Friday, April 16, 2010

Bermalam Di Ulladulla

Hari Selasa (06/04/2010) kami hanya menghabiskan masa di rumah sahaja. Selepas Zohor, kami berempat dewasa keluar ke Rockdale Shopping Centre. Anak-anak berlapan pula ditinggalkan di rumah. Mereka lebih suka begitu.

Hari Rabu (07/04/2010), kami merancang untuk mula bergerak pulang ke Dandenong, Victoria. Hajat kami melalui laluan pantai sambil menyinggah di tempat-tempat yang menarik. Perjalanan yang agak jauh, melebihi 1000 km. Jadi kami perlu bermalam di pertengahan jalan sebelum menyambung perjalanan keesokan harinya.

Eusni dan Fahimey setuju untuk turut serta sehingga ke tempat bermalam. Paginya, kami menempah rumah tumpangan. AlhamduliLlah ada kekosongan di Ulladulla Holiday Village, kira-kira 200 km dari Carlton. Seronok anak-anak kerana masih dapat bersama.
Koleksi foto boleh diakses di Album Foto Kami (Ulladulla).

Bertolak ke Ulladulla

Kami bertolak lewat sedikit, kira-kira jam 3:00 petang kerana Eusni ada temu janji di hospital. Perjalanan kami lancar menyusuri Princess Hwy, seterusnya membelok ke laluan pesisir pantai, Grand Pacific Drive (GRD). Jika di Victoria, GRD ini seumpama Great Ocean Road (GOR). Jarak GRD ini kira-kira 140 km dari Sutherland hinggalah ke Dunmore.

Pemandangan pantai dan lautnya amat mempesonakan dengan air laut membiru terbentang luas dengan alunan ombak lembut menghempas pantai. Di penghujung Sea Cliff Bridge yang baru dibina (panjangnya 665 meter), kami berhenti untuk mengabadikan keindahan alam ciptaan Tuhan. Indahnya alam seindah nama-namaMu, Ya Allah. SubhanaLlah.

Hentian seterusnya adalah Sharkey’s Beach. Gulungan ombaknya sedikit tinggi dan kelihatan ramai kaki surfing sedang rancak meluncur di atasnya.

Meneruskan perjalanan, kami melalui bandar kosmopolitan, Wollonggong, bandar ke-3 besarnya di NSW. Terdapat banyak bangunan-bangunan tinggi serta rumah-rumah yang bertingkat.

Singgah di Kiama

Kira-kira jam 5:00 petang, kami tiba di Kiama, bersebelahan Lighthouse putih dan Blowholes yang terkenal. Sempat kami berwuduk di tandas Info Centre sebelum ianya ditutup, seterusnya menunaikan solat qasar Asar.

Nama Kiama berasal dari bahasa Aborigines, Kiarama-a bermaksud ‘di mana laut membising’. Umumnya, Kiama adalah antara pusat perikanan yang penting di NSW dengan pelbagai hasil laut segar boleh diperolehi dengan mudah. Lighthouse, Blowholes, Black Beach dan Cathedral Rocks adalah antara tarikan utama di Kiama.

Sementara menunggu masuknya waktu Maghrib, kami makan-makan dan berkunjung ke Blowholes Lookout. Blowholes adalah lubang-lubang yang terbentuk di celahan batu yang bersambungan dengan laut.

Terdapat banyak blowholes, salah satunya agak besar, tidak jauh dari lookout yang disediakan. Ketika ombak menghempas batu, airnya akan melonjak tinggi melalui blowhole tersebut. Airnya bersemburan keluar, bergantung kepada sekuat mana hempasan ombak. Kami bertuah dapat melihat fenomena alam yang cantik itu walaupun lonjakan airnya tidak berapa besar dan tinggi.

Tiba di Ulladulla

Sesudah menunaikan solat jamak Maghrib-Isyak, kami bertolak menuju Ulladulla, meredah kelam malam berpandukan navigator. AlhamduliLlah kami selamat tiba di Holiday Village kira-kira jam 8:30 malam.

Ulladulla sama seperti Kiama. Ianya terkenal dengan kegiatan penangkapan ikan, udang, lobster, ketam dan pelbagai makanan laut. Funland, taman permainan tertutup (indoor fun park) terletak di Rowen's Arcade, Ulladulla, dikatakan yang terbesar di NSW. Kami tidak berminat mengunjunginya, cukuplah sekadar berhenti bermalam di Ulladulla.

