Wednesday, April 28, 2010

Ni'mat Panas Ketika Sejuk

Beberapa hari ini cuaca di Melbourne, khususnya di Dandenong sejuk sekali. Suhu di sebelah siangnya di bawah 20 darjah Celcius. Antaranya semalam, suhu maksimumnya kira-kira 17 darjah Celcius sahaja. Malah pagi tadi, jangkasuhu di ruang tamu rumah kami mencatat bacaan 15 darjah Celcius.

Begitulah fenomena akhir musim luruh di Melbourne. Sekaligus menandakan peralihan musim kepada musim sejuk sudah pun semakin hampir.
Solehah di hadapan pokok musim luruh, dedaunan mula bertukar warna dan gugur ke bumi
Bagi yang biasa tiada masalahnya, malah mereka mungkin lebih gembira. Namun bagi kami, walaupun telah lebih 3 tahun di Australia (Adelaide + Melbourne), kedatangan musim sejuk kurang menarik minat kami.
Kami tidak tahan dengan sejuknya. Itu belum lagi di musim sejuk dengan suhu harian yang lebih rendah. Atau di negara yang dilitupi salji sehingga ke hadapan rumah. Bertuahlah bagi mereka yang menyukainya.

Ketika sejuk, kaki dan tangan terasa ngilu dan perit. Segalanya menjadi pasif – malas untuk bergerak walaupun untuk menyempurnakan hajat diri.
Syukur rumah kami dilengkapi alat pemanas berpusat. Di setiap lubang pemanas, di situlah tempatnya kami terutama anak-anak memanaskan diri. Terasa nyaman dan menyegarkan. Dan dengan alat pemanas itu jugalah suhu dalaman rumah meningkat, membuatkan kami bebas bergerak. AlhamduliLlah.
Kini, segala keperluan musim sejuk perlu dikeluarkan dari simpanan. Sarung tangan, beanie (penutup kepala + telinga), kasut bulu dan baju tebal antara yang diperlukan.

Demikianlah naluri manusia. Ketika kesejukan, kita amat mengharapkan kepanasan. Sebaliknya ketika kepanasan, kita amat mendambakan kesejukan. Jarang sekali kita bersyukur dengan apa yang kita alami dan ni’mati. Sedangkan segalanya itu adalah ketentuan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah Ar Rahman dengan ungkapannya yang begitu kerap, terjemahannya:-

“Maka ni’mat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?”

SubhanaLlah... Moga kita semua tergolong dari kalangan hambaNya yang sentiasa mensyukuri setiap kurniaan dariNya. Ameen.

Monday, April 26, 2010

ANZAC Day

Hari ini cuti umum di Australia dan juga di New Zealand. Cuti Anzac Day, cuti tahunan khusus untuk meraikan veteran tentera yang banyak berjasa kepada negara Australia.

Akronim ANZAC adalah singkatan kepada Australia and New Zealand Army Corps yang menyaksikan anggota tentera kedua-dua negara sama-sama berjuang di Gallipolli, Turki ketika Perang Dunia 1.

Sebenarnya sambutan Anzac Day adalah semalam. Seluruh negara menyaksikan acara perarakannya yang diadakan di hampir setiap ibu negeri.

Acara sambutannya bermula awal pagi, ketika terbitnya fajar di ufuk timur lagi. Ketika umat Islam bangkit untuk mengerjakan solat Subuh. Dalam kesejukan pagi di musim luruh, sekitar 15 darjah Celcius, bekas anggota tentera veteran yang telah pun lanjut usia berkumpul di padang yang ditetapkan.
Ledakan beberapa das meriam dilepaskan, diikuti tiupan trumpet dan nyanyian lagu ketenteraan. Saat yang amat memilukan bagi para veteran apabila mengimbasi nostalgia di medan perang, lebih-lebih lagi mengingatkan ramai rakan-rakan seperjuangan yang terkorban di hadapan mata.

