Thursday, July 5, 2018

California > Penerbangan KUL-HKG-SFO

Tanggal 10-Jun-2018... sekitar jam 10:30 pagi kami berlima bertolak dari Ulu Kelang ke KLIA. Terima kasih Fahimey-Eusni serta Abah-Emak yang hantarkan kami. 

Dua beg troli dan 1 kotak makanan dibalut plastik agar terhindar daripada anasir tidak beretika atau terkoyak/pecah ketika pemindahan bagasi. Cajnya RM 13.50 per beg/kotak = RM 39.45. Tidak mengapalah, asalkan selamat. Pendaftaran masuk telahpun dilakukan secara online dan boarding pass pun dah di tangan, jadi kami cuma perlu ke kaunter serahan beg @ Area H sahaja.

Kuala Lumpur - Hong Kong

Penerbangan Cathay Dragon A330 (seat: 2+4+2) berlepas sekitar jam 1:30 petang dan selamat tiba di Hong Kong Intl Airport kira-kira jam 5:10 petang (waktu Hong Kong dan Malaysia pada zon masa yang sama) - 3 jam 40 minit yang selesa dan lancar. Masa yang ada digunakan untuk menonton video - OK le banyak video yang belum ditonton atau ulang tonton.

Majoriti penumpang adalah berwajah Cina - tak pasti negaranya. Pakaian pramugarinya nyata lebih sopan berbanding penerbangan di tanah air sendiri. Itu komen Imran yang kerap naik Malindo Air dan Firefly. Ketika dihidangkan juadah tengahari, kami terpaksa menolak kerana sedang berpuasa - walaupun mereka kurang faham tetapi mereka berusaha untuk membantu dengan dibekalkan muffin dan makanan panas sebelum kapal terbang mendarat. Terima kasih...!

Berbuka puasa
Hampir 2 jam transit di HKIA... tumpuan pertama kami adalah Prayer Room (gunasama semua agama) untuk solat jamak-qasar Zohor-Asar. AlhamdulILLAH ianya terletak di Area 42, turut sama disediakan ruangan untuk berwuduk.

Tempat menunggu adalah di Area 48 di mana pesawat dijadualkan berlepas ke San Francisco jam 7:15 malam. Kami berkira-kira macam mana nak berbuka puasa sedangkan waktu Maghribnya pukul 7:07 malam. Masa yang terlalu suntuk serta khuatir makanan dan minuman tidak dibenarkan dibawa masuk ke kapal terbang.

SubhanALLAH... PerancanganNYA amat cantik - masa penerbangan telah dilewatkan 15 minit... Sementara menunggu barisan panjang untuk masuk, kami ada masa untuk makan bekal yang dibawa. Jadilah kami penumpang terakhir bergerak masuk ke Cathay Pacific. AlhamdulILLAH.

Hong Kong - San Francisco

Penerbangan Cathay Pacific A350-900 (seat: 3+3+3) berlepas sekitar jam 7:15 malam. Majoriti penumpangnya juga warga Cina, sebahagian kecil sahaja wajah-wajah orang putih.

Kami dihidangkan dengan minuman jus dan kacang goreng - segar sedikit rasanya. Diikuti pula dengan Muslim Meals yang telah ditempah khas. Istimewanya kami dilayan dahulu sebelum penumpang lain mendapat giliran mereka. AlhamdulILLAH ada hikmahnya.

Muslim Meals - AlhamdulILLAH...!
Kami berbelah bahagi... perlukah berpuasa keesokan harinya. Sememangnya dibolehkan tidak berpuasa kerana sedang bermusafir tetapi sayang pula, rasanya boleh bertahan sehingga waktu Maghrib di San Francisco iaitu hanya 4 jam selepas ketibaan kami. Apa-apa pun pasang niat dahulu untuk berpuasa.

Kami bersolat jamak di tempat duduk sahaja dan menunggu masuknya waktu Subuh sekitar jam 10:30 malam - itu pun sejam sahaja masanya. Sebelum Subuh, kami bersahur dengan kurma dan air mineral.

Masa panjang yang ada digunakan untuk melayan bermacam program di skrin atau pun tidur sahaja. Makanan yang disediakan ditolak kerana kami sepakat untuk meneruskan puasa.

Sebenarnya penerbangan kami mengundur ke belakang, merentasi masa dan hari. Sekitar 12 jam dalam kapalterbang tetapi tiba di destinasi (San Francisco) pada hari yang sama, 10-Jun sekitar jam 4:15 petang. AlhamduliLLAH kami dapat bertahan tidak makan dan minum sehinggalah waktu berbuka. Uniknya kami berpuasa 2 kali pada tarikh yang sama... dikira 2 hari kerana ada sahur dan berbuka.