Thursday, April 15, 2010

Berkunjung Ke Blue Mountains

Isnin (05/04/2010)

Hari ini kami ke Blue Mountains National Park, kira-kira 120 km dari Sydney. Tumpuan kami adalah Scenic World yang terletak di Katoomba, Blue Mountains. Di sini terdapatnya kemudahan 4 ways (walkway, cableway, railway dan skyway) bagi tujuan meninjau kawasan sekitarnya.
Katoomba pada awalnya adalah kawasan perlombongan arangbatu, kini bertukar kepada kawasan pelancongan yang terkenal.

Blue Mountains mendapat nama dari kawasan lembahnya yang berkabus biru, terhasil dari percikan minyak pokok eucalyptus yang mendominasi kawasan perlembahannya.
Three Sisters, bongkahan batu 3 serangkai dan puncak permukaan tanah tinggi yang mendatar bagaikan ditarah adalah antara tarikan utama di Blue Mountains. Kawasan sekitarnya dikatakan telah wujud sebelum era dinosaur lagi terutama batuannya yang kelihatan masih teguh. Begitu juga dengan pepohonan yang melatari persekitarannya, kebanyakannya dari spesis yang jarang ditemui.

Sebahagian fotonya terdapat di Album Foto Kami (Blue Mountains).

Scenic World, Katoomba

Kami bertolak dari rumah kira-kira jam 12:00 tengahari. Cuaca di sepanjang jalan kurang baik, mendung berpanjangan dengan sesekali hujan merintik turun. Risau juga kerana tempat yang ditujui adalah kawasan terbuka. Setibanya di Katoomba Park, tempat letak keretanya telah pun penuh. AlhamduliLlah, masih ada kekosongan di Katoomba Falls Reserve. Malah dipermudahkan dengan adanya kawasan berkelah untuk makan tengahari, berhampiran pula dengan tandas.
Sesudah menunaikan solat jamak, keadaan cuaca bertukar cerah dengan sederhana panas. Berterusan sehingga kami beredar pulang pada lewat petangnya. Setinggi-tinggi kesyukuran kepadaNya.

Dari tempat letak kereta, kami berjalan menyusuri denai di bawah payungan pokok-pokok menghijau menuju ke Scenic World. Bagi anak-anak, hampir 15 minit meredah hutan tidak kelihatan penatnya. Seronok sekali mereka apabila dapat bersama.

Setibanya di Scenic World, kami disambut oleh 4 arca patung kaum Aboriginal, kisah dongengan the Three Sisters. Ada lagenda di sebaliknya. 3 arca wanita adalah 3 beradik; Meenhi, Wimlah dan Gunnedoo yang disumpah menjadi batu oleh bapanya, Tyawan untuk mengelakkan daripada kuasa jahat, Bunyip. Sayangnya tulang sakti Tyawan hilang menyebabkan sumpahannya terus kekal sehingga kini. Sebenarnya kisah lagenda ini banyak versinya. Namun hakikat sebenarnya, hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Yang pasti tiada tahyul dalam Islam.

Skyway

Penjelajahan kami di Blue Mountains bermula di Scenic World Top Station dengan menaiki Skyway menuju Skyway Eastern Station. Ianya boleh memuatkan kira-kira 70 orang merentasi Jamison Valley dengan kedalaman hampir 250 meter.
Dari sisi Skyway, jelas kelihatan persekitarannya yang kebiru-biruan. The Three Sisters, Orphan Rock, Katoomba Falls dan Kanangra Walls antara fenomena alam yang menakjubkan. Di bahagian tengah Skyway pula terdapat kepingan kaca telus pandang terus ke lembah, jauh sayup di bawahnya. Boleh menaikkan bulu roma dibuatnya.

Dari Eastern Station, kami ke Echo Point Lookout, hentian yang terkenal untuk meninjau kawasan sekitarnya terutama Three Sisters. Seterusnya kami ke Katoomba Falls. Anak-anak lebih teruja lagi, mereka sampai dahulu daripada ibu bapa mereka. Hairannya tiada orang bermandi-manda. Mungkin ada larangannya yang tidak terpandang. Seterusnya kami kembali menaiki Skyway kembali ke Top Station.