Seterusnya mereka menyertai perarakan melintasi para penonton yang berkerumun di kiri kanan jalan. Dalam susuk tubuh tua, jelas terpancar rona wajah penuh bangga membalas lambaian para pengunjung. Di dada mereka tersemat pingat-pingat berjuntaian, bukti keperwiraan mereka. Mereka bangga, anak-cucu mereka bangga, malah setiap rakyat Australia merasa amat bangga. Merekalah wira, merekalah pahlawan. Jasa mereka tetap dikenang.

Kami sekadar menontonnya di kaca televisyen. Mereka bergerak secara berkumpulan, mengikut batalion/ regimen/ divisyen/ dll, berdasarkan operasi dan negara yang dihantar ketika itu.
Menariknya nama Borneo, Malaya, Miri, Labuan dan Muar adalah antara yang kerap dipaparkan di kain pemidang yang diarak bersama. Berdasarkan usia tua mereka, sekitar 80 tahun, bermakna mereka pernah bertugas di negara kita kira-kira 60 tahun lalu, iaitu sebelum Merdeka, membantu tentera penjajah British. Tidak hairanlah kerana ketika itu Australia di bawah naungan Britain sehinggalah kini masih beratukan Queen Elizabeth II.

Bukan isu penjajahan yang ingin diungkitkan tetapi sikap ambil berat kerajaan terhadap anggota tentera veteran mereka. Bukan sahaja diraikan dengan sambutan Anzac Day tetapi kebajikan mereka ternyata terpelihara. Pelbagai kemudahan disediakan termasuk perumahan, khidmat perubatan, sara hidup dan sebagainya. Dan mereka juga sentiasa dihormati dam disanjungi walaupun telah lama meninggalkan dunia ketenteraan.

Saya tidak pasti bagaimana keadaannya di Malaysia. Hari Pahlawannya memang ada. Begitu juga Tugu Pahlawannya. Namun sejauh mana perhatian yang diberikan kepada anggota tentera itu sendiri. Diharapkan pengorbanan mereka terutama para veterannya sentiasa dikenang dan kebajikan mereka sentiasa terjaga. Malah setiap rakyat Malaysia juga sewajarnya merasa amat bangga di atas pengorbanan mereka.

Sunday, April 25, 2010

Perpisahan dan Hari Lahir

Hari Sabtu malam Ahad dan petangnya, kami sekeluarga telah dijemput ke pertemuan yang diaturkan oleh para sahabat akrab. Majlis yang diadakan khusus sebagai tanda mereka akan pulang ke tanah air dalam masa terdekat.

Raja Azrina-Khairul Anuar

Insya Allah mereka akan berangkat pulang ke tanah air malam ini.
Ketika datang ke Melbourne kira-kira 4 tahun lalu hanyalah berdua, pulangnya kini bertiga, bersama permata hati yang baru berusia 5 minggu, Muhammad Syafiq. Gembiranya mereka tidak terperi. Impian kira-kira 15 tahun lalu, baru kini termakbul. Rupa-rupanya bumi Melbourne membawa sinar. Maha Suci Allah.

Ina dan Kerol adalah kawan lama kami sejak lebih 15 tahun lalu. Kami sama-sama bekerja di MIMOS (kerajaan), seterusnya di MIMOS Berhad dan MSCSB setelah ianya dikorporatkan. Kini Ina adalah pensyarah IT di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan baru sahaja menamatkan PhD-nya di Monash University. TAHNIAH.

Malam Ahad, selepas solat Maghrib kami terus ke rumah sewa mereka di Wellington Rd, Clayton. Ramai kenalan yang datang silih berganti. Suasana yang cukup meriah, bercampur baur antara gembira dan sedih. Gembira kerana dapat bertemu rakan taulan tetapi sedih untuk berpisah.
Pesan kami, kiranya bersua kenalan lama ketika di tanah air, sampaikan salam kami. Insya Allah ketemu lagi.

Bani-Zaiton-Halimaton dan Birthday Party

Di sebelah petangnya kami ke rumah Norbani, juga di Clayton. Majlis bersama yang diadakan untuk Dr. Zaiton dan juga Halimaton. Mereka akan pulang ke tanah air kira-kira 2 bulan lagi setelah tamat kursus sabatikal, latihan kerja dan pengajian lanjutan mereka di Monash University. Tahniah.

