Saturday, March 6, 2010

Happy Birthday Hanisah

Hari ini 06-03-2010. Hari ulang tahun kelahiran anak kedua kami, Nur Hanisah yang ke-12. Happy Birthday Hanisah.

Inilah kad ucapan untuk Hanisah
Seperti biasa, sambutannya ringkas sahaja. Sekadar sekeping kad ucapan yang ditulis oleh setiap ahli keluarga sebagai tanda ingatan. Ungkapan kata untuknya penuh harapan; moga sentiasa dirahmati Allah SWT di dunia dan di akhirat serta bergembira mengharungi setiap hari mendatang. Hadiahnya pula adalah buku, hadiah kegemaran yang boleh dikongsi bersama.

Istimewanya, ucapan selamat juga diterima dari Atuk, Nenek, Pak Tam dan Mak Tam di Hulu Klang. Juga dari Cik Eus sekeluarga yang baru tiba 2 hari lalu di Sydney.

Insya Allah, majlis sambutan ringkas sambil dikelilingi rakan-rakan sebayanya akan diadakan petang esok di rumah Lajiman-Suraya, bersekali dengan sambutan hari lahir untuk anak mereka, Ashraf yang juga seusia dengan Hanisah.

Happy Birthday Hanisah. Happy Birthday Ashraf.

Friday, March 5, 2010

Eusni Tiba Di Sydney

Dr. Eusni Rahayu adalah adik tertua Laili dari 7 orang adik beradik. Sekarang Eus bertugas sebagai pensyarah perubatan (Pathology) di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Foto Eusni-Fahimey sekeluarga di Sovereign Hill ketika berkunjung ke Melbourne pada tahun lepas
Pagi semalam, Eus bersama suami, Mohd Fahimey dan 4 orang anak mereka; Ainul Farhah, Aiin Farhani, Arif Farhan dan Adam Khaliq selamat tiba di Sydney, New South Wales, Australia. Insya Allah selama setahun mereka akan tinggal di Kogarah di mana Eus akan mengikuti program sub-kepakaran di Hospital St. George, Kogarah dalam bidang yang ditekuninya kini.
Untuk jangka masa 2 minggu ini mereka menginap di Dewan Malaysia Sydney sambil berusaha mencari rumah sewa di Kogarah. Moga segalanya berjalan lancar dan dipermudahkan oleh Allah SWT. Begitu juga untuk hari-hari selepasnya.

Anak-anak kami begitu teruja sekali untuk berjumpa sepupu-sepupu mereka yang berusia hampir sebaya terutama Imran. Kata Imran,”A little bit rindu kat Adam”. Sememangnya mereka amat rapat sesama mereka; ibarat belangkas, susah untuk dipisahkan jika bertemu.
Dari Sydney ke Melbourne, jaraknya jauh juga, kira-kira 1,200 km. Penerbangan pula mengambil masa sekitar 2 jam. Kami memang berhasrat untuk ke sana untuk kali keduanya. Jika 2 tahun lalu (bersama Emak, Abah, Bat dan Aya) kami merentasi laluan pendalaman, kini kami merancang melalui laluan pantai pula. Dengan adanya keluarga di sana, tarikannya terasa lebih kuat. Berziarah sambil melancung.
Kepada Eus-Fahimey sekeluarga, Selamat Datang ke Australia dan sama-sama berkampung di perantauan.

Wednesday, March 3, 2010

Solehah Ke Sovereign Hill

Excursion atau lawatan keluar adalah antara kegiatan yang diatur oleh pihak sekolah setiap tahun untuk para pelajarnya. Tidak terkecuali di Dandenong North Primary School (DNPS) di mana Solehah dan Imran sedang bersekolah. Kebiasaannya berdasarkan tema pembelajaran yang ditetapkan untuk sesuatu semester/ penggal bagi setiap gred/tahun pengajian.

Bagi Solehah yang kini di Grade 4, bersama rakan-rakan di Grade 3, tema pembelajaran mereka di Penggal 1/2010 ini berkaitan sejarah penemuan emas di Australia, The Discovery of Gold. Salah satu lokasi yang menjadi tumpuan adalah Sovereign Hill di Ballarat, kira-kira 130 km dari Dandenong. Itulah tempat lawatan bagi kedua-dua gred tersebut pada hari Jumaat yang lalu (26/02/2010).

Sehari sebelum lawatan tersebut, Solehah diserang lelah. Pada hari lawatan, lelahnya sedikit berkurangan. Berbekalkan inhaler dan pesanan kepada guru pengiringnya, Solehah dibenarkan untuk turut serta. Kasihan pula jika penyertaannya dibatalkan kerana telah lama Solehah begitu teruja untuk mengikutinya. AlhamduliLlah segalanya dalam keadaan memuaskan. Lelahnya pula beransur hilang.