Railway

Dari Top Station kami menaiki pula keretapi terbuka yang menjunam turun 52 darjah (dikatakan antara tercuram di dunia) ke Railway Bottom Station di Jamison Valley. Landasannya tidaklah panjang, hanya kira-kira 400 meter sahaja. Suara teriakan ketakutan kedengaran apabila ianya melalui terowong pendek yang gelap. Menurut sejarah, ianya telah dibina pada tahun 1880an untuk membawa pelombong arang batu.

Walkway

Seterusnya kami berjalan perlahan-lahan melalui laluan berkayu Walkway menuju ke Cableway Bottom Station. Di sekeliling kami adalah pepohonan menghijau meneduhkan suasana sekitarnya. Awalnya kami dihidangkan dengan sejarah perlombongan yang pernah dijalankan di Katoomba dan realiti pembentukan arca batu termasuk the Three Sisters. Berikutnya ditunjukkan keganjilan pokok-pokok di sekitar Walkway yang membentuk pelbagai bentuk. Segalanya dengan kehendakNya.

Cableway

Di Cableway Bottom Station, kami terpaksa menunggu giliran kerana pengunjungnya terlalu ramai berbaris untuk kembali ke Top Station. Menaiki Cableway, ulangan pemandangan persekitaran dapat dihayati keindahannya dari sudut yang berlainan pula.

Sekitar jam 5:00 petang, kami bergerak pulang. Perjalanan yang amat memeritkan. Laluan awalnya sesak akibat kerja-kerja menaiktaraf jalan, lebih-lebih lagi malam pun mula menjengah. Kami berhajat singgah di Masjid Gallipoli di Auburn tetapi terpisah dengan kereta Fahimey. Berpusing-pusing kami mencari arahnya tetapi tidak ditemui. Apa lagi, terus pulang ke rumah mereka di Carlton. Kami bersolat jamak di rumah sahaja.

Monday, April 12, 2010

Ke Opera House & Botanical Gardens

Hari Ahad (04/04/2010)

Hari ini berakhirnya Daylight Saving Time yang bermula sejak bulan Oktober tahun lepas. Masa seharian kini dikurangkan sejam. Urusan harian tiada bezanya cuma masa solat perlu dijaga kerana menjadi lebih awal sejam dari sebelumnya.

Hari ini kami menaiki keretapi tambang murah, Fun Day Ticket, khusus di hujung minggu. Bayarannya $2.50 untuk dewasa bersama 2 kanak-kanak. Dengan 4 dewasa dan 8 kanak-kanak, harga tiketnya hanya $10.00. Amat menjimatkan. Malah difahamkan boleh naik apa sahaja termasuk bas dan feri.

Dari rumah kami berkereta ke Hurstville Station. Di mana-mana sahaja kelihatan orang-orang Cina. Kebanyakan papan tanda kedai pun dalam dwi bahasa. Malah Bank of China juga terdapat di tengah-tengah bandar, besar pulak tu. Tidak hairanlah jika di bandar-bandar besar seumpama Sydney pun kegiatan perniagaannya banyak dimonopoli oleh bangsa berkenaan, mereka bijak mengambil peluang.
Koleksi foto di Opera House dan Botanical Gardens serta sekitarnya terdapat di Album Foto Kami.