Pada masa yang sama diadakan Majlis Sambutan Hari Lahir untuk 4 orang anak yang dilahirkan dalam bulan April; anak Bani, Farid; anak Dr. Raziah, Adlan; anak Dr. Norhana, juga Adlan dan anak kami, Imran. Terima kasih kerana turut menjemput kami.

Seronok sekali Imran apabila menerima hadiah walaupun tiada kaitannya dengan haiwan. Empat kek yang disediakan menjadi tarikan utama. Bukan sahaja dekorasinya yang menarik (antaranya Spiderman dan Cars) tetapi sememangnya menjadi rebutan anak-anak untuk merasainya.

Berbanyak-banyak terima kasih kerana sudi menjemput kami. Insya Allah moga kita dipanjangkan usia dan bertemu lagi di tanah air nanti. Ameen.

Begitulah adatnya si perantau, sampai ketikanya berangkat pulang ke pangkuan keluarga dan sanak saudara tercinta. Samalah keadaannya kita di dunia ini. Sampai saatnya kita akan dijemput ke hadratNya, meninggalkan keluarga dan alam dunia menuju alam akhirat.

Bezanya tiada majlis yang kita adakan untuk memaklumkan kepulangan kita kepadaNya. Namun, bekalannya perlu ada agar kita selamat di perjalanan. Itulah iman dan amal bersalutkan taqwa. Moga kita dipermudahkanNya. Ameen.

Monday, April 19, 2010

House Warming : Zain-Saliza

Petang kelmarin (Ahad-18/04/2010), seusai solat Zohor, warga Kg Dandy menghadiri majlis kesyukuran @ house warming di rumah Ustaz Zain-Wan Saliza @ 33, Latham Cr, Dandenong North. Mereka adalah ahli keluarga baru Kg Dandy, komuniti rakyat Malaysia yang sedang merantau di Dandenong, Noble Park dan yang bersekutu dengannya.

Ustaz Zain Sulaiman, pensyarah UKM baru sahaja tiba di Victoria hampir 2 bulan lalu. Beliau menyambung pengajian di peringkat PhD di Monash University kampus cawangan Clayton, jika tidak silap, dalam bidang Literature. Menurut sumber, beliau adalah lepasan universiti di Timur Tengah. Jadi, tidak salahlah kiranya diberikan gelaran Ustaz ...8)

Bersama Ustaz Zain adalah isterinya, Wan Saliza Wan Razak (foto atas, paling kanan) dan 2 pasang anak kembar mereka, Faris dan Farah (7 tahun) dan Raiyan dan Raihan (8 bulan). Turut serta mengiringi mereka adalah ibu Saliza, Mak Wan (foto atas, paling kiri) yang akan bersama mereka sehingga pertengahan Mei hadapan sebelum pulang ke kampung halaman di Rhu Renggeh, Terengganu.

Mereka berpindah ke rumah sewa tersebut pada awal April baru-baru ini. Masih baru lagi. Rumahnya cantik dan kemas dengan halaman hadapan diserikan dengan deretan pokok-pokok bunga ros yang sedang berkembang mekar. Bahagian belakangnya pula luas bagaikan padang permainan. Elok juga kerana mereka mempunyai anak-anak yang sedang membesar.

Majlisnya cukup meriah dan penuh ceria. Para tamunya bukan sahaja warga Kg Dandy tetapi juga kenalan dari Pasco Vale, Bundoora, Lalor, Clayton dan juga jiran bersebelahannya.
Lebih istimewa lagi, juadah hasil tangan Mak Wan dan Saliza yang amat menyelerakan; nasi bukhari, nasi kerabu dan kafta. Ditambah pula dengan pelbagai juadah pot luck dari ahli keluarga Kg Dandy. AlhamduliLlah, hanya sedikit yang berbaki, dibungkus dan dibahagi-bahagikan sesama sendiri.

Sebahagian foto terdapat di Album Foto Kami (@ Rumah Ustaz Zain).