Tiba @ San Francisco

Akhirnya....
AlhamdulILLAH... pemeriksaan bagasi berjalan lancar. Kotak makanan diselongkar - 2 barang tak lepas iaitu paket Nasi Briyani Kambing kerana didapati tertulis chicken flavour dan serunding daging. Selebihnya selamat... adalah bekalan dengan citarasa Malaysia di negara orang.

AlhamdulILLAH... berjalan keluar dari pintu ketibaan, Iddin telah pun menunggu. Seronok dapat berjumpa setelah hampir 2 tahun tidak bersua muka.

Sebelum beredar mendapatkan kereta sewa di Hertz (Airport), kami bersolat jamak dahulu di Reflection Room di Tingkat 2. Suatu ruangan yang luas untuk beristirehat tetapi tidak disediakan kemudahan berwuduk dan ruangan untuk bersolat - pilih sahaja sudut mana yang sesuai dan selesa. Yang penting kewajiban kepada Yang Maha Esa dapat ditunaikan.

Suhu di luar lapangan terbang agak sejuk, sekitar 20^C (sebenarnya US guna ^F). Ditambah pula dengan tiupan angin - terasa menyengat hingga ke tulang. Dah lama tak merasa sejuk...

AlhamdulILLAH... segalanya dipermudahkanNYA...

Tuesday, July 3, 2018

California > Persediaan ke USA

Kami sekeluarga telah lama berhasrat untuk berkunjung ke USA, khususnya menjenguk Izzuddin @ Iddin yang sedang mengikuti pengajiaan ijazahnya di University of California Kampus Davis (UC Davis). Perancangan kami... paling lewat ketika majlis konvokesyennya. Sambil-sambil tu bolehlah Iddin pusing-pusing dulu tengok mana-mana tempat yang boleh kami singgahi nanti.

Berikut adalah antara persediaan yang telah kami lakukan:-

1. Mohon Visa Secara Online -  bayarannya USD 160 seorang. Lecehnya kerana perlu mengisi Form DS-160 yang panjang berjela untuk setiap orang. Maklumat berkaitan boleh diperolehi di www.ustraveldocs.com/my.

Sesi temuduga pula dijalankan di Kedutaan Amerika Syarikat @ Jalan Tun Razak mengikut jadual temuduga yang telah disetkan lebih awal, juga secara online.  AlhamdulILLAH sesi temuduga santai yang mudah - cuma Hanisah dan Solehah perlu jawab secara bertulis berdasarkan senarai soalan yang disertakan - mungkin kerana usia remaja mereka kot...!

2. Tiket Penerbangan Pergi dan Balik - Kami memilih Cathay Pacific - berlepas dari KLIA pada 10-Jun @ 1:30 pm, transit hampir 2 jam di Hong Kong Intl Airport sebelum terbang ke San Francisco Intl Airport. Penerbangan baliknya pula pada pukul 1:00 pagi @ 19-Jun, juga transit di Hong Kong dan seterusnya berlepas ke KLIA. Penrbangan sehala yang lama, sekitar 20 jam.

Alternatif Singgahan
3. Travel Takaful - Penting... In Case of Emergency... Siapa tahu? Jadi carian kami adalah pakej keluarga untuk 2 dewasa dan 3 kanak-kanak (termasuk pelajar di bawah usia 23 tahun). Kebetulan ada tawaran potongan 25% dari Hong Leong MSIG, jadi itulah pilihan kami. Coverage pun menarik.

4. Lokasi Kunjungan -  Kami mempunyai beberapa alternatif tempat yang akan dikunjungi. Dengan bantuan daripada Iddin, dicadangkan beberapa lokasi pelancongan dan singgahan yang sewajarnya dipertimbangkan. Terima kasih Iddin.

5. Tempat Menginap - Carian melalui Airbnb - Pilihan kami adalah homestay yang mempunyai fasiliti untuk memasak dan memanas. 5 Hari pertama (10/06~14/06) kami menyewa di Tracy Drive, Santa Clara. Hari-hari berikutnya Iddin yang tolong uruskan - 1 malam di Citrus Heights, 1 malam di Fresno dan 2 malam di Sacramento. 

6. Kenderaan - Carian melalui online, SUV/MPV 7-seater untuk 8 hari (10/06~18/06). Kami sewa dari Hertz dengan pickup dan return di tempat yang sama iaitu San Francisco Intl Airport.