Sebenarnya kami sekeluarga pernah ke Sovereign Hill pada akhir tahun 2007 lalu. Namun kunjungan Solehah kali ini lebih bermakna baginya, berbekalkan pengetahuan di sebalik kisah yang berlaku.

Menurut Solehah, sejarah lampau yang bermula awal tahun 1851 itu telahpun dipelajari dan dibuat kajian di dalam kelas. Kunjungan mereka ke sana adalah untuk menyelami suasana pada zaman tersebut yang dikenali sebagai Gold Rush Era serta melihat secara dekat proses yang dilalui dalam perlombongan emas.

Sekembalinya dari lawatan tersebut, hampir setiap hari, tanpa jemu Solehah bercerita penuh semangat pengalaman yang dilaluinya. Persekitaran di Sovereign Hill benar-benar menyerlahkan kehidupan di tahun 1850an. Para pekerjanya berpakaian lama. Deretan rumah, kedai, hotel dan sekolah juga dengan rekabentuk kolonial. Tiada kereta di jalan raya, yang ada hanyalah kereta kuda. Kawasan perlombongannya juga dengan konsep lama.

Para pelajar sekolah berpeluang mencuba mendulang emas di alur sungai yang mengalir. Bagi Solehah, pengalaman yang paling seronok adalah menyusuri laluan bawah tanah yang kelam, hanya diterangi lampu yang berbalam-balam cahayanya. Itulah laluan para pelombong emas pada zaman tersebut. Amat menakutkan, lebih-lebih lagi apabila terdengar kesan bunyi runtuhan tanah. Seterusnya ditunjukkan sama proses membentuk ketulan emas dengan pemanasan sehingga 1,200 darjah Celcius.

Malah banyak lagi kisah-kisah menarik yang dilalui oleh Solehah. Pengalaman dan pengetahuan yang amat berguna, apatah lagi jika difikir dan direnungi secara saksama.
Nota : Solehah tiada dalam foto, hanya foto orang lain yang diambilnya.. 8)

Monday, March 1, 2010

Jumpa-jumpa Akhir Musim Panas

Semalam, mengikut perkiraan kalendar adalah hari terakhir musim panas (summer) di Australia. Hari ini bermulanya peralihan musim kepada musim luruh (autumn).

Petang semalam warga Kg. Dandy berkumpul di rumah Tg Rashdan-Zura di Alexander Ave. Makan-makan sambil bersembang dan beramah mesra. Kegiatan rutin hampir setiap bulan bagi kami di Dandenong, Noble Park, Chadstone dan Blackburn South yang bergabung di bawah Kg. Dandy.
Beberapa keping foto berkaitan terdapat di Album Foto Kami (@ Rumah Tg Rashdan) atau klik di sini.

Empat meja yang disediakan bersebelahan kolam renang di belakang rumah dipenuhi pelbagai hidangan yang mewah sekali. Dari juadah berat sehinggalah kueh-mueh dan buah-buahan. Semuanya amat menyelerakan, hasil tangan setiap keluarga yang turut serta.
Begitulah keadaannya apabila setiap kali majlis seumpamanya diadakan. Soal makanan memang tiada tandingannya, lebih-lebih lagi ramai yang bertaraf pakar masak memasak.

Dan untuk kali ini, istimewanya BBQ lamb dan ayam serta sosej menjadi menu utama. Sebenarnya aktiviti ber-BBQ ini seolah-olah satu kemestian bagi kami setiap kali mengadakan majlis makan-makan seumpamanya. Namun telah lama ianya terhenti dan semalam apabila diadakan kembali, sudah pasti ianya menjadi tumpuan utama. Tujuh kilogram lamb chop, empat kilogram kepak ayam dan lima kilogram sosej tidak terasa banyaknya.
Lebih menggembirakan lagi, rakan-rakan dari Geelong, kira-kira 50 km dari Dandenong pun turut serta memeriahkannya. Berkebetulan mereka mempunyai urusan di Dandenong. Dan turut bersama kami adalah keluarga Dr. Salmah yang baru tiba beberapa hari lalu dan kini sedang berusaha mencari rumah sewa di Dandenong. Insya Allah bertambah lagilah warga Kg. Dandy.
Seronok sekali rasanya dapat bertemu muka, bertanya khabar berita dan berkongsi cerita sesama ahli keluarga. Kaum ibu dengan kumpulan wanita bersama anak-anak kecilnya. Kaum bapa pula dengan kumpulan lelakinya. Anak-anak pun sama, bersama-sama rakan sebaya mereka, bermain di taman berdekatan. Hasrat untuk bermain air di kolam renang bersebelahan terpaksa dilupakan kerana airnya amat sejuk.
AlhamduliLlah keadaan cuaca petang semalam baik sekali walaupun sedikit sejuk dengan suhu sekitar 22 C. Panas nyaman dengan sesekali cahaya matahari memancar di celah-celah awan tebal. Berkekalan sehingga kami beredar pulang kira-kira jam 6:00 petang. Tiada hujan yang turun bagai yang diramalkan.
Moga pertemuan yang diatur dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluarga dan silaturrahim yang sedia terjalin. Mekar segar mengharum sepanjang zaman.