Melawat Sydney Opera House

Dari Hurstville Station, kami bertukar keretapi di Central Station menuju ke Circular Quay Station. Dari keretapi lama, bertukar kepada keretapi moden 2 tingkat. Turun di Circular Quay Station, masing-masing begitu teruja sekali apabila terpandang Harbour Bridge dan Opera House di hujung pelabuhan.
Dengan cuaca sederhana panas, menambahkan lagi keseronokan kami. Tidak sedar kaki melangkah begitu pantas sekali di celah-celah ribuan pengunjung, sedar-sedar telah pun berada di hadapan Opera House yang tersergam megah dan indah. Di belakangnya pula berdiri gagah Harbour Bridge merentasi Sydney Harbour. Kami mendaki anak-anak tangga sehingga berada ke pintu masuk Opera House.
Bangunan Opera House mula dibina pada tahun 1959 dan siap sepenuhnya pada tahun 1973 dengan kos $102 juta. Ianya adalah hasil idea arkitek Danish, Joern Utzon yang meninggal dunia pada tahun lepas. Pada Jun, 2007 ianya disenaraikan oleh UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia. Difahamkan, setiap tahun kira-kira 7 juta pelancong datang berkunjung ke Opera House ini.
Berehat di Royal Botanical Gardens
Puas mengambil gambar di Opera House, kami beredar ke Royal Botanical Gardens bersebelahannya untuk berehat sambil makan dan menunaikan solat. Kesempatan yang ditunggu-tunggu oleh anak-anak. Berbekalkan sebiji bola dan padang berumput, mereka berkejaran ke sana sini penuh gembira dan menyeronokkan. Ibu bapa tidak melepaskan peluang, turut sama bermain bersama anak-anak, menambahkan lagi kemeriahan dan keharmoniannya.
Royal Botanical Gardens and Domain ini amat luas, kira-kira 30 hektar dan mula dibuka pada tahun 1816. Sebahagiannya menghadap Farm Cove di pinggir Sydney Harbour, bersebelahan dengan Opera House. Terdapat pelbagai tema taman yang diketengahkan, antaranya Begonia Garden, Cadi Jam Ora, Herb Garden, Oriental Garden, Rare Plants Garden, Rose Garden, Cammelia Garden dan juga Goverment House Ground yang bersejarah.
Tidak sempat kami untuk menjelajahnya, hanya berjalan-jalan di kawasan berdekatan sambil menghayati keindahan dan ketenangannya.
Seterusnya kami bergegas ke jeti Circular Quay untuk menaiki feri ke Darling Harbour tetapi dihalang oleh petugas di tempat tiket. Katanya setiap orang termasuk kanak-kanak perlu membayar tiket $2.50 seorang. Walaupun dimaklumkan maklumat yang kami terima sebelumnya, mereka tetap tidak melepaskannya. Tercenggang-cenggang kami dibuatnya. Siapa yang betul sebenarnya? Entahlah.... pilihan kami, baik pulang sahaja ke rumah menaiki keretapi seperti ketika datang sebelumnya.


Bersantai Di Pantai
Selepas solat Asar, kami keluar pula ke pantai berdekatan. Anak-anak bermain bola, membina benteng pasir dan berkejaran di gigi air melepasi hempasan ombak. Teringin sekali mereka untuk mandi manda tetapi tidak dibenarkan. Amat merbahaya. Ombaknya sedikit ganas, tambahan pula airnya agak sejuk. Menjelang Maghrib semuanya dikerahkan naik ke pantai, terus bersiap-siap pulang ke rumah.

Melepaskan Lelah

Hari Sabtu (03/04/2010)
Berehat Di Rumah
Hari ini kami tidak ke mana-mana. Sekadar berehat di rumah sambil melepaskan lelah seharian di jalanan. Penat berkenderaan selama 13 jam masih lagi terasa.
Elok juga, beri peluang kepada anak-anak untuk bersama dengan sepupu-sepupu mereka. Saban waktu mereka sentiasa bersama. Bermain, menghadap komputer, menonton televisyen/DVD, makan, membaca dan apa sahaja aktivitinya sentiasa bersaingan. Dari pagi hingga ke petang, membawa ke malam. Begitulah mereka setiap hari.
Lihatlah foto di sebelah mahupun koleksi foto Ragam Sepupu di Album Foto Kami, betapa akrab dan seronoknya mereka.
Sydney Market
Tengaharinya, saya keluar mengikut Fahimey dan Eusni ke Sydney Market, dahulunya dikenali sebagai Flemington Market yang terletak di Parramatta Road, tidak berapa jauh dari rumah mereka di Carlton. Tinggallah Laili di rumah bersama budak-budak berlapan.
Bagi Fahimey dan Eusni, itulah pertama kali mereka ke pasar berkenaan. Jadi sama-samalah kami melilau mencari laluan masuk dan di mana kedudukan tempat jualannya. Pasarnya besar sekali. Terdapat beberapa bangunan khusus untuk menjual barangan seperti hasil kebun/ladang, bunga-bungaan dan sebagainya. Seperti mana kebanyakan pasar walaupun di bumi asing, warga Cina ramai sekali berniaga. Malah ramai juga kelihatan peniaga Muslim di samping Aussie sendiri.
Jika dibandingkan dengan Dandenong Market di Melbourne, purata harga barangan di Sydney Market ini nyata lebih murah. Tidak kiralah sayuran ke, buahan ke mahupun hasil laut. Hairan juga, sedangkan kos sara hidup di Sydney dan sekitarnya lebih tinggi berbanding di Melbourne. Untunglah mereka jika berbelanja di Sydney Market.
Berjalan-jalan merayau ke serata pelusuk pasar, bertuah dapat ketemu dengan beberapa orang kenalan rakyat Malaysia. Mereka adalah Sdr Yusof dan Sdr Azmi, pelajar PhD di Sydney serta Ms Rosalind yang telah lama bermastautin di Beverly Hills, tidak jauh dari Carlton.
Petangnya kami bercadang turun berkelah di tepi laut tetapi cuaca tidak mengizinkan. Tiba-tiba sahaja hujan turun, tambahan pula persekitarannya agak sejuk. Lebih baik duduk di rumah sahaja.