Kedai HALAL @ San Jose
7.  Makanan - Kami rancang untuk memasak terutama untuk berbuka puasa dan bersahur serta hari-hari berikutnya.

Kami bawa nasi impit, perencah rendang, perencah nasi goreng, nasi kabsah, nasi briyani kambing, kueh-mueh raya dan beberapa barangan lagi. Lain-lain keperluan dan sebahagian makanan lagi dibeli di sana yang mudah diperolehi.

8. Bagasi - Kami berlima cuma bawa 2 beg pakaian (kecil dan besar) dan 1 kotak pelbagai barangan makanan. Rancangan kami adalah pakaian dibasuh selama berada di rumah sewaan. Malahan pula pakaian kurang berbau disebabkan cuacanya yang kering dan adakala sejuk serta tidak berpeluh.

9. Waktu Solat - Tumpuan kami ketika transit di Hong Kong dan ketika di dalam penerbangan (pergi dan balik) dan juga waktu di California. Ada kaitannya juga dengan waktu berbuka puasa dan bersahur. Pakcik Google sedia membantu. AlhamdulILLAH ada ruangnya untuk kami menunaikan kewajiban kepadaNYA.

10. Tukaran Duit - Dilakukan secara beransur-ansur kerana kedudukan RM berbanding USD ketika itu tidak stabil, sekitar USD1:RM3.96. Berapa banyak yang diperlukan? Bergantung kepada perbelanjaan yang mungkin dilakukan terutama petrol, makan-minum dan barangan cenderahati. Kami bawa USD 2,400 tetapi yang digunakan hanya dalam USD 1,400 sahaja.

Itulah sebahagian daripada persediaan yang kami lakukan. AlhamdulILLAH segalanya berjalan lancar dan dipermudahkanNYA.

Monday, July 2, 2018

California > Kembara Kami Sepintas Lalu

Sempena Majlis Konvokesyen Izzuddin di UC Davis pada 17-Jun lalu, kami sekeluarga telah berkunjung ke California selama 9 hari iaitu dari 10-Jun ~ 18-Jun-2018. Kesempatan diambil untuk melancong dan merasai suasana Hari Raya di perantauan USA.

Tiba di California melalui San Francisco Intl Airport
Perbezaan masa adalah 15 jam California terkebelakang daripada Malaysia. Contohnya jam 8:00 pagi Selasa di Malaysia, pukul 5:00 petang Isnin di California. Sekarang adalah musim panas, jadi waktu siangnya lebih panjang - sesuai untuk berjalan-jalan mengenali negara orang.

Sepanjang di California, sempatlah kami berpuasa selama 6 hari dan bersolat sunat Eid Fitr bersama masyarakat Muslim di sana. Cuma solat tarawikh dan witirnya berjemaah di rumah sahaja. Malam raya pula kami ke rumah Tn Roslan - Pn Aisyah @ Sacramento - bertakbir raya dan makan-makan bersama warga Malaysia.

Kami menginap di 4 tempat yang berlainan mengikut lokasi yang berdekatan dengan tempat yang kami kunjungi iaitu di Santa Clara, Citrus Heights, Fresno dan Sacramento - kebanyakkannya homestay.

Beraya di Perantauan
Manakala tempat pelancongan yang sempat kami singgahi adalah di sekitar Fisherman Wharf, Bixby Bridge, Cannery Row, Old Sacramento, Yosemite National Park, Golden Gate Bridge, Palace of Fine Arts dan sekitar UC Davis sendiri.

Dari segi makanan, kami tidak cerewet. Sebahagian dibawa dari Malaysia seperti nasi impit, nasi kabsah, perencah nasi goreng dan perencah rendang. Ayam dan daging halal mudah didapati di sekitar California. Semuanya masak di homestay. Selebihnya dibeli atau makan di kedai halal seperti nasi briyani, platter, kebab dan sebagainya.

Demikianlah sepintas lalu. In shaa ALLAH akan disentuh lebih terperinci di setiap entri nanti.

Wednesday, June 27, 2018

Izzuddin Tamat Pengajian di UC Davis

AlhamdulILLAH... setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat ILLAHI... akhirnya anak sulung kami, Muhammad Izzuddin telah pun tamat pengajiaanya di University of California Kampus Davis (UC Davis), California, USA bagi Bachelor of Science in Biochemistry and Molecular Biology.