Terima kasih tuan rumah; Ustaz Zain, Saliza dan juga Mak Wan. Mereka benar-benar dikurniakan kekuatan olehNya. Sebenarnya Saliza baru sahaja keluar dari Dandenong Hospital pada pagi tersebut setelah ditahan semalaman kerana tekanan darah rendah.

Kami telah pun berkira-kira untuk memindahkannya ke rumah Kafi-Yati di Deakin Cr tidak jauh daripada rumah mereka. Namun semangat dan keinginan mereka sekeluarga cukup kuat untuk tidak menghampakan semua. AlhamduliLlah semuanya berjalan lancar.
Insya Allah, majlis kesyukuran @ house warming berikutnya akan diadakan di rumah Mokhtar-Raja Yasmin di Mulgrave pada awal bulan Mei nanti. Jumpa lagi di sana...

Saturday, April 17, 2010

Pulang Ke Dandenong

Khamis (08/04/2010)
Hari ini kami meneruskan perjalanan pulang ke Dandenong. Sebahagian foto di sepanjang perjalanan terdapat di Album Foto Kami (The Bay-Bega-Eden).
Pagi Di Ulladulla Holiday Village

Ketika matahari mula bersinar, anak-anak telahpun keluar dari rumah. Berjalan-jalan sambil melihat persekitaran Holiday Village. Rumah-rumah penginapan berderetan di sepanjang laluan. Tapak BBQ berbumbung juga ada. Terdapat juga tennis court, basket ball court, padang permainan kanak-kanak dan kolam renang.

Anak-anak teruja sekali apabila melihat kolam renang. Sesusah makan, terus mereka berkejar ke sana. Airnya tidak dalam, sesuai untuk kanak-kanak. Mereka berenang dan menyelam ke sana sini. Bermain simbah air dan pelbagai lagi. Seronoknya mereka tidak terkira.

Masa yang berlalu terasa begitu cepat sekali. Sedar-sedar telah pun menghampiri jam 10:00 pagi. Kami perlu check-out. Bermakna masing-masing akan mengikut haluan sendiri. Kami sekeluarga bergerak pulang ke Dandenong. Manakala Eusni-Fahimey sekeluarga pula berundur balik ke Carlton.Wajah anak-anak dirundung sayu. Sedih untuk berpisah. Jarak masa selama 6 hari terasa begitu pendek sekali. Apakan daya...

Tidak dilupakan, berbanyak-banyak terima kasih kepada Eusni-Fahimey sekeluarga atas layanan yang amat memuaskan sepanjang berada di Sydney. Insya Allah ketemu lagi di lain kesempatan.

Batesman Bay

Menyambung perjalanan pulang, kami terus menuju ke Batesmans Bay, yang lebih dikenali sebagai The Bay oleh penduduk tempatan. Asalnya The Bay adalah sebuah perkampungan nelayan, kini telah bertukar wajah kepada pusat perdagangan. Di sini kami hanya singgah seketika di Info Centre.

Bega Valley

Dari The Bay, kami terus menuju ke Bega. Kami singgah di Bega Cheese Heritage Centre yang terkenal dengan pengeluaran keju sejak tahun 1899 lagi.
Istimewanya keju keluaran Bega adalah diakui Halal. Di setiap bungkusannya jelas tertera logo Halal yang dikeluarkan oleh Australia Halal Certification Authority. Kami bukannya peminat keju tetapi merasa amat seronok apabila melihat pengeluarnya mengambil berat status halal produk mereka. Kami beli beberapa paket untuk dibawa pulang.

Di bahagian atas bangunan terdapat muzium berkaitan sejarah pengeluaran hasil tenusu di Lembah Bega. Ringkas sahaja tetapi amat menarik.

Eden

Seterusnya kami menyinggah pula di Eden yang terletak di Twofold Bay. Mengikut sejarah, dahulu Eden adalah sebuah pusat industri ikan paus yang utama di NSW. Kini ianya terkenal sebagai tempat melihat ikan paus dan juga memancing pula. Ketika musim migrasi, ikan paus seperti Humpbacks, Southern Right, Blue Whales dan Minkes akan memasuki kawasan tenang di Twofold Bay. Bulan September – November adalah ketika yang paling baik untuk melihatnya.

