Malaysia, pukul 5:00 petang Isnin di California. Sekarang adalah musim panas, jadi waktu siangnya lebih panjang - sesuai untuk berjalan-jalan mengenali negara orang.

Sepanjang di California, sempatlah kami berpuasa selama 6 hari dan bersolat sunat Eid Fitr bersama masyarakat Muslim di sana. Cuma solat tarawikh dan witirnya berjemaah di rumah sahaja. Malam raya pula kami ke rumah Tn Roslan - Pn Aisyah @ Sacramento - bertakbir raya dan makan-makan bersama warga Malaysia.

Kami menginap di 4 tempat yang berlainan mengikut lokasi yang berdekatan dengan tempat yang kami kunjungi iaitu di Santa Clara, Citrus Heights, Fresno dan Sacramento - kebanyakkannya homestay.

Beraya di Perantauan
Manakala tempat pelancongan yang sempat kami singgahi adalah di sekitar Fisherman Wharf, Bixby Bridge, Cannery Row, Old Sacramento, Yosemite National Park, Golden Gate Bridge, Palace of Fine Arts dan sekitar UC Davis sendiri.

Dari segi makanan, kami tidak cerewet. Sebahagian dibawa dari Malaysia seperti nasi impit, nasi kabsah, perencah nasi goreng dan perencah rendang. Ayam dan daging halal mudah didapati di sekitar California. Semuanya masak di homestay. Selebihnya dibeli atau makan di kedai halal seperti nasi briyani, platter, kebab dan sebagainya.

Demikianlah sepintas lalu. In shaa ALLAH akan disentuh lebih terperinci di setiap entri nanti.

Wednesday, June 27, 2018

Izzuddin Tamat Pengajian di UC Davis

AlhamdulILLAH... setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat ILLAHI... akhirnya anak sulung kami, Muhammad Izzuddin telah pun tamat pengajiaanya di University of California Kampus Davis (UC Davis), California, USA bagi Bachelor of Science in Biochemistry and Molecular Biology.

TAHNIAH Iddin...!
Majlis Konvokesyennya telah berlangsung di universiti berkenaan pada pagi 17-Jun-2018 lalu. AlhamdulILLAH... kami sekeluarga berkesempatan untuk menghadiri hari yang penuh bermakna tersebut.

Kami tiba di Dewan ARC/ Pavilion sekitar jam 8:15 pagi. Masih banyak tempat duduk yang kosong. Namun sekejap sahaja menjadi rebutan ahli keluarga para graduan. Pelbagai bangsa, keturunan, agama dan warna kulit tampak sebati di dalam limpahan pengunjung yang memenuhi segenap penjuru dewan.

Suasananya riuh rendah apabila para graduan mula melangkah keluar ke tengah dewan menuju ke tempat duduk yang disediakan. Begitu juga ketika mereka melangkah naik ke pentas dan nama disebut penuh petah oleh pengacara, bersalam dan melangkah turun ke ruangan bawah. Siulan, jeritan dan panggilan nama bersahutan silih berganti - bagaikan di dalam zoo atau di pentas hiburan - amat jauh suasananya dengan majlis konvokesyen di negara kita yang penuh senyap-sunyi dan tertib tetapi memenatkan. Segalanya berjalan lancar dan menepati waktunya.

Seusai Majlis Konvokesyen
Dianggarkan hampir 1,000 graduan menerima pengiktirafan pada pagi tersebut. Kesemuanya berjubah kemas, bertopi empat segi dan berselendang kuning tertera UC Davis.

Menceriakan suasana adalah penampilan sebahagian mereka dengan dekorasi topi yang pelbagai; antaranya bendera negara, gabungan warna dan ungkapan serta jambangan bunga. Difahamkan ada pertandingan untuk semuanya itu.

Kami keluar awal sedikit, setelah Izzuddin telah pun menaiki pentas. Lokasi pertemuan kami di padang berhadapan dewan yang tersedia beberapa backdrop berlogo dan tertulis nama UC Davis. Itulah tempat kami bergambar.

Tidak ramai rakan-rakan senegara yang kami temui, hanya 2 orang iaitu rakan serumahnya, Sharif dan seorang lagi dari Malaysia Timur (lupa pulak namanya). Selebihnya adalah kenalan Izzuddin di universiti. Kami biarkan Izzuddin bersama rakan taulannya sementara kami menunggunya di kereta.

AlhamdulILLAH dan TAHNIAH Izzuddin..!

Tuesday, June 26, 2018

Solehah Kini di UiTM Dengkil

Kini para pelajar lepasan SPM 2017 sedang giat mendaftar masuk ke institusi pengajian tinggi. Sebahagiannya telah pun mendaftar sebelum Hari Raya, manakala sebahagiannya lagi selepas Raya. Ini di IPTA. Bagi yang memilih IPTS, pendaftarannya lebih awal lagi.

Tidak kisahlah di IPTA mahupun IPTS... yang penting dapat peluang untuk melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Bersyukurlah dengan apa yang diperolehi. Ianya baru langkah permulaan kepada ribuan langkah selepasnya. Terlalu banyak dugaan dan ujian yang bakal ditempuhi - bertabahlah dengan penuh kesabaran dan tekad yang mantap demi meraih kejayaan di kemudian hari. Moga segalanya dipermudahkan ALLAH SWT. Aamiin.

Berlatarkan Kolej Dahlia 2
Anak ketiga kami, Nur Solehah... AlhamdulILLAH mendapat tempat di Pusat ASASI UiTM Kampus Dengkil dalam bidang Sains. Itulah pilihan pertamanya ketika mengisi UPU Online.

Solehah telah mendaftar masuk pada 04-Jun lalu - mengikuti sesi Induksi/ Destini Siswa selama 2 hari 1 malam sebelum bercuti Raya sehingga 24-Jun.

Lebih teruja lagi, Arif Farhan juga mendapat tempat di UiTM Dengkil, akan tetapi dalam bidang Kejuruteraan. Lebih tidak disangka-sangka, BFF (Best Friend Forever) Solehah ketika di perantauan Dandenong, Melbourne dahulu; Nadhirah pun berada di tempat yang sama tetapi di dalam bidang TESL. Lebih manis lagi di kolej penginapan yang sama, cuma tingkat yang berbeza. Demikianlah aturan ALLAH SWT... terasa kecil sahaja dunia ini.

Anyway.... AlhamdulILLAH dan TAHNIAH kepada Solehah, Arif dan Nadhirah serta yang lain-lain... ALL THE BEST...!

Moga berjaya di dunia dan di akhirat. Aamiin.