TAHNIAH Iddin...!
Majlis Konvokesyennya telah berlangsung di universiti berkenaan pada pagi 17-Jun-2018 lalu. AlhamdulILLAH... kami sekeluarga berkesempatan untuk menghadiri hari yang penuh bermakna tersebut.

Kami tiba di Dewan ARC/ Pavilion sekitar jam 8:15 pagi. Masih banyak tempat duduk yang kosong. Namun sekejap sahaja menjadi rebutan ahli keluarga para graduan. Pelbagai bangsa, keturunan, agama dan warna kulit tampak sebati di dalam limpahan pengunjung yang memenuhi segenap penjuru dewan.

Suasananya riuh rendah apabila para graduan mula melangkah keluar ke tengah dewan menuju ke tempat duduk yang disediakan. Begitu juga ketika mereka melangkah naik ke pentas dan nama disebut penuh petah oleh pengacara, bersalam dan melangkah turun ke ruangan bawah. Siulan, jeritan dan panggilan nama bersahutan silih berganti - bagaikan di dalam zoo atau di pentas hiburan - amat jauh suasananya dengan majlis konvokesyen di negara kita yang penuh senyap-sunyi dan tertib tetapi memenatkan. Segalanya berjalan lancar dan menepati waktunya.

Seusai Majlis Konvokesyen
Dianggarkan hampir 1,000 graduan menerima pengiktirafan pada pagi tersebut. Kesemuanya berjubah kemas, bertopi empat segi dan berselendang kuning tertera UC Davis.

Menceriakan suasana adalah penampilan sebahagian mereka dengan dekorasi topi yang pelbagai; antaranya bendera negara, gabungan warna dan ungkapan serta jambangan bunga. Difahamkan ada pertandingan untuk semuanya itu.

Kami keluar awal sedikit, setelah Izzuddin telah pun menaiki pentas. Lokasi pertemuan kami di padang berhadapan dewan yang tersedia beberapa backdrop berlogo dan tertulis nama UC Davis. Itulah tempat kami bergambar.

Tidak ramai rakan-rakan senegara yang kami temui, hanya 2 orang iaitu rakan serumahnya, Sharif dan seorang lagi dari Malaysia Timur (lupa pulak namanya). Selebihnya adalah kenalan Izzuddin di universiti. Kami biarkan Izzuddin bersama rakan taulannya sementara kami menunggunya di kereta.

AlhamdulILLAH dan TAHNIAH Izzuddin..!

Tuesday, June 26, 2018

Solehah Kini di UiTM Dengkil

Kini para pelajar lepasan SPM 2017 sedang giat mendaftar masuk ke institusi pengajian tinggi. Sebahagiannya telah pun mendaftar sebelum Hari Raya, manakala sebahagiannya lagi selepas Raya. Ini di IPTA. Bagi yang memilih IPTS, pendaftarannya lebih awal lagi.

Tidak kisahlah di IPTA mahupun IPTS... yang penting dapat peluang untuk melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Bersyukurlah dengan apa yang diperolehi. Ianya baru langkah permulaan kepada ribuan langkah selepasnya. Terlalu banyak dugaan dan ujian yang bakal ditempuhi - bertabahlah dengan penuh kesabaran dan tekad yang mantap demi meraih kejayaan di kemudian hari. Moga segalanya dipermudahkan ALLAH SWT. Aamiin.

Berlatarkan Kolej Dahlia 2
Anak ketiga kami, Nur Solehah... AlhamdulILLAH mendapat tempat di Pusat ASASI UiTM Kampus Dengkil dalam bidang Sains. Itulah pilihan pertamanya ketika mengisi UPU Online.

Solehah telah mendaftar masuk pada 04-Jun lalu - mengikuti sesi Induksi/ Destini Siswa selama 2 hari 1 malam sebelum bercuti Raya sehingga 24-Jun.

Lebih teruja lagi, Arif Farhan juga mendapat tempat di UiTM Dengkil, akan tetapi dalam bidang Kejuruteraan. Lebih tidak disangka-sangka, BFF (Best Friend Forever) Solehah ketika di perantauan Dandenong, Melbourne dahulu; Nadhirah pun berada di tempat yang sama tetapi di dalam bidang TESL. Lebih manis lagi di kolej penginapan yang sama, cuma tingkat yang berbeza. Demikianlah aturan ALLAH SWT... terasa kecil sahaja dunia ini.

Anyway.... AlhamdulILLAH dan TAHNIAH kepada Solehah, Arif dan Nadhirah serta yang lain-lain... ALL THE BEST...!