Di tempat letak kereta di belakang Info Centre, kami bersolat jamak. AlhamduliLlah, lega... tertunai sudah kewajiban utama. Selepas itu kami singgah seketika di Eden Killer Whale Museum. Sekadar berada di bahagian luarnya sahaja kerana masa telah pun lewat sedangkan perjalanan kami masih lagi jauh.

Menuju Dandenong

Meninggalkan Eden, kami tekadkan hati tiada lagi singgahan seumpamanya kecuali untuk menunaikan solat + makan, mengisi minyak kereta ataupun ke tandas. Ketika masuknya waktu Maghrib, kami berhenti di tempat letak kereta di tengah Bandar Orbost. AlhamduliLlah, tandas bersebelahannya masih lagi dibuka, dapatlah kami menyampaikan hajat dan berwuduk. Solat jamak ditunaikan bersebelahan kereta secara bergilir sambil sebahagiannya mengisi perut.

Perjalanan seterusnya meredah kegelapan malam melalui Lakes Entrance, melalui Monash Fwy sehinggalah tiba di rumah kira-kira jam 10:30 malam. Perjalanan dari Ulladulla sehingga Dandenong yang mengambil masa kira-kira 12 jam terasa amat meletihkan. Selepas berkemas apa yang patut, semuanya terus menuju ke bilik. Sekejap sahaja semuanya telah terlelap.
AlhamduliLlah segalanya dipermudahkan olehNya.

Friday, April 16, 2010

Bermalam Di Ulladulla

Hari Selasa (06/04/2010) kami hanya menghabiskan masa di rumah sahaja. Selepas Zohor, kami berempat dewasa keluar ke Rockdale Shopping Centre. Anak-anak berlapan pula ditinggalkan di rumah. Mereka lebih suka begitu.

Hari Rabu (07/04/2010), kami merancang untuk mula bergerak pulang ke Dandenong, Victoria. Hajat kami melalui laluan pantai sambil menyinggah di tempat-tempat yang menarik. Perjalanan yang agak jauh, melebihi 1000 km. Jadi kami perlu bermalam di pertengahan jalan sebelum menyambung perjalanan keesokan harinya.

Eusni dan Fahimey setuju untuk turut serta sehingga ke tempat bermalam. Paginya, kami menempah rumah tumpangan. AlhamduliLlah ada kekosongan di Ulladulla Holiday Village, kira-kira 200 km dari Carlton. Seronok anak-anak kerana masih dapat bersama.
Koleksi foto boleh diakses di Album Foto Kami (Ulladulla).

Bertolak ke Ulladulla

Kami bertolak lewat sedikit, kira-kira jam 3:00 petang kerana Eusni ada temu janji di hospital. Perjalanan kami lancar menyusuri Princess Hwy, seterusnya membelok ke laluan pesisir pantai, Grand Pacific Drive (GRD). Jika di Victoria, GRD ini seumpama Great Ocean Road (GOR). Jarak GRD ini kira-kira 140 km dari Sutherland hinggalah ke Dunmore.

Pemandangan pantai dan lautnya amat mempesonakan dengan air laut membiru terbentang luas dengan alunan ombak lembut menghempas pantai. Di penghujung Sea Cliff Bridge yang baru dibina (panjangnya 665 meter), kami berhenti untuk mengabadikan keindahan alam ciptaan Tuhan. Indahnya alam seindah nama-namaMu, Ya Allah. SubhanaLlah.

Hentian seterusnya adalah Sharkey’s Beach. Gulungan ombaknya sedikit tinggi dan kelihatan ramai kaki surfing sedang rancak meluncur di atasnya.

Meneruskan perjalanan, kami melalui bandar kosmopolitan, Wollonggong, bandar ke-3 besarnya di NSW. Terdapat banyak bangunan-bangunan tinggi serta rumah-rumah yang bertingkat.