Sunday, February 28, 2010

Kenalan Lama Bertemu di Melbourne

Dari masa ke semasa, silih berganti, pegawai perubatan @ doktor dari Malaysia yang datang ke Melbourne sentiasa bertambah. Ada yang menyambung pengajian ke peringkat PhD, ada yang mengikat kontrak kerja dan ada juga dihantar oleh majikan untuk menimba pengalaman kerja.
Menariknya, sebahagian daripadanya telah pun saling kenal mengenali antara satu sama lain sejak di tanah air lagi, samada ketika belajar di peringkat sarjana mahupun sarjana muda, bekerja di tempat yang sama ataupun melalui kenalan rapat lain.

Di sekitar Dandenong-Springvale-Clayton (SE Group) sahaja terdapat kira-kira 12 orang, ditambah pula dengan beberapa orang lagi di komuniti lain terutama di bahagian utara. Sebilangannya adalah rakan kenalan Laili dari kalangan pengamal Family Medicine. Beberapa orang daripadanya baru sahaja menjejakkan kaki ke bumi Melbourne dalam sebulan dua ini, menyertai rakan-rakan lain berkampung di Clayton.

Sesekali dapat berkumpul sesama kenalan lama, kemeriahannya amat terasa. Kemesraannya masih segar walaupun telah lama tidak bersua. Nostalgia lama mudah sahaja terungkap kembali, diselangi gelak ketawa apabila sesuatu yang melucukan diungkitkan.

Demikianlah suasananya di rumah Dr. Zamberi-Dr. Harlina di Gissing St, Blackburn South pada petang semalam. Jemputan rakan-rakan seangkatan bersama keluarga masing-masing sambil meraikan rakan-rakan yang baru tiba. Bolehlah juga dianggapkan sebagai house warming setelah mereka berpindah ke rumah sewa baru yang lebih selesa kira-kira sebulan yang lalu.
Perkumpulan wanitanya tertib duduk bersimpuh di beranda, manakala perkumpulan lelaki pula mengelilingi meja kecil di laman belakang. Masing-masing dengan perkongsian cerita dan al-kisahnya yang tersendiri sambil menjamu selera termasuk BBQ lamb, ayam dan udang.

Di samping kami sekeluarga, antara lain-lain kenalan yang turut hadir adalah keluarga Dr. Intan Hakimah dari Pascoe Vale, Dr. Azim-Dr. Rafidah dari Heidelberg, Dr. Suhaimi, Dr. Radziah, Dr. Norhana, Dr. Zaiton, Dr. Norzila, Dr. Ambiga dan Dr. Anis dari Clayton serta Dr. Ashrenee dari Springvale.

Wednesday, February 24, 2010

Curiga di Bumi Asing

Pagi Isnin, dua tiga hari lalu, kita dikejutkan dengan berita kematian tragis Mohd Shah Saemin, pemandu konsulat Malaysia di Sydney. Menurut saksi, 2 orang samseng jalanan telah menghentak Allahyarham Mohd Shah dengan penukul, ditikam berkali-kali, disepak dan ditinggalkan sendirian sehingga menemui ajal di hadapan rumahnya di Marion Street, Leinchhardt.

Sekalung takziah kepada keluarga Allahyarham di Melaka yang sedang menunggu ketibaan jenazahnya. Moga roh Allahyarham Mohd Shah dihimpunkan di kalangan hamba-hambanya yang diredhaiNya. Ameen. Al-Fatihah.

Berita mengenainya masih lagi tersiar di media massa di Australia terutama di Sydney. Setakat ini salah seorang suspek berusia 55 tahun telah ditahan polis. Moga semua yang terlibat dapat ditahan dan dikenakan hukuman yang setimpal.

Begitulah realiti keganasan dan ketidak tamadunan manusia di zaman moden kini. Hampir saban hari ada sahaja berita seumpamanya disiarkan. Bukan sahaja berlaku di bumi Australia ini tetapi juga di seluruh dunia termasuk di bumi tercinta Malaysia.