Moga berjaya di dunia dan di akhirat. Aamiin.

Saturday, March 31, 2018

Tauhideans @ Santai De Lui

Di awal minggu cuti persekolahan Pertengahan Penggal 1/2018 yang lalu, ahli keluarga keturunan Hj Tauhid-Hjh Azizah (Tauhideans) seia sekata bersetuju berkumpul di Hulu Langat, Selangor... lebih khusus lagi bertempat di Santai De Lui Resort, Kg Sg Lui, Batu 20, Hulu Langat. Kami menyewa 2 Hari 1 Malam (17/03 ~ 18/03/2018).

Sebahagian Santai De Lui Resort
Umumnya, resort di lereng bukit ini terdiri daripada 2 buah chalet (Teratai dan Bouganvillea) dan sebuah villa 3 tingkat yang dilengkapi hampir 20 buah bilik persendirian pelbagai jenis.

Juga terdapat ruangan terbuka untuk berseminar dan berBBQ, surau yang berkapasiti hampir 30 jemaah, padang permainan, kolam renang dewasa dengan gelungsur air, kolam mandi kanak-kanak, kolam ikan dan reban ternakan. Sebagai tambahan, terdapat juga ATV untuk ditunggangi melalui laluan denai yang disediakan.

Persekitaran resort amat tenang sekali dengan kehijauan pepohonan termasuklah deretan pokok-pokok durian yang sedang matang...in shaa ALLAH dalam jarak 5 bulan lagi adalah hasilnya.

Sebenarnya resort ini adalah milik rakan lama Laili ketika di MRSM Kota Bharu dahulu (kini MRSM Pengkalan Chepa), Puan Wan Fariza berserta suaminya, Tuan Hakimi. Kalau dah kawan tu dapatlah sikit potongan harga istimewa. Terima kasih Jaja..! Lain kali boleh le datang lagi...!



Sehingga sekarang, ahli Tauhideans berjumlah 37 orang semuanya. Untuk pertemuan kali ini, hampir semuanya dapat hadir kecuali 2 orang iaitu Pisal dengan kekangan kerja di Kulim, Kedah dan juga anakanda sulung kami, Izzuddin yang masih di perantauan California, USA.

Kami menyewa sebuah chalet dan 6 buah bilik Villa. Chalet Teratai terdiri daripada 2 bilik tidur berserta ruang tamu, dapur dan ruang BBQ di luar rumah.

Anak-anak santai di kolam kanak-kanak
Segala persiapan makan minum disediakan sendiri oleh ahli keluarga di chalet. Antara menu segera kami adalah roti, bijirin, nasi goreng, pasta, steamboat, shellout serta BBQ kambing, ayam dan makanan laut.

AlhamduliLLAH... sarapan pagi kami sebahagiannya ditaja oleh tuan punya resort... nasi lemak, karipap dan teh tarik. Terima kasih Jaja...! Nasi lemaknya... aduhai pedas tetapi sedap..!

Menjejakkan kaki ke laman resort, tumpuan anak-anak tiada lain lagi... kolam renang/ mandi. Itulah yang pertama dikejar. Soal makan-minum sanggup diketepikan.

Polo santai... penat ooi...!
Awalnya mereka hanya bermain di kolam kanak-kanak sahaja kerana airnya yang cetek. Akhirnya di bawah pemantauan yang lebih berusia, mereka beransur-ansur naik ke kolam dewasa.

Berbekalkan pelampung, mereka turut sama terjun melalui gelungsur air. Hilang rasa gerun berganti keseronokan meluncur laju menjunam masuk ke kolam di bahagian bawahnya.

Selepas solat Asar, kolam dewasa mula dikerumuni oleh ibu ayah berserta anak-anak remaja untuk beriadah polo air.

Begitu juga keesokan paginya, seusai bersarapan pagi dengan turut sama disertai Atuk dan Nenek. Meriah dan seronok sekali bagaikan kami yang punya, sedangkan pada masa yang sama terdapat sekumpulan pekerja syarikat yang datang berseminar. Bagi peluang kerana mereka berseminar selama 3 hari... masih ada masa setelah kami pulang.

Tazkirah santai oleh Atuk Tauhid
Agenda utama setelah berkumpul adalah solat berjemaah terutama solat Maghrib-Isyak dan solat Subuh. Diiringi pula sesi tazkirah ringkas menunggu masuknya waktu solat Isyak dan tibanya waktu Isyra' yang disampaikan oleh Atuk Tauhid.

