
Kami bertolak pulang ke Melbourne petangnya, kira-kira jam 02:00 petang selepas makan tengahari di rumah Azami. Melalui Dukes Hwy bersambung dengan Western Hwy. Singgah di Nhill kra-kira jam 07:00 malam untuk solat jamak di tempat letak kereta bersebelahan tandas awam yang diterangi lampu. Suhunya amat sejuk sekali, sekitar 8 darjah Celcius. AlhamduliLlah, kami tiba di Dandenong jam 11:30 malam.
Sabtu (26/04/2008)
Petang Sabtu, selepas makan tengahari di rumah Pak Uka-Kak Ros di Ascot Park, kami ke masjid di Marion Rd untuk solat jamak. Masjid ini asalnya adalah gereja. Malah majoriti masjid di seluruh Australia berasal dari gereja. Abah amat teringin untuk ke sana. Masjid yang biasa dikunjungi ketika tinggal di Sturt dahulu. Kini dalam proses pembinaan bangunan tambahan di hadapannya.


Memasuki kawasan terbuka kangaroo, kami mulai diserbu dek kangaroo yang kelaparan. Mungkin kerana kurang pengunjung bermakna kurang makan. Berbekalkan makanan haiwan yang dibeli di kaunter tiket, tangan disuakan. Basah dan sedikit melekit terkena air liur dan lidah kangaroo yang kasar. Makin kerap dihulurkan makanan, semakin banyak kangaroo yang berkerumun di sekeliling. Anak-anak ketakutan, apatah lagi apabila diserbu kangaroo yang besar dan nampak garang. Lebih-lebih lagi turut sama dihampiri burung emu yang besar dan tinggi.

Laili dan anak-anak serta mak dan abah dah biasa kerana pernah ke sini dahulu. Akan tetapi bagi Hadi dan Khalil, ianya adalah pengalaman baru dan amat ditunggu-tunggu. Inilah saat paling berharga yang amat sukar ditemui. Di Melbourne pun setakat ini hanya di Warrook Farm sahaja yang pernah ditemui para pengunjung dapat memberi makan kangaroo dari tangan (hand feeding) tetapi bilangannya tidak banyak. Itulah tujuan kami membawa mereka ke Cleland Wildlife Park agar dapat berinteraksi secara bebas. Seronok sekali nampaknya Hadi dan Khalil melayan kerenah haiwan-haiwan tersebut, tak menang tangan dibuatnya.


Di samping itu terdapat juga haiwan lain yang terletak di kurungan masing-masing, antaranya dingo, Tasmanian devil, wombat, echidna dan burung-burung. Haiwan seakan-akan tikus mondok yang besar; potoroo, bettong dan bandicoot pula kelihatan bebas bergerak di merata tempat.
Sesungguhnya pengalaman di Cleland Wildlife Park ini amat berharga sekali. Jika berpeluang ke Adelaide, inilah antara tempat yang seharusnya dikunjungi.