Nafsu amarah manusia mengatasi segala-galanya. Maruah dan nyawa orang lain bagaikan tiada harganya asalkan keegoan diri (kononnya) dapat dipertahankan. Bertepuk soraklah sang Iblis dan kuncu-kuncunya meraikan kemenangan ke atas manusia, musuh nombor satunya. Itulah janji Iblis kepada Allah SWT ketika dihalau keluar dari syurga dan bakal menghuni neraka.

Berada di bumi asing Melbourne ini juga tiada bezanya dengan di Sydney. Lebih-lebih lagi di negara non-Muslim. Dengan pelbagai isu Islam yang sering diputar-belitkan, dikaitkan pula ‘keganasan’ oleh individu Muslim boleh melahirkan pandangan serong kepada masyarakat yang tidak memahaminya. Ditambah pula dengan isu anti-Asia yang diperjuangkan oleh segelintir pemimpin politik boleh menyemarakkan lagi kebencian setempat. Inilah yang amat ditakuti.

Justeru itu, langkah berjaga-jaga sentiasa menjadi keutamaan kami. Berjalan malam amat dielakkan, walaupun berkenderaan. Berjalan di siang hari juga perlu berhati-hati, jangan tersinggung hati orang lain, lebih-lebih lagi di jalan raya. Muka pun perlu sentiasa manis.

“Ya Allah, kurniakanlah keselamatan dan perlindungan kepada kami sekeluarga dari segala musibah. Juga keselamatan dan perlindungan kepada mereka yang lain di sekeliling kami. Ameen Ya Rabbal ‘aa Lamin"

Tuesday, February 16, 2010

Kunjungan Desa Bundoora

Petang Sabtu hujung minggu baru-baru ini, atas nama persahabatan, rakan-rakan dari Desa Bundoora-DB (utara) berarak turun ke selatan. Kunjungan balas mereka atas kunjungan keluarga South Eastern (SE) ke Bundoora pada akhir tahun lepas. Destinasinya adalah padang kampus cawangan Monash University di Berwick, kira-kira 10 km dari Dandenong.
Sebahagian foto dapat dilihat di Album Foto Kami (Bundoora @ Berwick) atau klik di sini.
Agendanya, di samping dapat bertemu muka, beramah mesra dan saling mengukuhkan silaturrahim, turut sama dilangsungkan perlawanan bola sepak untuk anak-anak/junior dan kaum bapa/senior serta perlawanan bola jaring untuk kaum ibu/wanita.

Keadaan cuaca pada hari berkenaan sedikit mengusarkan. Paginya hujan turun renyai-renyai dan diramalkan rebut petir di sebelah petangnya. AlhamduliLlah... cuacanya baik sekali, mendung berpanjangan, sesekali dilimpahi cahaya matahari yang menyegarkan dengan suhu sekitar 23C. Moga itu tandanya pertemuan kami diberkati olehNya.
Melewati jam 3:00 petang, padang Monash mula dipenuhi pengunjung. Keluarga SE mula mengaturkan meja-meja hidangan dengan pelbagai juadah yang 'mewah' sekali. Bertali arus ianya dikerumuni dari awal sehinggalah ke akhirnya. Makan dan minum semahunya sambil berkenal-kenalan dan beramah mesra serta menonton setiap perlawanan yang dilangsungkan.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Sdr Rudie mewakili South Eastern Group dan Sdr Neezam mewakili Desa Bundoora.
Perlawanan persahabatan dimulakan dengan bola sepak untuk anak-anak. Pada masa yang sama dilangsungkan perlawanan bola jaring untuk kaum wanita. Perlawanan terakhir sebagai penutup tirai adalah bola sepak untuk kaum lelaki. Setiap pasukan turun dengan baju rasmi masing-masing; SE dengan baju kuning, manakala DB dengan baju belang hijau-kuning-putih.
Umumnya, setiap perlawanan berlangsung dalam suasana ceria, disulami semangat kesukanan yang tinggi. Dalam keghairahan mencari kemenangan, ada ketikanya tercetus juga beberapa kejadian kekasaran. Namun segalanya berlalu penuh harmoni. Moga tiada yang menyimpan duka dan dendam di lubuk hati.
Keputusan perlawanan : Bola sepak junior diungguli oleh pasukan Bundoora. Bola jaring pula, pasukan SE mengalami kekalahan tipis. Manakala bola sepak senior berkesudahan seri.
Menang , kalah dan seri adalah adat permainan. Yang penting adalah semangat kesukanan dan keserasian ukhwah Islamiah menjadi tonggak penyeri. Moga persahabatan terus kekal abadi selamanya. Itulah matlamat sebenar pertemuan diaturkan.
Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada pihak penganjur di kedua-dua belah pihak; South-Eastern Group dan Desa Bundoora.