Waktu yang amat sesuai untuk sama-sama menghadamkan sedikit sebanyak peringatan akan kewajiban kita sebagai hamba ALLAH SWT di muka bumiNYA ini. Moga kita semua sentiasa dirahmatiNYA. Aamiin.

Tidak dilupakan juga sambutan Hari Kelahiran untuk ibu ayah dan anak-anak yang dilahirkan pada bulan Mac... hampir 10 orang semuanya... ramai juga ya...! Sanah Helwah... moga kalian semuanya sentiasa di bawah lindungan dan rahmat ALLAH SWT. Aamiin.

ATV santai... Atuk pun boleh bawa...
Di pagi hari, sebilangan kami sempat beriadah menyusuri denai di sekitar resort dengan menunggang ATV. Sekali cuba nak lagi. Maka bersilih gantilah menunggangnya samada bersendirian atau diboncengi di belakang.

Melewati jam 12:30 tengahari, kami mulai beredar meninggalkan Santai De Lui Resort setelah memastikan persekitarannya telah dibersihkan dan dikemaskan seadanya.

Terima kasih Jaja dan Kimi...! Terima kasih juga kepada penyelia resort; pasangan Tini dan Wawan...! 

Atuk Tauhid ada cakap... bulan 8 nanti bolehlah datang lagi... kenduri durian pulak...! Moga dimurahkan rezeki... in shaa ALLAH kami datang lagi...!

Wednesday, March 21, 2018

SPM > TAHNIAH Solehah...

Tanggal 15 Mac 2018... keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 dengan rasminya telah diumumkan. Debaran para calon terungkai sudah... suka dan duka bergantung kepada pencapaian, harapan dan penerimaan bagi setiap individu yang menghadapinya.

Segalanya perlu pasrah. Demikianlah ketentuan daripada ALLAH SWT. In shaa ALLAH ada hikmahnya yang tersendiri. 

Kejayaan yang diraikan. Terima kasih...!
Di kalangan 443, 883 orang calon SPM 2017, anak kami, Nur Solehah adalah salah seorang daripadanya. Kami berdua turut serta ke MRSM Ulul Albab Kota Putera, Besut sebagai sokongan moral kepadanya.

Pesan kami kepada Solehah... bersedialah untuk menerima ketentuan takdir daripadaNYA walau apa pun keputusan yang bakal diterima. 

Sekitar jam 10:00 pagi, Dewan Ulul Albab telah pun penuh oleh para pelajar dan ahli keluarga yang hadir. Namun sedikit terlewat... sekitar jam 11:30 pagi baru diumumkan. Segelintir ibu bapa dan pelajar telah pun tahu keputusannya melalui semakan SMS tetapi Solehah tidak benarkan kami menyemaknya. Biarlah pihak maktab sendiri yang mengumumkannya.

AlhamdulILLAH...! Solehah adalah salah seorang daripada pelajar cemerlang MRSM Kota Putera. Khabar diterima dari Kuala Lumpur; sepupunya, Arif Farhan juga muncul pelajar cemerlang di sekolahnya. 

TAHNIAH Solehah...! TAHNIAH Arif...!

Bersama mantan Pengetua MRSM Kota Putra, kini di TAR
Bagi Solehah... kejayaan ini amat besar maknanya setelah menolak tawaran A Level di Kolej MARA Seremban pada awal tahun 2017 lalu (berdasarkan kecemerlangannya dalam IGCSE yang diambilnya pada tahun 2016).

Moga kejayaan ini membuka lebih luas peluang bagi Solehah mengikuti pengajian yang diminatinya iaitu Sains Forensik, satu cabang daripada bidang Perubatan. Aamiin.

Tidak dilupakan, ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pendidik yang penuh dedikasi khususnya di MRSM Ulul Albab Kota Putera, antaranya guru penyelaras; Cikgu Suriati dan mantan Pengetua, Cikgu Nik Jasmi. Juga kepada para ibu bapa yang sentiasa memberikan dorongan dan sokongan moral sepanjang keberadaan anak-anak di maktab, lebih-lebih lagi di musim peperiksaan.

Untuk Solehah, Arif dan para lepasan SPM... perjalanan kalian masih jauh. Penentuan kerjaya di masa hadapan masih lagi belum pasti sepenuhnya... bergantung kepada kemampuan diri untuk menghadapi segala rintangan dan ujian kehidupan. Berusahalah sedaya mungkin dan bertawakallah kepadaNYA kerana selebihnya adalah ketentuan ILLAHI yang sudah pasti. 

ALL THE BEST...!