Bulan Rabi'ul Awal tiba lagi. Inilah bulan kelahiran junjungan tercinta, Nabi Muhammad SAW. Berdasarkan sirah Nabawiyyah, RasuluLlah SAW telah dilahirkan pada 12 Rabi'ul Awal tahun gajah - tahun di mana tentera bergajah Abrahah telah datang menyerang Makkah demi merobohkan Kaabah. Namun kekuasaan Allah SWT mengatasi segala perancangan jahat musuh-musuhNya. Insafilah, begitu juga dengan kehidupan seharian kita, segalanya di bawah ketentuan dan kekuasaan Allah SWT. Maka selayaknya kita beriman kepadaNya.

Cuma apa yang ingin ditekan di sini adalah dari sudut penghayatan.
Apakah cukup sekadar berarak ke sana sini dengan laungan selawat bergema hebat atau terhibur dengan alunan nasyid, marhaban dan berzanji? Demikian juga dengan butiran bicara yang enak mengisi halwa telinga? Bagaimana kesannya selepas itu....? Apakah rasa cinta dan sayang kepada RasuluLlah SAW bertambah mekar di jiwa dan kita sentiasa berusaha melaksanakan setiap sunnah tinggalan baginda SAW? Ataupun kehidupan seharian kita tiada bezanya... terus lalai dengan pancaroba dunia yang menggoda?
Bicara seorang ahli agama amat menarik untuk direnungi. Katanya,"Jika cintakan RasuluLlah SAW, maka tunjukkanlah kecintaan itu dengan melakukan apa yang baginda SAW suka dan jauhi daripada apa yang dibencinya. Dengan kata lain melaksanakan suruhan Allah SWT dan meninggalkan laranganNya".
Sesuatu yang amat mudah untuk disebut tetapi amat sukar untuk dilaksanakan. Pesan seorang Ustaz dalam soal mengamalkan sunnah, "Buat sedikit tetapi istiqamah daripada langsung tak buat tetapi banyak berhelah".
Di samping itu, marilah kita sentiasa basahkan bibir kita dengan berselawat ke atas baginda SAW. Insya Allah, barangsiapa yang sentiasa mengingati baginda SAW, maka ia amat-amat disayangi oleh Allah SWT. Maka barangsiapa yang disayangi Allah SWT, maka akan dipertemukanNya dengan insan yang dicintai yakni RasuluLlah SAW. Di mana lagi, jika tidak di syurga.
Moga ada manafaatnya. Ameen.