Hari Sabtu baru-baru ini, seusai urusan di tengah Bandaraya Kuala Lumpur, kami sekeluarga terus ke Pusat Sains Negara (PSN) di Bukit Kiara. Satu perjalanan yang 'menyeksakan' - hampir sejam kami terkial-kial di jalan mencari tanda arah yang mengelirukan pandangan sehingga beberapa kali tersilap laluan. Itulah KL yang sering kami elakkan.
Di PSN, tarikan utama anak-anak adalah pameran utamanya, "Dinosaurs Live!" yang bermula 1 Mei lalu sehingga 31 Julai ini. Tiketnya mahal sedikit; dewasa RM15, warga emas RM6, kanak-kanak RM6 - RM12 dan pelajar dengan kad pelajar RM12. Untuk pakej keluarga terdapat pilihan samada RM42 atau RM36. Bersama 3 orang anak, bayaran untuk kami : RM54.
Tanpa memasuki Dinosaurs Live!, harga tiketnya murah sahaja, RM6 bagi dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak. Tepuk dada tanya hati, mana nak pergi.
Menjejakkan kaki masuk ke ruang pameran, kami disambut puluhan ikan-ikan besar (spesies air tawar) yang ditempatkan di dalam akuarium terowong sepanjang 8 meter. Barangsiapa yang melaluinya pasti terhenti sambil mendongak kepala ke atas, kiri dan kanan. Berhampiran pintu masuk juga terdapat akuarium-akuarium kecil dengan pelbagai ikan dan tumbuhan akuatik berwarna-warni. Terpesona dengan keindahan dan keunikannya.
Koleksi sebahagian foto dapat diakses di Album Foto Kami atau klik di sini.
Seterusnya kami ke ruang pameran dinosaurs di Tingkat 1. Suasananya kelam dengan disinari lampu-lampu merah, hijau dan biru bagi memberi impak betapa besar dan nyatanya haiwan prasejarah tersebut. Sesekali kami dikejutkan dengan beberapa ngauman kuat berserta gerakan kepala, ekor, kerlipan mata dan jeliran lidah dinosaurs, seolah-olah ianya hidup. Itulah sistem animatronik namanya, hasil gabungan kejuruteraan mekatronik.
Terdetik di sanubari, betapa besarnya kekuasaan Illahi, walaupun telah puluhan dan ratusan juta tahun pupus tetapi dengan sekelumit ilmu yang dianugerahiNya menjadikan ianya seolah-olah hidup kembali. SubhanaLlah!
Umumnya, di samping pameran istimewa dinosaurs, terdapat lebih 1000 exhibit dalam 12 galeri sains dan teknologi (pelbagai tema) yang dipersembahkan secara tidak formal yang boleh dicuba dan dipelajari. Penerangan asas akan sebab dan penyebab sesuatu kejadian dapat membantu para pengunjung memahami konsep sains di dalamnya. Segalanya berkait rapat dengan kehidupan seharian kita.

Dari pemerhatian kami, kehadiran pengunjung amat menggalakkan terutama di kalangan pelajar sekolah, remaja dan ibu bapa bersama anak-anak. Cuma perlu ada tindakan susulan agar ianya bukan sekadar permainan semata-mata tetapi perlu ada pengisian, pengajaran dan pengetahuan yang dapat diceduk.

Kami merasa amat gembira kerana ianya terdapat juga di tanah air sendiri. Amat baik sekali kiranya pusat seumpamanya turut dibina di setiap negeri agar dapat menarik minat dan memahamkan masyarakat Malaysia kepada sains dan teknologi. Sekaligus dapat menghilangkan rasa takut dan curiga terhadap sains.
Tidak rugi kami ke Pusat Sains Negara. Penatnya amat terasa tetapi kepuasan adalah ganjarannya. Masih banyak lagi exhibit yang tidak sempat kami cuba dan bermain dengannya. Insya Allah di lain ketika kami menyinggah lagi.