Singgah di Kiama

Kira-kira jam 5:00 petang, kami tiba di Kiama, bersebelahan Lighthouse putih dan Blowholes yang terkenal. Sempat kami berwuduk di tandas Info Centre sebelum ianya ditutup, seterusnya menunaikan solat qasar Asar.

Nama Kiama berasal dari bahasa Aborigines, Kiarama-a bermaksud ‘di mana laut membising’. Umumnya, Kiama adalah antara pusat perikanan yang penting di NSW dengan pelbagai hasil laut segar boleh diperolehi dengan mudah. Lighthouse, Blowholes, Black Beach dan Cathedral Rocks adalah antara tarikan utama di Kiama.

Sementara menunggu masuknya waktu Maghrib, kami makan-makan dan berkunjung ke Blowholes Lookout. Blowholes adalah lubang-lubang yang terbentuk di celahan batu yang bersambungan dengan laut.

Terdapat banyak blowholes, salah satunya agak besar, tidak jauh dari lookout yang disediakan. Ketika ombak menghempas batu, airnya akan melonjak tinggi melalui blowhole tersebut. Airnya bersemburan keluar, bergantung kepada sekuat mana hempasan ombak. Kami bertuah dapat melihat fenomena alam yang cantik itu walaupun lonjakan airnya tidak berapa besar dan tinggi.

Tiba di Ulladulla

Sesudah menunaikan solat jamak Maghrib-Isyak, kami bertolak menuju Ulladulla, meredah kelam malam berpandukan navigator. AlhamduliLlah kami selamat tiba di Holiday Village kira-kira jam 8:30 malam.

Ulladulla sama seperti Kiama. Ianya terkenal dengan kegiatan penangkapan ikan, udang, lobster, ketam dan pelbagai makanan laut. Funland, taman permainan tertutup (indoor fun park) terletak di Rowen's Arcade, Ulladulla, dikatakan yang terbesar di NSW. Kami tidak berminat mengunjunginya, cukuplah sekadar berhenti bermalam di Ulladulla.

Thursday, April 15, 2010

Berkunjung Ke Blue Mountains

Isnin (05/04/2010)

Hari ini kami ke Blue Mountains National Park, kira-kira 120 km dari Sydney. Tumpuan kami adalah Scenic World yang terletak di Katoomba, Blue Mountains. Di sini terdapatnya kemudahan 4 ways (walkway, cableway, railway dan skyway) bagi tujuan meninjau kawasan sekitarnya.
Katoomba pada awalnya adalah kawasan perlombongan arangbatu, kini bertukar kepada kawasan pelancongan yang terkenal.

Blue Mountains mendapat nama dari kawasan lembahnya yang berkabus biru, terhasil dari percikan minyak pokok eucalyptus yang mendominasi kawasan perlembahannya.
Three Sisters, bongkahan batu 3 serangkai dan puncak permukaan tanah tinggi yang mendatar bagaikan ditarah adalah antara tarikan utama di Blue Mountains. Kawasan sekitarnya dikatakan telah wujud sebelum era dinosaur lagi terutama batuannya yang kelihatan masih teguh. Begitu juga dengan pepohonan yang melatari persekitarannya, kebanyakannya dari spesis yang jarang ditemui.

Sebahagian fotonya terdapat di Album Foto Kami (Blue Mountains).

Scenic World, Katoomba

Kami bertolak dari rumah kira-kira jam 12:00 tengahari. Cuaca di sepanjang jalan kurang baik, mendung berpanjangan dengan sesekali hujan merintik turun. Risau juga kerana tempat yang ditujui adalah kawasan terbuka. Setibanya di Katoomba Park, tempat letak keretanya telah pun penuh. AlhamduliLlah, masih ada kekosongan di Katoomba Falls Reserve. Malah dipermudahkan dengan adanya kawasan berkelah untuk makan tengahari, berhampiran pula dengan tandas.
Sesudah menunaikan solat jamak, keadaan cuaca bertukar cerah dengan sederhana panas. Berterusan sehingga kami beredar pulang pada lewat petangnya. Setinggi-tinggi kesyukuran kepadaNya.