Sunday, April 11, 2010

Perjalanan Ke Sydney

Sydney adalah ibu negeri New South Wales (NSW), salah sebuah negeri di Australia. Letaknya kira-kira 900 km ke timur laut Melbourne, sekiranya melalui laluan pendalaman dan menjangkau sehingga 1,300 km jika melalui laluan pantai.

Pada minggu lepas, kami sekeluarga telah berkunjung ke sana. Ini adalah kunjungan kali kedua kami ke sana. Dua tahun lepas, kami sekeluarga bersama ibu bapa Laili dan adiknya, Bakhtiar serta isterinya, Suraya selama seminggu bergerak dari Gold Coast, singgah di Sydney dan Canberra, seterusnya melalui Hume Hwy (laluan pendalaman) pulang ke rumah kami di Dandenong.

Kali ini, tujuan utama kami ke Sydney adalah untuk menziarahi adik Laili, Eusni sekeluarga yang baru tiba di sana hampir 2 bulan lalu atas urusan kerja sambil belajar di St. George Hospital. Di samping itu berjalan-jalan makan angin sempena cuti persekolahan anak-anak. Tambahan pula anak-anak amat merindui sepupu-sepupu mereka.

Bertolak ke Sydney (Jumaat : 02/04/2010)

Kami bertolak dari rumah kira-kira jam 8:30 pagi melalui Princess Hwy menuju ke Lakes Entrance. Lokasi pelancongan yang terkenal ini jaraknya hampir 300km dari Dandenong.

Perjalanan kami lancar tetapi sedikit perlahan terutama ketika melewati beberapa bandar/ pekan. Banyak kenderaan menarik caravan di jalanan. Kebetulan hari tersebut cuti umum di Australia, Good Friday, diikuti pula cuti panjang sehingga hari Selasa, Easter Holiday.

Singgah di Lakes Entrance

Setibanya di Lakes Entrance, kami singgah di Apex Park, menghadap North Arm Lake, berhadapan dengan Info Centre untuk berehat dan makan pagi + tengahari (brunch: breakfast + lunch). Kelihatan ramai sekali pengunjung dan pelancong keturunan Cina berkumpul di sana sini.
Umumnya, Lakes Entrance adalah penyambung antara dua kawasan berair iaitu laut (Laut Tasman) dan gugusan Gippsland Lakes. Di samping keindahan alamnya, ia turut menjadi tarikan utama kaki pancing dan pemilik bot persendirian. Tidak hairanlah, di Apex Park sendiri terdapat pelantar khas untuk melabuhkan bot. Dengan pemandangan bot-bot teroleng-oleng di permukaan air, diserikan lagi dengan kehadiran burung pelican, black swan dan seagull yang jinak bersebelahan pelantar membuatkan persekitarannya lebih menarik lagi.

Sebelum meneruskan perjalanan, kami singgah seketika di Esplanade, bersebelahan Post Office Jetty. Tertarik hati melihat keunikan ukiran bongkahan pokok cypress sebagai memorial tentera Perang Dunia Pertama.
Koleksi foto di Lakes Entrance terdapat di Album Foto Kami. Foto-foto berkenaan hanyalah rakaman tempat yang kami singgahi. Masih banyak tempat menarik yang boleh diterokai kiranya ada kesempatan, antaranya 90 Mile Beach, Sea Shell Museum, Buchan Caves, Nyerimilang Heritage Park and Homestead, meronda tasik-tasik menaiki bot, memancing dan meredah hutan.

Merentasi Monaro Hwy-Federal Hwy

Perjalanan seterusnya masih melalui Princess Hwy sehingga tiba di Cann River, kami membelok ke Monaro Hwy. Laluan pendalaman merentasi beberapa taman negara, banjaran gunung dan padang rumput menuju Canberra. Awalnya kami merancang menyusuri laluan pantai hingga ke Sydney tetapi terpaksa bertukar arah kerana kesuntukan masa. Anak-anak pun tidak sabar lagi untuk berjumpa dengan sepupu-sepupu mereka. Insya Allah ketika pulang nanti barulah kami melalui laluan pantai.

Di Canberra, kami sekadar melewati pinggir bandar bersebelahan Canberra Airport menuju ke Federal Highway. Ketika berhenti mengisi minyak, AlhamduliLlah kami berkesempatan menunaikan solat jamak di kawasan lapang di belakang stesyen minyak.

Begitulah aturannya berada di negara non-Muslim. Jika ada ruang, kesempatan dan kemudahan maka di situlah solat ditunaikan walaupun hanya beralaskan tanah atau akhbar dan berada di khalayak ramai. Tanpa sedar, hati mensyukurinya malah terasa nikmatnya pula. SubhanaLlah.

Tiba di Sydney

AlhamduliLlah, kami selamat tiba di rumah Eusni-Fahimey @ 15, Arthur Street, Carlton kira-kira jam 9:30 malam. Perjalanan selama 13 jam yang amat meletihkan. Kepala terasa berdenyut-denyut dan tekak pula meloya. Selepas makan nasi dan menelan 2 biji paracetamol, saya terus masuk tidur. Anak-anak pula entah pukul berapa tidurnya setelah bersua dengan sepupu-sepupu mereka.

Saturday, April 10, 2010

Happy Birthday Imran

Hari ini 10-04-2010. Tarikh yang amat ditunggu-tunggu oleh Imran, anak bongsu kami. Sejak beberapa bulan lalu, tarikh berkenaan sering disebut-sebutnya. Semakin hampir tarikhnya semakin kerap pula dilagukan ke telinga kami. Malah malam sebelumnya masih sempat diperingatkannya beberapa kali, agaknya bimbang kami terlupa.
Itulah hari ulang tahun kelahiran Imran yang ke-enam. Sejak beberapa bulan lalu Imran telah meminta hadiah surprise dari kami. Lucunya dia sendiri menetapkan bentuk hadiahnya – animals book, lebih khusus lagi animals sticker book. Sememangnya sesuatu yang telah dijangkakan kerana itulah minat utamanya kini.
Ketika berkunjung ke pusat membeli belah, ditemui buku Dinosaurs Encylopedia dan Baby Animals Sticker Book, terus sahaja dibeli dan disimpan kemas jauh dari pandangannya. Jika ditemuinya secara automatik tiada lagi surprise yang diharapkan.
Bangun sahaja dari tidur pada pagi tadi, buku-buku berkenaan berserta kad ucapan untuknya telah pun tersedia di meja ruang tamu. Gembiranya Imran dapat apa yang dihajatinya. Lihatlah foto di atas, dengan rona wajah bangun tidur terus dibeleknya sticker book yang diidam-idamkannya. Happy Birthday Imran.
Didoakan moga Imran menjadi anak yang soleh, berjaya dunia-akhirat dan sentiasa mendapat perlindungan Allah SWT. Ameen.
Terlebih istimewa lagi, Imran mendapat ucapan Happy Birthday secara langsung melalui online Skype dari sepupu-sepupunya di Sydney.
Happy Birthday Imran.

Wednesday, April 7, 2010

Bercuti ke Sydney

Kini kami sekeluarga berada di Sydney, NSW sejak hari Jumaat lalu. Menziarahi keluarga adik Laili, Eusni Rahayu yang tinggal di Carlton sambil berjalan-jalan makan angin.
Sekarang ini minggu kedua cuti sekolah Penggal 1/2010 di Victoria dan minggu pertama cuti sekolah di NSW. Anak-anak begitu seronok sekali dapat bercuti bersama sepupu-sepupu mereka, sepanjang hari bagaikan belangkas.
Insya Allah hari ini kami akan mula bertolak pulang ke Melbourne melalui laluan pantai dan menyinggah bermalam di pertengahan jalan. Insya Allah akan tiba di Dandenong pada hari Khamis.
Moga perjalanan kami ini sentiasa di bawah lindunganNya dan sentiasa dipermudahkan olehNya. Ameen.