Dari tempat letak kereta, kami berjalan menyusuri denai di bawah payungan pokok-pokok menghijau menuju ke Scenic World. Bagi anak-anak, hampir 15 minit meredah hutan tidak kelihatan penatnya. Seronok sekali mereka apabila dapat bersama.

Setibanya di Scenic World, kami disambut oleh 4 arca patung kaum Aboriginal, kisah dongengan the Three Sisters. Ada lagenda di sebaliknya. 3 arca wanita adalah 3 beradik; Meenhi, Wimlah dan Gunnedoo yang disumpah menjadi batu oleh bapanya, Tyawan untuk mengelakkan daripada kuasa jahat, Bunyip. Sayangnya tulang sakti Tyawan hilang menyebabkan sumpahannya terus kekal sehingga kini. Sebenarnya kisah lagenda ini banyak versinya. Namun hakikat sebenarnya, hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Yang pasti tiada tahyul dalam Islam.

Skyway

Penjelajahan kami di Blue Mountains bermula di Scenic World Top Station dengan menaiki Skyway menuju Skyway Eastern Station. Ianya boleh memuatkan kira-kira 70 orang merentasi Jamison Valley dengan kedalaman hampir 250 meter.
Dari sisi Skyway, jelas kelihatan persekitarannya yang kebiru-biruan. The Three Sisters, Orphan Rock, Katoomba Falls dan Kanangra Walls antara fenomena alam yang menakjubkan. Di bahagian tengah Skyway pula terdapat kepingan kaca telus pandang terus ke lembah, jauh sayup di bawahnya. Boleh menaikkan bulu roma dibuatnya.

Dari Eastern Station, kami ke Echo Point Lookout, hentian yang terkenal untuk meninjau kawasan sekitarnya terutama Three Sisters. Seterusnya kami ke Katoomba Falls. Anak-anak lebih teruja lagi, mereka sampai dahulu daripada ibu bapa mereka. Hairannya tiada orang bermandi-manda. Mungkin ada larangannya yang tidak terpandang. Seterusnya kami kembali menaiki Skyway kembali ke Top Station.

Railway

Dari Top Station kami menaiki pula keretapi terbuka yang menjunam turun 52 darjah (dikatakan antara tercuram di dunia) ke Railway Bottom Station di Jamison Valley. Landasannya tidaklah panjang, hanya kira-kira 400 meter sahaja. Suara teriakan ketakutan kedengaran apabila ianya melalui terowong pendek yang gelap. Menurut sejarah, ianya telah dibina pada tahun 1880an untuk membawa pelombong arang batu.

Walkway

Seterusnya kami berjalan perlahan-lahan melalui laluan berkayu Walkway menuju ke Cableway Bottom Station. Di sekeliling kami adalah pepohonan menghijau meneduhkan suasana sekitarnya. Awalnya kami dihidangkan dengan sejarah perlombongan yang pernah dijalankan di Katoomba dan realiti pembentukan arca batu termasuk the Three Sisters. Berikutnya ditunjukkan keganjilan pokok-pokok di sekitar Walkway yang membentuk pelbagai bentuk. Segalanya dengan kehendakNya.

Cableway

Di Cableway Bottom Station, kami terpaksa menunggu giliran kerana pengunjungnya terlalu ramai berbaris untuk kembali ke Top Station. Menaiki Cableway, ulangan pemandangan persekitaran dapat dihayati keindahannya dari sudut yang berlainan pula.

Sekitar jam 5:00 petang, kami bergerak pulang. Perjalanan yang amat memeritkan. Laluan awalnya sesak akibat kerja-kerja menaiktaraf jalan, lebih-lebih lagi malam pun mula menjengah. Kami berhajat singgah di Masjid Gallipoli di Auburn tetapi terpisah dengan kereta Fahimey. Berpusing-pusing kami mencari arahnya tetapi tidak ditemui. Apa lagi, terus pulang ke rumah mereka di Carlton. Kami bersolat jamak di rumah sahaja.